Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,623
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 1


SELAMAT DATANG KE ESTODANIA.

Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama



Kota manusia dan jin hidup bersama, menyembah Allah, menjaga kesucian Islam, dan membina ketamadunan bersama. Ibarat menjejakkan kaki ke masa hadapan, kota ini diakui seperti utopia di dunia nyata. Dengan kecanggihan teknologi setinggi imaginasi, kota ini mampu merealisasikan semua mimpi yang ada. Apabila teknologi sudah pada tahap yang paling tinggi, semua yang diperlukan hanya di hujung jari termasuk keperluan ibadah. Kota ini yakin dapat memberi kemudahan kepada kedua-dua bangsa untuk mentauhidkan Allah. Selagi Islam menjadi sandaran, kota ini akan sentiasa aman. Jajahan takhluk dan pengaruhnya merangkumi seluruh rantau Nusantara. Setiap yang berlaku di Estodania, berlaku di Nusantara.

Namun, kejahatan tidak akan pernah diam jika yang haq sudah tinggi, batil akan datang mencela. Perancangan untuk meranapkan ketamadunan Estodania dimulakan. Bangsa jin bergabung dengan bangsa manusia, berperang sesama sendiri untuk menghancurkan Estodania kerana Estodania adalah pusat kuasa yang menghalang kejahatan mereka. Ingatlah! Kejahatan yang menang, pasti akan kalah. Selamat Datang ke Estodania, kota manusia dan jin tinggal bersama.

Tahun 2017, Kepulauan Karimata.

"ESTODANIA DILANDA MUSIBAH!"

Khabar gempar yang pernah mewujudkan kekacauan pada malam yang tenang di seluruh Nusantara. Sebelum khabar malang itu berkitaran di seluruh Nusantara, malam yang menjelma masih tenang seperti biasa. Seperti kelazimannya bayu berpuput di kampung pinggir laut, tenang dan sepoi-sepoi bahasa, menyebabkan keadaan laut tidak bergelora. Ketenangan laut yang sangat diimpikan oleh para nelayan.

Usai melaksanakan Solat Isyak berjemaah, para nelayan masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk mengumpul rezeki pada malam laut yang tenang dengan iringin bintang-bintang yang membanjiri langit malam kampung mereka, Kampung Pagung.

Kampung yang terletak di hujung Kepulauan Karimata itu menolak untuk menerima kecanggihan Estodania secara total. Anak-anak muda di kampung itu tidak ada pilihan lain selain daripada mengikut kehendak orang-orang tuanya yang bertegas menolak kebanjiran teknologi Estodania. Ayyan salah seorang daripada anak muda yang terpaksa akur dengan kehendak golongan orang tua di kampung itu. Tambahan pula, datuk yang menjaganya sejak kecil merupakan orang tua yang paling bertanggungjawab membataskan kecanggihan Estodania di kampung mereka.

Pada malam khabar malang itu dikhabarkan, seperti kebiasaannya Ayyan akan mengikuti datuknya, Imam Syahriyan untuk bertemu dengan ketua kampung mereka. Kelaziman malam yang dia perlu ikuti untuk mendapat kebenaran menyusuli anak-anak nelayan yang lain turun ke laut. Bezanya, pada malam ini, Imam Syahriyan tidak mengkhabarkan tujuan kedatangan mereka ke rumah ketua kampung mereka itu. Ayyan hanya menurut untuk memenuhi kehendak datuk yang disayanginya itu.

Ayyan masih ingat dengan jelas ketegangan yang berlaku di rumah ketua kampung mereka saat khabar malang itu disampaikan. Masing-masing tidak mampu menyembunyikan rasa terkejut yang merebak dengan pantas dalam jiwa mereka. Khabar itu jugalah yang telah mengubah resam hidup masyarakat yang bernaung di bawah kekuasaan Estodania.

"Tok Ketua! Tok Ketua...!" tergopoh-gapah Pak Ethihar berlari ke rumah Pak Ediris. Kebetulan pada masa itu, Ayyan sedang menemankan datuknya bertemu Pak Ediris.

"Estodania dilanda musibah!" lapor Pak Ethihar terketar-ketar.

Seisi rumah ketua kampung mereka terkejut bukan kepalang. Masing-masing terlopong mendengar khabar tersebut. Malam yang sebelumnya tenang berubah gundah sebaik sahaja perkhabaran tersebut diujarkan. Pak Ediris, ketua kampung mereka cuba mengawal reaksi mukanya yang sedikit kaget mendengar perkhabaran ini.

"Bagaimana mungkin?" tanya Pak Ediris.

"Halilintar liar menyerang kota sehingga semua musnah. Banyak pesawat marak disambar api." sambung Pak Ethihar. Nafasnya tercungap-cungap. Mungkin dia terpaksa berlarian pulang ke darat dari laut. Pakaian nelayannya masih belum diganti.

Pesawat? Faris! Jantung Ayyan berdegup kencang mendengar khabar yang dibawa oleh Pak Ethihar itu.

"Atok? Faris!" ujar Ayyan sambil memegang lengan datuknya, Imam Syahriyan. Imam hanya memandangnya tanpa senyuman. Galau jelas tergambar pada anak mata imam tua itu.

"Istighfar," balas Imam Syahriyan sambil menepuk-nepuk tangan Ayyan yang memegangnya.

Faris. Sahabat. Abang. Musuh. Ayyan juga sendiri tidak pasti gelaran apa yang boleh digunakan untuk menamakan keakrabannya bersama Faris yang membesar bersama-samanya itu. Yang pasti, khabar petaka yang melanda Estodania itu telah memaksa dia keluar meninggalkan kampung halamannya dan mengatur langkah seorang diri menelurusi alam yang dia tidak pernah jejaki hanya kerana sayang dan rasa bertanggungjawab kepada sahabat seperguruannya itu.

Faris yang telah terpilih menjadi salah seorang juruterbang diraja. Sudah pasti Faris akan menjadi pertahanan hadapan jika berlaku sebarang petaka di kota Estodania yang terkenal perkasa itu. Lebih malang bagi Ayyan apabila beberapa hari selepas berita musibah Estodania disampaikan oleh Pak Ethihar, ajal telah tiba menjemput Imam Syahriyan sehingga menyebabkan Ayyan hanya sebatang kara, tanpa keluarga. Hanya Faris sahaja yang dianggapnya sebagai keluarga sendiri. Alasan yang kukuh untuk memaksa dia berjalan meninggalkan kampung halaman sehingga akhirnya kini dia sedang berdiri menghadap Laut China Selatan, yang sangat jauh daripada kampung halamannya.

"Lindungi sahabatku Ya Allah." doa Ayyan lalu menutupkan matanya.

Nafas berat dilepaskan. Hembusan nafas itu sebenarnya adalah lambang keluhan yang disimpankan di dalam hati. Kelana seorang diri seperti ini sememangnya membosankan dan memenatkan. Rindu pada sahabatnya semakin menebal setiap kali dia memikirkan kelana sendirian yang dia lakukan.

Ayyan mendongak ke langit. Hamparan kelam malam disulami malap cahaya bulan mengitari pandangannya. Malam ini bintang kurang kelihatan tidak seperti biasa kelana Ayyan sebelum ini. Mungkin disebabkan kepulan awan yang memenuhi segenap sudut langit sejak maghrib tadi. Ayyan melihat jam tangannya. Kurang tiga minit masuk pukul sembilan. Masih jauh lagi perjalanan menuju ke Estodania.

"Faris, tunggu aku datang. Aku dalam perjalanan. Bertahanlah sahabat," ujar Ayyan perlahan lalu melepaskan hembusan nafas ringan.

Perjalanan menuju ke Estodania terpaksa direhatkan sebentar. Laut China Selatan yang kini terbentang luas di hadapannya menyebabkan dia buntu memikirkan cara untuk melintasi laut itu. Malam ini, dia terpaksa berhenti rehat di pinggir Belawai ini untuk memikirkan ilham menyeberang hamparan laut di hadapannya itu. Sepatutnya dia sudah berada di Tanah Emas sebulan yang lepas. Sepatutnya sekarang dia sudah hampir dengan Estodania yang terletak di penghujung Tanah Emas itu. Sepatutnya dia sudah hampir dengan sahabatnya, Faris. Setibanya di Tanah Emas, Ayyan hanya perlu berjumpa dengan Tok Kandek yang telah berjanji membawanya ke Estodania. Ayyan melabuhkan punggungnya di atas batu besar yang mengunjur ke arah selatan, mula mengimbau kembali kisah lama sebagai penguat semangat.

Estodania. Satu kerajaan muluk yang terletak di hujung tanah besar Asia. Kerajaan Estodania adalah antara kerajaan yang kaya dan paling kuat di rantau Nusantara ini. Kerajaan yang ditadbir oleh tiga pemerintah itu sudah lama menguasai perdagangan air dan udara. Faris, sahabat sepermainannya telah merantau lebih awal ke tanah serba moden itu demi mengejar cita-citanya. Faris yang berkulit sawo matang bermata bundar bercadang hendak menjadi juruterbang. Cita-citanya itu tidak mungkin dapat dicapai jika dia terus mendiamkan diri di tanah leluhurnya.

"Aku apabila besar nanti, aku ingin pandu pesawat seperti itu," ujar Faris sambil menunjukkan jari ke langit pada suatu hari ketika mereka sedang beristirahat di atas pasir pantai kampung mereka. Lima buah pesawat pemantau Kerajaan Estodania terbang melalui perkampungan mereka menuju ke arah utara.

"Kamu ingin jadi Lasykar Estodania?" tanya Ayyan.

"Ya. Kalau ingin memandu pesawat seperti itu, haruslah menjadi Lasykar Estodania bukan?" Faris berkata dengan yakin.

"Estodania jauh sangatlah Faris. Tidak mudah untuk ke sana!" ujar Ayyan.

"Ayyan. Sejauh-jauh Estodania, kakak kamu sudah sampai ke sana. Duduk menetap di sana sehingga beranak-pinak dan tidak pulang-pulang. Maksudnya, kota itu tidak sejauh yang kamu katakan!" ujar Faris membela niatnya.

Memang benar, kakak sulung Ayyan sudah hampir lima tahun meninggalkan kampung halaman kerana pergi merantau ke Estodania. Katanya, hendak berbakti kepada agama di sana. Kebetulan pada masa itu, Permaisuri Isabella sedang mencari fuqaha wanita yang boleh menjadi pendidik di Istana Estodania. Namun, selepas beberapa lama di perantauan, kakak sulungnya senyap tanpa mengirimkan sebarang berita. Entahkan bernyawa atau tidak. Walhal, awal kelananya, mereka selalu bertukar khabar.

"Kamu rasa Farihah masih hidup?" tanya Faris. Mata mereka masih dihalakan ke Laut Sulawesi. Kulit ranting kayu mati dikupas-kupas sebagai hiburan.

"Insya-Allah dia masih hidup. Selagi kami belum dikirimkan mayatnya, selagi itu dia masih hidup. Kita fikir yang baik-baik. Mengapa? Rindu?" ujar Ayyan.

"Sedikit." balas Faris sambil merebahkan dirinya di atas pasir. Tangan didepakan.

"Apakah kamu tidak rindu Farihah?" tanya Faris.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, Faris. Kakak sendiri. Satu-satunya keluarga kandung yang aku masih ada kini. Kita hanya mampu mengirimkan doa. Tidak terdetik lagi untuk pergi Estodania cari dia. Sebab aku yakin aku tidak mampu. Ilmu persilatan aku juga masih belum jaguh." jawab Ayyan sambil mematah-matahkan ranting bogel di tangannya. Lalu dia membaling-baling ranting itu ke pasir pantai.

"Kamu jangan rendah diri sangat, Ayyan. Kamu lebih hebat berbanding yang kamu bayangkan," Faris cuba memujuk Ayyan agar bersetuju ke Estodania.

"Hebat apanya, Faris! Bahkan dalam latihan aku tidak mampu menewaskan kamu, inikan pula menjadi Lasykar kerajaan agung seperti Estodania!" Ayyan mengambil segenggam pasir lalu membalingnya ke muka Faris.

BAYU dari Laut China Selatan membelai kulit Ayyan dengan lembut. Dia biarkan. Mindanya diteruskan menerawang jauh ke kisah-kisah yang lalu. Ketika Faris masih menjadi sahabat yang menemaninya menjala ikan di perkampungan mereka. Pada saat mereka saling beradu kekuatan bagi membuktikan persilatan siapa yang lebih ampuh. Sungguh saat itu dia rindu kepada sahabat sepermainannya itu. Dia dan Faris membesar bersama. Kedua-duanya merupakan anak jagaan Imam Syahriyan selepas kedua-dua ayah mereka terpaksa berkhidmat di Estodania. Hampir setiap hari, Faris menjadi rakan sembang bersama Farihah, kakaknya. Sehinggalah Faris meluahkan rasa cintanya kepada Farihah. Tindakan Faris itu menyebabkan Farihah mula mengasingkan diri daripada mereka lalu akhirnya memilih untuk merantau ke Estodania.

"Ayyan! Ayyan!!" suatu petang Faris bertempik memanggil namanya. Ada nada kegirangan pada suaranya. Ayyan ketika itu sedang menjahit pukatnya yang koyak. Duduk di atas batang pokok kelapa yang telah ditebang-tebang. Pukat di hadapannya diikat pada tiang-tiang kayu yang disusun rapat dan bersilang.

"Kamu ini kenapa terkinja-kinja seperti toyol terjumpa guli?" tanya Ayyan sebaik sahaja Faris tiba di sebelahnya. Faris hanya melemparkan senyuman sumbing seperti kanak-kanak yang diberikan permainan baharu.

"Macam mana kamu tahu toyol kalau terkinja macam aku buat tadi? Kamu pernah nampak toyol?" sakat Faris.

"Pernahlah. Dia ingin curi ikan aku." Ayyan berbohong.

"Sungguh? Bila?" Faris mula termakan dengan pembohongan Ayyan.

"Lupakanlah. Aku tipu. Ada khabar gembira apa kamu terkinja seperti ini?" Ayyan akhirnya berterus-terang. Dia malas meneruskan gurauan dengan Faris saat dia sedang fokus dengan pukat di tangannya itu. Tersilap jahit, kelak pukat itu tidak boleh digunakan.

"Baca!" Faris menghulurkan sehelai kertas berwarna emas yang digulung-gulung.

Ayyan membuka gulungan kertas tersebut. Ada tinta merah yang menghiasi kertas emas tersebut. Kertas berwarna emas seperti ini dia pernah nampak. Tampak kertas tersebut sama dengan kertas yang diterima Farihah ketika dia mendapat surat lantikan menjadi Fuqaha di Istana Estodania. Kertas berwarna emas ini tanda urusan diraja dan hanya surat-menyurat rasmi dari istana sahaja yang dibenarkan untuk dicetak di atas kertas seperti itu. Maksudnya, Faris juga mendapat lantikan untuk menjadi tenaga kerja di istana mega itu. Ayyan membaca satu-persatu perkataan yang dicatat menggunakan tinta merah. Jemputan Kadet Juruterbang Diraja.

"Tahniah Faris. Akhirnya tercapai juga impian kamu untuk memandu pesawat Estodania," ujar Ayyan. Suram.

"Hanya itu reaksi kamu?" rungut Faris, kecewa. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Ayyan.

"Jadi? Kamu ingin aku umumkan sekampung?" sinis Ayyan menuturkan ujarannya.

"Kalau kamu tidak keberatan melakukannya, tiada masalah. Dipersilakan dengan segala hormatnya!" Faris merampas kembali surat tawaran di tangan Ayyan. Bibirnya mengukir senyuman.

"Kamu tidak gembira dengan khabar ini, Ayyan?" tanya Faris. Senyuman di wajahnya mulai pudar.

"Yang dapat kerja itu kamu, bukan aku. Aku tumpang bahagia," jawab Ayyan. Dia mengukir senyuman tawar.

"Silap kamu sendiri! Atok sudah berulang kali pujuk kamu isi borang permohonan! Kamu yang bongkak! Tidak mahu." bentak Faris. Ayyan memandangnya.

"Tidak berminat!" jawab Ayyan pendek lalu menyambung kerjanya semula.

"Tidak mengapalah Faris. Kamu pergi kejar impian kamu. Cari Farihah dan ayah kamu," sambung Ayyan. Tangannya masih rancak menjahit mana-mana bahagian pukat yang koyak. Hanya ada sedikit lagi yang perlu dijahit selepas hampir sejam duduk di pinggir pantai tersebut.

"Kelak, kalau ada pengambilan baru, kamu jangan lupa pohon. Boleh kita tinggal sama-sama lagi," ujar Faris.

"Insya-Allah.Tetapi, sebenarnya aku malas tinggalkan kampung ini. Aku ingin berbakti kepada Atok! Jaga Atok sehingga ajal dia tiba. Dengan hilangnya Farihah tanpa khabar, kelak kalau aku menyusul, tiada sesiapa yang jaga Atok. Kamu pula, jangan hilang seperti Farihah," ujar Ayyan. Faris tergelak.

"Kalau hilang sekalipun, hilang bersama cinta hati. Sehidup semati," balas Faris.

"Kepala otak kau!" bentak Ayyan. Cobang pukat diketuk ringan ke dahi Faris.

"Nauzubillah Min Zalik, kalau ada apa-apa buruk yang berlaku, susuli kami ke Estodania. Siapa tahu suatu hari nanti, kota raksasa itu diserang garuda." senda Faris.

"Malas!"

AYYAN melepaskan nafas berat. Permintaan Faris itulah yang mendorong dia meninggalkan kampung halaman. Lagipun, datuk yang dia sayangi telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia tanpa sebab. Tiba-tiba sahaja datuknya itu terlentok rebah ketika mereka sedang bersembang di pangkin rumah. Usai dikebumikan, Pak Ediris menyampaikan amanat datuknya. Dia diminta ke Estodania mencari Faris dan Farihah. Pak Ediris jugalah yang memaklumkan bahawa dia perlu mencari Tok Kandek di Tanah Emas terlebih dahulu. Pak Ediris menyatakan bahawa Tok Kandek akan membantunya menjejaki Faris kelak.

Ayyan bangun dari batu tempat dia duduk. Kaki diatur ke kawasan berpasir, menongkah air laut. Ayyan mengambil air wuduk lalu mendirikan solat Isyak dan dilanjutkan dengan sedikit zikir pada wiridnya. Sekadar untuk memohon perlindungan dan bantuan daripada Yang Maha Khaliq. Sesungguhnya, perjalanannya ke Tanah Emas tidak semudah yang dia sangkakan. Selepas jatuhnya empayar gagah Estodania, seluruh Nusantara seperti dilanda malapetaka sehingga hampir semua teknologi yang mereka miliki tidak berfungsi sama sekali.

Selesai memuji-muji Allah Yang Maha Khaliq, Ayyan menyediakan ruang pembaringannya di atas pasir pantai lalu kembali termenung menyambung imbasan kisah-kisah yang memaksa dia memulakan kelana ini. Pandangan dipancarkan ke perut langit. Gelap.

Tiba-tiba, pokok rhu yang berhampiran dengannya diketuk dengan kuat. Bunyi ketukan itu seolah-olah ingin merebahkan pokok tersebut.

"Siapa itu?" tanya Ayyan. Senyap. Tiada sebarang jawapan. Bunyi ketukan yang mengganas tadi juga diam.

Usikan alam sebelah mungkin. Gumam hati Ayyan. Dia membaringkan dirinya semula.

"Ayyan!!" satu suara bertempik kuat kedengaran dari arah pokok rhu tersebut sehingga menyebabkan Ayyan terkejut. Dia bingkas bangun lalu menghampiri pokok itu. Tiada sesiapa. Hanya kelam malam dan bunyi deruan ombak yang kedengaran.

"Siapa di sana? Jangan bercanda wahai makhluk Allah" ujar Ayyan cuba memberanikan diri sendiri. Masih tiada jawapan yang kedengaran.

"Jika ada sebarang masalah, mohon tampilkan diri. Saya bantu setakat mampu," ujar Ayyan lagi. Masih tiada jawapan yang diberikan. Ayyan membawa matanya memerhatikan segenap sudut yang mengelilingi saat itu.

Dalam kepekatan malam itu, Ayyan dapat melihat gelojak air laut mula bertukar warna. Daripada warna hitam kelam, rona-rona cahaya biru mula kelihatan. Kocak air semakin deras dan meninggi sehingga membentuk satu jasad.

Masya-Allah! Muslihat apa pula yang dikirimkan oleh Pawang Benayat kali ini. Bungkam Ayyan. Pencak kakinya mula dipasak. Otaknya segera dikerahkan untuk mengingat kembali bunga-bunga silat yang selalu dipelajarinya bersama Faris. Imam Syahriyan yang banyak mengajar mereka supaya lebih mahir dalam bersilat. Dia sedar, malamnya kali ini tidak akan setenang yang dia harapkan.

Pertempuran dengan alam sebelah akan bermula sebentar sahaja lagi. Walaupun luka di bahu kanannya masih belum kebah, dia akan cuba untuk bertarung sekudrat tenaga. Dia harus menang kerana dia harus hidup. Jika dia mati, bagaimana dia hendak menyusul Faris di Estodania.

Walaupun warisan peninggalan Imam Syahriyan masih belum dikuasai dengan sempurna, dia harus mencuba untuk menang dalam pertarungan malam ini. Tidak boleh mati.

 Tidak boleh mati

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: PROLOG2
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan