Home Novel Cinta Cinta Sang Pilot
Bab 38

Bab 38

“Lama sungguh kita tak jumpa, apa cerita?” soal Suffian. Nukman Faris tersengih.

“Apa cerita ni Nukman? Ceritalah kat aku! Macam panas sudah satu office cerita pasal kau dah kahwin! Betulkah tu?” soal Suffian lagi. Nukman Faris tergegau. Dia terkejut kalau berita pernikahannya sudah tersebar di pejabatnya. Takkanlah!

“Siapa beritahu ni? Cuba cer sikit!” kata Nukman Faris pula. Dia sengaja mahu tahu siapakah yang pembawa cerita yang agak memanaskan telinganya itu.

“Benarkah kau dah nikah dan buat persandingan besar-besaran di KLCC? Aku dengar macam tu? Betul?” soal Suffian lagi. Ini mamanya punya pasal. Mamanya hendak melakukan persandingannya di tempat paling gah. Dia sendiri tidak senang hati dengan tempat yang sudah dirancangkan oleh mamanya itu. Namun siapa dia hendak membantah?

“Betullah tu, apa yang silapnya lagi?” soal Nukman Faris pula. Suffian sudah ketawa dan agak terkejut dengan pengakuannya. Dia malas mahu bercakap panjang lebar mengenai hal itu.

“Awak dah kahwin Nukman? Bila awak kahwin? Kenapa saya tak tahu?” soal Suffian lagi. Mungkin kesal, Nukman Faris telah membohonginya hari itu. Nukman Faris ketawa. Entah apa yang lucunya.

“Ya saya dah kahwin dah tiga bulan lebih saya kahwin, puas hati?” kata Nukman Faris lagi mengakui akan pernikahannya. Memang selama ini dia menganggap pernikahannya dengan sepupunya satu kesilapan dan sedang dikajinya. Bulat mata Suffian. Mungkin masih tidak mempecayainya.

“Kahwin? Awak dah kahwin?” dia angguk. Kenapa pula pemuda di depannya itu tidak percaya? Dia memang sudah kahwin dan sudah berkahwin dengan sepupunya sendiri.

“Patutlah awak cuti! Tapi, err keliru, bila masa awak kahwin sebenarnya?” kata Suffian. Nukman Faris kesal juga dengan tindakan mamanya yang meminta dia bercuti. Namun dia tidak dapat memberikan kenyataan tentang hal itu.

“Masa aku balik kampung tu lah! Bukan sesiapa yang kahwin, sebenarnya aku! Kau tak nampak inai di jari aku?” jawabnya selamba. Dia sudah malas hendak berteka-teki dngan kawan baiknya sendiri.

“Masa balik kampung? Thats means, ha, awak kahwin masa tu? Ya Allah patutlah aku nampak inai di jari kau tu hari tu tapi tak banyak! Ingatkan bukan kau yang kahwin! Kau pun tak mengaku! Kononlah ya!” Nukman Faris angguk dengan bangga. Mungkin sedikit sebanyak sudah terubat hatinya. Dia sudah boleh menerima kenyataan yang dia sudah berkahwin.

“A’ah lah, aku tak suka dengan pernikahan kami tu!” katanya. Suffian mahu ketawa. Lucukah?

“Tahniah bro!” kata Suffian pula. Mereka bersalaman.

“Thanks.” Katanya tanpa berbasa-basi.

“Kenapa tergesa-gesa? Eh, siapa teman kau kahwin tu? Nak juga aku kenal, mana tau ada lagi adik dia,” soal Suffian tidak puas hati. Mukanya kelat. Bukan Rozaila temannya kahwin. Orang lain! Orang kampung!

“Perempuan lah, sapa lagi? Ah, jangan kau nak mengada-ada nak kahwin dengan adik dia pula. Mana ada adik dia! dia anak tunggal perempuan! Lain-lalin hanya adik lelaki je. Tak delah harapan kau!” katanya berdolak-dalik pula.

Suffian sudah ketawa dibuatnya. Dia sendiri sudh boleh buat lawak. Dia tidak geram lagi dengan sepupunya. Wait... wait, sepupunya aka isterinya ditinggalkan sendirian di rumah dengan ibu bapanya.

“Aku tahu! Tapi siapa? Bukan Rozaila kan?” soal Suffian ingin tahu. Memang penyibuk kawannya yang satu ini. Dia geleng. Kesal pun ada namun tidak ada sesiapa yang mengetahui rahsia Ilahi. Mungkin takdir ini salah satu rahsia Allah yang dia tidak terima selama ini. Wajah sayu dan sedih isterinya terbayang di ruang mata. Kasihan dia kepada isterinya itu.

“Rozaila baru saja balik dari tugas-tugas luar negaranya! Dia tu tak nak dibuat bini!” katanya seperti meradang. Ah, mamanya pun sama. Mama tidak mahu dia menikahi gadis pilihannya. Apa pilihan yang dia ada? Suffian hairan.

“Apasal tak jadi dengan Rozaila? Bercinta bagai nak rak, last-last nikah dengan orang lain?” dia geleng. Kesal semakin meningkat. Memang dia agak kesal dengan apa yang berlaku. Namun mungkin itu dugaan untuknya atau takdir tersembunyi untuknya. Dia malas lagi mahu menanya-nanya kepada nasibnya berubah. Tidak ada gunanya dia hendak merubah nasib. Itu kerja Allah.

“Susah nak cerita. Mungkin takdir kita. Aku pun tak pandai nak cakap bukan-bukan! Dan kau memang kenal mama aku kan?” Suffian angguk. Mereka sama-sama kenal akan Datin Zahara. Datin Zahara cerewet dan mahu semua anaknya mengikut kata-katanya. Jika tidak, awas!

“Order minuman!” katanya kepada Suffian. Pelayan datang dan mereka memesan minuman ringan sahaja serta roti bakar pada petang itu. dia terkenang milo panas buatan isterinya di rumahnya, sedapnya masih dia kenang sampai kini. Tetapi mahukah isterinya itu membancuh milo buatnya lagi? Mungkin mahu kalau dia paksa! Hehe! Dia ketawa sendiri, dalamm hati!

“Hot coffee dua.” Kata suffian. Dia tahu minuman kegemaran kawan sekerjanya. Eh, bekas rakan sekerjanya.

“Jadi, kau tak nak kerja lagi?” Nukman Faris pandang jauh. Susah dia hendak menolak cadangan papa dan mamanya. Itu bukan tawaran itu hanya cadangan. Lama dia diam.

Apa yang mahu dijawabnya? Soalan memang agak senang tetapi kenapa sukar dia hendak menerima pelawaan mama dan papanya? Tetapi dia tidak ada pilihan sebenarnya. Papanya sakit dan memerlukan dia yang komitmen kepada syarikat. Dia sudah ada tugas baru.

Lagi dua minggu dia akan ke Indonesia untuk menguruskan projek baru di sana. Perlukah dia membawa isterinya? Ah, mana lah gadis itu ada cuti lagi. Berbulan madupun dia yang akan paksa gadis itu. Kalau tidak belum tentu dia mahu!

“Mungkin aku cuti tanpa gaji,” jawabnya perlahan. Bulat mata Suffian. Memang begitulah nasib anak orang berada dan ahli perniagaan. Fikir Suffian. Dia pula anak orang sederhana sahaja. Ayahnya mempunyai sebuah perniagaan yang agak kecil.

“Mungkin kau akan bersara terus, tapi sayangnya kau nak berhenti! Kenapa tak boleh beri jawatan tu kepada orang lain dan kau akan terus kerja di syarikat penerbangan macam biasa?” kata Suffian. Nukman Faris berasa sedih. Dia belum pun mencapai tahap yang disukainya tetapi dia sudah diminta cuti tanpa gaji. Itu bukan cuti tetapi berhenti namanya.

“Aku tak tahu lagi. Papa aku memohon pertolongan. Banyak kerja yang terpaksa aku kena ambil alih di pejabatnya, memang aku tak nak sebenarnya! Tapi apa pilihan yang aku ada? Aku suka dan cinta kerjaya aku walaupun kita kerja tak tentu masa tapi aku suka jadi pemandu di udara nun tinggi sana!” kata Nukman Faris dengan wajah yang agak sedih. Mereka berpandangan. Memang agak sukar dia hendak membuat keputusan pada saat yang sangat terdesak ini.

Papanya sudah balik-balik mengunjungi hospital. Dia agak susah hati. Itulah yang menyebabkan dia selalu tinggal di rumah ibu bapanya. Walaupun tidak ditahan, namun dia tetap susah hati. Selama beberapa hari ini dia terpaksa memantau syarikat papanya walaupun papanya meminta dia memikirkan dahulu sama ada dia setuju atau tidak. Namun, sudah beberapa hari papanya tidak dapat masuk ke pejabatnya. Dia terpaksa ambil alih buat sementara.

“Baguslah, tempat kau selayaknya menggantikan tempat papa kau, kau memang sepatutnya jadi ahli perniagaan yang berjaya!” kata Suffian. Nukman Faris diam. Wajah Natasya Umaira bagaikan melekat di matanya.

“Aku tak tahu lagi. Tetapi aku suka juga membantu perniagaan papa aku! Tetapi macam ada masalah dari segi sahsiah dan kejujuran pekerja papa di pejabat tu! Kau ada idea?” soalnya kepada Suffian. Suffian ketawa.

“Aku manalah tahu. Kau tanyalah bahagian kewangan kau, buat pemantauan kepada orang kepercayaan papa kau! Atau, berikan tazkirah setiap Jumaat dan hantar seorang ustaz untuk laksanakannya. Aku, kau tanya? Memang aku tak tahu apa-apa! Tapi aku boleh beri sikit tips lah!” kata Suffian. Memang ada benarnya juga kata-kata Suffian. Tetapi siapakah orang kepercayaan papanya di bahagian kewangan itu? Takkan dia hendak buat pengumuman pula setelah meneliti laporan kewangan selama tiga tahun berturut-turut ini!

Agak pening juga dia. Tidak ada sesiapa yang hendak buka mulut nampaknya. Dia harus membincangkan hal ini dengan papanya. Dalam dia berkira dan terpaksa dia sebenarnya sudah menjalankan tugaasnya selama dua hari ini. Dia sangat simpati kepada papanya.

“Kau pula bila mula fly?” soal Nukman Faris. Dia pula terpaksa melupakan sementara waktu kerja mencabar yang diminatinya. Isterinya pula belum mengetahui akan perubahan kerjanya sekarang ini. Dia tahu isterinya itu tidak mahu menerima apa-apapun yang dipanggil perbincangan antara mereka. Kasihan juga dia kepada isterinya. Banyak sungguh rasa simpatinya.

“Minggu depan, aku tak dapat nak cuti lama-lama, lainlah kau, anak ahli perniagaan yang berjaya dan terkenal di Malaysia!” kata Suffian. Nukman Faris geleng dan wajahnya kelat. Puji ke perli tu? Dia sendiri tidak rela meninggalkan kerjaya yang sungguh diminatinya. Namun apa pilihan yang dia ada?

“Masa persandingan aku nanti, harap kau datang,” kata Nukman Faris menjemput rakan-rakan sekerjanya dan sahabat-sahabatnya.

“Aku tak janji. Mungkin akan pergi mungkin akan terbang tinggi.” Kata Suffian. Nukman Faris sengih. Suffian memang selalu buat lawak.

“Rugi kau tak pergi,” kata Nukman Faris mengusik kawan baiknya itu. suffian garu kepalanya yang tidak gatal. Apa pula yang ruginya?

“Asal pula?” soal Suffian hairan. Dia sengih pula.

“Tak dapatlah kau tengok aku jadi raja sehari, bukannya selalu. Sekali sajalah!” Nukman Faris terus ketawa. Suffian turut ketawa.

‘Sekali saja? Ha, maksudnya tidak ada lagi yang kedua dan seterusnya? Ha? Yakinkah dia?’

“Betul-betul kau sudah jatuh cinta dengan isteri kau? Aku nampak kau seperti bahagia.” Kata Suffian menanyakan soal hatinya. Penyibuk sungguh kawannya ini. Huh, susah dia hendak cakap. Mungkin masa-masa yang mendatang akan menjawab segalanya. Dia tidak mahu mengakui apa-apa pada masa ini.

“Siapa tak isteri oi!” jawabnya seperti bergurau.

“Insya Allah aku akan hadir nanti, tapi kalau aku tak bertugaslah! Kalau aku bertugas sebagai copilot, siapa nak gantikan aku? Lainlah kau!” kata Suffian. Mereka berpandangan.

“Ya lah, aku harap kau datang! Ramai kawan sekolah kita akan hadir nanti! Aku dah hubungi mereka!” jawab Nukman Faris.

“Ya aku memang harap aku akan hadir. Janganlah aku kena gantikan orang pada saat akhir nanti!” kata Suffian.

“Aku harap kau bahagia,” kata Suffian pula. “Selama ni pun aku nampak selalu termenung di ruang kerja kita tapi aku tak sangka kau dah kawin pula. Kenapa aku bodoh kan tak melihat perubahan kau?” kata Suffian dengan panjang lebar. Nukman Faris sudah ketawa.

Dia akui memang ada membuat perubahan sedikit selepas nikah hari itu. Perubahan itu hanyalah kerana dia agak marah kepada mamanya kerana membuat perancangan yang menyakitkan hatinya. Dia asyik marah kepada gadis yang kononnya mengandung itu. Dia asyik merungut. Dalam merungut, dia sentiasa terbayangkan wajah ayu isterinya itu.

Dalam diam, dia terpaut pada seraut wajah ayu dan gadis yang bersikap penyabar dengan keluhan-keluhan dan kemarahannya yang dilimpahkan buatnya. Aneh sungguh gadis itu. Kenapa begitu sabar dan tidak banyak kerenah dengan kemahuannya?

Ah, sungguh juga dia tidak menyangka, yang dia sudah terpaut benar kepada isterinya itu namun dia sedar gadis sebaik isterinya itu tidak akan menerima kasihnya semudah itu.

Jadi, apa yang dia harus buat? Mulakan proses memikat isteri sendiri? Haha, lucu juga kan Nukman Faris? Katanya dalam hati.

“Kau doakanlah kebahagiaan aku ya.” Kata Nukman Faris bersungguh-sungguh.

“Begitu? Aku nampak kau bahagia. Mungkin gadis itu memang jodoh kau. Aku doakan yang terbaik untuk kau. Bagaimana dengan Rozaila, kekasih kau? Masih kah dia kekasih kau?” soal Suffian. Nukman Faris hanya mengangguk. Dia tidak dapat menyukat sampai mana bahagianya dengan isterinya itu. Apa yang dia tahu dia memang bahagia. Rozaila? Sukar hidupnya memikirkan gadis yang seorang itu.

“Aku tak tahu bagaimana dengan Rozy! Aku harap masalah aku akan selesai dengan sebaik mungkin. Aku dah kahwin takkan Rozy mahu jadi isteri yang kedua kan?” soalnya kepada Suffian pula. Suffian angguk.

“Entahlah Nukman, mungkin kalau lihat dari peribadi dan keupayaan kau, mungkin ada juga perempuan yang nak jadi isteri kedua!” kata Suffian berseloroh.

“Gila! Aku tak mampulah nak bahagikan masa dengan dua isteri! Kasihan pula isteri aku tu!” kata Nukman Faris terkenangkan isterinya.

“Ya lah! Aku pun serba salah juga nak bagi komen! Rozy kawan aku juga tapi kau lagilah kawan baik aku!” kata Suffian turut simpati kepada kawan baiknya itu. Dia juga sedar cinta tidak boleh dibahagi-bahagikan sesuka hati.

“Aku pun susah nak cakap Suffian, susah tapi hatiku ni lagi yang susah aku nak kawal!” kata Nukman Faris memegang dadanya.

“Apa pula yang susah kau kawal?” soal Suffian hairan.

“Apa lagi, hatiku ni lah yang susah aku kawal dari jatuh sayang kat isteri aku tu!” kata Nukman Faris. Suffian sudah ketawa. Kawan baiknya sudah buat kelakar.

“Eh, tak luculah! Aku cakap yang betullah!” kata Nukman Faris lagi.

“Betulkah tu? Boleh cayakah?” soal Nukman Faris pula. Nukman Faris angguk dan pandang jam tangannya.

“Jumpa nanti ya. Kalau kawan-kawan lain yang nak hadir tu hubungi aku. Mungkin ada yang tak sempat aku nak edarkan kad, aku edarkan kat laman sosial aje mana yang larat aku buat!” kata Nukman Faris.

“Ya aku akan pakat agar semua staff pergi, biar penuh dewan, dan buat hebahan di laman sosial pasti peminat kau berebut nak datang, sure punya!” kata Suffian. Nukman Faris hanya ketawa kecil. Dia geleng-geleng. Tak perlu hendak buat pengumuman di laman sosial. Dia pasti tidak selesa.

“Mana ada peminat lagi kalau dah begini! Semua lari punya!” kata Nukman Faris memikirkan dirinya yang sudah berkahwin.

“Kau balik mana ni?” soal Suffian. Kunci sudah di tangannya. Wajah segar Suffian dipandangnya.

“Kenapa, kau nak ikut?” soal Nukman Faris. Wajah isterinya terbayang lagi di matanya. Kenapa wajah comel itu sering muncul dalam ingatannya? Apakah dia sudah sasau kepada isterinya yang setia menunggunya di rumah dalam tempoh seminggu ini? Ah, parah dia kalau isterinya sentiasa membuka mulut meminta dia diceraikan! Suami mana yang hendak ceraikan isterinya yang comel, ayu dan berbudi luhur itu?

Bodohlah dia nampaknya!

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha