Home Novel Fantasi Eclipse
Eclipse
Ann Hann
9/12/2021 23:01:17
9,730
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 1
Audia atau nama penuhnya Audia Binti Abu Dzar. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 an. Belum berkahwin dan suka berdikari. Tinggal di Kuala Lumpur. Kedua orang tuanya sudah lama tiada. Baru-baru ini dia telah dipecat sebagai juruakaun di sebuah syarikat besar yang mengeluarkan beras dan bahan makanan lain.


 Kejadian hitam yang sangat mengecewakan. Dia bukan sahaja kecewa tentang penerimaan orang luar yang lebih percaya pada bosnya yang bodoh itu tetapi juga saudara kandungnya sendiri. 

Seminggu selepas berita itu sudah kurang menjadi bualan tangan di laman sosial. Kakak sulungnya Yandira pula memaki hamun dia di dalam telefon. 

 “Dasar anak tak tau malu. Kenapalah kamu selalu burukkan nama keluarga!!”

“Lepas ni jangan mengaku kita adik beradik, aku tak ingin jadi kakak kau!” maki kakak keduanya Hayaya. 


Tanpa ingin mempertahankan diri dan rela dicaci Audia membuat keputusan tidak mahu berhadapan dengan kedua saudaranya itu lagi. Dia membiarkan saja dirinya termangu mengenang nasib. Baginya biarlah masa yang tentukan bagaimana akhirnya ini semua terjawab dengan adil.


 *** 


 Tiga bulan berlalu samada terlalu perlahan atau begitu pantas, Audia tidak lagi memikirkannya. Kesan dari peristiwa hitam tersebut dia langsung tidak membuka facebook dan twitter. Dia cuba mengasingkan dirinya dari dunia sosial dan beralih sikap untuk terus menyembunyikan diri. Memang sukar mengatasi rasa sakit dikecam. Namun sejak kejadian itu Audia menjadi wanita yang lebih berwaspada. 


 Sekarang dia baru sahaja hendak memulakan bisnis kecil-kecilan dengan menjual pelbagai barangan di laman web. Dia belum lagi bekerja dan bercadang hendak berehat setahun dari melakukan kerja-kerja pejabat. Audia, mahu mencuba kerjaya baru. Itu juga baru sahaja dicadangkannya beberapa hari yang lalu selepas berkurung saja di dalam rumah setelah tiga bulan. 


 Hari ini, hari terakhir untuk tiga bulan yang menenangkan, sudah masuk tengahari ketika dia terjaga semula awal pagi tadi. Hampir begitulah rutin hidupnya sejak akhir-akhir. Tidur, makan, tengok movie, drama, baca buku, senaman dalam rumah sendiri, masak dan menilai skil masakannya yang tidak seberapa itu. Selama tiga bulan rutin hidupnya seperti jadual sekolah untuk seharian sebelum dia memasang nekad hendak berubah dan mulakan hidup baru. 


 Selepas menguap dua kali, merenggangkan badan selama sepuluh saat dia pun melangkah dengan malas menuju ke dapur mencari sesuatu yang boleh dimasak. Sebelum memikirkan apa yang perlu dimasak, Audia memasang telinga mendengar berita dari televisyen yang bergema dari ruang tamu hingga ke dapur sebagai salah satu sumber berita. Suara pemberita wanita itu sangat mengasyikkan. 


 “Malam ini gerhana bulan akan kelihatan lebih jelas di benua asia dan menjadi tumpuan seluruh dunia bermula lewat malam nanti…” 

Audia mendengarnya tanpa rasa sedikitpun minat pada kejadian gerhana bulan itu. Dia membuka peti sejuk kemudian mengambil lobak, cendawan tiram, timun dan udang. Semua bahan keperluan yang diperlukannya dibeli secara dalam talian. Kedai-kedai itu pun dekat sahaja dengan kawasan apartmen. Ada seorang lelaki yang boleh diharapkan untuk mendapatkan senarai bahan mentah yang diperlukan. Hampir semua penghuni apartmen menggunakan perkhidmatan lelaki tersebut. Audia tidak terkecuali dan atas sebab itu jugalah dia tidak pernah keluar selagi tidak ada kecemasan. Lagipun, tak banyak yang diperlukan bila tinggal seorang diri. Dia bukannya makan banyak. Cukuplah untuk mengalas perut. Paling malas pun dia boleh makan roti bakar sebelah malam. 


Selepas memotong bahan-bahan mentah dia siap sedia masak sambil berfikir drama apa yang hendak dinonton hari ini.Ting tonggg! Bunyi loceng pintu mengejutkan dari luar. 


“Siapa?” dia tertanya-tanya. Seingatnya dia tidak memesan apa-apa barang. Kali terakhir dia memesan sebuah buku dan baru sampai dua hari lepas. Takkan juga Azima dan Herin datang. 


 Sambil berfikir … dia berjalan juga ke pintu dan membukanya dengan berhati-hati. Dari luar pagar besi yang berkunci ada seorang lelaki penghantar barang dari perkhidmatan ParoroVan. Satu-satunya perkhidmatan penghantaran yang selalu digunakan oleh kebanyakan penjual dalam talian.


 “Selamat tengahari cik, ada barang untuk Audia binti Abu Dzar,” beritahu seorang pemuda yang sedang memegang kotak.


 “Saya punya.” 


“Nombor i.c?” 


Audia segera memberikan nombor kad pengenalannya. “Letak saja di situ, terima kasih,” katanya. 


“Sama-sama,” sahut penghantar barang kemudian meletakkan kotak itu di depan pintu lalu mencatat sesuatu sebelum beredar. 


 Setelah pekerja tadi beredar barulah Audia membuka pintu dan mengambil kiriman entah dari mana tanpa sebarang curiga. Barangkali ada barang yang dia lupa. Tetapi sebab dia betul-betul lapar dia tidak segera membuka kotak tersebut. Audia meletakkan kotak itu di atas meja ruang tamu dan kemudian kembali ke dapur menyiapkan makanan ringkas sup lobak campuran udang dan sayuran. Dia menghabiskan masa dua jam makan di dapur sambil menonton drama Korea di Netflix. Setengah jam mengemas dapur. Setengah jam lagi mandi. Selepas selesa menukar pakaian baharu, barulah dia duduk di ruang tamu dan menyambung drama tontonannya tadi di televisyen pula. 


 “Ohh, lupa,” bisiknya sewaktu melihat kotak berikat reben merah yang kembali buat dia tertanya-tanya. Audia membelek setiap sudut kotak itu mencari nama pengirim tetapi tidak ada. Hanya resit rasmi dari syarikat penghantar dan tulisan kecil nama pengirim sebagai ‘Antique’ dan Penerima :

Audia Abu Dzar. 


Dengan gerakan tangan yang agak perlahan, Audia berhati-hati membuka penutup kotak sebelum menjenguk ke dalamnya berserta perasaan takut-takut. Tetapi seminit kemudian dia lega bila melihat sebuah jam pasir dan jam meja yang cantik berbentuk segiempat sebesar sebuah tab 10 inci. Dia pantas menarik keluar jam meja yang berbingkaikan kayu lama bermutu tinggi. Tetapi jam itu tidak mempunyai nombor sebaliknya nama-nama bintang diukir sekeliling bentuk segiempat dan terdapat jarum jam yang menghala ke bintang Sirius.


 Ada beberapa lagi nama bintang yang terkenal Cygnus, Orion, Aquila, Pegasus dan Hydra yang kesemuanya memiliki cerita legenda ilmu Yunani pada zaman dulukala. Dalam pada banyaknya nama bintang itu, Audia paling berminat dengan bintang Orion yang selalu di bacanya dalam majalah. Lantas dia memusing jarum jam ke arah Orion.


 Kemudian bernyalalah kerlipan lampu kebiruan di mana susunan bintang-bintang itu membentuk gambaran seorang pemanah. Audia tersenyum gembira melihat nyalaan Orion dalam kegelapan ruang tamunya yang tertutup disebabkan dia tidak mahu menolak kain langsir jendela. Dia berdiri dan meletakkan jam bintang itu di tepi televisyen supaya dia boleh selalu melihatnya. Manakala jam pasir itu di letakkan di tepi jam bintang tersebut. Dia teruja melihat butiran pasir-pasir yang berjatuhan dengan pergerakan yang selari. 


Tanpa memikirkan dahulu siapa pengirimnya, Audia kembali menonton televisyen. Dia meneka mungkin Azimah dan Herin yang belikan barangan antik itu sebagai hadiah hari ulang tahunnya esok. Ulang tahun ke 35 yang bakal disambut dalam keadaan sunyi. Perlahan dia mengeluh dengan sedikit rasa sesal. “Aku harap Kuala Lumpur tidak wujud di muka bumi ni,” bisiknya sayu dan kembali bermelankoli melihat drama yang penuh emosi hingga membuatkan airmatanya mengalir.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.