Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 29

29

EEEII... geramnya!” gerutu Tengku Sarah. Panas hatinya. Serasa mahu dilempar sahaja telefon bimbitnya itu.

“Kenapa ni along? Marah-marah tak tentu pasal?”

Tengku Sarah melontar pandang ke arah seorang jejaka yang sedang menghayun langkah menghampirinya. Tanpa menunggu pelawaannya, jejaka itu mengambil tempat di atas kerusi yang terletak di depannya.

“Cubalah kau fikir, Reza, macam mana along tak marah? Anak saudara kau ni sengaja nak menyakitkan hati along. Sengaja nak naikkan tekanan darah along kau ni hah!” Dia mula mengadu kepada Reza.

“Jib?”

“Eh, kau ni! Siapa lagi kalau bukan dia? Kan dia tu anak tunggal along?”

Tengku Reza terkerisin. Sudah tentulah dia arif benar bahawa anak kakaknya hanya Tengku Najib seorang. Anak tunggal yang dimanjai keluarga. Dia sebenarnya hanya bergurau dengan niat untuk meredakan api kemarahan yang sedang membakar hati Tengku Sarah.

“Heheheh....” Tengku Reza tergelak kecil. “Reza gurau-gurau aje. Hmm... apa masalah si Jib tu sampaikan along marah-marah macam ni?” soalnya ingin tahu.

“Nasib baik kau ada, Reza. Dapat jugak along mengadu untuk redakan perasaan along ni,” ujar Tengku Sarah perlahan.

Tengku Reza tersenyum sinis ke arah kakaknya. Namun, sudah tentulah Tengku Sarah tidak mampu menilai sinis senyuman yang dilemparkannya. Dia yang selama ini hanya dipandang sebelah mata oleh Tengku Sarah, pernah dianggap sebagai adik yang tidak berguna dan tidak pernah diambilkira sebarang pendapatnya, tiba-tiba sahaja menjadi orang yang begitu penting dalam hidup perempuan itu.

Dulu, kewujudannya dalam keluarga sentiasa tersembunyi di sebalik bayang-bayang abang ngahnya iaitu Tengku Amirul. Kini, setelah Tengku Amirul merengkok dalam penjara barulah kehadiran Tengku Reza dalam keluarga itu disedari.

Sebagai orang yang dipinggirkan, kadang-kadang dia terasa hati juga dengan mereka. Muncul keinginan untuk pergi jauh dari keluarganya sendiri, membawa diri ataupun bersembunyi di hujung dunia. Tetapi kini setelah dirinya tiba-tiba sahaja menjadi penting dalam keluarga itu, dia mengambil keputusan untuk tidak melangkah pergi. Mungkin bukan sekarang!

Apa-apapun hanya Tengku Sarah dan Tengku Amirul sahajalah keluarga yang dia ada kini setelah ayah dan ibu mereka meninggal dunia dalam satu kemalangan trajis ketika pulang dari bercuti di Cameron Highlands lima tahun lalu. Kecuali dengan arwah ibunya, dia tidak pernah rapat dengan mana-mana ahli keluarganya hatta dengan arwah ayahnya sendiri. Mungkin kerana darah yang mengalir di dalam venanya selama ini diragui oleh arwah ayahnya.

Mungkinkah kerana tampangnya yang berbeza benar kalau hendak dibandingkan dengan along serta abang ngahnya? Mungkinkah kerana kulitnya yang lebih gelap daripada kedua-dua mereka maka arwah ayahnya menganggap bahawa anaknya yang seorang ini bukanlah benih yang dicambahkan ke rahim ibunya, Tengku Maimunah?

Pedih, perit rasanya hati apabila dipinggirkan keluarga sendiri. Lebih perit lagi apabila memikirkan bahawa di dalam dirinya mengalir darah yang asing daripada along serta abang ngahnya. Disebabkan itulah maka dia dipinggirkan dan juga sengaja meminggirkan dirinya sendiri.

Hanya Tengku Maimunah yang tahu jawapan kepada semua persoalan itu. Tetapi masalahnya, Tengku Maimunah telah lama mati. Dan, persoalan itu akhirnya kekal sebagai sebuah tanda soal. Lalu dia mengambil keputusan untuk menguburkan segala persoalan yang bergelung di fikirannya tentang ketulenan asal usulnya, sebagaimana jasad ibunya yang kini telah dikuburkan di alam yang kekal abadi.

“Along rasa dia masih teruskan hubungannya dengan budak perempuan tu!” Tengku Sarah mula bercerita.

Dia mengambil beberapa saat untuk mengalih perhatiannya daripada memikirkan tentang asal usul diri yang menjadi tanda tanya, lalu memfokus pula ke arah masalah yang kini sedang membadai keluarga Tengku Sarah.

Annessa! Kalau tak silap aku itulah nama ‘budak perempuan’ yang kini mengganggu ketenteraman jiwa along.

“Mungkin jugak tu hanya perasaan along aje. Mungkin betul Jib dah tak berkawan lagi dengan siapa namanya budak tu, long?” Dia buat-buat lupa nama Annessa.

“Ah! Malas along nak sebut nama dia. Menyampah!” hempuk Tengku Sarah.

Tengku Reza tersenyum nipis. Dulu pun kau pernah menyampah dengan aku kan, long? Sebabnya hanya satu - kulit aku yang gelap ni! Yang tak sama rona dengan kulit yang menyalut daging serta tulang belulang kau dan abang ngah. Sekarang ni, rasa menyampah kau dah berpindah arah pula ke arah pasangan kembar yang telah menyebabkan adik kesayangan kau tu merengkok dalam penjara untuk satu tempoh yang panjang.

Padan muka kau long! Dulu kau pernah kata aku ni, sampah. Sekarang tahulah kau siapa sebenarnya yang sampah dalam keluarga kita. Atau, kau masih tak menyedari hakikat itu, along kusayang?

“Okey... Reza takkan sebut nama budak perempuan yang dah buat along menyampah tu. Sekarang ni Reza nak tanya, Jib kenapa tak balik lagi?”

“Isy, nilah yang buat along marah. Dia kata nak tumpang tidur kat rumah sewa kawan dia. Entah iye entah tak. Entah-entah dia sibuk dating dengan budak perempuan tu!”

“Tak baik tuduh yang bukan-bukan pada perkara yang kita tak nampak, long. Mungkin Jib ada hal lain agaknya, tulah sebabnya dia terpaksa bermalam di rumah kawannya malam ni. Tengoklah macam mana, mungkin esok Reza buat spot check kat Shah Alam. Dahlah long, jangan risau. Reza percaya Jib takkan buat hal yang along tak suka.” Dia merasionalkan fikiran Tengku Sarah.

Akhirnya, seulas senyuman nipis tersungging di bibir Tengku Sarah. Ketegangan mula kendur dari riak wajahnya.

“Lega sikit hati along dengar kata-kata kau ni, Reza. Terima kasih ajelah sebab sudi dengar masalah along ye.”

“Sama-sama kasih, along.”

“Eh, kau nak ke mana pulak tu?”

“Malam masih muda, along. Takkan nak memerap kat rumah aje. Reza pinjam kereta along ye. Dah janji dan jumpa kawan kat luar.” Getusnya sambil melangkah pantas meninggalkan Tengku Sarah melayan perasaannya.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.