Home Novel Cinta Cinta Sang Pilot
Bab 4

Bab 4

Selepas bersarapan pagi itu, aku terus masuk ke bilik untuk membersihkan diri. Menurut emak tadi, pada hari ini kami akan mengadakan lawatan muhibbah ke rumah adik beradik di kampung seberang. Tujuannya untuk memperkenalkan Nukman Faris kepada saudara mara ayah di situ terutamanya kepada pak long dan adik-beradik ayah yang lain.

Sebenarnya jika menurut pandanganku, lawatan muhibbah ini tidak perlu dilakukan. Ini kerana, antara kami berdua hanya kahwin olok-olok sahaja. Selepas ini belum tahu kami akan berhubungan macam suami isteri lain. Kami sudah diikat oleh sebuah perjanjian. Aku sendiri mengakui di depan Nukman Faris yang aku tidak akan menuntut apa-apa selepas ini.

Hanya yang kumahu, nikahi aku untuk tiga hari dan kemudian buatlah apa sahaja, aku tidak kisah! Itulah janjiku kepada Nukman Faris seminggu sebelum kami menikah. Itulah yang menyebabkan lelaki itu menyetujui rancangan mamanya dan emakku. Jika tidak belum tentu dia akan setuju dengan rancangan gilaku itu!

Tiba-tiba pintu dikuak. Terpacul wajah lelaki kacak dengan baju sukan itu. Aku tahu itu baju tidurnya semalam. Dia pun menjaga perilakunya seperti mana aku menjaga perilakuku sepanjang masa kami bersama. Marak mataku memandangnya.

Aku terkenangkan pelukannya di dapur tadi, aku teringat mahu memberikan dia amaran. Aku tidak suka ia akan berulang lagi. Aku tahu aku sudah menjadi miliknya tetapi dia sudah ada kekasih. Apa kata kekasihnya nanti?

“Abang, silakan duduk.” Kataku menyuruh dia duduk di atas katil. Ia juga sebagai satu kebiasaan bagi menghormati suami. Hmm, walaupun suami di atas kertas! Kebetulan aku sudah mandi dan mengenakan pakaian persalinan yang dihadiahkan daripadanya mamanya pada hari pertunangan kami.

“Nak cakap apa?” lidahku terus jadi kelu. Wajah tampan ini selalu membuatkan aku jadi segan sekali.

“Err, lain kali kalau depan mak ayah, janganlah nak berlakon lebih-lebih pula. Saya tak suka abang peluk-peluk dan kucup pipi saya macam tu depan orang,” aku memberitahu apa yang patut. Dia tersengih. Mahu terkeluar biji mataku.

“Kenapa tak boleh kah berlakon macam tu? Tak ada pula dalam perjanjian!” katanya. Bijak sungguh jawapannya. Lelaki memang begitu, suka ambil kesempatan!

“Kenapa, kalau bukan depan mereka, awak suka kalau saya peluk? Tentu awak sukakan?” ya Allah mahu sahaja aku menjerit. Dia sudah berdiri dan memeluk aku dari belakang. Kaku aku seketika di dalam pelukannya. Aku tidak suka sebenarnya. Ia sudah melanggar perjanjian kami.

“Kenapa awak ni Nukman? Awak sedar tak? Awak sedar yang awak sudah ada perjanjian! Tak boleh nak pegang-pegang dan peluk-peluk! Kasihan pula dengan bakal isteri awak nanti,” aku terketar-ketar mengingatkannya di samping menolak kasar tangannya.

Namun aku gagal. Tangan lelaki gagah itu terlalu kuat sehingga aku hanya mendiamkan diri di sampingnya.

“Saya tahu awak pernah buat begini sehingga awak mengandung kan!” katanya. Aku kelu. Kata-katanya menghina aku! Aku mencubit perutnya kuat-kuat. Kata-katanya sungguh melampau!

“Awak jangan main-mainkan saya! Antara saya dengan bekas tunang saya tak ada kaitan dengan awak! Mungkin awak dengan kekasih yang buat macam ni kan!” dia sudah melepaskan pelukannya. Aku menjauhi diri daripadanya. Dia sudah mempermainkan aku dan janji kami.

“Abang Nukman tak mainkan awak. Saya ikhlas, apa salahnya kita kan suami isteri!” katanya selamba. Mahu terkeluar anak mataku.

“Ya lah kalau macam orang lain yang tak ada perjanjian tak apa! Tapi awak dan saya ada perjanjian. Kalau awak langgar perjanjian itu, bagaimana? Awak akan saman saya kan, walaupun kesalahan tu dari awak?” soalku. Dia garu kepala. Aku tahu kepalanya tidak gatal.

“Saya rasa itu tak menjejaskan perjanjian. Sebab jangan awak yang ganggu saya, itu barulah dikatakan menjejaskan perjanjian!” katanya.

Mahu sahaja aku rebah di situ. Bagaimana kalau banyak berligar di kepalaku. Bagaimana kalau dia tergamak melaggar perjanjian kami dan aku mengandung? Huhu, aku takut sekali. Kenapa dia tergoda. Pakaianku bertutup sepanjang hari di sampingnya. Aku tidak mengenakan pakaian yang menonjolkan auratku di depannya. Di dapur pun aku pakai tudung. Apa masalahnya?

“Awak sungguh cantik hari ini, mungkin seri orang mengandung!” dia sudah mendekati aku dan mengelus pipiku. Bulat mataku.

“Awak buat lagi?” soalku.

“Salah?” soalnya. Aku terpinga.

“Tak salahkan?” aku lebih termangu.

“Ini untuk ciuman penghargaan dari suaminya,” bisiknya sambil mengucup telingaku juga. Meremang bulu romaku. Hendak menolak, dia sudah memegang tanganku kuat-kuat. Akhirnya aku terpaksa mendiamkan diri di sisinya.

“Tasya, dah sedia?” perbuatan Nukman Faris yang tidak senonoh telah dilihat emak. Kebetulan emak membuka pintu bilik kami tanpa mengetuknya dulu. Lelaki ini pula masuk tanpa mengunci pintu bilik pengantin. Aku cepat-cepat keluar dari dunia luar sedarnya.

“Tasya dah sedia mak, abang ni yang belum sedia,” kataku yag sudah mendekati emak di muka pintu. Wajah emak memerah. Mungkin dia tidak sengaja ternampak kami begitu. Aku tahu Nukman Faris hanya berlakon. Emak cepat-cepat turun ke tingkat bawah.

“Awak ni kan!” marahku.

“Apa?” soalnya bodoh.

“Awak jangan buat begitu! Awak juga sudah buat perjanjian kan!” kataku mengingatkannya. Dia ketawa. Bahagia sungguh hatiku melihat tawa kacaknya itu.

“Kan awak sudah tertangkap dengan mak!” kataku. Dia ketawa dan mengesat bibirnya.

“Awak tertangkap dengan saya, suami awak, bukan dengan orang lain!” katanya. Bulat mataku memandangnya. Kenapa dia hari ini? Semalam dan subuh tadi bukan main dia memarahi aku!

“Suami di atas kertas, mana ada hak!” jawabku. Dia terus menghampiriku. Lelaki ini seperti hilang ingatan.

“Tak!” dia sudah mendekatiku semula dan menundukkan tubuhnya untuk mengucup entah mukaku atau... oh, tidak. Dia sudah mengucup bibirku dan aku tidak dapat bernafas untuk seketika. Dalam sesak nafas aku bahagia tetapi dalam masa yang sama aku menangis. Kami hanya lah suami isteri di atas kertas, jika apa-apa terjadi kepadaku, apa yang harus aku lakukan? 

Tuhan berikan aku cara untuk keluar dari ruang menyeksa ini!

“Jangan buat begini,” kataku selepas dia sudah melepaskan bibirku. Dia ketawa memerhatikan wajahku yang sudah membahang. Panasnya macam bara api!

“Maaf, saya tak dapat kawal diri. Saya nampak awak terlalu seksi!” katanya. Aku menangis lagi.

“Awak ni dah gila! Awak sepatutnya ingat kekasih awak yang awak akan kahwini tak lama lagi!” kataku. Dia diam dan duduk di birai katil. Sepatahpun dia tidak menyambut kata-kataku.

“Entahlah!” katanya. Aku tahu dia belum mandi. Aku berdiri mengambil tualanya.

“Nah, awak pergi mandi. Ayah dah tunggu kita tu,” kataku. Aku tidak mahu ada sesuatu antara kami.

“Awak nak mandi dengan abang atau awak tunggu?” aku geleng.

“Saya dah mandi!” gila! Ada niat dia hendak mandi sama-sama denganku. Mahu aku mati saat ini sebab kurang nafas! Ah, entah apa yang kena dengan otaknya pagi ini, aku sendiri kurang pasti!

“Kita sama-sama turun bawah ya,” ucapnya. Aku mengangguk. Ketika aku berpusing menghadap cermin aku terkejut. Aku terlihat ada garis merah di leherku. Lantas aku cepat-cepat mengenakan tudung. Aku tidak akan membuka tudungku di depannya selepas ini. Aku akan menjaga diriku untuk kehidupan akan datang. Itulah janjiku.

Previous: Bab 2 dan Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha