Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,825
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 6



Penghujung Tahun 2014, IstanaEstodania.

Permaisuri Isabella melangkah masuk dengan mendahulukan kaki kanan. Medicak telah diarahkan untuk menjaga Farihah. Hatinya masih kuat mengatakan bahawa Farihah bukanlah demam biasa. Cuma dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan kerana dia risau kelak dia menjatuhkan fitnah kepada anak didik Imam Syahriyan itu.

Di singgahsana, ada tiga kerusi ditempatkan. Setiap satunya akan diduduki oleh dirinya dan juga kedua-dua raja. Matanya hanya terpandang suaminya sahaja. Dia tidak melihat wujud raja bangsa jin di mana-mana sudut singgahsana. Kerusi yang dikhaskan untuk raja itu juga terlihat kosong.

"Assalamualaikum, kanda," ucap Permaisuri Isabella sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan suami kesayangannya itu. Tangan suaminya dikecup.

"Mana Aminuddin?" tanya Permaisuri Isabella sambil melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah kiri suaminya. Jubahnya yang labuh dikemaskan ke tepi kerusi.

"Saya di sini. Maaf, terlupa memunculkan diri dalam hijab Permaisuri," ujar Sultan Aminuddin. Suaranya kedengaran dari arah kerusi kosong yang terletak di sebelah kanan suaminya. Dengan penuh keajaiban, menjelmalah seorang lelaki yang tampak sebaya dengan suaminya, Sultan Iltizam. Sultan Aminuddin segak mengenakan busana sultan Melayu berwarna putih. Wujudnya seperti seorang manusia sempurna. Hanya bahagian alur hidungnya sahaja tidak ada jika dibandingkan dengan manusia.

Permaisuri Isabella masih kagum melihat kesaktian yang berlaku di hadapan matanya sebentar tadi walaupun dia sudah kerap kali menyaksikannya. Setiap kali ada pertemuan seperti ini, Sultan Aminuddin akan menjelmakan diri dalam hijabnya. Permaisuri Isabella semakin kagum dengan kekuasaan Allah.

Sesungguhnya, hijab dan ubah fizik adalah salah satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada bangsa jin. Sultan Aminuddin pula terpaksa mewujudkan dirinya di hadapan mata mereka berdua kerana sebagai manusia biasa, kemampuan Sultan Iltizam dan Permaisuri Isabella terbatas untuk melihat alam ghaib. Mereka hanya mampu melihat jelmaan-jelmaan yang diwujudkan oleh sahabat mereka dari alam sebelah itu. Begitulah cara mereka berkomunikasi. Perbezaan dimensi tidak membataskan persahabatan mereka. Demi menjaga kesucian Islam, Sultan Aminuddin dan suaminya bersetuju untuk meneruskan persahabatan demi menegakkan syiar Islam di bumi Nusantara itu.

"Tidak mengapa, Amin. Saya faham. Maaf menyusahkan kamu," ujar Permaisuri Isabella.

"Baiklah, memandangkan semua sudah ada di sini, kita boleh mulakan musyawarah," ujar Sultan Iltizam sambil menepuk-nepuk pahanya.

Sultan Aminuddin dan Permaisuri Isabella akur. Mereka merapatkan diri pada kerusi. Sultan Iltizam menekan beberapa punat yang terletak di lengan kanan kerusinya. Kemudian, ketiga-tiga kerusi mereka terpusing ke belakang perlahan-lahan sebelum terturun ke bawah, masuk ke dalam lantai. Layaknya seperti mereka sedang duduk di atas lif yang sedang menurun ke bawah.

Mereka dibawa ke satu ruang yang terletak di pusat istana yang betul-betul terletak di bawah singgahsana diraja. Ruang itu dilengkapi dengan teknologi-teknologi moden. Hiasan dalaman ruang itu jelas berbeza dengan bahagian atas istana yang lebih klasik dengan sentuhan-sentuhan budaya melayu lama.

Beberapa monitor komputer sedang terpasang menunjukkan statistik-statistik yang berkaitan dengan hal ehwal sosioekonomi Estodania dan Nusantara. Di bahagian tengah ruang itu, terhampar satu hologram kota Estodania yang jelas menunjukkan setiap rinci yang berlaku di Estodania saat itu secara langsung. Meja Replika. Di bahagian belakang ruang itu, tertulis satu mushaf yang dihadiahkan oleh salah seorang pendekar lama yang banyak membantu nenek moyang mereka menegakkan syiar Islam di Nusantara. Kalimah La Ilaha illallah jelas terpampang di hadapan mereka saat ini. Elevasi kerusi mereka berhenti di hadapan hologram kota Estodania. Bacaan ummul kitab memenuhi segenap ruang.

"Selamat datang amirul-amirul Islam semua," ujar suara mesin cerdas yang bertindak sebagai penjaga ruang rahsia tersebut sebaik sahaja bacaan Al-Fatihah selesai.

"Terima kasih NASA," ujar Sultan Iltizam lalu bangun dari kerusi menuju ke arah hologram Estodania di hadapannya. Langkahnya diikuti oleh Sultan Aminuddin dan Permaisuri Isabella.

"NASA, tunjukkan pesanan yang kita terima minggu lepas," titah Sultan Iltizam kepada mesin cerdas itu.

"Baik, tuanku," ujar NASA.

Hologram biru yang berada di hadapan mereka bertukar rupa. Relung-relung digital yang berwarna biru itu berombak-ombak membentuk peta Kepulauan Karimata yang terletak di bahagian timur laut Estodania. Hologram itu kemudiannya difokuskan ke bahagian mukim Kenyalang. Lebih tepat ke kawasan pinggir pantai berdekatan wilayah Islam paling agung di Kepulauan Karimata itu. Imej dihentikan apabila tampak satu jasad sedang merangkak keluar dari laut. Jasad tersebut merupakan seekor ular yang bertubuh manusia yang memiliki ekor ular sepanjang sepuluh meter. Makhluk itu memiliki tanduk yang melengkung seperti seekor kerbau. Sebaik sahaja tiba di daratan, jasad tersebut hilang.

"Itu adalah penampakan yang dilaporkan oleh naungan kita di Kepulauan Karimata. Rakaman yang sama dilaporkan oleh Esramudra. Mereka hanya sempat merakamkan imej tersebut sebelum sempat mengenal pasti gerangan yang muncul. Mungkin Amin boleh menerangkan siapa gerangan tadi," terang Sultan Iltizam. Semua mata terarah kepada Sultan Aminuddin.

"NASA cuba ulang main rakaman tadi," pinta Sultan Amin. Tangannya diletakkan ke atas meja yang menjadi tapak hologram itu.

Rakaman hologram dimainkan semula. Sultan Aminuddin menghentikannya saat imej ular berbadan manusia itu tampak sedikit jelas. Sudut pandang daripada atas itu diubah ke arah hadapan. Sultan Aminuddin membesarkan bahagian wajah ular tersebut. Telinganya terlihat runcing dan tanduknya bergulung sebanyak dua kali. Matanya berwarna biru seperti warna langit.

"Mandalika...," ujar Sultan Aminuddin.

"Mandalika? Legenda Pura?" tanya Permaisuri Isabella.

"Apa kaitannya dengan Pura, Insulendia?" tanya Sultan Iltizam pula. Suami isteri itu tidak memahami tema perbicaraan sahabat jin mereka itu.

"Saya sendiri tidak tahu apa perkaitannya dengan legenda Kepulauan Pura itu. Tetapi, penampakan tadi adalah Mandalika. Salah seorang jin tangguh yang membelakangkan ajaran Rasulullah," jawab Sultan Aminuddin.

"Adakah dia salah satu suruhan dari Ekrandia?" tanya Permasuri Isabella lagi.

"Maaf, saya tidak pasti tentang itu. Mandalika telah menghilangkan diri dari dunia manusia dan tidak pernah kelihatan lagi sejak seribu tahun yang lalu. Saya sendiri sudah lama tidak melihat wujud Mandalika ini," jawab Sultan Aminuddin.

"Sebentar. Kamu kata sebelum ini Mandalika pernah wujud dalam dunia manusia? Di mana?" tanya Sultan Iltizam pula. Sultan Amin sememangnya menjadi penerang mereka bagi musuh-musuh yang mereka tidak fahami dari alam jin ini.

"Saya tidak pasti. Setakat yang saya pernah dimaklumkan, di dunia manusia, Mandalika menjelma sebagai puteri yang sangat cantik. Kecantikannya telah menyebabkan perperangan sesama manusia yang tamak dan menurut hawa nafsu. Mereka cuba memperisterikannya. Diceritakan bahawa, Mandalika pernah memanggil semua raja-raja yang telah menghantar pinangan lalu menolak lamaran mereka serentak. Mandalika kemudian terjun ke dalam laut lalu menghilang sehingga ke hari ini," panjang lebar Sultan Amin menerangkan kisah Mandalika yang pernah dihikayatkan kepadanya oleh ayahandanya.

"Legenda Pura!" ujar Permaisuri Isabella sambil memetik jari.

"Tetapi, Mandalika yang saya kenal dahulu terlalu baik untuk melakukan kejahatan yang diagung-agungkan Ekrandia. Dia lebih suka menguruskan diri sendiri tanpa terikat dengan sebarang perintah. Bahkan ibunya sendiri dia tinggalkan kerana dia selalu dimarahi. Saya yakin dia tidak ada kaitan dengan Ekrandia," ujar Sultan Aminuddin lagi.

"Kamu tahu di mana kita boleh mencarinya?" tanya Sultan Iltizam pula.

"Sejujurnya tidak. Dia sudah terlalu lama hilang daripada radar kami," jawab Sultan Aminuddin.

"Mungkin ini waktunya kita menghubungi sahabat kita di Eswandia?" Permaisuri Isabella memberi cadangan dengan girang. Sultan Aminuddin menyembunyikan senyumannya. Dia tahu permaisuri tersebut sangat meminati keunikan bangsa Eswandia yang sangat memukau itu. Dunia fantasi yang hanya hadir dalam mimpi manusia.

"Terlalu awal untuk menghubungi mereka. Eswandia juga memiliki masalah negaranya yang tersendiri. Lebih molek jika kita menyiasatnya sendiri terlebih dahulu," Sultan Iltizam menolak cadangan isterinya. Raut wajah Permaisuri Isabella berubah hampa.

"Apa permasalahan yang timbul daripada penampakan ini Izam?" tanya Sultan Aminuddin. Kali ini semua mata terarah kepada Sultan Iltizam.

"Dia muncul pada saat pesawat yang membawa Farihah singgah di Kenyalang ini. Saya cuma risau jika ada yang tidak elok berlaku," ujar Sultan Iltizam.

"Sebut tentang Farihah, tadi saya telah menemuinya," sampuk Permaisuri Isabella.

"Lalu?" tanya Sultan Iltizam.

"Sepertinya ada sesuatu yang tidak kena dengan dia. Mungkin ada kaitan dengan Mandalika ini," jawab Permaisuri Isabella. Spekulasi dibuat tanpa mengetahui hakikat sebenar.

"Di mana dia sekarang?" tanya Sultan Aminuddin pula.

"Di kamar peraduannya. Saya sudah minta Medicak menjaganya," jawab Permaisuri Isabella lagi.

"Mari kita pergi melawat dia," ajak Sultan Iltizam. Kedua-duanya menurut. Mereka meninggalkan ruang rahsia itu seraya beriringan ke kamar peraduan Farihah.

Maka beriringanlah ketiga-tiga amirul Islam kota Estodania itu menuju ke kamar peraduan Farihah yang terletak di bahagian timur Istana. Konsultasi terhadap fuqaha baharu itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku. Langkah mereka terhenti di lorong yang menuju ke ruangan kamar Farihah. Masing-masing terkejut melihat kelibat yang berada di lorong tersebut.

 Masing-masing terkejut melihat kelibat yang berada di lorong tersebut

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan