Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 16
Terungkai


"Jom, masuk tunggu kat dalam", ajak Azam sambil tangannya menunjuk balai berlepas. Al Hadi mengangguk dan bangun. Berjalan menarik luggage. Mereka jalan beriringan. Al Hadi masih memandang seorang wanita persis Sarah sedang duduk membaca buku. Di sebelahnya ada seorang kanak-kanak berusia lingkungan dua tahun sedang bermain anak patung. Tersirap darahnya. Sesak nafas tiba-tiba. Tapi belum sempat, dia mahu ke sana, wanita itu bangun dan pergi dengan terburu-buru sambil mendukung kanak-kanak itu. Ya Allah, Sarahkah itu? Al Hadi kecewa, dia tidak sempat mahu mengejar. Dia perlu ke Singapura.


Semasa conference berlangsung, Al Hadi cuba fokus, walaupun kepalanya masih di Malaysia. Fikirannya masih melayang teringat wanita tadi. Sungguh, dia sangat merindui Sarah. Ya, keluarganya menggalakkan dia berkahwin baru. Biarkan sahaja Sarah hilang begitu. Masakan lelaki boleh hidup tanpa wanita di sisinya sekian lama. Argh, pasti boleh saja. Jika kita terlalu sibuk dengan hidup dan kerjaya, kita tiada ruang mahu rasa sunyi dan kosong. Sungguh, begitulah selama ini dia mengisi kekosongan jiwanya. Pergi majlis ilmu, pergi masjid, balik lewat dari pejabat, hujung minggu pula menghabiskan masa dengan rakan-rakan yang sama minat dengannya.


Selepas pulang dari Singapura, Al Hadi mencari-cari wanita itu. Mana tahu terjumpa. Jika benar itu Sarah, adakah kanak-kanak perempuan itu anaknya? Tega sungguh Sarah melarikan diri darinya, malah merahsiakan kewujudan anaknya. Tiba-tiba Al Hadi rasa marah. Rasa sangat geram dan kecewa dengan Sarah. Luka-luka lama mula berdarah. Di manakah Sarah? 


Al Hadi tidak tenteram. Pusing kanan susah. Pusing kiri susah. Dia susah melelapkan mata. Sudah beberapa hari semenjak terserempak dengan wanita persis Sarah, dirinya tidak keruan. Lantas dia bangun, mengambil wudhu' kemudian terus solat sunat. Al Hadi berdoa Allah memberi ketenangan kepada dirinya. Dia berdoa, Allah menjaga Sarah walau di mana dia berada. Dia berdoa, Allah memudahkan urusannya dan dapat menemui Sarah. Airmatanya mengalir. Dia adalah lelaki yang sukar menangis. Bukan lelaki yang mudah menangis. Semasa ibunya meninggal dunia pun dia tidak menangis sehingga selesai dikebumikan, barulah dia sebak di saat, abangnya memeluk dia dan memberitahu supaya saling menjaga hubungan mereka adik-beradik.


Namun, gara-gara Sarah, akhirnya dia menangis jua. Hanya Allah yang tahu risaunya dia apabila Sarah tidak pernah menghubunginya. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya dia, saat dia tahu Sarah sengaja tidak mahu menghubunginya dan mahu menjauhkan diri. Selesai dia berdoa, dia membuka Al Quran pula. Membaca ayat-ayat Allah memang menenangkan hatinya. Benarlah, sebaik-baik motivasi untuk terus hidup saat diuji adalah Al Quran. Al Hadi, akhirnya terlelap semasa membaca Al Quran sambil bersandar ke dinding.


Dia terjaga, saat jam smartphonenya berbunyi pada pukul 5.30 pagi. Al Hadi terus mandi dan ke masjid. Saat Sarah masih ada, dia pernah berjanji mahu solat subuh berjemaah setiap hari. Kata Sarah, sebagai suami, dia perlu jadi lebih kuat ibadahnya, ilmunya, imannya, kerana suami adalah pemimpin. Sebaik-baik motivasi pemimpin, bangun awal dan solat subuh di masjid, inshaAllah satu hari dia akan baik dan lancar. Terbayang-bayang Sarah bercakap bait-bait ayat itu. 


Selesai pulang dari masjid, Al Hadi terus bersiap untuk ke pejabat. Namun, Al Hadi perlu singgah di pejabat klien untuk menghantar proposal di Petaling Jaya. Lebih kurang pukul 11 pagi baru sampai di Bangsar South. Al Hadi, singgah di Secret Recipi, Bangsar South, mahu makan pagi seterusnya tengahari. Sudah lama tidak makan, teringin pula.


Selepas memakir keretanya di tepi jalan, Al Hadi berjalan menuju ke pintu dan membukanya. Seorang kanak-kanak menarik seluarnya. Al Hadi tunduk dan senyum. Kemudian mendukungnya. "Maaf encik, anak saya mengganggu", tegur seorang wanita sambil mengambil anaknya. Al Hadi tergamam melihat wanita itu.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham