Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 41

Dian yang berada di dalam bilik rawatan segera menuju ke kaunter depan setelah mendengar bunyi loceng yang begemersik, menandakan kehadiran pelanggan ke situ.

“Selamat datang…” tuturnya dengan senyuman, menyambut kedatangan pelanggan yang dihargai. Kak Ira dan Abang Saiful sudah keluar untuk pergi ke bank dan kini dia hanya tinggal sendiri.

“Selamat datang…” ulangnya lagi namun tak lama sebelum alisnya dikerutkan kerana dia mula tak pasti. Dia jadi pelik bila sapaannya tetap tidak berbalas dan keadaan masih sunyi sebelum dia mula ragu-ragu untuk bersuara kembali.

Azeem hanya tercegat, sambil memandang tepat ke arah Dian. Hatinya rasa pedih seperti dihiris sembilu, sedih melihat Dian yang sudah jadi sebegitu.

“Kak Ira, akak ke tu? Abang Saiful? Kak Ira dengan Abang Saiful saja nak mainkan-mainkan Dian ya.” tuturnya seketika kemudian. Namun tetap tak berbalas.

“Cuma perasaan kau agaknya Dian, bukannya ada orang pun.” bisiknya perlahan sebelum bergerak semula ke dalam meninggalkan Azeem yang tetap terpaku di situ. Kekesalannya sudah melebihi segala. Hatinya mula rasa membengkak sebelum dadanya terasa sesak. Dia tahu dia perlu segera keluar dari situ, bimbang dia takkan dapat untuk mengawal diri lagi dan serentak dengan itu dia angkat kaki.

Bunyi loceng di pintu menghentikan pergerakan Dian sebelum dia menuju ke kaunter depan semula.

“Selamat datang…” tuturnya, namun tetap juga sunyi dan dia makin sangsi dengan apa yang sebenarnya terjadi, sebelum dia menggeleng-gelangkan kepala tanda tanda ketidakpuasan hati.

 

“Kak Ira, tadi masa akak dengan abang keluar, Dian dengar bunyi locang kat pintu depan, lepastu Dian pergilah tengok, tapi bila Dian tanya senyap je.”

“Mula-mula ingat Dian yang salah dengar, kira oklah kalau macam tu, tapi bila Dian nak masuk, Dian dengar bunyi loceng lagi sekali. Bila Dian tanya tetap tak ada yang menyahut.” tutur Dian bersungguh-sungguh menceritakan apa yang berlaku kepada Kak Ira dan Abang Saiful yang baru pulang dari bank.

“Iya ke Dian? Ada orang yang sengaja nak main-main agaknya tak? Selama kita buat business kat sini, tak pernah perkara macam ni jadi. Takpalah, lepas ni akak takkan tinggalkan Dian sorang-sorang lagi. Bahaya. Takut jugak akak dengar cerita Dian tu.” balas Kak Ira sambil memerhati bahagian sekeliling kedai.

“Kedai kita ni tak ada cctv, kalau jadi apa-apa susah kita nanti. Takpa nanti abang call Ah Lek, minta dia pasangkan cctv. Lagipun rezeki bulan ni ada lebih. InsyaAllah, kita doa minta jauh benda-benda tak baik macam tu.” tutur Abang Saiful pula.

“InsyaAllah, amin.” sahut Kak Ira dan Dian serentak, minta dijauhkan daripada pandangan buruk insan-insan yang tak bertanggungjawap. Bunyi loceng sekali lagi bergema di dalam kedai tersebut. Serentak ketiga-tiga mereka tergamam.

“Kali ni betul, memang orang.” bisik Kak Ira sebelum Dian dan Abang Saiful menarik nafas lega. Hilang kebimbangan yang mula terbit di hati mereka.

“Ya, encik, boleh saya bantu? Nak buat rawatan?” tuturnya kepada lelaki tersebut dan dengan pantas Azeem mengangguk. Tak mahu terlalu mendedahkan dirinya. Mungkin belum tiba masa Dian mengetahui kehadirannya di situ.

“Dah pernah datang ke sebelum ni? Dah jadi ahli?” soal Kak Ira lagi dan serentak dengan itu Azeem segera menggeleng.

“Kalau macam tu nak daftar jadi ahli? Kalau dah jadi ahli, nanti boleh dapat diskaun, murahlah sikit. Kalau nak encik bagi ic, biar akak daftarkan.” cadangnya.

“Ok.” balas Azeem sepatah. Segera dia bertindak seperti yang diarah. Bulat mata Kak Ira tadkala terpandangkan nama yang tertera di situ.

“Macam mana Encik Syed..”

“Panggil saya Zul je kak. Saya tahu tempat ni dari kawan, dia yang syorkan. Tu yang datang, nak cuba.” pantas Azeem memotong, tak mahu terlalu berlebihan kerana masanya belum bersesuaian.

“Betul ke kalau jadi ahli boleh dapat diskaun?” soalnya pula, mahu segera menukar topik perbualan.

“Mestilah ada. Zul tunggu sekejap, nanti akak daftarkan.” jawap Kak Ira sebelum memulakan urusan dan serentak dengan itu dia kembali mengangguk, tak mahu memanjangkan bicara. Sempat juga dia mencuri pandang ke arah Dian yang ada duduk berhampiran. Melihatkan keadaan Dian yang kekal tenang, membuatkan dia pasti Dian masih tak mengetahui tentang kehadirannya di situ.

“Fuh! Lega.” bisiknya di dalam hati.

Dia takkan dapat melupakan wajah itu. Biarpun tak pernah menggungkapkannya daripada hati ke hati, tapi cintanya pada Dian sudah lama bersemi. Buktinya sampai sekarang dia masih termimpi-mimpi malah hatinya sentiasa berdegup kencang setiap kali wajah itu ditatapi. Dian tetap nampak ayu dan sempurna di matanya, sentiasa dan akan kekal begitu selamanya.

Mungkin sukar untuk Dian mempercayainya, tapi ituah yang dia rasa. Dian kini telah menjadi permaisuri yang bertakhta di hati selagi dunia tak berganti, kerana itulah janjinya pada diri sendiri. Dian memang bukan yang pertama, tapi Dianlah yang terakhir kalinya.

“Ok, Zul. Dah selesai, ini kadnya. Zul ikut Abang Saiful ya.” arahnya. Azeem pantas mengangguk faham, sebelum bertindak membuntuti lelaki tersebut.

“Dian tolong tunggu kaunter sekejap boleh? Akak Ira ada kecemasan.” bisik Kak Ira ke telinga Dian.

“Boleh boleh, tapi akak ada kecemasan apa?” balas Dian sambil berbisik.

“Dian ni, itu pun nak tanya ke? Hal kecemasan, maksudnya nak terkucil la apa lagi.” bisiknya kembali ke telinga Dian, tak mahu diketahui ramai. Serentak Dian ketawa mendengarnya.

“Eee, akak ni. Ingatkan apalah tadi. Pergilah, biar Dian cover depan, akak cover diri ya.” balasnya pula.

“Ooo…perli akak ya, tapi nantilah kita sambung. Akak pergi sekejap.” balasnya pula sebelum bergegas ke arah belakang premis.

Azeem tak melepaskan peluang yang terhidang. Langkah kakinya terhenti bila terpandangkan senyuman manis yang terpamer di wajah itu. Kini dia benar-benar mengerti makna Dian dalam hidupnya. Dianlah bintang kejoranya, penyeri sebuah kehidupan. Tanpanya hidup kelam dan tak bercahaya, gelap dan suram sepanjang masa, malah langsung tiada rasa dan hanya Dian yang mampu membuatkan dia bahagia. Hanya Dian! Bisiknya pasti.

Tanpa dipaksa, bibirnya turut menguntum senyum. Walau apapun yang bakal terjadi dia berjanji akan menjaga kebajikan Dian sebaiknya kerana dia tahu, Dianlah nyawanya.

“Zul?” soal Abang Saiful yang sudah memboloskan diri ke dalam bilik rawatan.

“Sa…saya.” balasnya terkejut sebelum segera dia mendapatkan Abang Saiful, biarpun hati masih belum puas melepas rindu.

 

Petang itu seperti biasa, Azeem mengekori Dian untuk menghantarnya pulang ke rumah dan seperti biasa juga, Dian akan singgah ke kedai makanan panas Cik Zainab, untuk membungkus keperluan. Dia teringin untuk menguruskan perihal Dian, tapi dia tak tahu bagaimana mahu melakukannya.

Sedang dia berfikir-fikir ilhamnya muncul. Di teringatkan cara perkongsian rezeki kepada golongan yang tak berkemampuan melalui pemberian kupon makanan yang diperkenalkan dan semakin meluas digunakan. Senyuman puas terukir di wajahnya, gembira kerana akhirnya dapat melakukan sesuatu untuk Dian.

 

“Alamak, hari ni tak sempat nak dengar berita. Entah apalah yang jadi pada dunia.” tutur Dian sambil menuju ke arah telivisyen dan memasang suiznya. Cuma seketika sebelum dia menyedarinya.

“Dah pukul berapa dah, mana ada berita lagi.” tambahnya kecewa bila suara pembaca berita tak lagi dapat didengari sebaliknya yang ada hanya rancangan drama sahaja.

“Okk…? Macam kenal je cerita ni.” duganya sendiri saat suara-suara pelakon lama itu menyapa telinga.

“Betullah cerita ni. Ni kan cerita ummi, tapi macam baru lagi lepas tayang hari tu.” tuturnya sendiri sambil tersenyum suka hati sebelum dia menyandarkan diri pada gulungan alas tidur yang ada berhampiran, bersedia untuk memulakan tontonan. Sempat dia mencapai bantal alas tidur ummi yang sentiasa menjadi penemannya selama ini.

“Ummi, dah tak ada dah bau ummi kat sini.” ucapnya pula saat menyedari haruman ummi turut sama telah meninggalkannya.

“Ummi nak tau tak, kebelakangan ni, Dian selalu tertanya-tanya, bila agaknya masa Dian rasa paling rindu pada ummi…” soalnya sendiri.

“Masa pagi, bila Dian bangun, Dian yakin itulah masa yang Dian paling rindu pada ummi, tapi bila jalan sorang-sorang waktu pergi dan balik kerja, Dian rasa Dian lagi rindu pada ummi masa tu…” tuturnya sambil memeluk kemas harta kenangan ummi itu.

“Bila dah sampai rumah, lain pulak rasanya, sebab Dian jadi betul-betul pasti yang Dian paling rindu dengan ummi kat sini. Kenapa Dian rasa macam ni ummi?” soalnya lagi sambil sel-sel otak behubung untuk membuat rumusan pada data-data yang berjaya dikumpulkan.

“Tapi, Dian gembira macam ni. Dian gembira bila tahu Dian tak pernah lupakan ummi sebab setiap kali ingat ummi, Dian takkan lupa hantarkan bekal untuk ummi, untuk abi. Dian harap ummi bahagia kat sana.”

“Dian teringin sangat nak jumpa dengan ummi lagi. Ummi janji ya, ummi kena tunggu Dian kat sana. Ummi kena ingat rupa Dian macam mana, sebab Dian takut Dian tak dapat nak kenal ummi nanti.” tuturnya lagi sambil mengesat air mata yang muncul tanpa dipaksa. Tiba-tiba dia jadi teringatkan Abang Azeem dan Sofia pula, cuma seketika sebelum segala kenangan itu dipendamkan segera.

Perlahan-lahan dia merebahkan dirinya sambil telinga masih lagi ditemani dengan dialog-dialog pelakon drama klasik tersebut. Susunan bahasa dan intonasi yang lembut, betul-betul membuatkan hatinya rasa tenang. Tiba-tiba dia menguap besar dan tanpa sedar kantuknya datang, meninggalkan telivisyen yang sedia terpasang.

 

Selesai solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di masjid, Azeem terus ke bilik sewa Dian. Perlahan-lahan kalinya mendaki sebelum dia mengambil tempat di mata tangga. Cahaya yang dapat dilihat di bawah pintu menandakan Dian masih belum melelapkan mata dan dia rasa bahagia bila dapat menjadi peneman Dian sepanjang tempoh itu. Sekilas dia memandang jam di tangan yang sudah menghampiri angka 10.00 malam.

Dia agak lambat hari ini kerana pihak masjid ada mengadakan bacaan Yasin sebelum disusuli ceramah yang disampaikan oleh ustaz jemputan untuk mengimarahkan majlis ilmu berkenaan. Azeem mula menyukai kehidupan barunya itu. Selama ini dia memang jarang berjemaah di masjid. Kalau ada pun setiap hari Jumaat untuk melakukan solat yang menjadi kewajipan kepada golongan Adam, iaitu solat jumaat. Waktu lain dia tak berkesempatan kerana terlalu sibuk menjalankan urusan.

Sekarang dia sudah mempunyai satu misi baru. Dia telah memasang azam untuk berjemaah di masjid, paling tidak sekali dalam sehari. Itu tekadnya dan dia berdoa agar hasratnya itu dimakbulkan kerana seperti ada perasaan yang berbeza dirasakan bila menunaikannya secara berjemaah berbanding solat secara bersendirian. Mungkinkah kerana ia didirikan di dalam rumah Allah? Jadi perasaannya juga turut berubah? Mungkin. Duganya sendiri sebelum dia menganggukkan kepala berkali-kali.

Tiba-tiba, pandangannya tertarik pada kegelapan, mengganti cahaya yang kelihatan. Melihat isyarat itu, dia pasti Dian sudah bersedia untuk tidur. Serentak dia menghampiri pintu bilik tersebut dengan berhati-hati.

“Selamat malam sayang…Abang Azeem balik dulu. Assalammualaikum…” bisiknya perlahan sebelum meninggalkan Dian menyulami mimpi-mimpi indah dengan harapan mimpi isteriya itu akan menjadi realiti dan membawa kebahagiaan sampai ke dinihari.

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.