Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 15 Serba Salah

Anisah melihat telatah Suraya yang sedang bermain seorang diri. Timbul rasa risau memikirkan anaknya yang tidak mendapat pendidikan sempurna seperti anak-anak yang lain. Dia merancang untuk menghantar Suraya ke pusat didikan anak-anak yang senasib dengannya. Dia akan berbincang dengan Ustaz Hairi setelah lelaki itu pulang nanti.

'Mama tak akan biarkan hidup kamu sia-sia Suraya. Mama mahu kamu berdikari macam adik-beradik kamu yang lain. Macam mana kalau mama dah tak ada nanti?' Anisah berfikir sambil asyik melihat gelagat Suraya dan permainannya.

Lamunannya terpadam dengan bunyi kereta di hadapan rumah diikuti bunyi kunci pagar dibuka. Melalui tingkap Anisah melihat Ustaz Hairi tercegat di pintu pagar selepas dihantar oleh sebuah kereta yang baru meninggalkan kawasan itu. Mungkin kawan yang menumpangkannya untuk menghadiri kursus bersama-sama.

"Assalamualaikum," suara Ustaz Hairi dari pekarangan rumah.

"Waalaikumsalam. Eh, abang! Awal balik. Kata petang nanti baru sampai. Kenapa tak telefon?" Ada keresahan dalam suara Anisah. Sedikit sebanyak dia risau memikirkan keadaan Farizah.

"Ada masalah. Sebab tu kursus dipendekkan selama dua hari saja. Mesti kena telefon?" Ustaz Hairi berseloroh.

"Taklah... Tapi sekurang-kurangnya boleh juga Anisah tahu abang nak balik.' Jawab Anisah sambil bersalam dengan suaminya.

"Farizah mana?" Tanya lelaki itu.

"Dia... err... keluar ke bandar kejap. Nak cari barang katanya." Dalih Anisah. "Abang nak makan? Nanti Anisah hidangkan."

"Tak apa. Abang dah makan dengan kawan tadi."

"Abang nak minum?" Tanya Anisah.

"Tak payah. Tak payah susah-susah. Kenapa abang tengok Anisah gelabah semacam ni?" Tebak Ustaz Hairi.

"Eh, mana ada. Anisah tak sangka abang balik awal. Dengan keadaan rumah tak berapa terurus ni."

"Tak payahlah Anisah berselindung. Ni mesti tentang Farizah kan?" Kata Ustaz Hairi sambil bersandar di sofa.

"Apa maksud abang?" Dahi Anisah berkerut.

"Farizah tak ada cerita apa-apa dengan Anisah?"

"Cerita apa?"

"Tak apalah. Abang pun nak pergi mandi. Nak berehat kejap."

Anisah terpinga-pinga. Rasa bersalah tadi sudah hilang. Kini dia kehairanan dengan kata-kata suaminya yang penuh teka-teki tentang Farizah.

***

Malam itu Anisah sukar melelapkan mata. Dia asyik memikirkan kata-kata Ustaz Hairi tentang Farizah. Farizah pulang tidak lama selepas Ustaz Hairi tiba di rumah dan lelaki itu nampaknya tidak syak apa-apa.

Suraya sudah nyenyak tidur di sisinya. Sekiranya dia tidak tidur di bilik itu, Suraya akan tidur bersama Marissa dan Umairah.

Rasa haus menyebabkan Anisah ke dapur untuk minum. Dia terdengar perbualan dari bilik Ustaz Hairi dan Farizah. Nada perbualan mereka agak nyaring dan Anisah dapat mendengar dengan samar-samar apa yang mereka bincangkan.

'Ish... tak baik aku pasang telinga mendengar perbualan dia orang berdua tu.' Hati Anisah cuba memujuk dirinya supaya beredar.

'Tapi kenapa malam-malam buta ni bunyinya macam bertengkar?' Anisah mula risau. Akhirnya dia menggagahkan diri untuk beredar tanpa mendengar perbualan suami dan madunya.

***

Farizah agak murung pagi itu. Dia melemparkan pandangan jauh ke luar jendela tanpa berkata apa-apa.

"Farizah okey?" Tanya Anisah sambl duduk di sebelah wanita itu.

"Tak ada apa-apa kak." Anisah tahu jawapan Farizah itu bukan gambaran sebenar dirinya.

"Akak dah mula rasa bersalah sebab jadi orang ketiga dalam rumah tangga Farizah berdua."

"Sebenarnya ni bukan salah akak. Agaknya memang nasib saya macam ni kak..."

"Cuba ceritakan. Mungkin akak boleh tolong."

"Kalau saya ceritakan pun mungkin susah untuk akak faham."

"Kalau akak tak dapat faham pun sekurang-kurangnya akak boleh jadi tempat Farizah meluahkan perasaan."

Farizah terdiam sebentar sebelum menjawab.

"Saya tak tahu macam ni rasanya siksa bila kita serahkan diri kita kepada orang lain, tapi hati kita masih ada pada orang yang pernah mengisi hidup kita."

Anisah tidak menjawab. Sebaliknya dia membiarkan Farizah meneruskan cerita.

"Dah puas saya cuba lupakan dia. Tapi setiap kali saya bersama Hairi, saya masih teringatkan dia."

"Maksud Farizah, kekasih lama?"

Farizah mengangguk.

"Selagi kita tak boleh terima hakikat jodoh, kita tak akan dapat ketenangan dalam hidup kita. Farizah kena lepaskan dia, sebab sekarang dah bertanggungjawab sebagai isteri kepada Hairi. Lupakan dia Farizah. Ini semua godaan nafsu. Jangan sampai syaitan mengambil peluang untuk jadikan kita alat melaksanakan agenda jahat dia. Jangan sampai terlambat." Nasihat Anisah. Dia sendiri tidak sangka kata-kata itu boleh keluar dari mulutnya sendiri.

"Sebab itu saya kata akak tak akan faham."

"Memang akak tak akan faham selagi akak tak berada di tempat Farizah. Tapi ini nasihat ikhlas akak kepada Farizah. Hidup kena diteruskan. Jangan sampai kita masih berpegang pada tali masa silam kita. Kita tak akan dapat menjalani hidup ini dengan tenang." Anisah meneruskan kata-katanya.

Anisah mula sedar. Kata-kata yang dizahirkan itu sebenarnya adalah berdasarkan pengalaman yang sedang dilalui semenjak pemergian Jalaludin.

"Tak apalah kak. Biarlah saya selesaikan sendiri masalah saya ni. Dengan cara saya sendiri. Tak payahlah akak nak masuk campur." Jawapan Farizah sebelum dia bangun dan meninggalkan Anisah.

Kini Anisah mula faham dilema yang dialami oleh Farizah. Anisah pasti wanita itu telah tahu jalan penyelesaiannya, tetapi dia masih belum mampu melepaskan cinta yang masih dipertahankan. Cinta kepada lelaki yang bukan suaminya.

***

Ustaz Hairi sedang asyik menghayati isi sebuah kitab di tangan sambil bersandar di katil. Anisah duduk di sebelah lelaki itu sambil merebahkan pipi ke bahunya.

"Bukan main khusyuk abang membaca," tegur Anisah.

"Bagus kitab ni. Isinya tentang sangkaan kita kepada Tuhan." Jawab Ustaz Hairi penuh semangat.

"Ceritakan sikit isinya pada Anisah."

"Kadang-kadang kita rimas dengan kehidupan yang kita rasa tak seperti yang kita inginkan. Tak kiralah apa masalah yang kita hadapi. Kesempitan hidup, penyakit, musibah atau apa sekalipun. Puas kita berdoa tapi masih tak ada perubahan, malah adakala makin teruk keadaan kita." Terang Ustaz Hairi.

"Sebab Tuhan tolak doa kita ya bang?" Anisah cuba meneka.

"Bukan. Hanya dalam keadaan tertentu yang doa kita ditolak bulat-bulat. Tapi dalam keadaan lain, semuanya diterima walaupun tak dimakbulkan."

"Kenapa macam tu bang?"

"Ada beberapa sebab. Antaranya adalah kerana Tuhan tahu kita tak mampu terima sekiranya doa kita dimakbulkan. Contohnya jika apa yang kita minta tu akan menjadikan kita makin jauh daripada-Nya. Disebabkan itu Dia ganti dengan benda lain, atau simpan doa itu menjadi habuan kita di akhirat nanti."

"Oh, macam tu..."

"Ada soalan lagi?" Tanya Ustaz Hairi.

"Amboi, macam sesi pertanyaan dalam kuliah Tanyalah Ustaz pulak ya?"

Ustaz Hairi ketawa kecil dengan gurauan Anisah.

"Memang pun. Inikan rancangan Tanyalah Ustaz Hairi Suamimu." Gurauan lelaki itu membuatkan Anisah memeluk erat lengannya.

"Memang Anisah ada satu soalan lagi."

"Apa dia?"

"Sebelum tu Anisah minta maaf sebab terdengar abang bertengkar dengan Farizah semalam. Masa tu Anisah nak ke dapur. Anisah jadi punca pertengkaran tu ke bang?" Anisah sengaja mahu mendengar dari sudut pandangan Ustaz Hairi.

"Bukan sebab Anisah, tapi memang ada kaitan dengan Anisah."

Ustaz Hairi diam seketika sebelum menyambung cerita.

"Abang tahu dia masih belum dapat melupakan kekasih lama dia, walaupun setelah menjadi isteri abang yang sah. Tapi abang masih belum berputus asa. Abang masih berusaha untuk kotakan janji kepada ayah Farizah. Abang akan cuba sedaya upaya ubah sikap dia, walaupun sampai ke akhir hayat abang."

Dia mengeluh sebelum menyambung lagi.

"Dah macam-macam abang cuba, tapi hati Farizah masih belum berlembut. Sebenarnya abang kahwin dengan Anisah pun ada sebab lain di samping untuk menolong Anisah sekeluarga. Abang harap akan timbul rasa cemburu untuk dia merebut kasih-sayang abang bila dah ada perempuan lain dalam hidup abang. Tapi langsung abang tak sangka dia menggunakan alasan ini untuk minta cerai. Abang tak akan lepaskan dia. Itu janji abang pada ayah dia."

"Tapi sampai bila bang? Saya tengok dia dah betul-betul tersiksa. Bukan Anisah minta abang ceraikan dia, tapi abang kena buat sesuatu sebelum dia semakin memberontak. Anisah takut kalau apa-apa terjadi pada abang atau dia."

"Sebenarnya abang risau kalau dia balik pada kekasih lama dia. Abang tahu latar hidup lelaki tu dan abang tak mahu Farizah menyesal nanti. Anisah jangan risau. Abang akan cari jalan penyelesaiannya. Sambil tu, Anisah tolong-tolonglah nasihatkan dia. Manalah tahu hati dia boleh berubah."

"Insya-Allah bang." Jawab Anisah.

"Okeylah, abang pun dah nak tidur ni."

"Eh, awalnya nak tidur. Tapi Anisah belum mengantuk lagi."

"Kalau macam tu Anisah cakaplah. Abang pasang telinga ni."

"Tapi Anisah tak nak berbual."

"Kalau tak nak berbual, nak buat apa lagi?"

"Buat tak faham pula abang ni."

"Hehe, abang dah tahu. Saja nak mengusik Anisah."

"Nakal lah abang ni!" Anisah menampar manja bahu Ustaz Hairi.

Ustaz Hairi meletakkan kitab di meja kecil dan menyuramkan lampu.

Previous: Bab 14 Madu

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.