Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
81,154
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

10

“JU, nanti lepas balik ofis, datang rumah mama sekejap. Mama nak tunjuk barang hantaran sama ada Ju suka atau tak.”

Fail di tangan terlepas. Langkahku terhenti kaku.

“Julianna!” Suara Encik Zulhaimi menegurku. Aku lihat dia cepat-cepat membantuku mengambil fail yang terjatuh dan menyerahkannya kepadaku. “Lain kali hati-hati,” ujar lelaki yang berumur dalam lingkungan 50-an itu dengan senyuman manis sebelum meninggalkan aku terpinga-pinga di situ.

Thanks,” ucapku masih mamai dengan apa yang sedang berlaku.

“Ju!” Suara Mama Hamidah menegurku kembali di corong telefon. “Kenapa, Ju? Ju okey?”

Aku dibawa kembali ke alam nyata. “Okey, ma. Ju... Ju okey. Mama cakap apa tadi?”

“Inilah dia kalau tak fokus apa yang mama cakap. Mama cakap tadi, lepas balik kerja hari ni, datang rumah mama. Mama nak tunjukkan barang-barang hantaran pada Ju.”

“Hah? Hari ni?”

“Ya, hari ni. Kita dah tak ada masa lagi ni. Lagi cepat kita selesai barang-barang hantaran ni, lagi senang fikiran mama. Datang ya, mama tunggu!”

“Ma, Ju...” Aku terdiam. Talian diputuskan begitu sahaja. Wanita itu memang tidak suka berlengah dan juga tidak suka mendengar perkataan ‘tidak’. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian aku lepaskan helah begitu sahaja. Nampaknya, mesyuarat bersama staf terpaksa aku tangguhkan hingga hari esok. Petang ini aku harus ke rumah mama.

Sudah acap kali Rizan mengajak aku ke rumahnya. Tetapi pelbagai alasan aku berikan. Semuanya kerana aku enggan bertemu dengan abangnya yang baru pulang itu. Aku tidak mahu. Aku tidak mahu bertemu dengannya sekurang-kurangnya sehingga hari pertunangan aku dengan Rizan. Ini tidak boleh berlaku! Bukan sekarang masanya.

“Rizan, mama you suruh I datang rumah. Tengok barang-barang hantaran. Kenapa hari ni?” keluhku pada Rizan di hujung talian.

“Mama call ke?”

“Ya!” dengusku keras tapi perlahan.

“Selama ni kalau mama callyou, tak pernah pun you mengeluh kat I. Sekarang ni dia call suruh you tengok barang-barang hantaran, maknanya urgentlah tu! Pergilah... sekejap saja pun,” pujuknya.

Aku terkedu. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.

“I trybalik awal. I jumpa you kat rumah, okey? Malam ni kita dinner sama-sama dengan Abang Megat.”

Oh, tidak! Bukan dengan abangnya yang sombong, angkuh itu. “Okay, fine. I jumpa mama you kat rumah. I tunggu you sampai you balik. Tapi I tak boleh dinner dengan you sebab I dah janji dengan abah dan mama I nak kena bawa dia orang pergi beli barang,” dengusku pantas dengan perasaan tidak senang hati namun aku akur juga dengan permintaan mereka. Mujur idea untuk pulang awal kerana abah dan mama datang spontan.

“Oke... okey... okey... tapi janji dengan I, tunggu I balik sebelum you balik, boleh?” Lelaki ini tetap cuba memancing aku biarpun dalam keadaan moodku yang tidak baik.

Aku terpaksa mengalah. Bukankah dia juga bakal suamiku nanti? “Ya! Tapi lepas maghrib, I balik. You ada atau tidak, I tetap kena balik.”

Fine!” Kemudian aku terdengar tawa kecilnya di hujung talian.

Okay, I’ll see you!

Dan kami sama-sama mematikan talian kami.

Aku menarik nafas sedalam yang boleh. Aku harus berani dengan apa yang berlaku nanti. Aku terasa pelik tiba-tiba. Kenapa aku perlu jadi berani sedangkan tiada apa yang harus aku takutkan? Apa yang membuatkan diriku enggan menjejak masuk ke rumah itu? Apa yang aku takutkan sebenarnya?

Megatkah? Megat hanya sekadar kenangan lama. Itu pun bagai bayangan silam untukku. Aku bakal bertunang dengan adiknya dan dia juga sudah berumah tangga, jadi apa lagi yang aku gentarkan untuk berhadapan dengannya? Segala-galanya akan baik-baik sahaja. Segala-galanya pasti biasa-biasa sahaja. Enam tahun sudah berlalu. Dia dah berubah dan aku juga sudah berubah. Dia sudah tiada lagi dalam kamus hidupku.

Aku terus melangkah menuju ke bilik kerjaku kembali dengan fikiran kosong. Tiba-tiba entah mana datangnya satu suara di benak fikiran menyoal kembali kenyataan yang telah aku katakan. Adakah benar sememangnya dia tidak ada lagi di dalam kamus hidupku?

SEBAIK jarum jam menunjukkan ke pukul 5.00 petang, aku bergegas mengemas meja. Hanya aku seorang sahaja yang beria-ia pulang, sedangkan yang lain masih tekun bekerja.

Lebih kurang setengah jam kemudian aku tiba di rumah besar orang tua Rizan. Suasana sekeliling begitu sepi tatkala aku melangkah masuk. Tiada sesiapa di sini.

“Assalamualaikum. Mama!” laungku separuh lantang.

Sepi.

Aku masuk sahaja biarpun tiada sesiapa yang kelihatan. Bukan tidak biasa melangkah masuk ke rumah itu tanpa dijemput, tetapi hubungan aku dengan keluarga mereka selama ini menjadikan aku terbiasa keluar masuk seolah-olah rumah ini adalah rumah keduaku. “Mama? Ju dah sampai,” laungku sekali lagi.

Bila melihat tiada siapa yang menyambut ketibaanku, aku terus menuju ke dapur dengan harapan untuk menemui mama ataupun mak Yam atau sesiapa sahaja. “Mama! Mak Yam!” laungku bila aku terus menuju ke dapur. Pembantu rumah itu pasti ada di sana. “Mak Yam! Ju ni,” ujarku.

Sepi juga. Tiada sesiapakah di rumah ini? Bukankah aku disuruh datang ke mari? Takkanlah sesiapa pun tidak tahu menahu langsung bahawa aku datang ke sini atas permintaan mama?

Sebaik aku tiba di ruang dapur rumah ini, entah kenapa inilah kali pertama aku terbau aroma yang cukup berbeza dari hari-hari biasa. Aroma wangi dan manis dan sudah tentu aroma yang membuka seleraku. Sedapnya. Perutku mula berkeroncong sedikit. Lapar. Tiada apa-apa di dapur yang boleh aku sumbat ke perut sementara menunggu makan malam. Aku mengambil sebiji gelas dan membawa ke peti ais dengan harapan untuk membasuh tekak dengan jus ataupun minuman sejuk.

Sebaik membuka pintu peti ais, alangkah terujanya aku bila melihat dua biji kek yang sederhana besar berada di hadapan mata. Seperti memanggil-manggil untuk aku merasa kesedapannya, perutku kembali berkeroncong. Mungkin inilah aroma yang aku hidu sebentar tadi. Pasti kek ini lazat. Dihiasi pula dengan buah stroberi segar menjadikan aku sudah tidak sabar untuk merasakannya.

Aku mencuit sedikit krim kek tersebut dengan jari telunjuk lalu menyua masuk ke dalam mulut. Sebaik krim kek bertemu lidahku, aduh... Aku mula tidak keruan. Sedap sekali. Lebih sedap dari apa yang pernah aku rasa dan lebih sedap yang pernah aku beli di mana-mana kedai.

Dari manakah kek ini datang? Kenapa baru hari ini sahaja mama ada kek sesedap ini di peti sejuknya? Aku cuit lagi sedikit krim itu. Mungkin sepotong kek ini mampu mengalas perutku. Mungkin tidak mengapa jika aku mengambil sepotong darinya. Mama takkan marah, jauh sekali papa. Biarpun masih bersisa di jari, aku masih mampu merasa kesedapannya seolah kelazatan kek tersebut sudah melekat di hujung jariku.

Sebaik aku berdiri tegak untuk mencari sebilah pisau, aku hampir menjerit bila sekujur tubuh berada di belakangku. Aku terpegun. Jantungku berdegup kencang. Aku masih ingat wajahnya itu dan wajahnya itu masih serupa dengan apa yang aku tatap saat ini.

Dia merenung tajam.

Aku masih merenungi dirinya. Seperti dipukau, aku masih berdiri tidak berganjak. Tatkala pandangannya jatuh ke bibirku, ketika itulah kami mula tersedar dan aku pula yang masih menghisap jariku bagaikan anak kecil. Aduh! Malunya.

“Apa kau dah buat dengan kek aku ni?!” Dia bertanya. Suara kasar. Dia membuka pintu peti ais lebar. Terkejut. Dia kembali memandangku. “Kau buat apa dengan kek ni?!”

Ya, suara itu sama seperti yang ada dalam ingatanku, di dalam mimpiku. Tidak berubah, tidak pernah berbeza dari dulu. Sama. Segala-galanya masih sama.

“Aku tanya dengan patung ke?!” jerkahnya kepadaku.

Mulutku seakan-akan terkunci.

Wajahnya berubah. “Kau makan kek ni tanpa minta izin tuan rumah.”

Kali pertama bertemu selepas enam tahun, perasaanku masih begini. Biarpun aku bakal menjadi tunangan orang, kenapa masih ada debaran tetap sama seperti dulu?

Dia kembali merenungku. “Kau! Aku tanya, kau makan kek tanpa minta izin tuan rumah? Kau ingat rumah ni, rumah siapa?”

Aku paksa diriku memberi respons kepadanya. “Saya tak tahu kek ni ada orang yang punya.”

Matanya terjegil memandangku. Dia semakin marah. “Kau ingat kek ni saja-saja ada di rumah?! Tak ada orang yang punya?!”

Aku terdiam. Mulut bagai ditampal plaster!

Dia menjengahkan wajahnya menghampiri kek-kek di dalam peti ais. Aku dan dia semakin dekat. Bauan minyak wangi di tubuh begitu semerbak sekali. Sesuatu yang sedikit keras, tetapi masih berbau lembut di hidungku. Ya ALLAH, betapa mudahnya tarikan ini biarpun sekadar tubuh beraromakan minyak wangi.

“Ju minta maaf. Ju tak tahu,” ujarku takut-takut.

Dia diam. Kemudian memandangku tajam sebelum mengeluarkan kek yang telah aku usik krimnya dan membawanya ke atas meja dapur. “Next time, tanya dulu sebelum pandai-pandai nak usik hak orang!” Dia lantas beredar ke kabinet pinggan mangkuk.

Aku diam sahaja. Hanya kami berdua di situ. Dan aku tetap seperti patung, berdiri tanpa berganjak. Dia membawa piring dan sudu kecil dan meletakkannya di sisi kek. Kemudian dia memandangku. Entah berapa lama kami berpandangan sebegitu, sebelum dia meninggalkan aku keseorangan.

ALLAHUAKBAR! Apa yang sedang berlaku pada diriku? Kenapa dengan diriku? Apa tujuan dia mengeluarkan piring dan sudu di atas meja? Kenapa dia mengeluarkan kek ini? Siapa yang mahu makan? Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Bukan, ini semua bukan untukku. Aku melangkah ke singki lantas segera membasuh tanganku.

“Ju? Ju dah sampai rupanya.” Suara Mama Hamidah kedengaran ceria di dapur.

Aku terkejut lantas menoleh. Aku membalas senyumannya. “Baru jugak.”

Matanya meleret ke atas meja. “Siapa punya kek ni? Siapa nak makan?”

Aku terdiam. Menutup pulas air dan mengelap tanganku dengan tuala kecil yang tersedia. Aku pura-pura tidak tahu.

“Jom, Ju. Mama nak tunjuk gambar-gambar barang hantaran yang butik pinjamkan pada mama. Mama nak Ju tengok mana yang sesuai untuk hari bertunang nanti,” ujar Mama Hamidah lalu hilang di sebalik pintu dapur.

“Okey, ma,” ujarku. Mataku meleret kembali ke sebiji kek di atas meja. Cuba meredakan degupan jantung ini, cuba membuang ingatan terhadap apa yang baru berlaku. Mampukah aku?

SETIAP detik yang berlaku membuatkan aku semakin sukar untuk fokus tentang apa yang Mama Hamidah sedang tunjukkan dan bicaranya kepadaku bila dia mundar-mandir di ruangan yang sama denganku. Aku tidak mampu fokus bila mataku asyik mencuri pandang ke arah dirinya. Cara dia berjalan, cara dia mengamati kertas di tangannya, cara dia berbicara di telefon bimbitnya, cara dia menguak rambut seperti melepaskan tekanan kerja, cara dia memegang sebatang pen di jarinya dan sekali itu mata kami bertentangan secara tidak sengaja, semuanya membuatkan aku lemas!

Belum termasuk jantungku berdegup kencang sejak dia menyergah aku di hadapan peti sejuk dapur rumahnya. Aku lebih rela ditelan bumi dari terus-terusan berada di sini. Bicara Mama Hamidah ketika ini bagai angin lalu. Aku sudah hilang dalam duniaku sendiri yang mana hanya ada lelaki itu sahaja. Ini semua tidak boleh berlaku!

Kenapa dengan aku ini? Astaghfirullahalazim.

“Assalamualaikum.” Suara Rizan di ambang pintu.

Aku dan Mama Hamidah segera menjawab salam tersebut. Senyuman Rizan melebar bila melihat aku. “Lama sampai?” tanya dia kepadaku.

“Dah nak balik pun,” balasku acuh tak acuh.

Kenapa mesti ada perasaan sebegini terhadap bakal tunanganku? Kenapa aku tidak senang dengan Rizan tiba-tiba? Malah paling ketara, kehadiran Rizan tidak sedikitpun mampu menggetarkan perasaan? Aku renung seketika di hadapanku, seolah-olah pura-pura membelek gambar-gambar yang Mama Hamidah tunjukkan kepadaku.

“Helo, sayang.” Suara Megat kedengaran sedikit lantang, memecahkan keheningan saat itu. Mencuit perasaanku dengan perkataan keramat tersebut.

Sayang? Dengan siapa sayangnya itu? Oh, bukankah dia sudah berkahwin? Sudah tentu sayangnya itu untuk isteri. Dia kelihatan sangat ceria. Inikah kali pertama aku melihat wajah kegembiraannya sepanjang aku kenal dengannya. Sudah tentu panggilan tersebut dari isteri yang dicintainya. Sudah tentu kegembiraan yang terpancar di wajahnya untuk isteri yang disayanginya.

Aku perlu keluar dari sini!

“Mama, Ju minta diri dulu. Ju dah janji dengan mama dan abah Ju nak dinner kat luar. Lepas tu nak beli barang sikit.” Secara spontan aku bangun meminta izin untuk pulang sebelum aku sedar tindakanku ini.

“Duduklah dulu. Rizan baru sampai. Mak Yam pun belum buat air lagi,” ujar Mama Hamidah sambil memegang erat pergelangan tanganku.

Aku tersenyum. Hatiku jadi tawar entah kenapa. “Ju dah janji dengan mama dan abah nak bawa dia orang keluar beli barang malam ni. Lagipun dia orang tak tahu Ju ke sini. Kesian pulak kalau Ju batalkan sebab mama dah beria-ia pesan pagi tadi suruh Ju balik cepat.” Aku beralasan lagi. Aku mahu segera pulang. Aku mahu segera keluar dari rumah ini. Aku tidak peduli dengan rayuan mama lagi.

“Duduklah sekejap. I baru sampai Ju,” pujuk Rizan.

Aku tersengih. “Tak apalah. Macam kita tak boleh nak jumpa lagi,” ujarku lalu segera beredar dari situ.

“Yalah. Apa-apa pun gubahan hantarannya, biar mama yang tentukan ya, Ju? Tapi warna pink tu dah okey, kan?” tanya Mama Hamidah tatkala aku mencapai beg tanganku di atas sebuah kerusi, tidak berapa jauh dari tempat aku berada.

Merah jambu? Warna yang paling aku benci. Tapi aku sudah tidak peduli lagi. Saat ini, apa yang aku mahu adalah untuk keluar dari situ. “Okey, warna apa-apa pun okey pada Ju.” Perlahan-lahan aku melangkah keluar. Aku harus kawal diriku sebelum perasaan ingin berlari itu menguasai diri.

“Nanti kita sama-sama dinner di sini ya sempena Abang Megat balik dari oversea?” ujar Rizan kepadaku.

Oh, tidak! Tak mungkin makan malam bersama keluarga mereka.

“Ya, Ju. Kita dinner sama-sama,” ujar mama Rizan pula.

“Insya-ALLAH.” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Aku sedar ada mata yang sedang mengiringiku pulang. Tapi aku tidak peduli lagi kerana dia sudah berkahwin. Dan aku cepat-cepat meninggalkan rumah itu dan bergegas pulang.

SEPANJANG perjalanan, aku menyumpan-nyumpah diriku kerana begitu cepat lupa diri.

Julianna Isabelle, lelaki itu sudah berkahwin. Kenapa kau masih begini terhadap dirinya? Kenapa kau lupa dengan kenyataan bahawa dia sudah berpunya?

Ini semua keterlaluan buatku! Ah! Dia masih dengan perangai sombong dan angkuh. Aku yang berdiri di hadapannya bagaikan gadis yang terpesona dengan diri dan kehadirannya. Eeii... memalukan! Semua yang berlaku sungguh memalukan aku.

Aku fikirkan segala-galanya berhenti di situ sahaja. Tiada lagi yang boleh mengingatkan aku terhadapnya, jauh sekali untuk aku ingin mengembalikan kenangan tersebut. Aku bakal bertunang dan bakal berkahwin dengan adiknya tidak lama lagi. Mengenangkan atau mengingatkan, apatah lagi menginginkan seseorang yang bukan hak aku adalah satu kesilapan dan kesalahan besar. Tidak sepatutnya ini berlaku.

Ya ALLAH! Apa yang telah aku lakukan? Lenyapkanlah perasaanku ini kerana dia sememangnya bukan milikku. Aku akan bertunang tidak lama lagi dan bakal dimiliki oleh lelaki lain. Bukan dia. Kerana dia sudah beristeri!

DUA hari selepas kejadian itu, aku keluar dari pejabat untuk makan tengah hari bersama seorang teman. Ketika melangkah masuk ke restoran entah kenapa aku bagaikan terasa begitu aneh sekali. Tidak pernah aku merasakan perasaan sebegitu bila melangkah masuk ke restoran yang sering menjadi tempatku dan teman-teman sepejabat untuk makan tengah hari kami.

Jantungku tiba-tiba berdegup kencang, tetapi bukan kerana aku takut. Cuma perasaan itu yang begitu luar biasa sama seperti apa yang aku rasakan baru-baru ini. Aku jadi resah, seolah diperhatikan.

“You okey, Julia?” tanya temanku, Natrah, bila melihat aku bagaikan tercari-cari sesuatu.

Aku tersenyum cuba menarik perhatiannya dari terus-menerus menilai diriku ketika itu. “Ramai hari ni.”

“Ha’ah. I pun perasan juga. Dapat gaji kut dia orang ni semua,” komen Natrah, tersengih lebar menampakkan barisan giginya yang memakai pendakap gigi.

“Gaji apa?” komenku sambil mencebik sedikit. “Baru berapa hari bulan hari ni?”

Kami memesan makanan. Natrah atau panggilan ringkas kami kepadanya Nat memesan mi kari sementara aku pula nasi ayam tiba di atas meja kami. Selang beberapa minit kemudian disertai dengan minuman sejuk kami. Sebaik pelayan meninggalkan kami, ketika itulah mataku tertumpu pada sepasang anak mata yang sedang merenungku. Aku yang sedang mengikat rambutku terpandang dirinya di hujung sana.

Megat!

“Kau tau tadi, Encik Daud mengamuk,” cerita Nat melepaskan keluhannya.

Mengamuk? Hatiku sedang mengamuk sakan saat ini. Kenapa dia di sini? Kenapa dia berada di sini? Bagaimana dia tahu aku bekerja di sini?

Tambah Nat lagi, “Cek dah hantar tapi barang tak sampai.”

Aku mula rasa tidak ada selera untuk menjamah nasi ayam di hadapanku walaupun itu adalah kegemaranku. “Barang tak sampai? Kenapa lewat?”

“Katanya kastam tak lepas lagi. Mana boleh tak lepas? Selama ni tak ada masalah, tapi hari ni benda urgent nak pakai, boleh pulak lewat,” cerita Nat.

Aku mengetap bibirku. Aku sangat yakin bahawa aku sedang diperhatikan biarpun seperti aku, dia juga sedang ditemani oleh seorang temannya. Aku menghirup menyedut minuman sirap. Tak semena-mena mata kami kembali bertentangan.

Ya ALLAH! Sampai bilakah permainan ini dapat dihentikan? Pandangannya tajam dan sombong namun pandangan itu tetap sampai ke jiwaku. Segera aku melarikan mataku dan cuba mengalihkan seluruh pancainderaku kepada temanku ini.

Natrah masih berkata-kata, tetapi aku masih tidak mampu fokus. Perhatianku hanya pada dia seorang. Lelaki yang sedang duduk di sekitar 15 meter dari tempat dudukku. Walaupun kami tidak duduk berdua, aku tidak mendengar sebutir perkataan daripada bibirnya, tapi kenapa aku merasakan seolah-olah aku dan dia sahaja yang berada di restoran ini?

“Boleh tak kita cepatkan makanan kita ni? Aku baru teringat, aku ada kerja nak kena habiskan.” Aku memberi alasan. Sudah tidak sanggup menyeksa perasaan sebegini selagi salah seorang dari kami tidak berganjak dari situ.

“Kau tak cakap aku pun tadi,” ujar Natrah memandangku.

“Aku terlupa. Baru teringat ni,” balasku sama sekali tidak memandang dirinya kerana sedar dia masih mengamati tajam. Ya, dia terus memerhati diriku seolah teman bersamanya hanya sekadar ilusi.

“Okey,” ujar Natrah sambil menyedut minumannya buat kali terakhir, menghabiskan yang berbaki kemudian dia segera bangun.

Aku turut sama bangun. Enggan sedikit pun mengalih pandangan. Enggan sedikit pun menyapa dirinya. Biarlah kami sebagai orang asing di luar, tetapi di dalam rumahnya, dia bakal abang iparku.

Tatkala berjalan keluar meninggalkan premis tersebut, kami terpaksa mengambil laluan bersebelahan dengan bangunan tersebut. Dan kebetulan meja yang didudukinya bersama temannya berada paling tepi di cermin dinding restoran tersebut.

Untuk kembali ke pejabat, kami terpaksa meredah melalui pejalan kaki di situ. Aku tiada pilihan lain. Jika aku mahu melalui laluan yang berbeza, pastinya menimbulkan rasa kehairanan pada Natrah nanti. Mahu atau tidak, aku tidak punya pilihan lain. Aku berjalan dengan perasaan yang bergelojak. Aku sedar dan aku juga percaya bahawa dia juga sedar tatkala itu hanya dinding kaca yang memisahkan kami berdua.

Dan saat aku mendongak, mata kami berpandangan lagi buat kali terakhir. Jantungku semakin berdegup kencang. Jiwaku makin bergelora. Kali ini, pandangannya terus menusuk kalbu. Yang jelas, jantungku berdegup kencang hanya untuk dirinya. Tidak pada Rizan. Entah kenapa pandangannya itu melenyapkan tanggapan sombong dan angkuh dia kepadaku. Apa yang kelihatan hanya ketenangan, rindu dan cinta. Rindu? Cinta? Apakah itu yang aku fikirkan sebentar tadi? Dan aku sudah berada jauh daripada dirinya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.