Bab 2

Kepalaku sedikit pening ketika cuba membuka mata. Aku masih tertanya-tanya kenapa aku berbaring di sini. Tempat itu sangat terang, berwarna yang tidak pernah asing bagiku. Warna putih bersih. Perlahan, aku cuba menggerakkan kaki dan badan dan kemduian menurunkan sebelah kaki sebelum tersentak mendengar suara nyaring  seseorang menerjah telingaku.

“Cik… !“ tangan seorang perempuan memegang kakiku dan meletakkannya semula di atas katil. “Nak ke mana? Nak air ke?” tanya seorang perempuan yang memakai baju serba putih. 

“Oo… “ aku meminta dengan suara amat perlahan. “Ini… di mana?” aku bertanya kerana merasakan tempat itu sangat asing. Oh… perempuan berbaju putih itu tentu jururawat. Aku tahu, aku sudah biasa melihatnya. Tetapi kekeliruan yang kualami buat perasaan tertanya-tanya sendiri apa yang aku rasakan sekarang… seperti ada suatu kekosongan dalam perasaanku. Seolah-olah seseorang telah mengeluarkan isi dari dalam kepalaku, dari tubuhku. Aku langsung tidak mengingati apa yang telah berlaku. Aku cuma mengenali benda-benda berhampiran seperti katil hospital, bau ubat, air yang berada tidak jauh dariku, meja dan beberapa benda lain tetapi aku tidak mengetahui apa yang telah berlaku kepadaku bahkan aku tidak  mengingati diriku sendiri.

“Macam mana cik rasa sekarang? Ok?” tanya jururawat itu dan memberikan aku segelas air kosong.

Aku memandangnya dengan pandangan keliru. “Apa yang berlaku?” itulah soalan pertama yang keluar dari kepala dan terus ke mulutku.

“Cik tak ingat?”

Aku menggelengkan kepala.

“Sekejap ya…” minta jururawat itu.

Aku mengekori pergerakan gadis bertubuh kecil itu. Dia bercakap dengan seorang lelaki berjaket hitam, rambutnya hitam, agak tinggi, pandangan matanya tajam ketika dia mengalih kepalanya ke arahku. Selepas beberapa minit bercakap dengan jururawat  tadi, lelaki berjaket hitam itu berjalan. Oh tidak… dia sedang menuju ke arah katilku. Aku hampir menahan nafas kerana kehairanan dan masih tercengang.

Tidak lama begitu, jururawat tadi kembali semula dengan seorang perempuan bersamanya yang memakai jubah putih yang aku kenal benar sebagai doktor. Ah, kenapa aku mengingati baju itu merupakan petunjuk untuk pekerjaan tetapi aku tidak mengingati perkara lain tentang kenapa aku berada di sini, ya , ini hospital. Doktor dan jururawat bekerja di hospital kan?

Jadi, siapa lelaki ini? Yang sedang berdiri di hujung katil?

“Puan… saya doktor Aminah, doktor yang merawat puan. Puan macam mana?” tanya Dr. Aminah sambil memeriksa mataku dengan lampu suluh kecil. Dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari dia membuka mataku dan menyuluhnya seperti dia mencari barang yang hilang di dalam mataku.

“Tak tahu?” jawabku, memang itulah yang aku rasakan. Masih terasa kosong. Otakku seperti seringan kapas dan baru sahaja diisi semula dengan gambaran sebuah hospital cantik, dindingnya putih, pintu-pintunya berwarna kebiruan, katil yang menyelesakan dan hanya ada beberapa orang pesakit yang sedang tidur di hadapanku. Masing-masing dipisahkan dengan tabir mudah alih.

“Lelaki ini, suami puan, namanya Adin Hakimi,” Dr. Aminah menunjuk dengan tangannya kepada lelaki berjaket hitam yang hanya berdiri merenungku yang sedang kekeliruan. Kemudian dia menyambung bicara. “Katanya awak jatuh tergelincir di bilik air dan tercedera di bahagian kepala dan saya yakin awak sekarang sedang mengalami gangguan ingatan untuk jangka pendek.”

Dr. Aminah berpaling kepada lelaki tadi pula dan menyambung penjelasan. “Dia tidak mengalami atau menunjukkan berlaku pendarahan otak, cuma cedera sedikit  di dahi dan sedikit lebam pada bahagian pinggulnya mungkin terkena benda-benda dalam bilik air. Sekarang dia sedang dalam keadaan bingung, seperti lupa dan langsung tak tahu apa yang telah berlaku. Biasanya keadaan gangguan ingatan akibat cedera atau kemalangan yang tidak teruk boleh jadi hanya bersifat sementara. Dia akan pulih sepenuhnya seperti biasa dalam dua atau tiga minggu, bergantung kepada cara Encik Adin membantunya nanti di rumah.”

Lelaki itu mengangguk-angguk mendengar penjelasan Dr. Aminah. Betulkah dia suami aku? Suami? Aku tahu semua makna perkataan itu tetapi aku tidak dapat menggambarkan wajah, perwatakan, warna rambutnya atau apa kaitan peribadinya kepadaku. Aku tidak mengingati itu. Tidak sedikit pun. 

“Cik kenal ibu dan ayah cik, tahu nombor telefon mereka?” tanya jururawat itu pula.

Aku menggeleng lagi. Aku tidak kenal ayah dan ibu? Adakah aku ada ibu, ada saudara… kalau ada di mana mereka?

“Ibu dan keluarganya tinggal di Sarawak. Saya belum beritahu mereka tentang Lita?” kata lelaki itu.

LITA? Siapa Lita?

“Adakah semuanya baik doktor, dia tak ada kecederaan lain?” suara lelaki itu sangat sempurna, agak dalam namun tetap sahaja sangat asing padaku. Tetapi aku tidak berani bersuara kerana aku juga ingin memastikan adakah dia tidak berbohong yang dia mengenali aku.

“Tak ada, darahnya stabil, jantungnya ok. Tak ada pendarahan otak, semuanya stabil kecuali ingatannya sedikit terganggu,” jelas doktor itu.

“Jadi, bolehkah saya membawanya pulang kalau semuanya ok?”

“Boleh. Cuma kalau dia menunjukkan gejala muntah-muntah, pening kepala atau sakit kepala yang teruk bawa dia segera ke hospital. Tapi esok pagi baru kita akan uruskan itu, malam ini, sekarang pun dah lewat pagi, dia harus berehat.”

“Baik doktor.”

Aku diberikan ubat tidur supaya aku dapat tidur dengan lena dan tidak lagi terganggu.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.