Home Novel Cinta Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/1/2025 09:17:59
2,321
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

LEILA kembali ke pejabat tidak lama kemudian. Setibanya dia di premis LAKSA, dilihat Nik sudah kembali ke pejabat dan Putri sudah pun berada di meja sendiri, sibuk dengan urusan masing-masing. Mahima pula sedang berdengung sendirian dengan fon telinga memainkan lagu entah apa sambil tangannya sibuk menggerakkan tetikus ke atas dan ke bawah. Hanya Abang Jo yang masih belum pulang dari acaranya.

Ketika dia meletakkan beg tangannya di bawah meja dan menghidupkan semula komputer yang sudah berhibernasi sejak dia keluar tadi, Nik yang duduk di meja bertentangan mengangkat muka. Cermin mata berbingkai hitam lelaki itu melorot tetapi dibiarkan. Bukannya ada power pun. Hiasan semata-mata. Kata Nik, dia rasa seperti Clark Kent apabila bercermin mata!

"Kau pergi mana tadi? Aku ingatkan kau balik ofis terus lepas event?" soal Nik.

Leila tahu yang dia harus menghormati Nik kerana secara teknikalnya, lelaki itu ialah bos. Tetapi sukar untuk dia menjawab dengan serius apabila melihat rupa Nik yang tidak ubah seperti Jojo daripada siri "Didi & Friends". 

"Aku balik rumah kejap. Tukar kasut," balasnya separa berbohong.

Nik mengerling jam di telefonnya. Melihat dahi lelaki itu berkerut-kerut, Leila boleh agak apa yang difikirkan lelaki itu. Jam sudah menunjukkan pukul 5.00. Hanya tinggal sejam lagi sebelum waktu pejabat habis. Tiada sebab untuk dia pulang ke rumah semata-mata hendak menukar kasut dan kemudian kembali ke pejabat. 

Kerutan pada dahi Nik kembali hilang selepas beberapa saat. Ia jelas menunjukkan lelaki itu tidak kuasa mahu menyoal siasat.

"I see. Well, while you were away, ada orang telefon kau." 

Jantung Leila berdegup pantas lagi.

"Mawi?" soalnya dengan suara yang cuba dikawal agar kedengaran tenang.

"Huh? Kau ada plan nak interview Mawi ke? Dia ada projek apa-apa ke?" soal Nik  semula.

Oh ... bukan Mawi.

"Jadi, siapa yang telefon?" Soalan berbalas soalan.

Nik menanggalkan post-it note yang ditampal di sudut komputer ribanya lalu diserahkan kepada Leila. Ada nombor telefon tertera di situ dengan nama "Zawiyah".

"Dia kata dia cuba telefon nombor kau, tapi kau tak jawab. Sebab tu dia telefon pejabat." 

"Oh. Thanks, Nik." Leila segera memasukkan nombor itu ke dalam kenalan telefonnya.

"Ingat apa pesan aku? Kalau klien hoarder kau telefon nombor pejabat, kau kena? Kena apa?" Nik mengangkat kening, seolah-olah dia bercakap dengan budak tadika. 

Leila mendengus jengkel. "Ya. Nanti aku masukkan dalam balang. Kau ni, takkan setiap kali pun nak kena sebut?"

"Mahima hutang RM4 sebab dua kali aku kena jawab call laki dia guna nombor ofis. Sampai sekarang dia tak bayar. Jadi, terpaksalah aku ingatkan semua orang."

Mahima menanggalkan fon telinga.

"Aku dengar, okey? Nanti aku ada cash, aku masukkanlah. Zaman QR Pay ni, siapa aje pegang cash?" bebel si ibu mengandung.

"Hutang tetap hutang," jawab Nik bersahaja.

Mahima balas dengan menunjukkan jari tengahnya. Leila ketawa. Dasar lelaki skema. Pasti sejak zaman remaja pun dia begitu memandangkan Nik kata dia dulu ketua pengawas di sekolah menengah. Sedikit pun tidak mahu beri pelepasan! 

Tapi kalau diikutkan, Nik sudah cukup baik. Lelaki itu tidak kisah kalau rakan-rakan LAKSA yang lain ada pekerjaan sampingan di luar waktu syarikat. Malah, lelaki itu tidak kisah mereka menggunakan nombor telefon pejabat untuk membuat panggilan  yang tidak berkaitan.

Cuma, mana-mana staf yang menggunakan nombor syarikat untuk urusan tidak berkaitan, harus memasukkan seringgit ke dalam sebuah balang kaca yang sengaja diberi nama CUKAI. Kalau Nik yang harus menjawab panggilan tidak berkaitan itu, mereka harus membayar dua ringgit.

Leila mengeluarkan dua keping duit kertas seringgit dan terus menghampiri rak di mana terletaknya balang CUKAI. Balang itu kini sudah kembali kosong kerana jumlah sebelum ini telah digunakan oleh mereka untuk membeli piza buat kudapan petang. Duit dalam balang CUKAI ialah hak semua. Jadi, dia tak kisah jika perlu bayar beberapa kali pun.

Leila tidak terus menghubungi wanita yang bernama Zawiyah itu. Dia mengangkat komputer ribanya dan bergerak ke arah sofa empuk di mana dia memilih untuk menyiapkan kerjanya. Tiada masalah kalau dia tidak hadir ke tayangan perdana filem itu. Pihak produksi tetap akan menghantar kenyataan akhbar ke e-melnya nanti. Dia hanya perlu mengolah semula ayat dalam kenyataan akhbar itu dan semuanya akan selesai. Beres. 

Asmawi ....

Leila mengeluh sendirian.

KALI pertama Leila bertemu dengan Asmawi pada minggu kedua Jannah membuka gerai nasi bungkusnya. Selepas mereka berpindah dari rumah ibu saudara mereka ke Taman Kampung Kuantan. 

Asmawi yang ketika itu sedang menikmati cuti semester pengajiannya di universiti, berbual-bual dengan Jannah sambil duduk di meja berdekatan dan menikmati nasi yang dibelinya di gerai itu.

"Siapa ni?" soal lelaki itu tatkala Leila menghampiri si kakak lalu meletakkan beg sekolahnya di bawah meja. 

"Adik. Tahun ni dia SPM," balas Jannah.

Asmawi tersengih memandang Leila, tetapi dibalas oleh gadis itu dengan jelingan.

Leila sangat berhati-hati dalam bab komunikasi dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Di sekolah pun dia jarang berbual dengan pelajar lelaki. Entah kenapa lelaki itu tersengih-sengih memandangnya. Dia pun tidak faham. 

"Oh, dah plan ke nak study mana lepas SPM?" soal Asmawi.

Leila menggeleng walaupun dia tahu matlamat utamanya ialah UiTM. Kalau boleh, dia mahu UiTM Shah Alam. Lebih dekat dengan rumahnya. Tetapi, dia tidak perlu menjawab soalan orang yang tidak dikenali. 

Stranger danger, remember?

"Jomlah join abang. Masuk UiTM."

Tak guna! Sama pula!

"Bila masa arwah ayah saya kahwin dengan mak awak?" balas Leila.

Pada mulanya, Asmawi dan Jannah sama-sama terpinga-pinga memandangnya. Tetapi akhirnya, Asmawi yang ketawa dulu.

"Boleh tahan juga adik awak ni, Jannah!"

Kali kedua mereka bertemu adalah pada keesokan harinya apabila Asmawi muncul lagi di gerai itu. Lelaki itu tidak sudah-sudah mengusiknya sampaikan tidak senang  duduk Leila jadinya. 

Senduk nasi untuk pelanggan?

Asmawi akan tegur, "Senduk nasi ke?"

Pulangkan baki duit pelanggan?

Asmawi akan kata, "Wah, lajunya dia buat kira-kira!"

Tolong Jannah potong timun?

Asmawi akan bersiul dan ucap, "Lajunya dia potong. Tengok tu. Tengok tu. Macam cef terkenal."

Leila letak pisau atas meja.

"Nak kena sunat sekali lagi ke?" soalnya dengan nada jengkel.

Asmawi akan ketawa berdekah-dekah seolah-olah sebarang reaksi yang diberikan oleh Leila adalah satu kemenangan buatnya.

Jannah pula tidak membantu. Kakaknya itu turut tergelak setiap kali melihat wajah Leila merah padam diusik oleh Asmawi. Si kakak tidak anggap ia perkara yang serius pun. Pada pandangan Jannah, Asmawi hanya bergurau senda. Katanya, biasalah.  Budak lelaki memang macam itu.

Kata si kakak lagi, Asmawi mengingatkannya kepada Nabil, anak seorang penjual sayur yang pernah dikenalinya  suatu masa dahulu. Nabil, insan yang Leila tidak pernah kenali, tetapi memainkan peranan yang amat penting dalam perubahan hidup mereka berdua. 

Walaupun Asmawi amat menjengkelkan pada mulanya, lama-lama Leila sendiri jadi terbiasa dengan kehadiran lelaki itu. Apabila dia diterima masuk ke universiti yang sama, Asmawi dengan gembiranya menawarkan diri untuk menjadi "pemandu  pelancong" buat Leila dan Jannah. Asmawi membawa mereka melawat setiap sudut dan inci universiti itu. 

Hubungan yang bermula hanya sebagai si penjual nasi bungkus dan pelanggan itu berubah menjadi persahabatan sebenar. Malah, Asmawi dianggap seperti seorang pelindung. Asmawi juga yang Leila harapkan dan akan hubungi apabila tiada rakan-rakan yang dapat menemaninya ke perpustakaan atau ke gedung berdekatan untuk membeli barang keperluan. Asmawi juga yang pantas memunculkan diri setiap kali Leila dalam kesusahan.

Asmawi turut memastikan Leila dapat fokus pada pelajaran. Setiap kali Asmawi "terhidu" kehadiran buaya atau lelaki hidung belang yang cuba mendekatinya, lelaki itu akan segera datang dan memastikan tiada sesiapa dapat mencuri hati Leila dan sekali gus mengecewakannya. 

"Abang kena sentiasa pastikan Lei selamat. Senang cerita, abang ni macam Jacob. Lei macam Bella." 

"Apa benda tu?" soal Leila.

"Cerita 'Twilight' la. Apa Lei ni? Lei kan perempuan. Sepatutnya faham reference tu."

"Orang tak tengoklah cerita-cerita macam tu. Tak kuasa."

Leila juga mula sedar terbitnya rasa sayang dalam dirinya pada lelaki itu sehari demi sehari. Apatah lagi rakan-rakan lain turut menyatakan rasa syak yang Asmawi mungkin menyimpan perasaan yang sama terhadapnya. 

"Leila dengan Asmawi ni macam Bella dengan Edward. Sweet sangat," ujar Nani.

"Bukanlah. Macam Bella dengan Jacob. Mawi sendiri kata dia Jacob Malaysia," ujar Shifa pula.

"Jacob serigala ke Jacob biskut kering?" Nani ketawa.

"Oh my God. Aku seorang aje ke dalam Malaysia ni yang tak tengok 'Twilight'?" rungut Leila walaupun nun di sudut hatinya ada bunga-bunga harapan yang semakin mekar.

Malangnya, ia setakat di situ. Hanya bunga-bunga harapan yang mekar dan memenuhi taman hati. Tidak pernah sekalipun cuba dipetik. Walaupun dengan hubungan mereka yang terlalu akrab itu, Asmawi tidak pernah meluahkan perasaannya. Leila pula takut untuk meluahkannya terlebih dahulu mahupun menunjukkan perasaannya yang sebenar biarpun mereka berdua sering menjadi bahan ejekan teman-temannya. 

Leila bukan hendak bermain tarik tali. Dia memang benar-benar tidak tahu apa yang harus dibuat dalam situasi itu. Kehidupannya bersama Jannah terlalu rumit untuk difahami oleh sesiapa. Itu membuatkan dia melewati zaman remajanya dengan amat  berhati-hati sehinggakan dia kurang pengalaman dalam berinteraksi dengan kaum lelaki.

Tidak perlu berfikir terlalu lama pun cara hendak menyelesaikan dilema hubungannya dengan Asmawi. Lelaki itu terlebih dahulu bertindak dengan memperkenalkan teman wanitanya, seorang wanita Scotland bernama Alice yang dikenalinya di tempat kerja. 

"Tak apa. Aku rasa sekejap aje tu. Tak mungkin bertahan lama. Mawi bukan suka sangat perempuan-perempuan urban ni. Apatah lagi mat salih. Aku bagi masa tiga bulan aje," ujar Nani selamba.

"Aku tak rasa Mawi akan kahwin dengan mat salih. Dia tu tradisional orangnya. Hari-hari pun nak makan nasi. Tak mungkin girlfriend mat salih dia nak masak nasi hari-hari." Shifa pula melontarkan pendapat.

Leila tahu kata-kata dua orang temannya itu hanya berniat untuk memujuknya secara tidak langsung. Sekalipun hubungan cinta Asmawi dan Alice terus kekal hingga masuk ke tahun kedua, dia masih menyimpan harapan yang Asmawi akan nampak dia lebih  daripada itu. Lebih daripada gadis gerai nasi bungkus yang menjadi bahan usikan lelaki itu suatu masa dahulu. 

Kali terakhir Leila menemui Asmawi adalah pada hari perkahwinan lelaki itu. Hatinya begitu pedih tatkala insan yang dicintainya dalam diam melangkah perlahan-lahan menuju ke pelamin dengan lagu "You and Me" dendangan Lifehouse berkumandang di seluruh dewan. 

Asmawi segak berbaju Melayu warna putih yang dipadankan dengan samping perak dan tanjak yang berwarna putih juga. Alice yang berbusana gaun pengantin ala Inggeris, mesra merangkul lengan kekar suaminya. Leila ingat lagi saat itu. Saat di mana dia bangkit dan terus beredar dari situ. Dia sangka dia cukup kuat untuk melihat Asmawi bahagia bersama wanita pilihannya, tetapi tidak. 

Leila tidak lagi berkomunikasi dengan Asmawi sejak itu. Bukan hanya kerana Jannah yang didiagnosis dengan kanser pada tahun yang sama dan seluruh tenaganya dihabiskan untuk menjadi penjaga si kakak, tetapi juga kerana dia tidak sanggup mendengar suara lelaki itu apabila merdu nadanya tidak lagi menjadi miliknya seorang. Masalah kesihatan Jannah sedikit sebanyak turut mengubah pandangan hidupnya tentang kehidupan. 

Asmawi menghubunginya enam bulan kemudian, bertanya sama ada dia akan turut hadir ke lapangan terbang untuk bertemu lelaki itu dan Alice buat kali terakhir sebelum mereka berdua berpindah ke Scotland, tanah kelahiran isterinya.

"Sebelum abang pergi, abang nak jumpa Lei dulu. Lepas ni tak tahu lagi bila kita boleh jumpa."

Leila berjanji dengan Asmawi yang dia akan ke sana walaupun hatinya telah bertekad untuk tidak pergi. Tiba saja hari penerbangan lelaki itu, dia berbohong mengatakan Jannah tidak sihat usai sesi kemoterapinya. 

Sorry, abang. Kak Jannah tak sihat sangat. Lei tak berani 

nak tinggalkan dia seorang diri kat rumah 

Itu mesej terakhirnya kepada Asmawi. Dia tidak tunggu jawapan lelaki itu sebelum mematikan telefon pintarnya. Apabila dihidupkan semula telefonnya selepas empat jam, dilihat Asmawi tidak membalas mesej itu dengan sebarang jawapan. Tiada ucapan selamat tinggal mahupun doa agar Jannah baik-baik sahaja. 

Barangkali Asmawi sedar bahawa Leila mahu memutuskan semua pertalian yang ada di antara mereka. Boleh jadi lelaki itu merajuk kerana Leila terus memilih untuk menjauhkan diri. Atau mungkin Asmawi tidak peduli pun kerana tidak pernah menganggap Leila sebegitu penting sehingga ketiadaannya memberikan impak dalam hidup lelaki itu. 

Asmawi adalah lelaki pertama yang menyentuh hati perempuannya dan lelaki terakhir yang dia benarkan untuk menyentuh hati perempuannya. Oleh sebab itu, dia tidak pernah membalas sebarang surat atau e-mel yang lelaki itu hantar kepadanya. Apabila dia berpindah dari Taman Kampung Kuantan ke kawasan perumahannya sekarang, semua kenangan bersama Asmawi terus dilupakan.

Jam menunjukkan pukul 6.30 petang tatkala bahunya dicuit oleh Mahima.

"Kau nak bertapa kat sini ke? Pergilah balik," ujar si teman yang sudah pun bersiap untuk pulang ke rumahnya. 

Apabila Leila melihat skrin komputer ribanya, Microsoft Word masih memaparkan dokumen kosong. Pejabat sudah pun separa gelap. Hanya tinggal dia dan Mahima. Nik sendiri sudah cabut lebih awal untuk menghadiri majlis gala entah apa yang akan berlangsung malam itu. 

Setelah Mahima melangkah turun ke parkir, Leila mengeluarkan telefon pintarnya untuk menghubungi semula wanita bernama Zawiyah yang membuat panggilan siang tadi.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.