Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
220,872
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“Isy, manalah pulak benda alah ni?” rungut Rabunah di dalam bilik air. Teraba-raba tangannya mencari objek berbentuk silinder di dalam kabinet mini yang menempatkan pelbagai barangan dandanan diri. Botol-botol syampu, perapi rambut, pencuci muka dan ubat kumur, habis berterabur dibuatnya. Tetapi, barang yang dikehendaki tidak lagi dijumpai.

“Mak...!”

Laungan suara Rabunah lantang bergema memanggil ibunya berkali-kali. Terkocoh-kocoh wanita berusia lewat 40an itu menaiki tangga menuju ke bilik air di tingkat atas rumah tersebut. Sudah masak benar dengan perangai anak daranya yang seorang itu, kalau menjerit mengalahkan bunyi guruh di langit. Mahu runtuh bumbung rumah kalau dibiarkan terus-terusan menjerit.

“Yang kamu terlolong-lolong macam kena rasuk ni kenapa Rabunah oi?” sergah Puan Fatimah sebaik saja dirinya sudah berada di muka pintu bilik air di dalam bilik anaknya. Termengah-mengah wanita itu kerana tidak pasal-pasal terpaksa mendaki anak-anak tangga, berganda pantas dari biasa. Aksi senaman pagi gamaknya.

Rabunah yang bersalut tubuhnya dengan tuala mandi berwarna biru, membuka pintu lalu menayang muka monyoknya. Puan Fatimah tersengih menatap tampang anak bongsunya itu, sudah besar panjang pun tetap sifat manjanya berlebih. Apa lagilah yang tidak kena itu?

“Lah, ingatkan dah habis mandi? Basah pun tidak badan tu?”

Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, Puan Fatimah memandang anak perempuannya itu. Ingatkan tadi, Rabunah menjerit memanggilnya kerana terlupa hendak membawa tuala ke dalam bilik air. Lazimnya, begitulah ragamnya. Dari kecil sampailah sudah berusia 24 tahun, tetap dengan tabiat lamanya.

“Una cari ubat gigi, tapi tak jumpa pun?”

“Ubat gigi? Habis, dalam peti kaca tu apa?”

Muncung bibir Puan Fatimah mengarah ke tempat ubat gigi yang tersimpan cermat di dalam bilik air. Rabunah mencebik. Itu bukan ubat gigi yang biasa dipakainya.

“Una mana biasa guna yang tu. Rasa entah apa-apa! Tak sukalah!”

Rabunah sudah memeluk tubuh, tampangnya sengaja dikelatkan. Puan Fatimah hampir sahaja hendak menghamburkan tawa. Tidak tahan melihat keletah Rabunah yang tidak pernah berubah. Melihat Puan Fatimah seperti menahan gelak, bertambah geram Rabunah dibuatnya. Mimik mukanya lagi dibuat-buat masam.

“Una... Una... tak ada bezanya pun ubat gigi tu. Berus ajelah. Nanti tak pasal-pasal, ada pulak yang pengsan bercakap dengan kamu,” ujar Puan Fatimah menggeleng-geleng kepala sambil bibirnya tidak henti-henti menguntum senyum.

“Apa pulak tak ada beza? Ubat gigi Una rasa mint, yang ada ni rasa pahit. Una tak suka jugak! Mana pergi ubat gigi Una, mak? Takkan boleh ghaib macam tu aje?”

Perihal ubat gigi pun boleh jadi kecoh di pagi hari. Sekali lagi Puan Fatimah menyengih. Memang Rabunah hanya memakai ubat gigi berperisa pudina atau peppermint istilah Inggerisnya. Jangan haraplah dia hendak menggunakan ubat gigi selain dari perisa itu kerana lidahnya sudah terbiasa sejak kanak-kanak lagi sehinggalah ke sekarang ini. Berlainan pula dengan si ayah dalam keluarga itu yang lebih gemar menggunakan ubat gigi yang mengandungi ekstrak gamat di dalamnya. Sungguh tekak Rabunah tidak boleh terima, pahit katanya.

“Kamu ni Una, mengalahkan budak-budak tau. Ubat gigi kamu tu, si Syazni dah bawa ke sekolah. Ada program kebersihan gigi dan mulut di sekolahnya,” terang Puan Fatimah. Syazni merupakan satu-satunya cucu Puan Fatimah, baru melangkah ke alam persekolahan. Anak saudara Rabunah yang nakalnya bukan main. Asyik berperang sahaja mereka berdua sekalipun usia di antara mereka jaraknya jauh. Syazni berumur 6 tahun sekarang ini.

“Habis tu, Una nak pakai apa pagi ni? Aduh, Syazni ni pun satu hal lah! Tak habis-habis menyusahkan Una,”

“Sudah, jangan nak membebel pulak. Cubalah mengalah sikit. Kamu tu bukan budak kecil lagi. Ubat gigi pun mahu berebut,” Puan Fatimah menitip pesan. Terkadang Puan Fatimah tidak tahu hendak menyebelahi siapa apabila berlakunya perkara seumpama ini. Si anak yang tidak suka berkompromi apatah lagi kalau satu-satu barang itu miliknya seorang dan si cucu yang memang terserlah kenakalannya. Ada saja idea geliganya hendak mengenakan ibu saudaranya itu.

Pernah suatu hari, tuala wanita Rabunah diletaknya Buncho water color. Habis bertompok-tompok warna-warni jadinya dan tidak boleh dipakai lagi. Sudahlah pada waktu itu, Rabunah dalam keadaan ‘bulan mengambang’ dan hanya itu stok yang ada disimpannya. Apalagi, terus kecoh seisi rumah dua tingkat itu dengan adegan kejar-mengejar antara Rabunah dengan Syazni yang kecil-kecil cili padi tapi nakalnya membuatkan Puan Fatimah sendiri naik pitam memikirkannya.

“Susah-susah sangat Una, kumur-kumur sajalah mulut tu dengan air garam. Habis cerita. He he he.”

Puan Fatimah mengusulkan cadangan lalu segera beredar keluar menahan ketawa. Bukan boleh dilayan sangat anak perempuan bongsunya itu, perkara sekecil itupun boleh jadi masalah negara. Pandai-pandai kamulah Rabunah.

Turun ke dapur, Puan Fatimah menyudahkan kerjanya yang tertangguh tadi. Bihun goreng yang dimasaknya untuk sarapan pagi mereka sekeluarga belum lagi dikeluarkan dari kuali. Sebaik sahaja bihun goreng terhidang di atas meja, kelihatan kelibat anak lelakinya menghampiri meja makan. Segak berkemeja dan bertali leher berona hijau. Anak lelaki Puan Fatimah memang tampan orangnya. Boleh tertoleh dua tiga kali wanita-wanita di luar sana memandang wajah bersih lelaki itu.

“Selamat pagi permaisuri hati tersayang,” ungkap Fauzi dan terus mencium kedua-dua belah pipi Puan Fatimah. Begitulah rutin Fauzi, anak sulung lelaki pasangan Puan Fatimah dan Doktor Ashraff. Berumur 32 tahun dan mempunyai kerjaya yang tidak calang hebatnya. Meskipun tidak menurut jejak langkah si ayah yang merupakan seorang doktor gigi dan mempunyai klinik sendiri, Fauzi tetap boleh berbangga dengan keupayaan dirinya. Dia yang lebih cenderung minatnya pada industri automobil, melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah di dalam bidang kejuruteraan mekanikal automotif dan kini sudah bergelar usahawan muda. Syarikat jualan kereta mewahnya itu bukan sahaja memiliki bilik pameran sendiri bahkan antara yang terbesar di Lembah Klang.

“Syazni dah pergi sekolah ya mak?”

“Ha’ah. Uncle Pow Hock dah hantar dia pukul 7:30 pagi tadi. Semangat Syazni nak pergi sekolah hari ni, katanya tak sabar hendak berkelah tepi longkang,” jelas Puan Fatimah sambil tangannya ligat membancuh milo panas di dalam teko. Uncle Pow Hock merupakan drebar van sekolah yang menjemput dan menghantar pulang Syazni tiap-tiap hari persekolahannya.

“Berkelah tepi longkang?”

“Bukan berkelah betul-betul. Kamu faham-faham sajalah fiil anak kamu tu. Ada saja ‘bunga’ ayatnya. Ada program gosok gigi ramai-ramai di sekolahnya, itu yang dikatanya berkelah tepi longkang tu.”

Fauzi tersenyum. Mengenang akan kebijaksanaan anak kesayangannya itu, Fauzi semakin meleret senyumannya. Kalau bercakap, petahnya tidak dapat disangkal lagi. Ketika berusia 4 tahun, sudah pandai membaca surat khabar walaupun tidaklah selancar mana sebutannya. Dan sekarang, fasihnya seperti bertih goreng. Pantang diajak bersembang, dialah yang paling rancak. Terkadang, ada saja istilah-istilah yang tidak pernah didengari, keluar dari mulut si kecil itu. Entah dari mana dia belajar, Fauzi sendiri kurang pasti. Barangkali anak zaman globalisasi, maju dalam semua perkara.

Akan tetapi, setiap kali menatap penuh kasih sayang akan zuriatnya yang seorang itu, hati lelaki Fauzi tersentuh. Ibu Syazni tidak sempat mencurahkan rasa cinta kepada anaknya itu. Isterinya sudah pergi menemui Ilahi tatkala bertarung nyawa melahirkan Syazni binti Fauzi. Membesar anak itu tanpa belaian seorang ibu, mujurlah Fauzi punya Puan Fatimah di sisi. Ibunya itulah yang memastikan supaya Syazni mendapat perhatian dan mahabbah yang secukupnya.

“Ayah dengan Una tak turun sarapan, mak?” tanya Fauzi apabila mendapati bapa dan adiknya tidak turut sama di meja makan. Puan Fatimah sudah duduk di kerusi, menunggu masa untuk menjamah air tangan sendiri. Sambil itu, mata wanita itu sempat melirik ke arah jam yang tergantung di dinding, sudah pukul 8:30 pagi.

“Ayah kamu pagi-pagi lagi sudah ke klinik dia. Una kejap lagi turunlah dia. Hari ni hari pertama adik kamu bekerja di kedai serbaneka dekat Mewah Boulevard tu. Itu yang kelam-kabut tak tentu pasal si Una kejap tadi.”

“Kelam-kabut kenapa?”

“Syazni ambil ubat gigi perisa mint kegemaran dia untuk dibawa ke sekolah. Mahu tak bising adik kamu? Nak berus gigi tapi tak ada ubatnya. Entah-entah tak bergosok gigi budak tu. He he he.”

Fauzi ketawa kecil. Dia sudah dapat membayangkan muka ketat adiknya itu. Biasalah, anak bongsu. Perempuanlah pula. Baik Rabunah mahupun Syazni, kedua-duanya membahagiakan jiwanya. Hatta saban hari, ada saja perkara yang timbul di antara mereka yang membuatkan Fauzi terjentik lucu di tangkai hati. Rabunah pun satu, sudah boleh dipinang orang pun tetapi masih tetap dengan perangai keanak-anakannya.

Puan Fatimah dan Fauzi menjamah bihun goreng terlebih dulu. Manakala bihun untuk Rabunah sudah siap-siap disenduk ke atas pinggan. Tidak disenduk, merajuklah pula nanti.

“Jadilah ya Una kerja di kedai serbaneka tu, mak? Haih, Fauzi suruh dia buat part-time dekat kompeni Fauzi, dia tak mahu. Tak silap Fauzi, tinggal setahun saja kan untuk dia habiskan degree? Bila masuk U semula? Una ada beritahu mak?”

“Katanya bulan September. Sementara tu, untuk beberapa bulan ni... itu yang dia apply kerja dekat sana. Lagipun Mewah Boulevard dekat saja dari sini, klinik ayah kamu pun letaknya area-area situ juga. Mak pun tak adalah risau sangat keselamatan dia pergi dan balik.”

Fauzi akur jika sudah itu kata ibunya. Hidangan pagi terus dijamah penuh berselera duda anak seorang itu. Dalam tidak disedari, gerak-gerinya yang sedang menjamu tanpa memandang kiri dan kanan itu diperhatikan Puan Fatimah. Terpalit rasa sayu di dalam hati wanita tersebut.

“Fauzi, mak ada sesuatu nak cakap dengan Fauzi ni...”

“Ya mak...”

“Fauzi tak mahu cari pengganti Muneera?”

Kunyahan yang tadinya laju, beransur perlahan dan berhenti kemudiannya. Fauzi meletakkan garfu dengan cermat dan menatap lunak wanita di hadapannya. Tidak pernah pula ibunya mengutarakan akan hal itu sebelum ini. Fauzi sendiri tidak pasti apakah jawapan yang mahu diberi. Muneera walaupun sudah enam tahun meninggalkannya tetapi semarak cinta terhadap arwah isterinya tidak pernah padam.

“Sampai bila Fauzi? Kasihan dengan Syazni. Sikapnya yang nakal itu barangkali ini salah satu sebabnya. Fauzi faham bukan maksud mak? Seorang anak tetap perlu kasih sayang dari ibunya. Mak cuma neneknya, Fauzi. Tak sama...”

Lembut menusuk kalbu titip pesanan Puan Fatimah terhadap dirinya. Fauzi hanya mampu berbicara tanpa kata. Hanya pandangan mata yang terkandung seribu makna. Makna sebuah kenangan cinta.

“Pintu hati Fauzi belum terbuka untuk siapa-siapa lagi mak. Sabarlah ya mak. Doa-doakan untuk anak mak yang handsome ni untuk bertemu jodoh. Okey?” jelas Fauzi dengan nada bergurau senda di hujungnya. Ya, dia perlukan masa. Masa yang entah bila?

Derap langkah Rabunah menuruni tangga memutuskan perbualan dua beranak di meja makan itu. Rabunah yang memang selesa berambut pendek dengan potongan pixie crop, menyerlahkan lagi kemanisan di roman wajah anak dara sunti itu. Tambahan pula, warna rambutnya coklat gelap semulajadi. Fauzi mencari idea hendak menyakat adik perempuannya itu.

“Wah, adik abang ni lama-lama abang tengok ada iras-iras Emma Watsonlah. He he he.”

“Eh, tolong sikit. Tak mainlah pelakon Hollywood. Kita macam Nasha Aziz dalam Laila Isabella tau!”

“Amboi, tak mahu mengalah! Ha ha ha! Dah... dah... come enjoy the breakfast. Lepas ni abang hantar ke tempat kerja.”

Rabunah menyertai abang dan ibunya di meja makan. Canda tawa dua beradik itu menghiasi ruang makan. Puan Fatimah sekadar memerhati dan memanjatkan rasa syukur pada yang Esa kerana kegembiraan mereka, kegembiraannya juga.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.