Home Novel Cinta Nada Pujangga Si Bisu
Nada Pujangga Si Bisu
Shion
24/1/2019 19:06:39
26,615
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

HUNA merenung ke luar jendela kapal terbang, menanti waktu mendaratnya di Malaysia. Perasaan terujanya makin membuak liar seperti ada orang yang sedang bermain gendang di perutnya. Julia melihat Huna dengan wajah terkebil-kebil seperti ingin mengatakan sesuatu.

“Huna.”

“Ya? Dah sampai ke?” jawab Huna dengan mata bulatnya merenung besar ke mata Julia.

“Eh, tak. Belum sampai lagi.” Sahut Julia dan membisu sebentar. “Huna, aku nak cakap sesuatu ni. Kau jangan marah tau.”

Kening Huna mula cengkung kehairanan.

“Sebenarnya, nanti aku tak turun di Malaysia. Aku turun di Amerika Syarikat.”

“Hah!” gertak Huna di tempat duduknya. “Kenapa pula kau turun kat sana! Kau melancong tak bagi tahu aku, ea?” rajuk Huna dengan kata-kata Julia.

“Bukan Huna. Mak ayah aku dah pindah sana. Aku mungkin tak balik Malaysia dah. Lagipun, nenek dan atuk aku yang masih hidup dua-dua ada kat sana. Sebab itulah ayah aku buat keputusan untuk tinggal kat sana.”

“Hmm...” toleh Huna ke wajah Julia, “Kenapa kau tak cakap kat aku awal-awal. Nanti aku tak bolehlah nak jumpa kau lagi. Aku ingat nak cari kerja dengan kau, buat ni ke apa ke? Tak pun aku boleh buat kejutan ke apa ke,” bengang Huna dengan Julia.

Dengan perlahan, Julia mencapai tangannya ke dalam beg tangan, lalu mengeluarkan sebuah kotak aksesori,

“Jeng, jeng, jeng! Sebab tu aku belikan kau hadiah, tanda maaf aku dekat kau. Maaf sangat,” pujuk Julia dengan mengajuk wajah comel seperti kucing dalam filem animasi Puss In Boots.
“Nah, ambillah, ambillah!”

Wajah Huna dengan bibir masam langsung senyum mencapai hadiah tersebut.

“Yelah. Nasib baik ada hadiah. Kalau tak, aku campak kau dari tingkap kapal terbang ni,” ugut manja Huna kepada Julia.

Huna membuka kotak aksesori tersebut dan melihat gelang tangan dengan simbol bunga yang sepertinya pernah dia lihat.

“Wah, cantiknya gelang ni, Julia! Cantik sangat bunga ni. Aku rasa aku pernah nampak bunga ni, tapi dekat mana ya?” tanya Huna sambil menoleh ke arah Julia.

“Hmm... Lupalah tu. Ni namanya bunga Kesidang.”

“Bunga apa?”

“Bunga Kesidang! Kau jangan nak tanya aku banyak kali pula. Nak tiru iklan raya lah tu.” Julia menggumam rendah sehingga terlihat giginya penuh mengetap.
“Bunga ni ialah bunga yang kau dapat dulu. Alaaa, mak cik yang datang ke kubu rahsia kita kat ladang getah dulu. Ingat tak?”

Huna cuba mengingati peristiwa lama antara dia dan Julia. Jeritan aneh tiba-tiba terngiang-ngiang dalam fikirannya.

“Wowowowowow!” jerit seorang budak lelaki yang memeluk sebatang kayu dua inci, cuba menakutkan anjing liar di dalam ladang getah. Di belakangnya, seorang wanita cantik bertudung mengejar bersama, menjinjing sebakul bunga pelbagai jenis. Anjing liar tersebut tersentak dan terus lari dari pandangan. Wanita tersebut ketawa perlahan dengan nafas kepenatan.

“Kamu berdua okay kan?” tanya mak cik tersebut kepada Julia dan Huna yang sedang terduduk jatuh di atas tanah.
“Tak apa. Anjing tadi dah lari dah. Mak cik halau tadi. Bangunlah. Jangan risau, mak cik bukan orang jahat. Tengok ni, mak cik ada bunga. Semua cantik-cantik,” ujar mak cik tersebut.

Julia dan Huna bangun, berdiri kemudian menepuk-nepuk seluar mereka yang kotor kerana jatuh di atas tanah tadi.

“Terima kasih mak cik sebab tolong kami. Terima kasih juga kat anak mak cik,” kata Julia.

“Tak ada apa-apa lah. Kamu berdua buat apa di sini, petang-petang begini?” tanya mak cik itu.

“Kami hendak pergi ke kubu rahsia kami. Dekat hujung sana.” Terang Julia sambil menunjukkan pondok kecil dengan jari telunjuknya.
“Mak cik nak ikut tak?”

“Boleh juga. Tapi mak cik teman sampai ke sana je ya.” Setuju mak cik tersebut, menggenggam tangan anaknya bersama.

Mereka pun berjalan di dalam ladang getah bersama, langkah demi langkah.

“Kubu rahsia kami tu sebenarnya pondok lama atuk saya masa dia jadi penoreh. Tapi sekarang dah tak ada orang jaga dah. Jadi, kami selalu pergi sana untuk bermain. Biasanya tak ada pun anjing tu.”

“Berdua?”

“Eh, taklah! Biasanya ber-enam, mak cik. Ada Luthfi, Amalina, Zulaika, Adam, Huna dan saya, Julia.” Satu-satu nama disebut dengan jari seperti mengira, berjalan menuju ke pondok kecil itu.
“Sekarang mereka sedang sekolah petang darjah dua. Kami tadika lagi. Mak cik pula, buat apa kat sini?”

“Mak cik datang nak kutip bunga tadi kat depan sana. Lepas tu mak cik dengar kamu menjerit, terus mak cik datang. Anak mak cik yang dengar dulu.” Jawab mak cik tersebut dengan anaknya yang tersenyum bangga.
“Mak cik terjumpa bunga yang jarang tumbuh pada zaman sekarang ni. Nak tahu tak bunga apa?” mesra mak cik tersebut, cuba menimbulkan rasa ingin tahu kepada Huna dan Julia yang masih kecil.

“Bunga Raya... warna merah jambu? Hahaha...”

“Ha. Ha. ha.” sindir Huna dengan gelak tidak ikhlasnya.
“Mengarutlah kau Julia, mestilah bunga Taik Ayam kan mak cik?”

“Eeee, kau lagi lah, cakap pasal najis ayam pula.”

“Dua-dua salah. Jawapannya ialah bungaaaaa... Kesidang!” jawab mak cik tersebut sambil menunjukkan bunga tersebut di tangan. Anaknya bukan main lagi mengangkat tangan membentuk huruf ‘V’, memberi reaksi “tada!!!”. Mereka menahan langkah untuk melihat bunga yang unik itu.

“Bunga Kesidang?!” pelik Julia dan Huna mendengar nama bunga tersebut.

“Bunga Kesidang warnanya putih melambangkan kesucian. Saiznya kecil saja. Comel macam kamu berdua.”

Teruja Huna dan Julia mendengarnya. Malu-malu kucing lah orang kata.

“Cuba hidu! Wangi kan? Baunya seakan bau daun pandan, menggambarkan sikap sentiasa memberi kebahagiaan kepada orang sekeliling. Tapi kalau hidu kali kedua, macam bau nasi yang memberi tenaga dan kudrat untuk sentiasa kuat. Tengok kat dalam bunga ni. Ada macam biji beras atau nasi, kan?” terang mak cik itu sambil memfokus datum bunga ke mata Huna dan Julia.
“Dulu mak cik selalu pakai kat telinga. Ayu saja selalu.”

Anaknya membuat mata kuyu mengusik ibunya tanda tidak bersetuju. Huna dan Julia sangat berminat dengan bunga tersebut dan cuba memakainya di telinga. Anak mak cik tadi terus membeliakkan mata melihat kecantikan Huna dan Julia.

“Kalau kamu nak, ambillah. Mak cik dah jumpa biji pokok bunga ni. Mak cik nak tanam kat halaman rumah mak cik. Ambillah,” ujar mak cik itu kepada Huna dan Julia, mempelawa mereka untuk mengambil bunga Kesidang tadi.

Mereka berdua mengambil sejambak bunga Kesidang setiap seorang dan mengucapkan terima kasih kepada mak cik tersebut.

“Kamu masih kecil dan banyak lagi yang perlu dipelajari. Jadilah seperti bunga Kesidang yang suci dan memahami hati orang lain dengan kegembiraan.”
Nasihat mak cik tersebut sebelum berjalan keluar dari ladang getah, tersenyum manis kepada Huna dan Julia.


“Huna! Huna!”

“Hah? Haah. Aku ingat, aku ingat mak cik tu.” Terkejut Huna dari lamunan silam bila dipanggil Julia.
“Terima kasih Julia bagi aku gelang ni. Aku janji akan cuba menjadi Bunga Kesidang untuk kau dan orang lain, lagi-lagi bila aku pakai gelang ni. Terima kasih, Julia,” ucap Huna lalu memeluk rapat Julia dengan pipi di bahu seraya membisik,
“Aku tak akan lupakan kau, sister.”

“Itupun kalau aku jumpa...” Julia terhenti nafasnya sesaat,
“...kalau aku NAK! jumpa kau. Hahaha.” seloroh Julia, membuka dakapan Huna kemudian merenung matanya dengan air mata mengalir mengenang kenangan bersama Huna sejak kecil lagi.

Huna hanya tersenyum manja, acah-acah merajuk kepada Julia dengan suara yang bergetar hendak menangis.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.