Home Novel Cinta Bintang Bintang Dari Tanah Selatan
BAB 3:Hati Yang Diketuk Ingin Menghulur Salam

Motor yang sudah masuk ke perkarangan rumah dimatikan enjinnya. Bimbang bayi kedua kakaknya terjaga. Kemudian disorong sehingga ke bangsal. Songkok hitam atas kepala dibuka dan dia melangkah ke pintu rumah. Sebaik meletakkan selipar atas para-para, dia mengetuk pintu beberapa kali dan memberi salam. Selepas beberapa ketika, kedengaran bunyi pintu dibuka dari dalam.

“Ayah dengan Fatah tak balik sekali Ali?”, emak bertanya perihal suami dan menantunya.

Muhammad Aliuddin meletakkan songkok dalam kabinet tepi meja televisyen separas pinggang. Kemudian membuka dua butang baju melayu cekak musang warna hijaunya.

“Tadi nampak diorang keluar kampung. Tak sempat nak tanya pulak.”, perutnya yang sebu selepas moreh tadi ditepuk-tepuk sekali.

“Nanti mak call je lah. Perut kau kenapa?”, Zaleha sudah berjalan hendak ke bilik sebelum berhenti apabila anak bujangnya menepuk-nepuk perut.

“Masuk angin. Tunggu nak sendawa ke kentut je ni.”, Aliuddin duduk di kerusi malas belang putih, merah, dan biru.

Ikatan kain pelikat dilonggarkan pada pinggang. Sebaik melabuh punggung, sendawa yang kuat keluar dari mulut. Zaleha yang melihat terus menganggap anaknya sudah tidak apa-apa.

“Dah OK la tu. Dahlah, mak nak telefon ayah.”

Aliuddin sengih sekali dan menekan punat buka pada alat kawalan jauh televisyen. Kakaknya di bilik menidurkan si kecil. Adik-adik pula tidak kelihatan. Mungkin bermain di rumah jiran atau ke pasar malam.

“Saya nak kirim alas kaki bang. Nak buat alas kat dapur tu. Dah buruk.”, emaknya keluar sekali lagi bersama telefon bimbit.

Kemudian, bunyi adiknya berlari-lari dari luar rumah semakin hampir. Dia yakin, Arifah bermain bunga api kerana tadi semasa melintasi rumah sebelah dari masjid, dia terlihat kanak-kanak berkumpul di lampu pelita.

“Ayah nak cepat tadi. Dia dah janji dengan kawan dia nak jumpa kat Parit Raja. Patutlah kau tak sempat tanya tadi.”, emaknya membuat perkiraan yang hanya Aliuddin tahu salah dan betulnya.

Sebenarnya tadi, dia keluar lewat dan tidak sempat bertemu ayah dan abang iparnya yang memandu kereta ke masjid. Ada sesuatu yang mahu dia cari tadi. Sesuatu yang sudah lama tidak dia temui.

Telefon bimbit dalam kocek baju melayu dikeluarkan. Tangannya ligat membuka mesej rakannya dan mencari pesanan yang mempunyai lampiran MMS gambar. Pesanan bergambar seseorang dibuka dan dilihat perlahan-lahan. Gadis dengan selendang warna hitam itu ditatap wajahnya. Matanya, hidungnya, bibirnya. Dia masih sama. Hanya penampilannya lebih matang. Bibirnya sudah bergincu dan matanya sudah bercelak. Nombor telefon gadis itu dicari dan dia sudah menaip beberapa huruf. A-s-s-a-l-a-m. Ibu jarinya sudah mahu menekan ikon hantar. Namun, kemudian dia memadam pesanan itu. Telefon bimbit digelapkan. Matanya merenung skrin telefon bimbit yang sudah gelap. Dalam diam, hatinya ingin bertanya khabar.

Lewat malam itu, dia masih berjaga dan sukar melelapkan mata. Fikirannya masih terfikirkan gadis yang dia lihat memakai telekung putih menaiki tangga ke ruangan solat wanita beberapa hari yang lalu. Sudah dua hari dia tidak melihat gadis itu. Semalam dia berkira-kira mungkin gadis itu punya hal tertentu, namun melihat sudah dua hari berturut-turut keretanya tidak ada di kawasan parkir, dia fikir mungkin gadis itu tidak boleh bersolat. Hati Aliuddin jadi gelisah. Dia tidak tahu mengapa jantungnya berdegup laju sekali ketika terlihat gadis itu semula. Bukankah gadis itu hanya sejarah zaman kanak-kanak dan awal remajanya. Bukankah perasaan itu sepatutnya sudah mati. Berkubur.

Malam itu tiada bintang di langit. Sunyi sahaja. Laci meja belajar di sebelah katilnya dipandang sayu. Hatinya akan sakit kalau dia membuka laci itu semula. Tetapi, dia tahu kalau yang namanya memori itu tidak akan hilang. Kita hidup bersamanya. Lantas tanpa sedar dia sudah duduk bersila di hadapan laci itu. Membuka dan menarik sesuatu dalam kantung kanvas sebesar muka. Dibuka kantung itu dan isinya dituang atas lantai. Ada telefon bimbit Nokia model lama, kertas berlipat yang renyuk seribu, dan getah rambut berhias buah strawberi.

Aliuddin membuka lipatan kertas dan membaca semula isi kandungannya. “Ali, kenapa Ali suka saya?”, ayat pertama berbunyi dengan tulisan tangan bulat-bulat. Warna tulisan daripada pensil kian pudar. Dia melihat tulisan BALAS dengan huruf besar selepas itu. Kemudian dia mengenali tulisan seterusnya. Itu tulisannya berbelas tahun dahulu.

“Sebab awak cantik, Maryam.”. Aliuddin mengoyak senyum kecil.

Zaman kanak-kanaknya indah. Kemudian, surat cinta zaman kanak-kanaknya itu dilipat semula. Getah rambut dengan buah strawberi plastik tergantung itu diambil. Didekatkan pada hidung. Berharap harumannya masih ada. Haruman daripada pemiliknya yang begitu cantik pada mata Aliuddin dahulu. ‘Maryam, Maryam apa khabar.’

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.