Home Novel Cinta Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/2/2025 14:08:40
1,773
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 5

ENGKAU laksana bulan, tinggi di atas kayangan ...," nyanyi Baqi yang sedang menongkat dagu di balkoni tingkat atas rumah Tan Sri Jamal Pak Tongko. 

Dia merenung bulan yang kelihatan mengambang. Bulan yang tampak indah dari kejauhan, tetapi sebenarnya berkawah di atas permukaannya. Dia menoleh, memandang Orked dengan gaya melodramatik.

"Hatiku telah kau tawan, hidupku tak keruan ...."

Kekwa menekan-nekan jari-jemarinya di atas piano dengan not-not yang bertepatan meskipun riak mukanya tampak terpaksa dan meluat. Hatinya memaki hamun Baqi. Sama ritma dengan nyanyian yang kononnya sedap bagi Orked dan Nik Irma.

"Mengapa ku diseksa? Mengapa kita bersua? Berjumpa dan bercinta ... tetapi menderita," sambung Baqi dengan gaya melodramatik.

'Aku seksa kau betul-betul baru tau, Baqi!' rungut suara hati Kekwa.

Pandangan Kekwa berpindah pada wajah Orked yang tampak teruja mendengar Baqi menyanyi dengan penuh gaya. Kekwa menyumpah lagi dalam hati. Apa Baqi fikir ini filem Hindustan? Perlukah dia menggoda Orked dan Nik Irma dengan nyanyian klasik disertai dengan lirik mata yang menjengkelkan? Itu tidak termasuk dalam perancangan Kekwa. Siapakah penulis dialog mengarut ini?

"Ooo ... ooo ... kau cabutlah nyawaku ...," nyanyi Baqi. Sebutannya sengaja dibuat-buat umpama sebutan dalam filem Melayu klasik.

Kekwa menekan-nekan not muzik yang tinggi beberapa kali sampaikan Baqi terasa suaranya seakan-akan dihentak-hentak. Baqi menjeling Kekwa.

"Oh, TUHAN-ku! Mengapakah? Kau bezakan hidupku ...," sambung Baqi dengan penuh perasaan. Pura-pura tidak terkesan dengan teguran kasar Kekwa.

"Dinner dah siap!" beritahu Kartini, ketua pekerja di rumah mewah Tan Sri Jamal Pak Tongko.

"Jom, kita makan dulu!" ajak Nik Irma yang terus bangun dan mempersilakan tetamu mereka, Baqi turun bersama ke ruangan makan di bawah.

"Kejap! Kejap! Uwais call Ked ...," beritahu Orked yang berlari ke dalam bersama telefon.

Dia seakan-akan ralat untuk menjawab panggilan buah hatinya di hadapan mereka. Takut kemanisan hubungan mereka dicemburui kononnya. Nik Irma menguntum senyuman kepada Baqi bagaikan memberi ucapan terima kasih tanpa suara. Dia hanya mengerling anak tirinya, Kekwa sebelum berpusing dan melangkah ke ruang makan. Lagaknya umpama puteri kerajaan Britain yang sedang menyertai perarakan. Sangat menjaga tertib. Walhal, di mata Kekwa, dia nampak "syok sendiri".

Kekwa menekan not sumbang di piano berulang kali, menempiaskan geram. Dia bangun dan melangkah ke tepi Baqi, lalu mendekatkan bibir ke telinga lelaki itu dan berbisik dengan daring.

"Apa kau nyanyi tadi? Kau cabutlah nyawaku? Berdoalah aku tak cabut nyawa kau sekarang juga!" ugut Kekwa.

Baqi tercengang.

"What? Mak tiri kau yang minta lagu klasik?" ujar Baqi, tak mahu dipersalahkan.

"Ah, alasan Baqi! Manusia sentiasa ada keupayaan untuk cakap no. Kau yang pilih untuk ikut." "Hei, minah ni! Kau yang minta tolong aku, nak kompelin pula."

Kekwa menyiku Baqi sampaikan lelaki itu mengaduh. Nik Irma menoleh, tetapi Baqi berpura-pura sedang ketawa. Nampak sedang bergurau senda dengan Kekwa. Nik Irma berasa kurang senang. Apatah lagi melihat Kekwa berjalan rapat dengan Baqi. Setahunya, si hati sejuk beku itu tidak mempunyai pasangan dan Baqi hanya sahabatnya. Mungkinkah hubungan mereka sudah beranjak ke fasa lain? Dia tidak mahu wanita sombong itu mempunyai keturunan yang bakal melancarkan perang ke atasnya, sekali gus menggugat kedudukan dia dan Orked.

"Ada apa-apa ke?" soal Nik Irma.

"Kek buat lawak," luah Baqi sambil menuding ke arah Kekwa.

"Lawak apa tu? Aunty pun teringin nak dengar, Kek," ujar Nik Irma sambil matanya tertuju pada Kekwa.

"Ada seorang adik ni ... dia bercinta dengan abang ipar dia masa kakak dia tengah sakit tenat. Lepas kakak dia mati, dia terus bercerai dengan suami dia dan pindah masuk ke rumah arwah kakak dengan alasan nak jaga anak saudara. Lepas tu kan, dia ...," cerita Kekwa, spontan. 

"Kekwa!" jerkah suatu suara yang sejak tadi hanya memasang telinga. Baru kini dia memperlihatkan kehadirannya.

Kekwa berjalan tegak, melepasi empunya suara yang menjerit namanya tadi dengan muka selamba tanpa rasa gerun.

"Tan Sri Jamal," tegur Kekwa sebelum duduk di meja makan yang dipenuhi hidangan lazat.

Tan Sri Jamal duduk di kerusi tengah, menghadap Kekwa yang melampirkan reaksi wajah biasa. Jelas, anaknya itu masih berdendam. Kekwa tidak akan membiarkan  hidup mereka aman. Dan dia tidak mengizinkan Tan Sri Jamal lupa akan dosa-dosa silamnya.

"Sampai bila kau nak berkelakuan macam budak-budak, Kek?" soal Tan Sri Jamal sambil menujah jelingan tajam.

Dia mengharap soalan berbaur ugutan itu mampu membuatkan Kekwa mengunci mulut ketika di meja makan. Sekurang-kurangnya biarlah mereka menikmati hidangan makan malam sebagai sebuah keluarga semula. Walaupun dalam versi lakonan semata-mata. 

Kekwa ketawa mengejek.

"Sampai orang dewasa berkelakuan macam orang dewasa. Sampai seorang ayah berkelakuan seperti seorang ayah. Bukan macam seekor ayam jantan yang sambung keturunan merata, tak kira betina mana," balas Kekwa selamba.

Dia berlagak seolah-olah kata-katanya tadi hanya membaca pantun empat kerat atau puisi alam yang tidak mempunyai maksud keras. Kemudian, dia terus mengangkat gelas air dan meneguknya perlahan-lahan tanpa rasa bersalah.

"Kalau kau nak biadab macam ni, kenapa kau balik? Baik kau mereput saja kat sana tu!" cetus Tan Sri Jamal.

"Kalau ikut umur, siapa agaknya yang akan mereput dulu, Tan Sri?" soal Kekwa tanpa memandang Tan Sri Jamal. 

Mata Tan Sri Jamal membuntang. 

Kekwa tersenyum. Dia memotong stik di dalam pinggannya nipis-nipis sebelum memasukkan ke dalam mulut. Dia mengunyah perlahan-lahan dengan senyuman sinis yang menyakitkan hati si pemerhati. Matanya ditemukan dengan mata Tan Sri Jamal. Dia seakan-akan cuba mencabar ayahnya dengan cara tersendiri. Ayahnya itu terus menurunkan napkin yang baru sekejap diletakkan atas paha.

Tan Sri Jamal menggeleng dan terus bangun. Napkin di tangan dihempas ke atas kerusi.

"Maafkan uncle, Baqi. Uncle dah hilang selera." 

Baqi mengangguk tanda mengerti. Mana mungkin seorang ayah terus duduk di situ dan menjamah sindiran pedas yang bertali arus datang daripada seorang anak. Tetapi, mampukah dia masuk campur? Dia bukan ahli keluarga. Apatah lagi ahli ilmuan yang tahu hukum-hakam. Dia memilih untuk diam daripada berlagak tahu dan peduli.

Tan Sri Jamal terus beredar. Melihat saja suaminya berlalu pergi, Nik Irma turut bangun dan mengekori langkah suaminya ke dalam. Berbeza dengan Tan Sri Jamal, Nik Irma tidak memberi alasan untuk pemergiannya. Dia madam besar rumah itu. Baginya, dia layak melakukan apa saja.

Baqi hanya terkebil-kebil. Dia duduk di sisi Kekwa yang makan dengan lahap tanpa mempedulikan persekitaran. Bahkan Kekwa tampak lebih berselera selepas Puan Sri Nik Irma dan Tan Sri Jamal beredar. 

"Nak pepper?" soal Baqi sambil menunjukkan bekas kecil yang berisi lada hitam yang dihancurkan menjadi butir-butir sehalus tanah pantai. 

Kekwa menggeleng.

"I think I've added enough spice," ucapnya penuh sinis.

Dia tersenyum bahagia bagaikan seorang psiko. Baqi menjongket bahu, berpura-pura tidak berminat untuk mengerti. Dia tidak mempersoalkan krisis keluarga Kekwa yang didengarinya tadi. Telinganya tajam mendengar, setajam otaknya untuk mencerna. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena apabila Kekwa enggan pulang ke rumahnya sebelum ini. Sekarang dia lebih faham rantaian hubungan Kekwa dan keluarganya. Siapa sangka? Nik Irma menikahi bekas abang ipar sendiri.

Baqi menggesel tangan, memerhatikan setiap makanan yang terhidang di depan mereka dengan khusyuk.

"Takkan kita dua orang aje nak habiskan semua makanan ni?"

"Nak tapau for supper ke, Bakhil?" pelawa Kekwa sambil mengerling Baqi yang sememangnya kedekut.

Baqi tersenyum lebar.

"Ada bekas?"

"Mak Tini!" panggil Kekwa.

Kartini menghampiri meja makan.

"Cik Kek?"

"Boleh tolong bungkuskan makanan ni untuk Baqi? Ambil yang ni dengan yang ni," arah Kekwa sambil berkira-kira sebelum menuding ke arah dua jenis makanan dalam pinggan yang terhidang.

"Aww ... kau tau apa aku suka," ujar Baqi, gembira.

Kekwa mengalihkan pandangan ke muka Baqi.

"Aku tau kau suka semua makanan. Aku hanya bagi apa yang aku tak suka." Kekwa membetulkan tanggapan Baqi.

"Sakit sangat ke kau nak pura-pura ambil berat pasal aku sekali-sekala, Kekwat?" soal Baqi, berpura-pura murung.

Kekwa mengangguk.

"Ya, Bakhil. Sakit sangat."

Baqi ketawa. "Fine ...."

Dia mengangkat garpu dan pisau lalu menghiris stik di hadapannya dengan penuh tertib. Stik dimasukkan ke dalam mulut. Dia mengangkat ibu jari.

"Hmm ... sedapnya. Lama aku tak makan masakan rumah."

"Ni masakan hotel, Baqi."

"Apa-apalah. Makanan apa pun, tetap sedap. Dari hidup tak ada makanan," balas Baqi dengan senyuman yang memudar, seakan-akan sedang terkenangkan sesuatu. Dia mengunyah makanan dengan penuh nikmat. Selang beberapa minit, Orked yang tidak tahu-menahu apa yang berlaku, melabuhkan punggung di kerusi menghadap mereka. Dia terus mengunyah makanan tanpa banyak soal. Selepas hampir separuh daging stik dalam pinggan dihabiskan, barulah dia tersedar sesuatu.

"Mama dan papa tak join kita makan malam?" soal Orked.

"Ayah sakit," jawab Kekwa.

Orked berhenti menjamah makanan. Mukanya bertukar terkejut.

"Sakit? Sakit apa? Tadi masa dia balik kerja, nampak macam okey aje. Migrain ke?"

"Sakit hati," jawab Kekwa lagi.

Orked terdiam. Dia cuba mencerna jawapan dan senyuman yang terbit pada wajah sombong Kekwa. Belum sempat Orked membuka mulut, Kartini keluar semula dengan makanan yang sudah siap berbungkus.

"Cik Kek, ni makanan yang disuruh bungkus tadi," ujar Kartini sambil meletakkan bungkusan makanan di hujung meja. 

"Terima kasih," ucap Baqi usai menghabiskan makanan di dalam pinggannya. Dia bingkas bangun. 

"Aku rasa kau orang berdua ada banyak benda nak berborak. Yalah, lama dah tak jumpa, kan? Aku minta diri dululah."

"Bye," ucap Kekwa sepatah.

Dia langsung tidak berganjak dari meja makan. Baqi dibiarkan mencari jalan keluar sendiri. Lelaki itu tidak nampak kekok ketika melangkah keluar bersama bungkusan makanan yang dibekalkan. 

Kartini mengikut jejak Baqi dari belakang hingga ke pintu keluar. Baqi berpusing sekejap sebelum beredar, memandang Kartini dengan penuh hormat sambil meletakkan tapak tangan di dada kirinya. Dia menunduk sedikit tanda mengucapkan selamat tinggal. Kartini membalas dengan senyuman.

"Jumpa lagi, Tuan Baqi," ucap Kartini.

"Insya-ALLAH esok!" balas Baqi. Nada suaranya sengaja dilontarkan jauh, harap-harap dapat sampai ke gegendang telinga Kekwa di meja makan. 

Kekwa meletakkan sudu sekejap. Dia tahu yang Orked cengeng. Adik tirinya itu sedang cuba menahan rasa sebak. 

"Sampai bila Kak Kekwa nak bergaduh dengan papa?" 

Kekwa sengaja melengahkan respons kepada soalan Orked. Dia mencapai puding yang dihidangkan cantik di dalam mangkuk manisan.

"Dah bertahun-tahun dah papa dan mama kahwin. Takkan akak masih berdendam?" tekan Orked lagi.

"Dia pun tak boleh maafkan diri dia sendiri. Kenapa aku perlu maafkan dia, Orked?"

Kekwa menyuap puding ke dalam mulut. Kemanisan puding itu tidak mampu memaniskan hatinya yang terasa bagaikan hempedu. Tetapi, dia tetap menjamah biarpun tanpa perasaan suka.

Orked nampak sebak. Suaranya kedengaran terketar-ketar apabila bercakap.

"Papa dah tua. Dia rindukan Kak Kek. Dia dah lama nak jumpa Kak Kek. Kalau Kak Kek berlembut dengan mama, mungkin ...." 

"Laksana Bulan adalah lagu terakhir yang mak aku dengar atas katil, sebelum dia mati. Kau tau apa mama kau cakap pada mama aku masa tu?" soal Kekwa.

Dia memandang tepat ke wajah Orked yang tampak resah. Agaknya budak setahun jagung itu baru sedar yang dia mengajak orang yang salah untuk berbahas. Naif dan baik adalah sifat yang berbeza. Orked naif. Namun, pada pandangan Kekwa, Orked bukan dalam kategori baik. Kalau Orked baik, dia tidak akan cuba merampas apa yang menjadi hak milik Kekwa. Dan Kekwa takkan berlembut dengan orang yang berniat serong terhadapnya.

"Mak kau cakap kat mak aku, perempuan yang ada hubungan darah dengan dia, yang sedang sakit tenat masa tu, 'Doalah supaya TUHAN cabut nyawa kau. Hidup menyusahkan orang, baik mati.' Dan mak aku balas, dia takkan memberi kemaafan sepertimana mak kau tak pernah minta kemaafan daripada dia. Kalau dia orang pilih untuk perang sampai mati, kenapa aku pula kena cuba berbaik dengan mak kau?" sambungnya. 

Air mata Orked bertakung, menampakkan matanya seolah-olah bercahaya di bawah cahaya lampu.

"Orked rasa mama tak sengaja. Mungkin mama tertekan masa tu. Penat nak jaga orang sakit. Manusia boleh berubah, kak. Tapi Orked tau mama sayangkan akak macam anak sendiri."

"Sayang?" soal Kekwa. 

Dia menahan diri daripada ketawa lagi. Jenaka itu menggeletek urat perutnya. Ya, dah tentu Orked perlu mengungkit tentang sayang. Gadis itu dibanjiri dengan kasih sayang sejak kecil. Anak tiri yang diberi taraf anak itu penyejuk hati Tan Sri Jamal. Sedangkan hubungannya dengan ayahnya sentiasa berpanas dan berhujan disertai ribut petir.

"Leave Uwais, Orked. Kau takkan bahagia dengan dia." Kekwa memberi amaran dan pada masa yang sama, mengubah hala tuju perbualan mereka. 

Orked tersentak.

"Kenapa akak tiba-tiba cakap macam tu? Takkan baru sekarang akak nak cemburu?"

Kekwa tidak membalas.  

"Akak yang cakap akak tak suka dia. Sebab tu Orked bagi dia peluang. Akak dah lupa ke?"

Kekwa berhenti mengunyah dan mengelap bibirnya dengan kain napkin meskipun tiada sisa makanan yang tertinggal. 

"Jangan salah faham, Orked. Aku masih tak suka dia. Sebetulnya, aku benci sangat tengok muka dia." Dia menggerakkan tubuh ke depan sedikit, memandang Orked. "Cuma, aku tau dia akan habiskan duit papa selaju 'The Flash'. And I hate The Flash too."

"Tuduhan akak tak berasas. Dia pun orang senang. Buat apa dia nak pandang duit papa?"

Kekwa menghembus nafas, cuba mencari picisan kesabaran yang masih ada dalam diri. Tiada guna dia menghilangkan kewarasan untuk menghiburkan budak naif yang hanya mampu melihat dunia dari kanta mata palsu yang ditunjukkan oleh orang tuanya.

"Grow up, Orked. Kalau semua orang kaya tak kisah pasal duit, kenapa dia orang beli insurans setiap kali mulakan perniagaan? Orang kaya nak lebih kaya, tapi tak nak hilang apa-apa."

Orked tersenyum sinis, mengejek.

"Selama ni Orked ingat akak tak peduli pasal duit."

"Oh, don't get me wrong, sister. I do love money ...."

Kekwa bangun dari kerusi dan melepaskan napkin di atas meja. ".... a lot."

"Maksud akak?" Orked nampak tertekan.

Kekwa mengukir senyuman.

"Orang naif yang berlagak bodoh takkan faham. Dan aku ... tak ada masa nak ajar. Jadi, dengar ajelah cakap aku. Tinggalkan Uwais. Atau ditinggalkan ...."

Orked hanya menjeling sewaktu Kekwa melangkah pergi dengan wajah bersahaja. Kakak tirinya itu tidak melampirkan sebarang rasa bersalah seperti selalu. Orked menggenggam tangan, menahan geram yang teramat.

Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.