Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
149,145
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

“JAH! Ni barang-barang yang hang pesan suruh aku ambil kat Ah Seng. Aku letak kat tempat biasa.” Budiman berkata.

Dia baru muncul di Warung Perindu sambil menjinjit bergugus-gugus beg plastik.

Khadeja tidak memberikan sebarang balasan. Dia sedang duduk di bangku yang terletak di luar gerai makannya. Dirinya kepenatan kerana mengemas ruangan di sekitar warung yang berhabuk bersama Fatimah sambil dibantu oleh Intan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun.

Beberapa detik tadi, Fatimah dan Intan berlalu ke pantai. Fatimah mahu memeriksa jaring-jaring yang telah dipasang pada kayu-kayu di pesisiran laut berdekatan dengan Warung Perindu. Mana tahu terdapat ketam atau ikan-ikan yang tersangkut pada jaring-jaring tersebut.

Akibat ditinggalkan sendirian, Khadeja mengambil kesempatan melayan perasaan. Dia mengenangkan semula apa yang dibicarakan oleh Mak Piah tadi.

“Apa kata... kita jual aje tanah tu? Bila dapat duit, Jah boleh guna untuk sambung belajar.” Nada ucapan Mak Piah yang berbaur pasrah terngiang-ngiang di minda.

Hati Khadeja sedih. Terasa sayu jiwanya kerana emaknya sanggup mencadangkan supaya mereka menjual tanah pusaka peninggalan ayahnya semata-mata mahu dia mencapai cita-cita.

“Ah, penatnya, Jah! Tolong bancuhkan aku teh ais. Haus betul tekak ni. Masa kat laut tadi, asyik terbayang-bayang teh ais yang selalu hang buat untuk aku,” kata Budiman selepas muncul semula di situ. Dia sudah meletakkan barang-barang pesanan Khadeja di satu ruang khas.

Tanpa dipelawa, Budiman melabuhkan punggung di bangku kayu. Ia berada tidak jauh dari tempat Khadeja sedang bermenung. Tuala kecil yang tersangkut di bahunya, ditarik. Lalu Budiman mengesat manik-manik peluh yang merecik di sekitar wajahnya supaya kering.

“Mujurlah hari ni ALLAH bagi rezeki. Berjam-jam kami tebar jala, akhirnya dapat jugak ikan. Sikit pun takpelah asalkan ada.” Budiman bersuara.

“Oh ya tak ya... ketam dan udang pun dapat sikit. Nanti hang masaklah apa-apa, Jah. Aku nak jamu Abu dan Ubi. Depa dah lapar sangat tu sebab dari pagi kami tak makan apa-apa kecuali nasi lemak yang mak aku bekalkan.” Budiman menokok.

Abu Hanifah yang dipanggil Abu adalah adik sepupunya. Lelaki yang muda empat tahun itu kini merupakan anak yatim dan dibela oleh ibunya. Manakala Ubi atau nama sebenarnya Kelubi adalah rakan sebaya Abu Hanifah. Hari itu, bapa saudaranya yang berusia 60 tahun bernama Pak Tam tidak turut serta ke laut akibat masalah kesihatan.

Justeru, semasa air pasang jam 4.00 pagi tadi hanya mereka Budiman, Abu Hanifah dan Kelubi yang turun ke laut untuk menjala ikan bersama beberapa kumpulan nelayan lain.

Mereka cuma sempat menikmati nasi lemak yang dibekalkan oleh Makcik Hasnah. Selepas itu mereka sibuk dengan urusan menjala ikan. Itupun, mujur pukat dan jala yang dipasang oleh mereka dipenuhi ikan lebih awal. Jika tidak, belum tentu jam 3.00 atau 4.00 petang mereka boleh pulang.

“Hisy, mana pulak si Abu dengan Ubi ni? Kenapa depa tak sampai-sampai dari tadi?” Budiman mengomel. Dia memanjangkan leher untuk mengintai ke tengah pantai.

Kelihatan bot nelayan miliknya yang terdampar di situ. Tiada kelibat Abu Hanifah mahupun Kelubi di mana-mana.

Suasana di sekitar Warung Perindu terasa hening. Mungkin kerana hari itu Khadeja tidak meniaga, maka tiada pelanggan yang datang memenuhi setiap meja seperti selalu. Namun, bersebelahan gerai makan itu tetap meriah dengan kedai-kedai menjual kraftangan laut dan layang-layang berwarna-warni.

Bila menyedari tutur-katanya tidak dipedulikan, Budiman mula mengerling ke arah Khadeja. Gadis yang berselendang menutupi rambut itu dilihat masih membatu. Sesekali Budiman terdengar keluhan gadis itu yang sayup-sayup menampar kulit telinganya tatkala dibawa angin bayu.

“Jah, awat hang diam? Hang dengar tak apa yang aku cakap ni?” Budiman mula menegur.

“Jah!!!” Suara Budiman lebih kuat bila tiada respons yang diberikan.

Khadeja melepaskan keluhan berat. Dia masih tidak menyedari apa-apa. Selepas lamunan yang bertandang di benaknya berlalu pergi, dia bingkas untuk berlalu ke dalam kedai. Spontan dia terpandangkan kelibat Budiman tidak jauh dari situ.

“Astaghfirullahalazim, Man. Terperanjatnya aku!” Khadeja tersentak bukan kepalang. Dadanya berdebar-debar tak terkata.

“Bila hang sampai? Awat hang senyap duduk kat situ?” Khadeja terperanjat benar dengan kehadiran Budiman yang tiba-tiba.

“Senyap?! Dari tadi aku membebel kat sini tak henti-henti, hang kata senyap?”

“Aku tak dengar pun hang membebel?”

“Siapa suruh hang melamun? Hang ingat kat siapa? Penat-penat aku bercakap, rupa-rupanya hang tak dengar sebutir pun!” Budiman mula meleter.

“Mana ada aku ingat kat siapa-siapa!”

“Aku nampak sendiri hang tak berkutik duduk kat bangku tu!”

“Hang jangan nak mengarutlah!”

“Mengarut apanya?”

Khadeja masih mengurut dada. Berharap debaran akibat kejutan tadi berlalu pergi.

“Aku ni dah lama kenal hang. Apa sebenarnya yang hang fikirkan? Ralit bukan main hang melamun,” soal Budiman masih tak berpuas hati mengingatkan kebisuan Khadeja tadi.

“Takde apa-apalah. Hang tak payah sibuk!”

“Jah...”

“Ada tak barang-barang yang aku pesan suruh hang ambil kat jeti tadi?”

Khadeja malas mahu memberi komen tentang kata-kata Budiman itu. Dia segera menukar topik. Tiada sebab untuk dia bercerita tentang cadangan Mak Piah yang telah bersetuju untuk menjual tanah pusaka arwah ayahnya di tanjung batu. Dia yakin Budiman akan mendukung cadangan emaknya.

“Ada. Aku dah letak kat tempat biasa,” jawab Budiman.

“Berapa ringgit semuanya? Hang kiralah sekali dengan hutang-hutang aku yang dulu. Tadi, hang dah tolong bayarkan kat Ah Seng, kan?” Khadeja berlalu ke ruangan dapur untuk mengambil beg dompetnya.

“Ah Seng belum ambil duit lagi. Dia suruh hang bayar hujung bulan nanti.”

“Bayar hujung bulan? Kenapa pulak?” Khadeja menghentikan langkah lalu berdiri menghadap Budiman. Dia terpinga-pinga.

Ah Seng adalah taukeh syarikat pemborong yang memberi bekalan barang-barang untuk gerai makan Khadeja sejak dahulu. Dek kerana harga yang ditawarkan lebih rendah, maka kebanyakan bekalan barang-barang di Kampung Pulau Perindu diambil dari syarikat perniagaan runcit Ah Seng dan dibawa oleh bot-bot nelayan yang singgah di jeti tanah seberang.

“Manalah aku tahu! Itu yang Ah Seng beritahu masa aku ambil barang-barang yang hang pesan kat dia tadi.” Budiman membalas.

Khadeja diam memikir. Tiba-tiba dia berasa pelik. Jarang sekali Ah Seng membiarkan hutangnya tertunggak lebih sebulan. Biasanya tauke cina itu akan terus menerima bayaran jika dia sendiri datang ke jeti untuk mengambil barang-barang pesanan.

“Takpelah, Jah. Hang simpan duit tu dulu. Esok-esok hang bayarlah kat Ah Seng. Hujung bulan pun dah tak lama.” Budiman berkata.

Dia tidak mahu Khadeja mengesan yang sebenarnya, dia telahpun membayar segala hutang Khadeja kepada Ah Seng tadi. Dia sengaja menyembunyikan perkara itu kerana jika Khadeja tahu pasti gadis itu menolak untuk menerima bantuannya.

Sejujurnya, niat Budiman cuma satu! Dia sekadar mahu meringankan beban kehidupan gadis itu. Khadeja bukannya sesiapa, tapi adik saudaranya juga.

Ah, benarkah memang hanya itu niat aku yang sebenar? detik Budiman tertanya-tanya.

Minda Khadeja mula mencongak-congak. Betul juga! Hujung bulan hanya tinggal lagi satu minggu. Apa yang nak dirisaukan? Nanti, dia boleh mengirimkan wang untuk membayar hutang Ah Seng itu melalui Budiman. Lagipun setiap minggu lelaki itu akan menuju ke jeti seberang yang dipanggil tanah besar selepas menangkap ikan.

“Ni... hang nak minum apa-apa ke, Man?” Khadeja akhirnya bertanya. Dia ternampak Budiman sedang mengibaskan tuala kecil seakan-akan mahu mengipas diri-sendiri yang kehangatan.

“Aku dah orderteh ais nak dekat satu jam! Siap minta hang masakkan lauk sebab nak jamu Abu dan Ubi. Tapi sebab hang berangan, semua yang aku order tak sampai-sampai pun dari tadi.” Budiman membalas dalam nada sindiran. Namun lelaki itu sempat tersengih ke arahnya.

Khadeja tidak berkata apa-apa. Dia terus berlalu untuk membancuh teh ais yang dipesan oleh Budiman. Beberapa minit kemudian, dia muncul semula bersama secawan air teh susu sejuk lalu diletakkan di hadapan lelaki itu.

“Nah!”

“Terima kasih, Jah. Bismillahirrahmanirrahim.” Budiman pantas menghirup teh ais sejuk yang dibancuh oleh Khadeja.

“Amboi, sedapnya! Teh ais hang ni.. tak pernah berubah dari dulu sampai sekarang, hang tahu tak?”

“Ah, tak payahlah nak memuji kalau setakat nak membodek!”

“Mana ada bodek? Aku cakap ikhlas. Teh ais hang ni memang sedap, Jah. Untung suami hang nanti. Hari-hari boleh minum teh ais yang hang buat.”

“Eh, dah kenapa tiba-tiba hang nak bercakap pasal suami pulak ni? Buang tabiat? Siapa yang nak kahwin?”

Budiman tertawa bila melihat respons drastik Khadeja. Dia sudah mengagak yang gadis itu akan memberikan reaksi seumpama itu bila dia berbicara tentang isu tersebut. Bertahun-tahun membesar bersama Khadeja, dia semakin mengenali peribadi gadis itu.

Sejak meningkat dewasa, Khadeja memang pantang bila dia menyebut perkataan suami atau kahwin. Atau mungkin, Khadeja menjadi sensitif bila mendengar dua perkataan itu semenjak gadis itu sering dipinang orang.

Khadeja ingin berlalu, namun Budiman segera memanggil namanya.

“Hang nak pergi mana? Duduklah dulu. Teman aku minum. Kita sembang-sembang. Hari ni hang bukannya meniaga kalau nak sibuk-sibuk buat kerja!” Budiman berkata.

“Malaslah. Aku nak kemas barang-barang yang hang bawa tadi. Lepas tu aku nak masak. Tadi, hang kata nak jamu Abu dan Ubi? Lagi pun hang tu macamlah tak pernah bersembang dengan aku!” Khadeja membalas.

“Memanglah kita dah selalu bersembang. Tapi...” Budiman menghentikan kata-katanya sejenak.

Khadeja terkedip-kedip memandang lelaki yang berkulit sawo matang itu. Budiman tampak ringkas dengan baju t-shirt tanpa kolar berwarna putih yang dilapisi dengan kemeja berkotak tidak berbutang. Ia dipadankan dengan seluar longgar berwarna coklat yang sering dipakai bila lelaki itu keluar menangkap ikan.

“Tapi apa?” Kemudian Khadeja menyoal. Pelik bila dia melihat Budiman seakan-akan kelu lidah untuk berkata-kata.

Seketika, Budiman membatukan dirinya. Suasana jadi sepi bila angin pantai bertiup lembut sehingga daun pohon kelapa kelihatan melambai-lambai.

Pandangan redup Khadeja terasa menerjah tepat ke anak matanya. Entah sejak bila, Budiman terasa bening mata gadis berbaju kurung dan ayu bertudung itu kian merantai perhatiannya.
Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna