Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
80,970
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

8

“I called you banyak kali malam tadi! Kenapa tak angkat?” Suara Rizan kedengaran marah-marah di hujung talian keesokan paginya. Ketika itu sudah pukul 9.00 pagi dan aku sudah berada di pejabat.

Aku mengeluh. Tersenyum. Aku sangat arif dengan sifatnya yang cepat bimbang, lantarann tidak mampu menyembunyikan rasa tidak puas hatinya. “No news means good news, okay?!

“Ju, serius sikit Ju. Kalau apa-apa jadi pada you, macamana?” Bimbangnya bukan kepalang.

Aku menakup mulutku, supaya tawaku tidak terlepas dengar. “Rizan, betullah apa I cakap. Kalau terjadi apa-apa pada I, dah tentu I call you,” jelasku cuba meredakan gundahnya. “I cuma penat sikit semalam. Terlebih penat dari biasa. Lepas tu, I tak ingat apa. Sampai rumah, lepas mandi I terus cari katil. Handphone I pun I tak sempat nak cas kat rumah.”

“Habis tu, you tak makan malam?”

“Tidur lagi sedap.”

Dia mendengus panjang. “You dah makan pagi?”

“Dah. Nasi lemak, kerang rendang dengan telur mata,” balasku sambil menghirup Nescafe panas yang sememangnya tersedia untukku di atas meja kerja.

Dia diam. Aku yakin mood dia mula berubah lega. Aku pantas mengubah langkah supaya aku tidak lagi dijadikan topik utama untuk dia terus melempar rasa marahnya. “Jadi, apa cerita? How’s your morning?” Giliran aku pula bertanya tentang dirinya sambil menyambung kerja di hadapanku.

“Biasa aje, kecuali... Abang Megat dah balik.”

Aku tersentak bila mendengar nama itu. Serta-merta degupan jantung berdegup lebih pantas dari biasa. Ya TUHAN, kenapa bila mendengar namanya sahaja, jiwaku tidak keruan? Kenapa nama itu seakan pencetus debaran di dada? Enam tahun dia pergi, aku lenyapkan dia jauh dari fikiran, lebih dalam dari tujuh lapisan bumi. Namun bila dia kembali, segala-galanya juga kembali dalam ingatanku. Aku pejamkan mata buat beberapa saat dan melepaskan nafasku yang aku tahan seketika sekadar menenangkan perasaan supaya aku mampu berfikir dengan bersahaja.

“Dia sihat?” Soalan itu tercetus daripada bibir tanpa aku dapat menghalangnya.

Julianna Isabelle! Hentikan semua ini. Hentikan lamunan asmara ini! Kau sudah ada teman lelaki dan bakal menjadi suami yang akan kau hidup bersama sampai mati!

“Dengar tak ni? Helo?”

Aku terpampan mendengar suara Rizan yang sedikit meninggi.

“I kat sini. Ada kerja sikit.” Aku berbohong. Terlalu sendat ingatanku terhadap lelaki ‘itu’. “Jadi?”

Dia diam.

“Merajuklah tu!” usikku kepadanya.

Rizan mengeluh panjang. “I harap sangat dia pindah rumah lain.”

Aku terdiam. “Rizan, dia abang you. Walaupun dia bukan anak kandung mama, tapi dia tetap abang you, dari darah daging papa you sendiri. You tak boleh buat macam tu. Dia ada hak juga,” pujukku perlahan.

“Dia dah kahwin.”

Tubuhku kaku seketika. Pandanganku berpinar. Benarkah? Benarkah apa yang aku dengar? Dia dah berkahwin.

Tapi sejak bila? Siapa isterinya?

Tiba-tiba hatiku jadi retak hancur sebaik mendengar kata-kata Rizan itu? Air mata, jangan kau berani menitis saat ini. Aku benci. Aku tidak sudi kau menitis di awal pagi ini di tengah-tengah kesibukan diriku di pejabat. Tapi mataku semakin kabur.

“Rizan, I kena pergi. I have to take another call.” Aku pantas beralasan dan tanpa menunggu jawapan darinya, aku segera memicit punat berwarna merah di telefon bimbit dan mencampakkannya di dalam laciku. Tidak semena-mena aku melihat kalendar di hadapanku.

11 Januari 2014...

11 Januari satu tarikh keramat buatku. Kerana lima tahun yang lalu pada tarikh yang, aku dan dia dipertemukan. Kini, dia telah berkahwin. Pastinya rumah tangganya bahagia sekali. Pasti mereka saling sayang menyayangi dan cinta mencintai. Aku sudah membayangkan isterinya itu cantik, bergaya, tidak seperti aku, hanya seorang gadis biasa dan sederhana. Tiada apa yang menarik tentang diriku, hanya mengangankan kebahagiaan dari seorang lelaki yang mencintaiku sepertimana aku mencintai dirinya. Alangkah cemburunya aku dengan rumahtangga mereka.

Berkali kali kenyataan itu berlegar-legar di dalam kepala. Ucapan Rizan tidak henti-henti bermain dalam benak fikiranku. Tanpa henti. Tanpa lelah. Ia seolah-olah mencengkam perasaanku sedikit demi sedikit. Hatiku makin hancur.

Bangun Julianna Isabelle! Bangun dari angaumu! Dari awal lagi lelaki itu bukan milikmu dan kau bukan milik dia. Tidak ada seorang dari kamu berjanji dan tidak seorang dari kamu perlu setia. Kau milik Rizan!

Aku segera ke bilik air. Aku mahu bersendirian sebentar untuk mengumpul semangat. Namun sebaik melangkah masuk ke bilik air wanita, air mataku menitis bagai hujan tanpa henti.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.