Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 21

21

“CANTIKNYA suasana malam di sini!”

“Tahu pun…hari tu jual mahal sangat! Dahlah tiket dengan penginapan ada orang taja,”

Balas Badli, mengambil tempat di atas kerusi rehat yang tersedia di luar penginapan mereka. Bintang-bintang bertebaran, menghiasi dada langit. Walaupun tidak menikmati erti bulan madu sepenuhnya, namun dia bersyukur kerana sedikit demi sedikit Atirah sudah mula menunjukkan perubahan sikap dengannya. Sekurang-kurangnya Atirah tidak marah-marah lagi seperti sebelumnya.

“Saya suka tengok cara hidup penduduk kampung ni…baik, ramah!”

“Sebab tu pepatah Melayu kata jauh perjalanan, luas pemandangan,”

“Pepatah tu sesuailah untuk orang senang macam awak,”

Badli tidak menjawab. Tiada niat di hati untuk mencuit petala hati isterinya yang paling dalam, tapi kadang kala butir bicaranya tergelincir juga dari landasan.

“Lusa kita berangkat balik, ya?”

“Lusa?”

“Hmm…kenapa, tak puas ke?”

“Tak sangka tempat ni mendamaikan…Hilang rasa susah di hati,”

“Eh, susah hati? Banyak sangat ke masalahnya?”

“Rindu pada adik-adik, Bad!”

Luahnya, perlahan. Terkenang akan adik yang berdua itu memang mengundang sayu. Entah mengapa, adik-adik sendiri membelakangkannya sedangkan selama ini mereka begitu akrab, saling membantu sesama sendiri.

“Kita akan jenguk adik-adik bila peluang mengizinkan. Jangan bimbang! Saya tak akan abaikan adik-adik Atirah kerana adik-adik Atirah adik-adik saya juga,”

“Janji!”

“Janji…”

Balas Badli, menggenggam tangan isterinya biar sekejap cuma. Dugaannya tepat, sekejap sahaja, Atirah menarik kembali tangannya dari genggaman Badli. Nafasnya dilepas berat. Berapa lama lagi agaknya masa yang diperlukan Atirah untuk menerima dirinya dengan sepenuh hati.

* * * * * * * *

FAIZAL merenung slip keputusan peperiksaan yang baru diterima pagi tadi. 8A, 1D! Huruf D nampak cacat pada slip itu! Kecewa dan sedih silih berganti. Walau sudah diusahakan sebaik mungkin, namun keputusan peperiksaannya masih belum memberangsangkan. Memang diakui, dia lemah dalam Bahasa Inggeris tetapi dia tidak pernah berputus asas. Saki baki masa yang ada sebelum peperiksaan pun, dia masih bertemu dengan guru, bertanyakan tentang Bahasa Inggeris. Mungkin rezeki tidak berpihak padanya kali ini. Banyak soalan yang tidak difahami ketika dia sedang berjuang tempoh hari. Faizal mengeluh panjang. Dia merenung kipas yang berputar ligat. Bilah-bilah usang itu dikira berkali-kali.Ada peluang lagikah buatnya untuk masuk ke aliran Sains sedangkan keputusannya tidak seberapa? Adakah dia masih punyai harapan untuk menakluki hari depan sedangkandia bukan siapa-siapa?

“Angah, jom kita riadah!”

“Abang pergilah, angah pening kepalalah,”

“Ke angah sedih lagi pasal keputusan periksa?”

“Tak, angah pening kepala, abang pergilah main dulu! Nanti bila dah okay, angah pergi padang, ya?”

“Okay!”

Jawab Firdaus, lantas menapak keluar dari asrama mereka. Faizal kembali berbaring. Tangan disilangkan di atas dahi sedang minda ligat mengerah andaian.

Andai masa bisa diputar, pasti dia akan bersungguh-sungguh menghadapi peperiksaan. Andai masa bisa diputar, akan dipastikan segala kelengkapan sempurna sebelum berjuang. Andai misi perjuangannya berjaya, pasti kini dia tersenyum gembira. Andai...

“Faizal!”

“Kenapa di sini?”

Soal Ustaz Izzuddin. Faizal bingkas bangun apabila disapa begitu. Dia turun dari katilnya di tingkat atas lalu mendekati Ustaz Izzuddin.

“Saya…saya pening, ustaz!”

Jawabnya, gugup. Tidak berani menentang pandang wajah warden asramanya, dia hanya tunduk sambil bermain dengan jari-jemarinya.

“Pening memikirkan keputusan periksa?”

“Mmm,”

“Apa lagi yang dirunsingkan, Faizal? Belum cukup dengan apa yang ada, ya?”

“Bahasa Inggeris saya, D saja, ustaz!”

“Tak apa, Faizal…jika diizinkan, Faizal ada banyak lagi masa nak memperbaiki apa yang kurang,”

“Tapi saya nak masuk kelas Sains, ustaz!”

“Iya…ustaz faham perasaan kamu. Setiap insan punya cita-citanya sendiri, tapi sejauh mana pula dia berikhtiar untuk memenuhi cita-citanya? Mungkin ini ujian buat Faizal...Jadi, untuk hal yang sedikit ini, redhalah...”

Faizal merenung kakinya pula. Nasihat Ustaz Izzuddin belum mampu mengikis segala kekusutan yang melekat kuat di tepian mindanya.

“Saya bimbang, ustaz...Ini sajalah harapan yang saya ada. Sejak dulu lagi saya bercita-cita nak jadi doktor, tapi keputusan saya ni tak bagus, ustaz...Macam mana saya nak capai cita-cita saya ni?”

“Faizal, kita sebagai hamba, sangat perlukan Allah...Dari langit hingga ke bumi, udara yang kita hirup, malah rasa gembira sekali pun semua kurniaan Allah. Faizal fikir semula, adakah huruf-huruf yang tercatat dalam slip keputusan Faizal itu hasil dari jerih payah Faizal? Kalau tidak kerana kurniaan Allah, minda yang satu itu pun tidak dapat berfikir, apatah lagi hendak menggerakkan tangan untuk menulis jawapan...walau bagaimanapun keadaannya, sebagai hamba, janganlah kita mengkufuri dengan nikmat Allah. Merungut itu pun satu tanda kufur akan nikmat Allah. Selagi diberi keizinan, usahalah...Jika diberi ujian, tabahlah menghadapinya...”

“Ada satu rahsia dalam ayat 7, surah Ibrahim, iaitu, “Dan ketika TuhanMu memaklumkan: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya, azabKu amat pedih’.”

“Maksudnya ustaz?”

“Orang-orang yang bersyukur, tidak mengeluh dengan apa yang diberi kepada mereka, maka Allah akan gandakan lagi apa yang telah diberi. Jika Faizal punyai sedikit harta dan berilmu tetapi Faizal bersyukur dengan apa yang Faizal miliki, InsyaAllah, janji Allah nikmat itu akan berganda, tetapi kalau Faizal kufur dengan apa yang diterima, sentiasa berasa tamak, bersedialah dengan azab yang disediakan buat hamba-hamba ini,”

Jelas Ustaz Izzudin dengan panjang lebarnya. Faizal melihat kedua-dua belah tangannya. Bulu roma yang tegak berdiri cukup menggambarkan betapa takutnya dia akan azab yang disebut oleh Ustaz Izzuddin. Mungkin tiba masanya untuk redha dan menerima ujian yang diberi supaya hatinya juga bertambah tenang.

“Memang saya tak bersyukur, ustaz!”

* * * * * * * *

“AWAK nak air?”

“Boleh juga,”

Jawab Badli, ringkas. Mereka baru tiba setelah hampir seminggu meninggalkan kondominium itu. Badli menarik dua buah beg beroda sedang Atirah mengambil minuman buatnya.

“Airnya, Bad!”

“Mmm, terima kasih!”

Badli duduk di birai sofa, menikmati air yang masuk melalui halkum. Seluruh tubuh berasa nyaman dek kehausan itu walaupun hanya beberapa teguk air yang dapat diminum dalam satu nafas.

“Sedap air mineral ni, kan?”

“Nyanyuk ke apa awak ni?”

Balas Atirah, sinis. Dia mahu ketawa tetapi ditahannya tawa itu lalu dia bingkas bangun menuju ke dapur setelah mengambil gelas air yang dihulurkan oleh Badli.

“Nak ketawa tapi ditahan-tahan. Jarang jumpa insan penjeruk rasa ni. Entah apalah dosa ketawa dengan suami sendiri,”

Atirah tidak menjawab walaupun dia mendengar soalan itu sayup-sayup. Tangannya leka mencuci gelas lalu membilasnya dengan air bersih.

Baginya, hal seperti itu bukan isu kerana dia memang begitu sejak dahulu lagi. Dia begitu kerana persekitarannya dan sifat itu dibawa hingga kini, hingga menjadi teguran Badli.

Selesai tugasan kecil di dapur, Atirah mengambil tempat di atas sofa. Dia membongkok lalu mengambil keratan akhbar yang disimpan di dalam majalah Mingguan Wanita. Bertemu dengan apa yang dicari, wajahnya berbuah senyuman.

“Kertas apa tu?”

“Iklan...permohonan untuk SPM tahun depan, calon persendirian...saya ingat saya nak daftar, boleh kan?”

“SPM? Atirah belum ambil SPM ke?”

“Belum...dulu belum berpeluang,”

“Jadinya Atirah ada sijil PMR aje?”

“Kenapa? Tak percaya ke?”

Soalnya, ingin melihat reaksi Badli mengenai dirinya. Walaupun baru sepuluh hari mengahwini lelaki itu, namun keraguan mengenai niat lelaki itu memperisterikannya tetap ada. Jika Badli juga mencelanya, dia tidak kisah kerana dia sudah biasa menghadapinya.

“Dah berapa lama Atirah berhenti sekolah?”

“Dah tiga tahun. Mesti awak menyesal kan kahwin dengan saya?”

“Menyesal? Menyesal untuk apa?”

“Menyesal sebab isteri tak ada pendidikan!”

Badli mengeluh perlahan. Atirah suka benar menduganya. Bukan soal pendidikan yang menjadi isunya kerana dia tahu latar belakang Atirah walaupun serba sedikit. Jika dia tidak bersedia dengan hal itu, pasti bukan Atirah yang dipilih sebagai calon isterinya.

“Tak ada masalah untuk saya…tapi saya pulangkan pada tuan punya badan…Menyesal atau tidak punya pendidikan setakat itu,”

“Saya tak mahu menyesal, saya dah bertekad nak sambung belajar semula,”

“Boleh….dengan syarat, bila dah belajar nanti, semua keperluan suami tak diabaikan. Kalau Atirah tak boleh seimbangkan hal ini, saya tarik balik kebenaran ni,”

Pesan Badli, tegas. Dia bangun lalu meninggalkan Atirah bersendirian di ruang tamu. Tiada niat di hati untuk menghalang Atirah menyambung pelajarannya, malah dia kagum dengan pendirian isterinya cuma dia mahu Atirah memikirkan keputusannya dengan baik sebelum bertindak.

* * * * * * * *

“ALHAMDULILLAH!”

Ucapnya, bersyukur dengan berita yang baru diterimanya. Dia berjaya mengisi pos sebagai Jurutera Marin di Syarikat Perkapalan Sri Bungah. Kereta pacuan empat rodanya terus dipandu membelah laluan sibuk menghala ke Jalan Bukit Gambir. Dia berjanji untuk mengambil semula Atirah di Jabatan Pelajaran Negeri selepas setengah jam. Hampir dua puluh minit memandu, dia tiba di pintu utama jabatan itu. Seperti yang dijanjikan, Atirah menanti di pondok jaga. Melihat kelibat kereta barangkali, Atirah segera mendekati lalu masuk ke dalam perut kereta.

“Macam mana?”

“Mmm, kena isi borang dalam bulan Mac nanti,”

Jawab Atirah. Teringat akan perbualan bersama pegawai yang memberi borang bersamanya pagi tadi, statusnya disoal apabila melihat inai yang merah dijari. Pelbagai soalan diutara buatnya tentang niat hendak mengambil peperiksaan tambah pula dia berkahwin pada usia yang sangat muda. Usia mentah menurut pegawai itu.

“Bulan Mac? Ada tiga bulan lagi…nampaknya banyak yang Atirah kena belajar mulai sekarang…Tambah pula saya dah dapat kerja. Lusa kena lapor diri,”

“Awak dapat kerja baru? Kerja apa?”

“Jurutera Marin…Atirah kena bersedia, sebab kerja ni mungkin perlukan saya di laut selama sembilan bulan, paling lama,”

“Tak apa, saya tak kisah!”

“Tak kisah? Atirah ni tak sayang saya ke?”

Tanya Badli, cuba menduga isi hati isterinya. Atirah tidak menjawab malah dia pura-pura tidak mendengar soalan yang diutarakan buatnya. Lagi lama Badli di luar, lagi tenang perasaannya malah dia lebih suka jika dibiarkan bersendirian menjalani hari-hari depannya. Tanpa diduga pacuan empat roda itu berhenti mengejut di bahu jalan. Berkerut dahinya memandang wajah Badli di sebelah.

“Atirah tak sayang saya, ya?”

“Awak berhenti kereta semata-mata nak tanya hal tu?”

“Kenapa? Tak boleh?”

“Boleh!”

“Kalau boleh, jawablah soalan saya tadi!”

“Nak berkahwin perlu sayang semata-mata ke? Macam mana kalau sayang tapi tak percaya? Sayang tapi menipu, sayang tapi tak ikhlas?”

“Oh, jadi Atirah yang mana satu? Sayang tapi menipu atau sayang tapi tak ikhlas?

“Awak pulak yang mana? Sayang tapi tak percaya?”

“Saya sayang dan ingin disayangi…tak boleh ke awak bagi yang itu?”

Bisik Badli, merapatkan dirinya sedikit demi sedikit. Atirah yang kelemasan dihimpit oleh tubuh sasa itu menolak Badli sepenuh tenaganya. Sakit hatinya diperlakukan seperti itu oleh Badli.

Badli pula hanya senyap tetapi tangannya bingkas menghidupkan kembali enjin kereta. Keras betul hati isterinya. Hari silih berganti sedang dia asyik bersabar dengan sikap Atirah yang jarang mahu menghormatinya sebagai suami.

“Kita hanya ada satu sama lain saja, Atirah!”

Badli mengingatkan sebelum memandu laju, hinggakan tayar kereta berdesing kuat. Terhidu juga bau hangit tayar kereta, dan dia pasti bau hangit itu datangnya dari pacuan empat roda milik Badli.

“Nak ke mana bawa kereta laju-laju ni?”

“Balik!”

* * * * * * * *

“DINA akan ketuai bahagian kewangan syarikat. Kalau ada apa yang Dina tak tahu, Dina boleh tanya staf lain yang dah lama dalam syarikat kita ni, ya?”

“Tanya staf lain? No way, ayah!

“Kenapa?”

“Mulai hari ni, Dina yang jaga gaji staf syarikat ni. Jatuhlah air muka Dina kalau tanya pada kuli!”

“Hmm, suka hati Dina lah…buatlah apa yang patut. Kalau tak faham, tanya ayah, ya?”

“Okay!”

Jawab Dina sambil senyum. Dia duduk di atas kerusi sambil mengetuk meja beberapa kali, tanda senang hati. Rasa tidak sabar untuk menguruskan syarikat ayah membuak-buak dalam dirinya. Bukan semua orang bertuah dapat menguruskan sebuah syarikat pada usia muda sepertinya.

“Jom, ayah kenalkan dengan staf bawahan Dina!”

“Tak mahulah, ayah! Dina nak rehat kejap. Penat tau bangun pagi!”

“Kata nak jadi bos…kena bangun pagilah,”

Usik Tuan Rosli. Dia senang melihat wajah puterinya nan satu itu bersamanya setiap hari. Semenjak lahir lagi, memang anak itu dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Tidak ada sesiapa, hatta ibu yang melahirkan sekali boleh menjentik anak kesayangannya itu. Melihat senyuman anak itu, hati dipalit bahagia.

OkayDina, ayah keluar dululah, ya?”

Okay, ayah! Daa,

Dina menghantar langkah ayahnya dengan senyuman. Kemudian, dia membelek fail kewangan syarikat. Angka terkini menarik minatnya. Dalam fikiran telah tersenarai beberapa rencana untuk menstrukturkan semula kewangan syarikat. Dan langkah pertama, dia akan membuat satu memo mengenai gaji pekerja.

* * * * * * * *

“SIAPA secretary jabatan kewangan? I nak jumpa sekarang,”

Jerit Dina dari muka pintu. Matanya liar mencari sasaran yang dimaksudkan. Beberapa orang staf yang sedang menjalankan tugas, masing-masing saling berpandangan sebelum bangun seorang wanita lalu berjalan menghampirinya.

“Saya! Ada yang saya boleh bantu cik?”

“Hmm, I nak youbuat satu memo mengenai gaji baru staf!”

“Gaji baru staf? Naik gaji ke cik?”

“Naik gaji…youni kuat bermimpi, ya? Okay, lets start with the first one, gaji akan dibayar mengikut banyak hari bekerja. Satu hari tak datang, satu hari gaji dipotong. Second, jika staf mengambil cuti sakit lebih dari satu hari berturut-turut dalam sebulan, gajinya akan dipotong sebanyak lapan puluh ringgit pada bulan itu. Ketiga, tuntutan kewangan hanya boleh dibuat selepas dua bulan dari tarikh invois. Keempat, bonus tahunan hanya akan diberi pada pekerja yang mempunyai rekod kedatangan penuh. Kelima, kita akan buat potongan gaji pada staf yang mempunyai masalah disiplin seperti menggunakan internet untuk kepentingan peribadi…Sekarang zaman IT, semua ada akaun facebook, twitter, jadi jika tertangkap, lima puluh ringgit akan ditolak dari gaji staf pada bulan itu. Denda ini termasuklah untuk mereka yang ada masalah seperti suka bersembang hingga melengah-lengahkan kerja,”

“Jadi berhati-hati dengan apa yang awak semua buat di pejabat ini. Mungkin dengan Tuan Rosli, staf boleh pijak kepala tapi tidak dengan I, okay!”

Tambah Dina lagi terhadap penerangannya yang panjang lebar. Dalam kepalanya terbayang kemajuan syarikat yang bakal menjadi kenyataan jika semua staf bekerjasama dengan arahan yang telah ditetapkan.

You ni kenapa? Apa yang Iberitahu tadi, you catat ke tidak?”

“Err…ya…ya…saya dengar! Tapi Cik Dina betul-betul nak laksanakan peraturan baru ni ke?”

“Kenapa you tanya?”

“Err…saya rasa mesti ramai yang tak puas hati nanti,”

Luah Linda, jujur. Selama lima tahun bekerja di bawah Firma Extra Box Design,kebajikan pekerja sangat diutamakan. Pengarah Firma tidak pernah lokek dengan keuntungan yang diperolehi apatah lagi berkira dengan cuti atau bonus pekerja.

“Ramai atau you saja yang tak puas hati? I baru suruh you catat…belum draf atau umum pun lagi! But who cares…since I’m the daughter of firm director, they have to listen to me. Don’t forget to tell them that I’m going to ensure that this draft will get through my dad!”

Beritahu Dina dengan angkuh. Setiausaha jabatan kewangan itu di pandang dari atas hingga ke bawah. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

“Outdated!”

Luahnya, sinis. Telinga Linda sempat menangkap sindiran lantas perasaannya menjadi panas tiba-tiba. Terasa merah menyala mukanya menahan malu walaupun sindiran itu tidak ditujukan secara nyata untuknya, tetapi dia tahu. Dia faham lirikan mata itu memandangnya.

Previous: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.