Bab 1


Pintu belakang ambulan terbuka. 

“Dua beranak tersepit dalam kereta!” jerit Rudin sambil menurunkan katil pengusung yang membawa seorang wanita cedera teruk di perutnya dan tidak sedarkan diri.

Zakiah dan Dr. Julia membantu Rudin.

Sepuluh saat kemudian, kedengaran lagi bunyi nyaring siren ambulan kedua menyusul. Lampu merah dan biru terang menyala berputar-putar menerangi perkarangan wad kecemasan. Sejurus berhenti, Husin dan Jaclyn menyorong keluar katil pengusung. Kelihatan anak gadis belasan tahun sedang menangis kesakitan. Nika dan Dr. Priya membantu.

“Ibunya patah kaki, perutnya tertusuk kaca! Anaknya patah tangan dan luka teruk di kaki, pesakit banyak kehilangan darah!” lapor Jaclyn yang turut keluar dari kereta kedua ambulan tadi kepada Dr. Priya.

Darah Nika tersirap. 

Zakiah dan Dr. Julia bergegas ke bilik pembedahan di sebelah kanan. Nika bersama Dr. Priya pula menuju ke ruang bertentangan. 

Selepas menarik tabir penghadang, Nika berlari ke almari berhampiran mengeluarkan peralatan untuk pembedahan kecil.

"Skalpel sepuluh," minta Dr. Priya. 

Nika pantas menghulur. Kemudian dia memotong sebahagian seluar kanan mangsa yang mengalami luka teruk itu. Gadis itu masih menangis kesakitan.

"Berikan pesakit sedatif," arah Dr. Priya bersedia hendak mengeluarkan serpihan besi yang menusuk pada tulang kaki gadis itu. 

Selepas memberikan pesakit suntikan sedatif dan ubat bius, tiada lagi suara tangisan, gadis itu sudah tidak sedarkan diri. Selepas beberapa minit Dr. Priya akhirnya berjaya mengeluarkan besi sepanjang 2cm dari kaki mangsa. Suzzie bergegas masuk membawa x-ray tangan gadis yang patah itu dan diletak pada bingkai khas untuk rujukan doktor seterusnya sebelum keluar semula.

"Tulangnya bergeser sedikit," ujar Nika selepas memeriksa gambar x-ray itu beberapa saat.

"Kena buat gips," sahut Dr. Priya yang hampir siap dengan operasinya. "Lepas ni, tolong saya jahit kaki pesakit," sambung Dr. Priya lagi lalu beralih melihat x-ray tadi sementara Nika membersihkan luka pesakit untuk operasi jahitan pula.

Lepas hampir sejam membantu Dr. Priya dan luka teruk di kaki gadis belasan tahun itu sudah dirawat, Nika keluar. Dr. Priya pula segera berjumpa dengan keluarga mangsa kemalangan yang dilaporkan baru tiba.

“Nika!”

Dia berpaling ke kanan. Dr. Kumar memanggilnya dekat hujung sana. Nika bergegas ke tempatnya.

“Tolong periksa luka pesakit itu, lukanya perlu dijahit,” Dr. Kumar menunjukkan kepadanya seorang lelaki separuh berbaring di katil bahagian tengah yang sabar menunggu. 

Nika menghampiri pesakit yang disebutkan Dr. Kumar yang baru bergegas pergi. Seorang lelaki, bermisai nipis dengan rambut kusut memandangnya. PerlahanNika memegang dan memeriksa tangan lelaki yang tercedera itu. Terdapat luka sepanjang tiga inci di tangan kirinya yang berlumuran darah seperti terkena bilasan benda tajam. Luka itu nampaknya perlu dijahit segera.

“Err.… siapa nama encik?” tanya Nika lembut sambil memotong lengan panjang baju kemeja berwarna biru laut yang melekat pada luka dan dibasahi darah.

“Amr,” jawab lelaki itu ringkas sambil menggosok hidungnya dengan tangan yang sebelah lagi dan terus memandang pada Nika.

“Ok. Encik Amr, luka awak ni perlu dijahit.” 

Nika segera menyediakan alat bedah di atas sebuah dulang besi. Selepas membasahkan gauze dengan antiseptik dia membersihkan luka itu berhati-hati. Ia masih mengeluarkan darah pekat. Kemudian dia menyuntik ubat penahan sakit supaya pesakit tidak merasa sakit bila dia mula menjahit. Bunyinya macam menjahit pakaian, tapi sebenarnya dia sedang mencantumkan kembali kulit dan isi tangan yang terpisah bagi membolehkan mangsa tidak terkena komplikasi lebih teruk jika tidak dirawat. 

“Kes kemalangan apa tadi?” tanya lelaki yang bernama Amr itu ketika dia tengah menjalankan operasi menjahit.

Nika terleka seketika sebelum menjawab. 

“Kereta terlanggar pembahagi jalan, ibu dan seorang anak gadisnya. Tapi.. kedua-duanya selamat,” jawab Nika tanpa melihat dan terus melakukan kerjanya.

Bagaimanapun, apa yang tidak menyenangkan sepanjang dia melakukan kerjanya, lelaki itu asyik merenungnya. Hingga membuatkan Nika berasa kurang selesa dengan renungan itu.

Kerana tidak tahan dengan renungan itu Nika bersuara. “Ok Amr.. saya akan jahit luka awak dengan bagus kalau awak berhenti merenung muka saya,” katanya walaupun dia harus akui begitulah selalunya terjadi jika dia merawat pesakit lelaki. Dia tidak suka ditenung sebegitu rupa.

 “Sorry,” katanya hampir tidak kedengaran.

“Macam mana awak dapat luka begini?" tanya Nika setelah selesai menampalnya dengan kain kapas yang bersih dan membalutnya dengan lebih rapi. Kemudian membersihkan kesan darah di tangan kiri lelaki itu tadi kecuali darah yang terpercik pada baju kemejanya yang telah kering dan membekas.

“Saya cuba leraikan pergaduhan,” jawab Amr dan senyap semula ketika menyandarkan kepala dan belakangnya di badan katil dalam suasana dingin yang langsung tidak memberi kesan padanya.

“Lukanya agak teruk, awak perlu ambil ubat ikut arahan kalau tak, luka tu lambat sembuh.”

Lelaki itu mengangguk sambil menggaru hidung mancungnya dengan tangan sebelah. Rambutnya pendek dan kelihatan kusut macam baru habis bergaduh. Tetapi Nika malas nak ambil  tahu. Ada banyak kerja lagi yang perlu dibuatnya

“Awak nak minum?” pelawa Nika baik.

“Ya… terima kasih.”

 Nika lantas mengambil segelas air dari kawasan berhampiran dan diberikan pada Amr yang meneguknya cepat. Gelas tadi kosong serta merta. “Berehatlah sebentar di sini,” katanya sebelum berlalu.

Kemudian dia sibuk membantu Suzzie yang sedang merawat dua lagi kes asma yang baru masuk.

Sejak dari pukul 9 malam semalam sehinggalah ke awal pagi, kerja-kerja di bahagian wad trauma dan kecemasan mendadak sibuknya. Langsung tak sempat berehat macam semalam. Bukan main seronok lagi dia, Zakiah, Jaclyn dan Dr. Julia berbincang pasal Dr. Julia yang hendak menikah tidak lama lagi dengan seorang teman karibnya yang juga merupakan seorang doktor. Hari ini, jangankan nak bersembang sekejap, nak minum seteguk air pun payah.

Selepas lima belas minit berlalu, waktu kerjanya tamat. Nika bergegas mengambil ubat penahan sakit untuk rawatan luka dan antiseptik di kaunter ubat. Dia menghulurkan ubat-ubat itu diberikan kepada Amr yang dibenarkan pulang oleh Dr. Kumar. Syif kumpulan mereka akan berganti dengan syif jururawat lain yang sebahagiannya merupakan teman-temannya sewaktu mengikuti kursus di kolej Kejururawatan  Sri Balqis  di ibu negara .


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.