Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 65

Malam sudah meniti pagi, tapi dia tetap leka memerhati. Sambil bersandar di atas kerusi, dia masih tertanya-tanya di dalam hati.

“Azeem, jangan buat gila. Tolong jangan buat kerja gila!” bisiknya sendiri. Serentak jam yang terdapat di dalam kereta dijeling sekali lagi, sudah melebihi angka 2 pagi.

“Tapi takkanlah dia tak tidur lagi kan? Ha, lantaklah. Apa nak jadipun, jadilah. Kalau kena tangkap nanti, pandai-pandailah kau jawab.” tuturnya setelah membuat keputusan sebelum menggaru kepalanya berkali-kali sebelum dia keluar daripada perut kereta sambil berhati-hati menutupnya kembali, tak mahu jejaknya diketahui.

Keadaan di dalam rumah yang sunyi menenangkan hati kerana dia jadi pasti semua penghuni sedang lena diulit mimpi. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke tingkat atas sebelum kakinya terhenti di mata tangga.

“Tapi dia tidur mana? Atas ke bawah?” soalnya pada diri sendiri kerana dia kurang pasti dimanakah Dian berada ketika ini. Serentak dia berpaling untuk memeriksa bilik yang berada di aras bawah terlebih dahulu dan ternyata telahannya tepat, Dian memang berada di situ, ditemani Sofia yang turut terlena sama.

 

Wajah Dian yang menjadi peneman mata sejak tadi tetap juga ditatapi. Puas berdiri, dia akhirnya duduk melutut di sisi sebelum mencuri pandang ke arah jam tangannya semula.

“Sekejap, 5 minit lagi. 5 minit je lagi.” bisiknya di dalam hati untuk yang keberapa kalipun dia sendiri tak pasti.

Entah kenapa, semakin dipandang, semakin tak puas rasanya hati dan dia masih belum cukup lagi. Kalau diizinkan dia mahu terus menatap wajah itu sampai ke pagi, tapi dia tahu masa sangat mencemburui, bila malam sudah berganjak ke dinihari. Serentak jam tangannya dijeling semula sebelum matanya membulat, terkejut barangkali.

“Ya-Allah! Dah dekat pukul 4.” bisiknya perlahan, sedar dia sudah terlalu lama di situ, juga sedar Dian bakal bangun seketika nanti. Walaupun sukar, dia perlu menamatkannya dan dia sudah tak boleh bertangguh lagi.

Dengan berhati-hati dia merapati Dian sebelum tangan isterinya itu digenggam lembut dan tanpa dipaksa sebaknya melanda setelah menyedari dia bakal kehilangan kekasih hati. Dua tahun satu tempoh masa yang lama, itupun jika Dian membuat keputusan untuk kembali, tapi kalau tak macam mana? Kalau bila tamat pengajian, Dian mahu terus menetap selama-lamanya di sana bagaimana? Pelbagai persoalan muncul di mindanya saat itu, menambahkan keresahan di hati, sedang tempoh beberapa bulan yang berlalu tanpa dapat menatap wajah itu sudah cukup untuk membuatkannya sengsara, inikan pula selama-lamanya?

Bergenang air mata bila memikirkannya. Hatinya derita dan sedih, tapi dia rela bekorban demi kesejahteraan insan yang disayang sambil wajah itu tetap juga dipandang.

“Adik maafkan Abang Azeem. Abang Azeem betul-betul nak minta maaf dengan adik.” bisiknya perlahan sebelum mengucup tangan itu lembut.

“Kalau adik dah tak marahkan Abang Azeem lagi, adik balik ya. Tolonglah balik semula pada Abang Azeem. Abang Azeem akan tunggu adik sampai adik sedia. Biarlah lama manapun, Abang Azeem tetap akan tunggu. Tolonglah janji dengan Abang Azeem yang adik akan balik…” tuturnya yang sudah mula sebak.

“Adik tetap kena balik, kalaupun bukan sebagai isteri…baliklah sebagai seorang adik. Abang sayang adik.” bisiknya lagi sebelum mengucup pipi itu perlahan kerana mungkin sudah ditakdirkan begitu. Cinta tak diukur dengan sebanyak mana kita menerima, sebalikya sebanyak mana kita memberi, kerana cinta, bukan hanya bermakna kita memiliki.

Air mata kesedihan yang tak mampu untuk ditahan, menghujani pipi yang semakin kebasahan dan tanpa sedar turut sama dikongsi bersama dengan Dian. Beberapa titis air mata turut menjadi peneman di wajah Dian sebagai bukti kewujudan.

“Adik jaga diri ya…assalammualaikum sayang.” bisiknya perlahan sebelum segera beredar dari situ ditemani tangisan dan air mata tanda perpisahan. Perasaannya terdera dan hatinya sedih, tapi dia perlu cepat menerima yang Dian bukan miliknya kerana Dian milik Allah dan dia perlu pasrah. Biarlah Allah yang menentukan segala-galanya dan untuk itu, dia perlu redha.

 

Badan yang sudah puas mendapatkan rehat diregangkan sambil sebelah tangannya mengesat mata yang kekal memberat sebelum dia menoleh ke arah Sofia yang masih nyenyak terlena. Syukur kerana dia tak mengganggu kedamaian si kecil. Tiba-tiba dia terasa seperti ada yang tak kena. Tangannya mendarat di bahagian pipi yang rasa kesejukan sebelum dia seperti menyedari sesuatu.

“Abang Azeem?” duganya sendiri. Serentak dengan itu dia meluru menuju ke pintu. Bunyi deruan enjin kereta yang ditangkap telinga membuatkan dia yakin Abang Azeem telah menjengahnya tadi. Sambil berlari dia berdoa agar dapat bersua-muka dengan si suami. Senyumannya mekar tadkala terpandangkan kereta yang terdapat di luar pagar utama, namun segalanya tak kekal lama kerana belumpun sempat dia mendekati, kereta itu sudah berlalu pergi.

“Abang, Abang Azeem!” jeritnya tapi ternyata sia-sia kerana Azeem sudah terlalu jauh, jauh meninggalkannya.

“Abang, kenapa abang buat Dian macam ni?” tuturnya ditemani air mata kekesalan.

 

Setelah mengetahui segalanya daripada Udin, dia menuju ke Wisma Warisan untuk bersemuka dengan Azeem. Jarak yang dibina harus segera dihapuskan. Andai dia perlu menjadi perayu, dia rela merayu, asalkan segala permasaalahan mereka diselesaikan kerana masanya sudah tak lama dan esok dia bakal meninggalkan negara.

“Assalammualaikum. Boleh saya jumpa dengan En. Azeem? Dia ada?” tuturnya pada petugas di kaunter hadapan.

“Waalaikumussalam. Encik Azeem? Tapi cik dah buat temujanji dengan dia ke belum?” soalnya pula untuk mengetahui keadaan.

“Belum, tapi saya ada hal penting nak bincang dengan dia? Dia ada ke?”

“Saya tak pasti, tapi sebelum tu boleh saya tahu atas urusan apa cik nak jumpa dengan dia dan siapa nama cik?” soalnya lagi sekadar menjalankan kewajipan.

“Saya is…saya isteri dia.” jawap Dian, tak mahu terus-terusan bersoal jawab di situ.

“Maaf puan, saya tak tahu sebab saya baru lagi kat sini. Puan tunggu sekejap, nanti saya maklumkan.” balasnya kalut sebelum segera membuat sambungan.

“Assalammualaikum Kak Ina, tuan ada? Isteri tuan ada kat bawah ni.” tuturnya memaklumkan.

“Ok ok, takpa nanti saya bagitahu. Terima kasih kak, assalammualaikum.” tambahnya sebelum gagang diletakkan.

“Maaf puan, tuan tak ada sekarang. Dia ada meeting di luar dan masih tak balik lagi, tapi Kak Ina akan maklumkan pada tuan nanti.”

“Lama lagi ke baru dia baik?” soal Dian pula.

“Tak tentu lagi puan, tapi macam ni lah, kalau puan tetap nak tunggu, puan naik ke pejabat tuan terus, tunggu di sana, sebab di sana lebih selesa.” tuturnya memberi cadangan.

“Takpalah. Saya boleh tunggu di sini, terima kasih.” balas Dian sebelum menuju kearah deretan sofa yang ada disediakan di ruangan lobi bangunan berkenaan.

 

Stereng kereta digenggam kejap. Tanpa sedar dia telah memandu lebih laju berbanding kebiasaannya. Hatinya terasa gembira sejak perkara tersebut dimaklumkan. Dian sedang berada di pejabat menantikan kepulangannya dan perasaan itu takkan dapat ditahan saja, sehinggakan dapat terlihat di muka. Wajahnya begitu ceria mencerminkan kebahagiaannya.

Selesai memakir kereta dia bergegas menuju ke ruangan lobi, tempat di mana Dian berada. Namun entah apakah sebabnya, tadkala Dian tersapa mata, pergerakannya terhenti dengan serta-merta.

Dari kejauhan, wajah insan kesayangannya itu hanya mampu dipandang kerana dia takut kecundang. Takut dikecewakan nanti, lebih menakutkan dia sendiri tak dapat mengagak apakah tujuan sebenar Dian ke situ setelah segala isi hatinya diluahkan lama dulu. Serentak peristiwa yang berlaku dihospital beberapa bulan lepas menjelma semula dan dalam kepayahan dia mengawal diri untuk mendekati Dian sambil ditemani perasaan hiba yang tak tertahan.

“Dia tak cari kau pun Azeem masa tu, tapi kenapa dia cari kau sekarang?” soalnya sendiri kerana hatinya mula jadi ragu-ragu kembali.

 

Waktu yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Waktu kebenaran juga waktu yang dinantikan semua. Setelah beberapa hari berlalu, akhirnya Dian akan dapat melihat dunia semula, insyaAllah dengan izinnya. Semalam Razif telah memberitahu tentang perkara tersebut melalui panggilan telefon dan hanya Allah yang tahu perasaannya saat itu. Gembira, bahagia dah tak dapat dikata sampai semalaman dia sukar untuk melelapkan mata.

Setibanya dia ke situ dia dapat melihat seorang doktor sedang membuka kain balutan di mata Dian. Razif, tak ketinggalan Opah dan Sofia yang berada di dalam pangkuannya beserta Kak Lela ditemani Haikal turut sama ada duduk bersebelahan dengannya.

Semuanya menanti dan mendoakan kejayaan operasi yang telah dijalankan, termasuklah dirinya sendiri. Tapi hatinya mula berbolak-balik lagi, samaada mahu masuk atau tidak dan keperluan dirinya di situ kerana dia tak mahu Dian berasa tak selesa nanti. Setelah berfikir, dia akhirnya membuat keputusan untuk meminggirkan diri di luar bilik sahaja tak mahu mengganggu sesiapa.

Setiap mata tak lepas memandang ke arah Dian yang masih berusaha untuk membiasakan diri menerima cahaya kembali. Berkerut-kerut keningnya menahan perit, malah sampai berlinangan air mata, sakit barangkali, duganya di dalam hati.

“Dian tahan Dian, tahan. Sikit je lagi.” bisiknya sendiri untuk memberi kekuatan bukan hanya pada Dian, tapi pada dirinya juga kerana dia turut rasa terkesan. Biarpun tidak dapat melakukannya secara berdepan, hatinya tetap berasa puas, asalkan perasaan itu dapat dizahirkan.

Berkerut-kerut keningnya, seperti turut sama berkongsi sengsara. Terpamer riak bimbang di wajah saat itu dan jika dibenarkan dia sedia untuk menawarkan diri. Biar dia yang menanggung semua, kerana dia suami dan dia yang seharusnya melindungi si isteri, sebelum dia pantas tersedar. Dia bukan sesiapa di dalam hidup isterinya itu.

Dalam kepayahan, Dian cuba untuk membuka mata sebelum akhirnya dia berjaya. Walaupun sukar namun tetap juga digagahi demi memenuhi impian dan doa setiap insan yang menyayangi. Perasaannya sendiri? Dia sendiri kurang pasti isinya, tapi bila memikirkan tentang hal Sofia hatinya mula berubah ceria. Kasihnya pada Sofia menjadi antara penyebab utama kenapa dia merelakan itu semua kerana jauh di sudut hati, dia turut menyimpan keinginan untuk menatapi wajah kecil itu selama ini.

Wajah si kecil yang pertama kali tersua mata membuatkan hatinya jadi gembira. Segera dirangkul Sofia ke dalam pelukannya sambil mengamati segenap ruang wajah itu dengan berhati-hati sebelum dia sedar yang dia telah menganiayai diri sendiri. Dia yang tak berusaha untuk mengubati diri sebaiknya hanya pasrah pada ketentuan llahi.

“Maafkan ummi sayang…” tuturnya perlahan sambil mengucup pipi itu lembut sebelum sekali lagi wajah puterinya itu ditatap kerana dia masih belum puas melepas rindu. Tanpa sedar tangisannya berderai lagi.

“Alhamdulillah. Terima kasih Allah.” ucap Razif sebelum mendakap tubuh adiknya itu.

“Doktor, maksudnya adik saya dah sembuh?” soalnya kepada doktor berkenaan mahukan kepastian.

“Alhamdulillah. Operasi berjalan seperti yang dirancang. Tinggal beberapa ujian-ujian kecil yang perlu dilakukan, tapi apa yang boleh saya katakan, pembedahan kali ini telah berjaya.” balas doktor berkenaan setelah meneliti keadaan mata Dian sambil turut tersenyum menyatakan kelegaan.

“Kalau macam tu saya minta diri. Assalammualaikum.” tutur doktor wanita berkenaan sebelum dia melangkah keluar untuk memberi lebih ruang pada ahli keluarga.

“Waalaikumussalam.” balas semua yang mendengar, termasuk Azeem yang masih memerhati di tepi. Perasaan bahagia itu tetap dikongsi bersamanya kerana Dian sudah dapat melihat semula.

“Terima kasih Allah…” tuturnya perlahan tanda kesyukuran.  

“Alhamdulillah, adik abang dah sembuh.” ucap Razif ditemani air mata keceriaan yang sudah tak dapat ditahan.

“Terima kasih sebab abang tolong adik.” balas Dian yang masih dilanda kesedihan.

“Tak adik, adik yang tolong diri adik sendiri, bukan kami.” tuturnya sambil mengenggam erat tangan adiknya itu.

“Opah, Dian minta maaf.” tuturnya pula pada Opah kerana kini barulah dia sedar keterlanjuran diri. Dia telah mengabaikan perasaan semua insan yang ikhlas mengasihi.

“Dah la. Tak payah ungkit lagi, yang penting sekarang Dian dah sembuh.” balasnya sambil mendakap tubuh Dian, menyatakan kegembiraan.

“Mak? Haikal?” soal Dian bila terlihatkan wajah-wajah yang asing di pandangan matanya itu, namun berdasarkan gerak hati, dia mula pasti.

“Hmm, ini mak Dian. Mak datang dengan Haikal.” jawap Kak Lela sebelum memeluk tubuh Dian erat. Dia bersyukur kerana Dian sudah dapat melihat semula serentak wajah Azizah sahabat baiknya itu terlintas di minda.

“Alhamdulillah…terima kasih Allah.” tuturnya lagi, tanda mensyukuri nikmat llahi.

Haikal yang sedari tadi memerhati turut sama merapati kerana dia tak mahu ketinggalan untuk menyatakan isi hati. Pandangannya cepat-cepat dialihkan tadkala bertentang mata dengan Dian, bimbang hatinya jatuh cinta lagi. Dian seperti dapat membaca keadaan itu, serentak pergelangan tangan Haikal disentuh.

“Kenapa?” soalnya prihatin. Haikal segera menggeleng.

Azeem yang menjadi saksi segalanya mula rasa kecewa. Perasannya tercedera dan jiwanya jadi kecewa, lebih menyedihkan Dian langsung tak mencarinya. Nampak sangatlah dia bukan siapa-siapa pada Dian. Dian cuma menganggapnya sebagai lelaki, sahabat bukan, kekasih? Jauh sekali. Sama seperti kutub utara dan kutub selatan yang terpisah dibatasi lautan, selama lamanya ditakdirkan begitu, kerana kedua-duanya takkan mungkin pernah dapat disatu.

Previous: Bab 64
Next: Bab 66

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.