Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
196,809
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Bab 11

ADAM membuka pintu bilik Arissa yang tidak berkunci. Dia tertanya-tanya mengapa Arissa tidak mahu turun makan bersama-sama dia ahli keluarganya yang lain. Mungkinkah mama yang telah memaksanya untuk tidak turun bersama?

Adam meliarkan matanya ke seluruh isi bilik. Namun dia sungguh tidak menyangka dengan apa yang terbentang di hadapannya. Arissa sedang solat? Biar betul! Ataupun dunia ini tak lama lagi bakal kiamat? Dia bukan Arissa. Arissa tidak pernah solat. Begitu juga dia dan semua isi keluarganya. Dia tidak pernah memaksa Arissa untuk solat kerana sepanjang hidupnya, ibu dan bapanya juga tidak pernah menyuruhnya untuk solat.

Apa yang dapat dia lihat untuk satu hari ini, Arissa yang dia kenali dulu sudah tidak wujud lagi. Wanita itu seperti digantikan dengan orang lain. Mungkin sama fizikalnya tetapi berbeza dari segi tingkah laku. Adam menutup semula pintu bilik Arissa dengan perlahan. Dia bercadang untuk bertanyakan soal mama keesokkan harinya. Itupun kalau Arissa bangun awal. Arissa selalunya akan bagun pukul 12 tengahari ke atas. Kalau dia sudah ke pejabat, nampaknya tunggulah nanti petang atau malam.

***

HARI Isnin. Ia telah menandakan bahawa cukup satu hari Arlisa menjadi Arissa di rumah keluarga Adam. Ia adalah suatu pencapaian yang hebat apabila seisi rumah ini masih mempercayai dirinya sebagai Arissa. Tak pernah terjangkau dipemikiran Arlisa bahawa dia mampu sampai ke sini atau mampu menyamar menjadi orang lain. Tambahan pula, orang lain tersebut adalah kakaknya sendiri, Arissa.

Arlisa yang bangun awal kerana menunaikan seruan Illahi pagi tadi duduk di meja solek bilik tersebut. Dia menatap gambar Arissa yang beratur kemas di atas meja solek. Awal pagi tadi semasa solat subuh, dia sempat menghadiahkan Al-Fatihah buat kakaknya. Walaupun di mana jasad Arissa berada, dia tetap akan mendoakan kesejahteraan kakaknya itu.

Walaubagaimanapun, Arlisa tetap curiga dengan lelaki misteri bernama Zik. Dia tetap berfikiran bahawa Zik seorang yang licik dalam penipuannya. Mungkin Zik memperoleh sesuatu dari apa yang sedang dia lakukan ataupun Ziklah pembunuh kakaknya yang sebenar. Mana mungkin Zik yang datang dari mana-mana, tiba-tiba menceroboh rumahnya dan mendakwa dia yang membunuh kakaknya sendiri. Kemudian tanpa disuruh-suruh Zik yang menawarkan dirinya untuk menguruskan mayat Arissa. Ataupun mungkinkah ini suatu pelan dari Arissa? Dia sendiri tidak dapat memastikan sama ada Arissa sudah meninggal atau tidak saat tubuh Arissa dijumpai terdampar di atas lantai.

Ahh lupakanlah semuanya! Ia tidak logik. Tak mungkin Arissa tergamak berbuat begitu pada dirinya. Tak mungkin Arissa sanggup menipu adiknya sendiri bukan? Mungkin semua yang berlaku ini ada hikmah disebaliknya. Hanya tuhan saja yang tahu dan biarlah tuhan saja yang menentukannya.

Fikiran Arlisa kemudiannya teralih kepada Makcik Sue. Keluhan berat dilepaskan secara berkala. Bagaimanakah keadaan wanita itu? Pada saat ini, Makcik Sue pasti sedang membenci dirinya. Makcik Sue juga mungkin menganggap dia sama sahaja seperti Arissa. Maafkanlah Arlisa Makcik Sue. Arlisa tidak bermaksud nak kecilkan hati Makcik Sue. Arlisa terdesak! Tapi Arlisa berjanji yang Arlisa akan kembali dan menceritakan semua hal ini pada Makcik Sue. Bersabarlah ya!

Arlisa membuka laci meja solek tersebut. Dia mencapai keluar sebuah dompet wanita yang sudah lusuh warnanya. Dibuka dompet tersebut dan dikeluarkan sekeping gambar. Lelaki yang tersenyum segak itu adalah Kamal. Lelaki yang telah melukai dirinya. Lelaki yang meninggalkannya kerana harta dan wang. Dia amat merindui Kamal. Arlisa sentiasa berharap tuhan akan menemukannya dengan Kamal. Namun bila difikir-fikirkan kembali, ia adalah sesuatu yang tidak harus berlaku. Kamal sudah membuangnya jauh-jauh bagaikan sampah. Mengapa harus dikenangkan lagi lelaki tersebut?

Ketukan perlahan di pintu utama bilik mengejutkan Arlisa dari lamunannya yang jauh. Cepat-cepat dia masukkan gambar dan dompet tersebut ke dalam laci meja solek. Pintu bilik itu dibuka dan kelihatan Siti membawa secawan kopi kepadanya.

“Puan? Bangun awal hari ni?” kata Siti yang terkejut dengan perubahan Arissa. Kalau tak pukul 12 jangan haraplah Puan Arissa nak bangun awal! Tapi pelik betul hari ini…

“Oh terima kasih atas kopinya.. nanti saya minum. Saya ingat nak turun bawah bersarapan.” Arlisa mengambil cawan kopi dari tangan Siti.

“Bersarapan?” Sekali lagi Siti terkejut. Selama Arissa tinggal di rumah ini, tidak pernah sekalipun wanita itu bersarapan.

“Iya, kenapa? Saya tak pernah sarapan ke sebelum ni?” Arlisa tiba-tiba jadi curiga. Arissa tak pernah bersarapan?

“Emm.. Puan tak pernah turun ke bawah dan bersarapan. Kalau macam tu saya turun dulu Puan,” Siti cepat-cepat keluar dan menutup pintu bilik Arissa. Pelik.. pelik.. dia memang benar-benar dah berubah.

Tanpa disedari, Siti hampir-hampir berlanggar dengan Mak Jah yang baru sahaja keluar dari bilik Ameera.

“Eh Siti? Kamu dari bilik Puan Arissa?” kata Mak Jah sambil mengurut-ngurut dadanya. Siti ni tak pandang kiri kanan ke kalau berjalan?

“Iya Mak Jah! Puan Arissa bangun awal pulak. Peliklah dia tu,” jawab Siti.

“Tak ada apa yang pelik dengan Puan Arissa tu. Adalah pelan apa yang dirancangkan dia tu. Dia ingat kita tak boleh baca muslihat dia.” Mak Jah mula bersangka buruk.

“Eh apa pulak Mak Jah ni?” Siti tidak pernah setuju dengan kata-kata Mak Jah. Selalu saja nak memburukkan Puan Arissa!

“Alahhh sudahlah! Kau tu pengampu dia! Memang semua yang dia buat tu betul. Kalau dia betul-betul nak berubah, aku nak test dia. Nak suruh dia tengokkan si Ameera ni. Tak mahu pulak budak tu ke taska hari ini,” kata Mak Jah. Dia mahu menguji sejauh mana perubahan Arissa. Adakah sekadar penipuan semata-mata?

****

ADAM dan Fida sedang menikmati sarapan pagi. Mereka berdua seperti biasa akan ke pejabat. Ketiga-tiga adik beradik ini, Adam, Arman dan Fida menguruskan syarikat pakaian Fashionista tinggalan bapa mereka, Encik Iskandar Rauf. Syarikat tersebut sudah lama bertapak sejak mereka kecil lagi. Namun sejak akhir-akhir ini, Fashionista mengalami masalah kerugian.

Ini semua disebabkan pakaian-pakaian mereka yang berada di pasaran kurang menjadi perhatian kepada para pembeli. Usaha ketiga-tiga orang adik beradik ini sedang mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan syarikat mereka dari bankrap menemui jalan buntu. Mereka keliru dengan apa yang harus mereka lakukan.

“Adam, esok ada mesyuarat dengan shareholders kan?” kata Fida sambil menyuap gulungan mi goreng ke dalam mulutnya.

“Yes. Harap-harap mereka ada solution yang terbaik,” kata Adam.

“Your wife tidur lagi lah tu kan?” tanya Fida yang sengaja bertanyakan soal Arissa. Dalam diam-diam Fida menyimpan perasaan ingin tahu tentang apa yang katakan Arlisa semalam pada mama. Tak sangka mama turun makan bersama!

“Yes I think so..” jawab Adam dengan nada perlahan.

“Nanti you tanyakan dia, apa yang dia cakap semalam dengan mama.”

“Hehe.. you pun sibuk nak tahu?” kata Adam sambil ketawa kecil.

“Why? Tak boleh?” Fida menjeling tajam. Perli aku lah tu!

****

MAK Jah mengetuk pintu bilik Arlisa. Dia masuk setelah Arlisa memberinya kebenaran. Mak Jah tergamam seketika apabila melihat keadaan Arlisa yang disangka Arissa sudah mandi dan lengkap berpakaian. Dia menyangkakan tadi bahawa Arlisa masih lagi bergelumang di atas katil. Ternyata sungguh sangkaannya meleset.

“Puan bangun awal hari ini,” kata Mak Jah.

“Ya, Mak Jah. Ada apa hal?” Arlisa menjawab persoalan Mak Jah dengan tenang. Dia seperti biasa melebarkan senyuman.

“Puan, Ameera tak mahu ke taska. Dia asyik merengek dari tadi.”

“Oh ye ke? Selalunya saya buat apa Mak Jah?” Arlisa tidak tahu apa yang Arissa lakukan dalam menangani hal ini. Dia takut kalau-kalau perlakuannya yang pelik-pelik membuatkan Mak Jah curiga.

“Selalunya… Puan cakap kalau dia buat perangai, tak payah ke taska..” Mak Jah menjawab dengan teragak-agak. Kenapa pulak Puan Arissa tanya macam ni? Tak ingat ke apa yang dia selalu buat?

“Haa? Tak payah pergi? Dah berapa hari Ameera tak pegi taska?” Mudah sungguh jalan penyelesaian Arissa. Ya Allah! Kenapa kau macam ni Arissa?

“Dah tiga hari Puan,” Mak Jah mengerut dahinya. Puan Arissa ni ingat ke atau saja-saja buat tak ingat.

“Jom ikut saya ke bilik Ameera,” Arlisa bingkas bangun menuju ke bilik kanak-kanak itu.

Sesampainya mereka di bilik Ameera, kelihatan Ameera sedang merengek berselingkupkan selimut. Arlisa membuka selingkupan selimut tersebut dan mula memujuk Ameera.

“Sayang bangun.. bangun cepat..” Arlisa mengelus rambut Ameera perlahan.

“Meera tak mau pegi sekolah! Tak nak!” rengek Ameera.

“Sayang.. tak boleh macam tu. Dah tiga hari ni tak pergi sekolah..” pujuk Arlisa.

“Tak nak! Tak nak!” Ameera mula menendang-nendang tangan Arlisa. Kuat betul ‘temper’ budak ni.

“Okey.. kalau macam tu Ameera tak dapat hadiah dari mama.” Arlisa cuba mengumpan.

“Hadiah?” Ameera tiba-tiba segar dan duduk di atas katilnya.

“Nak hadiah tak? Nak keluar tak petang ni jalan-jalan dengan mama? Orang yang tak pegi sekolah tak boleh ikut tau!” Arlisa cuba lagi mengumpan Ameera. Kanak-kanak begini mahukan ‘reward’ di setiap perlakuan mereka.

“Kalau pegi sekolah hari ini…Meera dapat hadiah eh ma?”

“Iya.. tapi bukan pegi sekolah hari ni je.. pegi sekolah tiap-tiap hari tau!”

“Alaaa..” Wajah Ameera mulai masam semula.

“Sayang, tahu tak budak yang tak pergi sekolah orang tak nak kawan? Kalau tak pergi sekolah.. macam mana nak pandai? Mama janji, kalau Ameera pegi sekolah, mama belikan apa yang Ameera nak..” Arlisa tersenyum. Dia berharap Ameera akan terima pujukannya kali ini.

Manakala Mak Jah yang melihat perlakuan Arlisa tidak mampu berkata apa-apa. Dia terkejut dan terpegun dengan tindakan Arlisa. Mana mungkin dan tidak mungkin serta tidak pernah sekalipun dalam hidupnya Arissa berperilaku sebegitu!

“Okey! Ameera pegi sekolah! Tapi mama janji tau!” Ameera termakan pujukannya. Akhirnya! Pergi jugak sekolah.

“Okey.. bagusnye dia.. Mak Jah, siapkan pakaian dia dan mandikan dia ya.” Arlisa tersenyum kerana dia berjaya yakinkan Ameera. Dia keluar dari bilik tersebut. Mak Jah pula masih terpinga-pinga. Apa yang sedang berlaku ini? Puan Arissa pujuk Ameera. Pelik! Kena bagitahu Puan Murni ni.

****

ARLISA turun ke bawah untuk bersarapan bersama Adam dan Fida. Kedua-dua adik beradik ini terkejut besar apabila Arissa turun bersarapan bersama mereka. Adam dan Fida saling berpandangan, namun Fida yang memang bencikan Arissa terus bangun dari meja makan dan berlalu pergi dari ruangan tersebut.

“Awal you bangun sayang?” Adam menegur Arlisa yang sedang menjamu selera mi goreng buatan Mak Jah.

“Kenapa? I tak pernah bangun awal ke sebelum ni?” Arlisa bertanya. Opss! Silap lagi.

“No and never,” Adam terpegun melihat Arlisa. Tanpa mekap, isteri aku ni tetap cantik!

“I see.. maybe you should stop thinking about the old me. Sekarang you anggap I macam orang baru.” Arlisa memberi cadangan. Dia harus bertindak sebelum banyak lagi perkara yang dipertikaikan Adam.

“Orang baru? Sejak bila? Sejak you balik dari Penang, I sedar yang you ni dah tak macam dulu. Anyway semalam I ke bilik you nak bertanya tentang hal mama semalam. But I nampak you tengah solat…” Adam memperlahankan perkataan ‘solat’. Perasaan malu masih membungkam di dalam dadanya.

“Oh I’m sorry.. you nak tanya pasal apa semalam?”

“Apa yang you cakap dengan mama sampai dia turun ke bawah?”

“I cuma cakap yang I kesian tengok you dan adik beradik semua. I juga cakap dengan dia yang dia patut turunkan ego dia and be fair to all of you. Make you all happy,” jelas Arlisa.

“You cakap macam tu?” Adam tidak langsung menyangka Arissa boleh berkata-kata begitu.

Belum sempat Arlisa membalas, Ameera turun bersama Mak Jah. Kanak-kanak berusia 4 tahun itu tampak ceria. Dia duduk di sebelah Arlisa dan mula bersarapan. Adam sekali lagi terpegun. Anaknya tidak pernah gembira untuk ke sekolah. Tetapi hari ini lain pula ceritanya.

“Mak Jah, Ameera tak merengek pulak hari ni nak pegi sekolah?”

“Ahh itu lah Tuan, Puan Arissa yang pujuk dia..” Mak Jah teragak-agak menjawab. Dia tidak tahu sama ada dia menyokong tindakan Arissa atau dia sudah terpedaya dengan kebaikan luaran Arissa.

“Arissa?” Adam memandang tepat ke wajah Arlisa.

“Adam, you dah lambatkan? It’s already 8.30 am.” Arlisa cuba mengelak dari ditanya soalan bertubi-tubi.

Adam melihat jam di tangan dan bangun mengambil briefcasenya. Kemudian, Arlisa menemani Adam hingga ke pintu utama rumah. Buat seketika waktu, Adam merasakan dirinya senang dengan perlakuan Arissa yang sebegini. Menghantarnya hingga ke pintu dan bersarapan dengannya di waktu pagi…

Tanpa berfikir panjang, Adam menghadiahkan ciuman manis di pipi Arlisa secara mengejut. Arlisa yang tidak menjangkakan ciuman tersebut, tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya tertegun seperti patung Liberty of America! Darah panas miliknya pula terus mengalir pantas ke seluruh badan. Ia bagaikan kejutan elektrik yang dihasilkan bertubi-tubi ke atas jasad. Arghhhh! Dia buat lagi!

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.