Home Novel Islamik Rindu Syahadah-MU
Rindu Syahadah-MU
Raihan Zaffya
14/1/2014 07:50:44
25,384
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 1



Allah menjadikan siang dan malam silih berganti. Ia berpusing di dalam orbitnya walaupun tanpa paksi. Bulan dan matahari bergerak seiring dengan waktu yang berganti. Siang dan malam itu adalah bendahara yang menyimpan amal-amal. Menjadi fasa-fasa perkembangan setiap ajal dan menjadi lahan untuk manusia melakukan kebaikan dan juga keburukan.

Peredaran masa dipenuhi dengan rahmat-rahmat ALLAH yang melimpah ruah. Di antara rahmat ALLAH adalah siang dan malam itu mempunyai tanda-tanda yang berbeza. Tanda bagi siang adalah matahari dan bulan pada malam harinya. 

Disediakan malam agar mendapat ketenangan daripadanya dan siang yang terang benderang untuk mendapatkan kurnia melalui rezeki yang dicari padanya. 

Pagi itu sinar mentari muncul lagi. Cahayanya tidak terlalu panas dan tidak terlalu suram. Hanya bahang udara yang agak kuat kerana angin malu-malu untuk bertiup pagi itu. 

Di satu sudut taman sebuah kediaman mewah kelihatan seorang remaja bernama Qistina sedang resah. Duduk tidak senang berdiri tidak kena. Tidak keruan. Seperti ada duri di punggungnya. 

Sebentar-sebentar pula dia menggaru kulit kepala. Wajahnya dipenuhi kebosanan. Lantas Qistina menjenguk mamanya, Adura yang sedang duduk di taman sambil membaca Majalah Wanita.

“Ma, nak keluar boleh?” 

Soalan diajukan sambil Qistina menyingsing lengan T-shirt yang sememangnya pendek. Kain tudung bonggol untanya sudah terlilit kemas di wajah. Tidak lagi kelihatan rambut kuning bulu jagung yang beralun separas bahu.

“Ke mana?” Soalan berganti soalan dari Adura yang usianya lewat 40an. Tanpa sedikit pun memandang ke wajah Qistina.

“Tak tau.” 

Pendek sekali jawapan yang diberi. Memang benar, Qistina tidak tahu mahu ke mana. Yang pasti dia mahu membebaskan diri dari rumahnya sendiri. Saban hari Qistina pandang Adura, Adura pandang Qistina. Logiknya memang begitu kerana hanya mereka berdua yang mendiami kediaman mewah itu. 

Adura bagai bayang-bayang bagi Qistina. Di mana Qistina, di situlah Adura. Kadang-kadang Qistina terasa rimas. Lemas. Di waktu yang lain Qistina merasakan dirinya begitu disayangi dan dihargai.

“Kalau tak tau, duduk je rumah. Temankan mama,” sahut Adura lalu meletakkan majalah Wanita ke atas meja taman.

Qistina ketawa kecil. Lucu sekali permintaan Adura. Geli rasa hatinya bagai digaru. Melihat itu Adura hanya tersengih. Cuba menahan ketawa. Dia bangun lalu menghampiri Qistina. Bercekak pinggang sebentar. Sengihan masih lagi tidak lekang dari bibirnya.

“Kenapa ketawa? Mama buat lawak ke?” Soal Adura biar pun dia telah tahu jawapan pada soalannya.

“Mama kenapa pula tersengih?” Jawapan berbau soalan dibalas oleh Qistina.

“Mama sengih tengok Qistina.” Sahut Adura sambil memperkemaskan lagi kain tudung Qistina.

“Qistina ketawa sebab kata-kata mama tadi,” balas Qistina manja dan membiarkan Adura merapikan tudung bonggol untanya.

“Yang mana satu?”

“Temankan mama! Ma, ma, memanglah kelakar cakap mama tu. Mama pun tau dalam sehari semalam, 24 jam Qistina ada depan mata mama. Mana ada Qistina, situ ada mama. Nak temankan apa lagi ma?” 

Sisa ketawa Qistina tidak kedengaran lagi. Sengihan Adura juga telah hilang dari bibirnya. Diam. Untuk seketika mereka senyap.

‘Huuu, kadang-kadang nada suara Qistina buat aku kecil hati. Walaupun dia bernada gurauan tapi entahlah…….hati aku ni kadang-kadang aku sendiri pun tak faham,’ bisik Adura agak sesal. 

Sayangnya pada Qistina membuat dia membiarkan sahaja persoalan itu berlalu walaupun ia akan berulang lagi.

Begitulah apabila hati yang halus telah dilukai, ia tetap akan berdetik biarpun sedaya upaya cuba disembunyikan. Adura tidak menegur Qistina kerana bimbang si gadis akan bersedih hati. Selama 19 tahun ini Adura selalu bersabar dengan apa sahaja kerenah Qistina.

Dalam surah Az-Zumar 39:10 menyatakan: “Sesungguhnya orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

Adura memusingkan tubuh langsingnya. Biar pun sudah agak berusia tetapi dia masih kelihatan muda. Dia duduk semula di bangku taman. Menopang dagu sambil merenung tajam ke wajah Qistina. Qistina bergerak ke arah buaian rotan di tepi taman. Pandangannya juga tertumpah ke wajah Adura. Mereka saling bertatapan tanpa bahasa.

“Ma, kenapa cuma kita berdua ya.” Akhirnya suara Qistina memecah

sunyi.

“Sebab tak nak ada orang ketiga. Mama nak hanya mama dan Qistina. Takkan ada orang lain. Takkan ada siapa-siapa antara kita!” tegas sekali jawapan yang diberi oleh Adura. Seperti tiada tolak ansurnya lagi.

“Ya, ya, ya. Takkan ada orang lain. Takkan ada pembantu rumah. Takkan ada tukang kebun juga.” Sebuah keluhan dilepaskan dengan berat oleh Qistina.

Tidak lama kemudian Qistina tersenyum-senyum sendirian. Ada rasa lucu di hatinya. Terselit sedikit rasa syukur kerana Adura masih memberinya peluang bergaul dengan rakan-rakan sebayanya. Jeja, Lena dan Toy si tomboy yang gila-gila. Mereka bertigalah penyeri dan pelengkap hidupnya selain Adura.

“Dah tak betul ke tu?” Usik Adura yang kadangkala juga agak gila-gila.

“Biarlah! Suka oranglah!”

“Amboi, cantiknya bahasa!” Adura menjegilkan bola mata.

“Tak takut pun,” lalu pelbagai mimik muka yang melucukan dipamer. Adura menahan hati dari tertawa. Nakal sungguh remaja bernama Qistina Alia.

“Hah, dah macam muka yang dalam zoo negara.” Sakat Adura sambil ketawa.

“Mamaaa!!!!, sampai hati mama,” lalu terhambur ketawa Qistina yang nyaring. Matanya kelihatan menyepet dan pergerakan bahunya seirama gelak ketawa yang bersahaja. Nampak lucu.

“Buat lagi.” Adura bersuara mengejek.

“Tak nak! Tak nak! Tak naaaakkk!” sahut Qistina sambil menekan perut yang tegang akibat tawa yang kuat sebentar tadi.

Adura menggeleng-gelengkan kepala sambil terus merenung Qistina. Hatinya sering terhibur tika melihat keletah Qistina. Sudah besar dia. Seperti baru semalam Qistin hadir dalam hidupnya.

“Ma, kenapa mama hidup sendiri?” Soal Qistina tiba-tiba.

“Mama ada Qistina.” sahut Adura perlahan lalu membuang pandang ke arah celahan jeriji pagar. 

Dari situ dia dapat melihat kenderaan yang sedang lalu-lalang. Keadaan jalanraya yang berhampiran menjadikan suasana rumah yang sepi itu tidak terlalu dirasakan.

“Maksud Qistina, bukan diri Qistina. Kenapa Qistina tak ada papa. Tok dan tok wan pun tak mau jawab bila Qistina tanya,” jelas Qistina yang sering menghubungi tok dan tok wannya lewat talian.

“Kenapa kulit Qistina putih tapi mama tak? Kenapa warna rambut Qistina lain dari mama?” Belum sempat Adura menjawab, bertubi-tubi soalan yang keluar dari bibir mungil Qistina. Petah sekali.

Adura diam dan terus diam. Ekor matanya masih memandang ke luar. Menanti jawapan dari Adura adalah satu kegelisahan buat Qistina. Sering kali begitu. 

Soalan akan berlalu begitu sahaja. Bukan sekali, bukan dua kali. Yang pasti esok lusa Qistina tidak akan jemu-jemu untuk bertanya lagi.

“Hmm, kalau petang ni mama buat spaghetti ok tak sayang?” Seperti selalu Adura tetap akan berdalih. Lari dari persoalan. Membiarkan segalanya berlalu begitu sahaja.

“Aha, tau dah. Kalau tak macam ni bukan Mama Adura namanya.”

Qistina tersenyum. Sudah lali dengan situasi. Diratah wajah ayu Adura dari segenap sudut. Adura segera mengenyit mata. Melihat wajah ceria Adura, Qistina jadi senang. Tidak mengapa andai Qistina tidak punya papa. Perhatian dan kasih Adura sudah melimpah. Sudah mencukupi.

“Tau, tak apa. Mari kita masuk, mama masakkan spaghetti,” lalu Adura menarik tangan Qistina. Qistina tidak pula membantah. Hanya akur.

Ketika melewati ruang tamu untuk ke ruang dapur, Qistina mengerling ke sekitar. Terlalu besar ruang tamu utama itu. Mungkin orang luar akan beranggapan penghuninya melebihi dua orang sedangkan hakikatnya hanya dia dan Adura sahaja yang menghuni kediaman semewah itu.

Kadang-kadang Qistina berfikir bagaimana mereka mampu menjalani hidup dengan kemewahan sedangkan Adura tidak bekerja. Setiap kali Qistina bertanya, Adura akan mengatakan apabila usianya sudah meningkat ke 21 tahun dia akan memperolehi semua jawapannya.

“Ma, macam mana dengan dua buah rumah sewa mama tu, dah ada yang nak sewa ke ma?”

“Mama mana ada rumah sewa. Rumah-rumah tu kan Qistina yang punya,” dengan selamba Adura menjawab. Qistina ketawa lagi.

“Kalaulah Qistina sekaya tu ma, tak payah Qistina susah-payah belajar. Ada duit semua boleh jadi kan ma.”

“Memanglah dengan duit tu semua boleh jadi tapi Qistina kena belajar untuk cari ilmu. Lagipun duit tak boleh beli bahagia tau,” tegas Adura yang cuba memperbetulkan persepsi Qistina.

Bola mata Qistina ralit memerhati kepantasan Adura membuat tugasan di dapur. Jarang sekali mereka makan di luar kerana keenakan masakan Adura sudah mencukupi buat Qistina.

“Qistina rasa tak seimbanglah ma. Sejak akhir-akhir ni Qistina rasa ada benda yang kurang,” keluh Qistina perlahan.

“Tak seimbang? Apa yang tak seimbang? Tak faham mama tiba-tiba saja Qistina kata tak seimbang,” sahut Adura sambil terus meletakkan pisau di tangannya. Kini fokusnya adalah Qistina.

Jari-jemari Qistina bermain dengan kulit. Diambilnya kulit bawang itu lalu diangkat tinggi. QIstina memerhatikan kulit bawang yang begitu nipis dan mudah terkoyak. Adura semakin tidak faham apabila melihat perlakuan aneh Qistina.

“Tak seimbang ma. Macam kulit bawang ni. Qistina rasa Qistina banyak sangat pelajari ilmu dunia sedangkan ilmu akhirat dah keciciran." 

"Orang kata kan ma, keimanan yang nipis tu tak ubah macam kulit bawang. Tengok ni ma. Nipis kan. Lepas tu bila Qistina koyakkan, mudah sangat ia koyak,” keluh Qistina untuk ke sekian kali.

“Di sekolah kan dah belajar Pengetahuan Agama Islam. Tak cukup lagi ke Qistina sayang? Tegas Adura sambil menyibukkan diri. Wajah Qistina tidak dipandangnya lagi.

“Dah cukup ke ma? Entahlah. Kenapa Qistina rasa macam ada yang tak kena. Pincang je ma. Qistina nak tau lebih banyak benda tapi Qistina tak tau apa yang Qistina tak tau. Nak cari sesuatu tapi tak tau apa yang mesti dicari.”

Permasalahan Qistina berlalu begitu sahaja apabila Adura tidak lagi member perhatian kepadanya. Dia mahu segera membereskan menu tengahari itu. Bila sudah selesai bolehlah Qistina mengajak teman-temannya bertandang untuk menikmati hidangan spaghetti istimewanya.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.