Home Novel Cinta Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/2/2025 14:08:40
1,741
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

ABU JALAL memberhentikan kereta di sebuah lorong terpencil yang cahaya lampunya malap. Mulutnya menyumpah seranah apabila tapak kasutnya terpijak tanah becak yang penuh berlumpur. Mujurlah dia mampu berpaut pada pintu kereta sebelum jatuh terduduk. Dia menyalakan lampu suluh, menyuluh ke laluan rumah banglo di  dalam ladang kelapa sawit yang kedudukannya agak jauh dari rumah-rumah pekerja yang lain.

"Bodoh betul! Macam mana boleh kena lumpur ni? Hisy, kasut baru aku!" bebel Abu Jalal ketika sampai di depan pintu.

Daun pintu dikuak. Saat tubuh yang bersalut pijama merah jambu itu menyapa pandangannya, Abu Jalal berhenti menyumpah. Dia menghulurkan tangan. Lantas tangannya disambut wajah manis itu.

"Lambatnya abang sampai," rungut suara manja yang sering kali memujuk rayu agar Abu Jalal meninggalkan rumah.

Abu Jalal selalu menurut. Walaupun permintaan itu tiba pada awal pagi dan waktu tidurnya terganggu. Dia jarang marah kerana dia akan dihadiahkan dengan layanan mesra persis seorang raja.

Cahaya yang menyilaukan matanya tadi meminggir apabila dia masuk ke dalam rumah. Wajah gadis itu jelas pada pandangannya sekarang. Wajah yang digilainya sampaikan sepanjang hari dia terbayang-bayang. Ya, dia pengkhianat. Dia mengkhianati anak saudara sendiri. 

"Iris," panggil Abu Jalal.

Iris menguntum senyuman.

"Abang dah makan kat rumah sana, kan?" soal Iris.

Dia menarik Abu Jalal duduk di atas sofa. Abu Jalal tersenyum lebar. Ya, katakan apa saja. Dia lelaki tak tahu malu, berpacaran dengan gadis yang lebih muda daripada anak sulungnya. Walaupun dia tidak peduli apa saja selaran orang, tetapi sebenarnya  dia masih peduli! Kerana itulah hubungan terlarang mereka masih dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Yang tahu hanya pengikut setianya, Ayub.

"Kenapa Iris telefon tadi, abang tak jawab? Abang tak risau ke kalau ada rimau nak terkam Iris?" soal Iris, manja dan pura-pura dungu. 

Abu Jalal ketawa sebaik saja Iris membuka ceritera dongeng tentang harimau. Benar, kawasan mereka dekat dengan belantara. Tetapi kawasan rumah itu telah lama diterokai dan dihuni manusia. Kelibat Pak Belang tak pernah kelihatan bertahun-tahun lamanya. Barangkali sudah pupus ditelan pembangunan. Manusia terus rakus mengejar dan merampas. Dia juga tergolong dalam kelompok yang sama. Manusia yang tidak peduli, asalkan not-not ringgit bergolek ke kaki.

"Abang dengan rimau jadian," luah Abu Jalal.

"Rimau jadian?" soal Iris, terkejut. Dahinya berkerut.

"Kak Nisa kamulah. Dia kan ada dengan abang. Mana boleh abang jawab. Kalau dia tahu, diserangnya Iris, ditarik-tarik rambut? Nak?"

Iris memuncungkan bibir. Dia mengengsot jauh sedikit daripada Abu Jalal. Merajuk kononnya. Mukanya ditoleh ke arah lain, tidak mahu memandang lelaki yang lebih tua daripada arwah ayah kandungnya andai dia masih hidup.

"Ris, abang ni bukan apa. Abang fikirkan Ris aje. Abang tak nak Ris kena serang dengan Kak Nisa. Ris pun tak nak orang kampung tahu kan hubungan kita ni?"

Iris memandang semula Abu Jalal dengan muka merajuk.

"Abang nak jaga Ris atau sebab abang sayangkan Kak Nisa? Abang memang selalu lebihkan yang sebelah sana, kan?"

"Hei ... cemburu pula dia ni?"

"Mau tak cemburu. Ris lagi muda, lagi cantik. Abang nak pandang yang tua ganyut juga," rungut Iris tanpa berlapik.

Abu Jalal tersenyum saja. Dia tidak suka memujuk. Akan mencalarkan egonya sebagai lelaki. Baik dia mahupun Iris tahu hubungan mereka berlandaskan wang ringgit. Untuk apa Iris berlakon yang gadis itu setulus hati menyayanginya dan mencemburui hubungan dia dan isterinya, Nisa? Walhal Iris tahu di mana tempatnya. 

"Bulan ni abang belum masukkan duit, kan?" soal Abu Jalal.

Iris terdiam.

"Sebab tu ke Iris nak cari pasal dengan abang? Kak Nisa tu alasan nak gaduh aje, kan?"

Iris pandang ke arah lain, mengelak.

"Berapa Iris nak?"

"Tiga," jawab Iris tanpa memandang Abu Jalal.

"Tiga ratus?" soal Abu Jalal, lalu mengeluarkan telefon pintarnya untuk membuat transaksi bank atas talian.

"Janganlah bergurau kasar macam tu!" marah Iris.

Abu Jalal ketawa.

"Ya. Tiga ribu. Abang masukkan sekarang juga."

Dia menekan beberapa ikon di telefonnya dan kemudian menunjukkan transaksi yang sudah selesai itu di depan muka Iris.

"Lima ribu?" soal Iris. Senyuman memekar di bibir.

"Nak kata abang tak sayang lagi, kan?" soal Abu Jalal.

Iris menarik tangan Abu Jalal dan mengucupnya. Abu Jalal tersenyum.

"Tapi abang nak Iris buat sesuatu untuk abang." 

Iris melepaskan tangan Abu Jalal. Pandangan itu bagaikan satu amaran awal baginya. Pasti ada sesuatu yang aneh dihajati lelaki tidak sedar diri itu.

"Buat apa?"

"Abang nak Iris pikat seseorang. Abang perlukan dia untuk projek abang."

Muka Iris bertukar jelik. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena apabila Abu Jalal mula meminta-minta. Melayani Abu Jalal sudah membuatkan dia geli tekak. Dia terpaksa kerana tamakkan wang. Kalau dia perlu menambah deretan lelaki tua dalam portfolionya, barangkali Iris akan termuntah hijau di situ juga. Lakonannya ada  hadnya.

"Lelaki tua?"

Muka Abu Jalal berubah rona. Mahu saja dia mengangkat tangan menempeleng wajah licin itu. Hadiah kerana menghina usianya. Apa lelaki tua itu buruk? Bukankah Iris sendiri pernah berkata yang usia hanya nombor dan tidak mempunyai makna di matanya. Kalau dia hendak berlakon tidak kisah, biarlah bersungguh-sungguh. Nampak sangat kepalsuannya.

"Kenapa kalau tua?" soal Abu Jalal. Nadanya bertukar dingin.

"Bukan macam tu. Maksud Iris, kenapa abang nak suruh Iris? Abang tau kan, hati dan tubuh Iris hanya untuk abang sorang aje. Iris tak naklah layan lelaki lain semua tu," ujar Iris, bermanja-manja semula.

Abu Jalal ketawa. Pada mulanya, tawanya perlahan.

Kemudian, tawanya semakin kuat dan membingitkan telinga.

Iris terpaksa bertahan. Dia tidak boleh tersalah cakap lagi. Abu Jalal perengus orangnya. Dalam sesaat, lelaki itu boleh jadi penyayang. Tetapi kala marah, dia boleh menjadi binatang buas.

"Kalau abang tak bagi Iris duit, Iris sanggup hidup dengan lelaki tua macam abang? Sanggup jaga bila abang sakit nanti, dah tak mampu kerja? Sanggup basuh kencing berak abang? Tukar pampers abang?"

Iris terdiam.

"Sanggup ke tidak, abang tanya ni?" gesa Abu Jalal.

"Sebab tu abang tak bagi Iris status isteri, kan?" soal Iris.

Dia menggigit bibirnya menahan geram. Sudah terang lagi bersuluh. Untuk apa dia menipu? Sedangkan bau mulut lelaki itu sudah cukup meloyakan. Apatah lagi kalau satu hari nanti lelaki itu sudah tidak mampu menguruskan diri sendiri. Janganlah nak diharapkan pada dia untuk menjaga. Dia tak sanggup. 

"Dan sebab tu abang kena buat banyak duit. Supaya Iris terus sayangkan abang." Abu Jahal menarik dagu Iris, memerhatikan wajah itu.

"Untuk buat lebih banyak duit, kita kena ambil tanah Baqi."

"Ba ... Baqi?" Air muka Iris berubah. Matanya membulat memandang Abu Jalal.

"Ya, Iris kuncinya. Kalau Iris berjaya pujuk Baqi, kita akan dapat tanah-tanah yang kita perlukan untuk dijual kepada kawan abang tu," luah Abu Jalal yang sudah merencanakan segalanya dalam kepalanya.

Dia memerlukan Iris untuk melunaskan segala yang dihajatinya. Iris kelemahan Baqi. Dia tahu Baqi pernah merancang untuk menikahi gadis itu. Tetapi, selepas beberapa tahun di luar negara, Baqi mendiamkan niatnya dulu. Abu Jalal yakin yang Baqi mampu dilenturkan oleh Iris.

"Abang, Baqi kat Scotland. Iris pernah dengar Aloi cakap, Abang Baqi tak nak balik ke sini lagi."

"Dia dah beritahu Aloi. Dia akan balik untuk uruskan tanah dia. Sekarang, Iris kena mainkan peranan. Jangan hampakan abang. Kita tak boleh hilang tanah tu," tekan Abu Jalal.

Iris berdebar semula. Apabila nama Baqi meniti di bibir Abu Jalal, dia tahu rasa itu masih ada. Rasa yang ditolak jauh ke dalam hati kerana keinginan material yang tidak mampu dibendung. Mampukah dia menipu diri andai Baqi kembali hadir di depan matanya? Mata Iris berair. Dia cuba menahan diri daripada menumpahkan isi.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.