NAMANYA Che Non. Berumur 61 tahun. Dahulunya seorang guru. Arwah suaminya pula seorang pegawai tentera, tetapi sudah lima tahun meninggal dunia. Satu-satu anak lelakinya juga sudah meninggal dunia sejak setahun yang lalu dalam kemalangan jalan raya. Hanya menantu dan dua cucu perempuannya yang datang melawatnya sejak itu.
Che Non memang sudah mula mengumpul barang sejak bersara. Tetapi ia perkara yang biasa, jelas Leila kepada si menantu yang bernama Puan Zawiyah itu.
"Orang kita ni bila dah biasa bekerja, dia hilang arah sekejap kalau tak ada sebarang planning selepas bersara. Masa itulah dia akan mula kumpul barang. Kalau dia kerja pejabat, dia mula kumpul dokumen dan baju-baju kerja yang dah tak boleh dipakai lagi. Kalau dia cikgu, dia kumpul semua titbits dan hadiah daripada students. Lepas tu, mereka akan mula kumpul benda-benda baru pula. Kenapa? Sebab mereka ada banyak masa dan tak banyak aktiviti nak dibuat sementara dunia terus berputar. Perlahan-lahan mereka akan develop this one idea that life is fleeting and a new era is dawning.
Mereka mula sedar, semua benda yang dibuat selama bertahun-tahun itu dah berlalu. Jadi, mereka akan cuba bertahan dengan apa yang mereka ada. As much as they can. Bila mereka alami kehilangan atau ada orang tersayang meninggal dunia, keadaan itu akan jadi lebih teruk. Mereka mula kumpul semua benda yang mengingatkan mereka kepada insan yang dah tak ada tu," kata Leila panjang lebar.
"Teruk ke level hoarding mak mentua saya ni?" soal Puan Zawiyah yang mahu Leila memanggilnya dengan gelaran Kak Yah.
"Itu kena tanya pakar. Kak Yah memang kena bawa mak mentua Kak Yah ni jumpa psychiatrist atau pergi kaunseling. Saya ni tukang kemas aje. Saya cuma boleh sampaikan sedikit pengetahuan yang saya ada."
Leila jarang berkongsi dengan para klien tahap keseriusan masalah mengumpul ahli keluarga mereka atau diri mereka sendiri. Dia bukan seorang pakar psikiatri yang arif tentang subjek itu. Tetapi berdasarkan gambar rumah Che Non di Bukit Subang yang ditunjukkan oleh Puan Zawiyah, dia boleh katakan ia merupakan masalah mengumpul tahap dua dengan skala penilaian imej semak (CIRS) tahap empat atau lima.
Di tahap dua, si pengumpul tertumpu pada pengumpulan lebih banyak objek, tetapi rumahnya masih boleh didiami. Resit yang berlonggok di atas meja, pakaian yang membanjiri katil dan kotak-kotak berisi pelbagai jenis barang yang sedikit mengganggu pergerakan. Che Non mungkin mengalami kesukaran mencari barang kerana ia tenggelam dalam timbunan barang yang lain. Bilik airnya dipenuhi dengan botol syampu dan sabun lama serta pakaian buruk yang tidak berbasuh, tetapi tandasnya nampak masih boleh digunakan.
Ada timbunan buku di depan pintu bilik, tetapi masih ada sedikit ruang untuk menyelit ke dalam. Sudah nampak ada beberapa sarang serangga angkut-angkut pada dinding rumah dan titian semut api di sudut lantai, tetapi masih boleh dibersihkan tanpa membahayakan penghuni.
Meja makan pula dipenuhi dengan pelbagai jenis botol dan bekas makanan. Ada yang berisi, ada yang kosong. Tapi ya, masih boleh dibersihkan oleh seorang Leila tanpa dia perlu meminta bantuan sesiapa.
Mujur Puan Zawiyah kata Che Non bersetuju untuk biar rumahnya dibersihkan. Itu bermakna wanita itu masih ada kewarasan untuk menyedari yang dirinya ada masalah, baik dari segi fizikal mahupun mental.
"Berapa ya, upah untuk bersihkan rumah kalau kotornya macam ni?" soal Puan Zawiyah.
"Saya kena datang dulu, baru saya boleh nak agak. Biasanya saya charge ikut berapa lama saya boleh siapkan," jelas Leila.
"Selalunya paling lama berapa hari?"
"Paling lama saya pernah buat, seminggu. Itu pun untuk rumah yang owner dia dah tahap kritikal. Tapi saya memang jarang ambil job yang complicated macam tu sebab ini kerja part-time. Yang pasti, apa yang saya boleh kata, rumah mentua Kak Yah ni tak sampai ke tahap yang complicated."
Kali terakhir Leila memilih untuk mengemas rumah seorang pengumpul tahap empat, dia terpaksa meminta bantuan majlis perbandaran dan pihak bomba. Malah, dia terpaksa menggunakan cuti tahunannya untuk menghabiskan kerja mengemas itu.
Bayarannya mungkin lumayan, tetapi setiap malam selama sebulan, mimpinya dihantui oleh berenga. Mimpi makan tauhu sumbat, tetapi dengan inti berenga menggantikan tauge. Mimpi berenang di dalam kolam berisi berenga. Mimpi melahirkan ribuan berenga sementara suaminya, Asmawi tersenyum kepadanya dan berkata, "Comelnya anak-anak kita, Lei!"
Ia sungguh menyeramkan. Terutamanya mimpi yang terakhir itu! Itu baru tahap empat. Bayangkan rumah pengumpul tahap lima!
Puan Zawiyah bersetuju. Malah, dia bersetuju dengan bayaran yang dikemukakan oleh Leila dua hari kemudian, tatkala Leila melawat rumah di Bukit Subang itu buat kali pertama. Jadi, di rumah dua tingkat itulah Leila akan menghabiskan Sabtu dan Ahadnya walaupun dileteri oleh Jannah kerana menghabiskan waktu senggang dengan bekerja.
"SABTU dan Ahad gunanya untuk cuti, dik. Bukan untuk sental rumah orang tak dikenali," bebel Jannah di muka pintu tatkala Leila sedang duduk mengikat tali kasutnya.
"Bukannya selalu. Lagipun, ini cuma tahap dualah, ngah. Sekejap aje."
"Kau punya sekejap tu, aku juga yang kena tolong urut kau bila kau balik nanti. Jangan sampai kau mimpi ulat berenga lagi macam dulu."
Leila menjulingkan mata ke atas dengan reaksi jengkel.
"Benda berlaku sekali aje. Kenapa nak ulang cerita tu berkali-kali? Ingat mimpi orang ni filem kat Netflix ke?"
"Ini ada kaitan dengan Mawi ke?"
Soalan Jannah buat Leila terkaku seketika.
"Apa kaitannya dengan Mawi?" Nada suaranya dengar tak dengar tatkala mengutarakan soalan itu.
"Dah tiga, empat bulan kau tak ambil job mencuci walaupun selalu dapat request. Kau cuma ambil kerja macam ni bila kau susah hati atau stres. Hal Mawi ni ke yang buat kau stres?"
Leila berdecit. "Kau ni, ngah. Orang ambil job ni sebab kesiankan Kak Yah. Dahlah husband dah meninggal, mak mentua pun makin tak sihat. Orang cuma nak membantu sambil buat duit lebih. Tak perlu pun ada kaitan dengan apa-apa."
Si kakak membalas dengan keluhan.
"Aku harap bila kau dah selesai mengemas rumah orang ni, otak kau pun sama hilang semak supaya kau boleh explain kat aku apa masalah sebenar kau dengan Mawi."
Leila nak sanggah tanggapan kakaknya. Tetapi sebaik sahaja dia menoleh dan melihat ekspresi sayu pada wajah Jannah, niat hendak melawan tadi terus dilupakan. Rasa jengkel pun ada. Jannah tidak perlu buat apa-apa pun, Leila sudah rasa bersalah kerana merahsiakan soal hati dan perasaannya. Kakaknya itu patut jadi hakim mahkamah. Pasti semua penjenayah akan mengaku bersalah dan bertaubat sebaik sahaja memandang wajah sayunya.
"Orang pergi dulu, ngah." Akhirnya, itu sahaja yang Leila mampu katakan.
Kotak yang berisi pencuci buatan sendiri, disinfektan dan bahan-bahan cucian lain dipikulnya ke kereta. Sewaktu dia mengundurkan kereta keluar dari kawasan rumah, Jannah masih lagi setia berdiri dan memandang ke arahnya dengan wajah penuh kerisauan. Wajah kerisauan yang sama sudah dilihatnya selama lebih dua dekad sejak Jannah menginjak usia remaja.
Ya, lebih mudah kalau Leila berterus terang dengan kakaknya. Lagipun, ia perkara yang sudah lama berlalu. Sudah sepatutnya dilupakan. Dia tidak perlu pun hendak berahsia tentang luka dalam hati yang sudah lama pudar.
Jika difikirkan semula, itu cuma cinta monyet. Cinta seorang gadis yang masih belum matang. Lima tahun sudah pun berlalu. Dia dan Jannah sudah melalui perkara yang jauh lebih dahsyat. Cinta tidak berbalas ini sepatutnya terlalu enteng untuk dipedulikan. Tetapi itulah masalahnya. Dulu ia tidak berbalas. Sekarang bukan sahaja berbalas, malah dimajukan.
Bak kata Nik, "Sent, CC-ed, BCC-ed, and forwarded."
SEMUANYA salah Leila sendiri. Dia yang mengada-ngada mengenang kisah silam. Dia yang tidak tidur malam tanpa mengingati wajah Asmawi yang dia pernah kenal suatu masa dahulu. Wajah lelaki itu dikatakan mirip pelakon Filipina, Hero Angeles.
Bak kata Nani, macam Hero Angeles kalau terlebih sunburn. Senyuman lelaki itu yang senget sebelah menampakkan lesung pipit yang hanya timbul di bahagian kanan bibirnya. Anak rambutnya yang degil akan gugur sesisir dua dan menyapu keningnya setiap kali dia begitu rancak berbual.
Leila dapat membayangkan bagaimana riak wajahnya tatkala menatap wajah Asmawi setiap kali lelaki itu bercerita. Pasti matanya membundar dengan penuh minat dan wajahnya bersinar penuh kagum memandang lelaki itu. Tidak ubah seperti watak kartun Jepun. Cuma tinggal jeritan, "Ahhh, senpai!"
Petang keesokan hari selepas Mahima memberitahu Leila tentang panggilan seorang lelaki bernama Asmawi, dia terus memandu menuju ke kawasan perumahan lamanya yang terletak di Taman Kampung Kuantan, Klang. Di tapak lama di mana Jannah membuka gerai lauk-pauk pada waktu siang dan mengambil kelas sambilan pada waktu malam.
Leila bersandar di tempat duduk pemandu sambil memerhatikan tapak lama gerai yang kini sudah ada kedai makan dibangunkan di atasnya. Cuba membayangkan semula dirinya sebagai pelajar sekolah menengah.
Jannah di belakang meja gerai. Dia pula berbaju kurung dengan kain biru muda dan tudung yang tidak berpin. Tubuhnya bersandar di tiang lampu jalan sambil berbual dengan Asmawi yang duduk menikmati nasi berlauk ayam rempah dan kubis goreng di satu-satunya meja plastik yang disediakan untuk pelanggan.
Tuk! Tuk! Tuk!
Leila tersentak. Matanya dialihkan ke arah cermin tingkap kereta. Sebelah tangannya segera meraba bawah tempat duduk pemandu, di mana dia menyembunyikan sebilah pisau. Dia hanya nampak tubuh seorang lelaki di luar tingkap sebelum lelaki itu menundukkan badan dan mengintai ke dalam.
Tubuh Leila terkaku seketika. Darahnya berderau. Mungkin kerana sudah lima tahun mereka tidak bertemu dan si dia kini lebih berisi. Tetapi senyuman yang meleret dan senget ke kanan itu tetap diingatinya.
"So, Lei kat sini rupa-rupanya?"
Suara itu turut tidak berubah. Lemaknya. Dengungnya. Sebutan huruf S yang tebal bunyinya lebih kepada "sh" berbanding "ss".
Lama Leila terpempan di kerusi pemandu. Cuba mencari kata-kata untuk menjawab soalan retorik lelaki itu. Asmawi mengetuk cermin keretanya buat kali kedua. Hanya sekali ketukan.
"Jom. Abang belanja makan." Lelaki itu mengisyaratkan dengan gerakan kepala ke arah kedai makan tadi dan terus bergerak menuju ke premis itu tanpa menunggu dia bersetuju.
Leila boleh sahaja menghidupkan enjin keretanya dan terus memecut pergi dari situ tanpa perlu menoleh kembali. Itu juga satu pilihan. Tetapi, dia bukan Leila lima tahun yang dahulu. Beg tangannya yang diselitkan di celah dua tempat duduk dicapai dan terus keluar dari badan kereta.
LEILA hanya memerhati tatkala sepinggan nasi dihidangkan di hadapan Asmawi. Menu yang biasa dilihatnya suatu masa dahulu. Ayam goreng berempah, sayur kubis goreng dan telur asin yang dipotong separuh. Masih sama, cuma bezanya ia bukan hidangan yang dimasak oleh Jannah.
Untuk Leila pula, Asmawi sudah pun memesan sepinggan nasi dengan ikan keli berlada, daun selom, sambal belacan dan seketul bergedel. Hidangan yang biasa dia pilih ketika mereka di kampus.
"Seketul bergedel untuk perempuan berdegil," ujar Asmawi. Sengaja dia mengulang ayat yang suatu masa dahulu selalu diucapkannya setiap kali gadis itu muncul bersama makanan tengah harinya.
Leila hanya merenung hidangannya. Tidak tahu mahu berkata apa mahupun memberi reaksi apa. "Dah lama dah tak merasa makanan macam ni," ucap lelaki itu penuh teruja.
Asmawi mengerling dan tersenyum kepadanya sebelum mula menjamah makanan. Leila sekadar memerhati lelaki itu membuat suapan pertama.
"Hmm ...." Asmawi terangguk-angguk. "Not as good as Jannah punya ayam rempah, but still good."
Leila tersenyum kecil. Bangga kerana lelaki itu masih mengingati masakan kakaknya.
"So, how are you?" soal Asmawi sambil mencarik-carik daging ayam dengan sudu dan garpunya. Seolah-olah lima tahun di Scotland membuatkan dia terlupa yang dia ada tangan yang boleh digunakan.
"Okey," balas Leila ringkas. "Kak Alice sihat?"
Lama dia menunggu Asmawi mengunyah sebelum lelaki itu membalas pendek, "Entah."
"Entah?" soal Leila semula. Dahinya berkerut.
"Dah beberapa bulan dah abang tak jumpa dia," jawab Asmawi. Dia masih menunduk memandang hidangan di depan mata.
"Hah?" Leila tersentak.
Asmawi membetulkan kedudukannya. Matanya memandang semula wajah gadis itu.
"Sedap ni. Kenapa Lei tak makan? Katanya ikan keli dia orang ni bestseller. Cubalah rasa." Asmawi mencedok sedikit lauk yang masih tidak dijamah oleh Leila.
Mungkin sudah lima tahun Leila tidak bertemu lelaki itu. Namun, tingkah laku dan isyarat tubuh Asmawi masih sama seperti dahulu. Leila masih boleh rasakan ketidakselesaan lelaki itu tatkala dia menyebut nama Alice.
Akhirnya, dia melakukan seperti yang diminta lelaki itu. Dia mencubit sedikit isi daging keli berlada itu. Digaulnya dengan nasi lalu disuap ke dalam mulut. Biasa sahaja. Tidak ada apa-apa yang istimewa kecuali rasa daun limau yang agak kuat. Dia yakin Jannah masak lebih sedap walaupun kakaknya itu tidak pernah jual lauk ikan keli berlada ketika mereka masih tinggal di Taman Kampung Kuantan.
Mungkin soalan ringkas Leila tentang Alice telah merosakkan angin Asmawi kerana lelaki itu tidak lagi bersuara selepas itu. Mereka berdua hanya fokus pada makanan masing-masing. Ketika Asmawi membuat pengisytiharan bahawa dia sudah kenyang lantas menolak pinggan nasi yang masih berbaki, Leila juga melakukan perkara yang sama.
Bezanya, tidak seperti Asmawi yang masih ada seketul nasi, pinggan Leila tidak bersisa. Dia tidak pernah membazir makanan. Tidak kisahlah sebanyak mana pun. Pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk menikmati kehidupan dengan lebih baik.
Asmawi meneguk minumannya hingga habis, kemudian memanggil pelayan untuk membawakannya secawan kopi.
"Kakak Lei sihat?" soal Asmawi sambil bersandar di kerusinya.
Leila mengangguk perlahan.
"Dah tak ada ... you know ...," soal Asmawi lagi. Tidak menyebut perkataan itu.
Leila tahu apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.
"Tak. Tak ada. Dah empat tahun dah. Semua okey," balasnya.
"Baguslah. Alhamdulillah."
Senyap kembali antara mereka.
"Lei pula? Macam mana sekarang? Apa perkembangan terbaharu?"
"Lei sihat. Alhamdulillah."
"Abang tahu yang Lei tahu bukan itu soalan abang."
Leila mengerutkan dahi. "Habis tu, abang tanya apa?"
Asmawi menyendengkan kepalanya ke kiri, memandang gadis itu seolah-olah meminta Leila untuk tidak main-main dengan dirinya.
"Lei tahu apa yang abang maksudkan. Dah berpunya ke belum?"
Leila mencebik dalam hati. Dia benar-benar tidak mengerti soalan kiasan lelaki itu tadi.
"Tak ada siapa nak punya memunya kita ni." Bahunya diangkat.
"Takkanlah. Lei ni kan manis orangnya. Charming. Takkan tak sangkut kat sesiapa?" Asmawi tersenyum tidak percaya.
"Nampaknya, lelaki zaman sekarang tak cari perempuan manis dan charming, bang. Dia orang nak perempuan yang eksotik dan susah nak dijinakkan. Lepas dah kahwin, dia orang akan kurung dalam rumah, cuba nak jinakkan yang tak boleh dijinakkan. Bila perempuan pilihan hati tu memberontak, orang lelaki tu pula yang rasa dizalimi. Sedangkan dia orang yang pilih excitement instead of familiarity. Dia orang yang pilih untuk ikat burung yang sepatutnya terbang. Tapi, dia orang rasa macam diri dia orang pula mangsa keadaan."
Panjang lebar Leila membalas sebelum tergelak sendiri dengan bebelannya yang entah apa-apa. Apabila tiada sebarang respons daripada lelaki itu, dia mengangkat muka.
Reaksi wajah Asmawi bagaikan terluka dengan gurauan Leila. Dahi lelaki itu berkerut. Tiada lagi senyuman di bibirnya.
"Lei cakap pasal abang ke?"
Leila tersentak lantas segera menggeleng. "Eh, taklah. Mana ada."
Dia benar-benar tidak berniat mahu melukakan hati Asmawi. Dia tidak tahu-menahu pun apa yang berlaku antara lelaki itu dengan isterinya yang dikatakan sudah berbulan tidak ditemuinya.
"I see ...." Asmawi kembali tersenyum walaupun kali ini terukir kelat.
"Tadi Lei tanya pasal Alice, kan? Kita orang dah bercerai dah. Tahun lepas."
Leila mengetap bibir. Dia terkejut, tetapi dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Jawapan apa yang sepatutnya diberikan apabila berita sedemikian sampai ke telinga anda? Jika bertanya, "Apa yang berlaku?", adakah itu dikira menyibuk? Jika berkata, "I'm so sorry to hear that", adakah itu dikira satu andaian? Mungkin sahaja lelaki itu gembira dapat bercerai, jadi tidak perlu simpati untuk diberikan.
"Abang mengaku memang salah abang pun. Macam yang Lei cakaplah. Dia eksotik, bukan untuk dijinakkan. Dan abang ni lelaki Melayu tradisional yang cuma nak isteri yang sama tradisional macam abang. Tapi, kita tak boleh jadi lelaki Melayu tradisional yang nak semua benda ikut budaya sendiri bila berkahwin dengan orang luar dan duduk dalam dunia dia orang, kan?" Senyuman kelat kembali terpahat di bibirnya.
Di sini. Di sini tempatnya untuk dia katakan, "I'm sorry to hear that." Dan itulah yang terlontar dari mulut Leila.
"Tak apa. Mungkin ini yang terbaik," balas Asmawi dengan senyuman yang lebih ikhlas.
"Betul. Mungkin jodoh abang yang sebenar masih ada kat luar sana. Abang cuma perlu buka mata dan cari lagi." Leila memujuk.
Asmawi merenung wajah Leila dalam-dalam.
"You know ...." Dia berdeham dulu. "Sebenarnya, for the last six months of our marriage, sebelum kami bercerai, abang memang fikir macam tu. Malah kalau difikirkan semula, sebenarnya sebaik sahaja abang berkahwin dengan Alice, abang sedar yang abang dah buat kesilapan.
Abang ...."
Lelaki itu berdecit, lalu menggeleng seolah-olah cuba mengatur semula perkara yang ingin disampaikannya.
"Selama lima tahun perkahwinan, itu yang abang fikirkan. Abang pilih excitement macam yang Lei cakap. Sedangkan apa yang abang perlukan ialah familiarity. I wanted spice, though what I needed was sweetness ...."
Leila masih setia mendengar.
"And charm." Asmawi kekal merenung wajah gadis itu ketika dia mengucapkannya.
Leila dapat merasakan wajahnya hangat seketika. Dan dia yakin kehangatan itu terserlah pada raut wajahnya. Melihatkan senyuman Asmawi yang makin lebar, dia pasti lelaki itu juga boleh melihatnya.
Tetapi Leila yakin apa yang dia sedang fikirkan tidak sama dengan apa yang Asmawi sedang fikirkan. Dia pantas mengalihkan pandangan. Cuba mematahkan tenaga yang lelaki itu cuba hantar kepadanya.
"Sweetness? Abang nak berkenalan dengan operator pengeluaran kilang gula ke? Nanti Lei carikan."
Asmawi tergelak. "Lei ni tak pernah serius tau."
Perbualan terhenti sesaat tatkala pelayan muncul bersama kopi yang dipesan sebentar tadi.
"Abang tu yang mengarut. Balik sini aje terus cerita pasal spice dan sweet bagai. Tahu tak, rasa yang paling bagus untuk seorang manusia tu bukan spicy atau sweet."
"Jadi, apa?"
Leila menuding kopi di depan lelaki itu.
"Rasa pahit. Kopi yang boleh bagi tenaga untuk terus bekerja? Pahit. Ubat untuk menyembuhkan penyakit? Pahit. Sayur yang elok untuk kesihatan? Pahit. Lagi pahit makanan tu, lagi elok untuk sistem penghadaman dan stimulate fungsi imun, tahu tak? Mungkin itu yang abang perlukan. Kepahitan hidup."
Asmawi tergelak lagi. "Yalah tu. Betullah tu. Mungkin abang kena cari perempuan yang pahit."
"Perempuan apa yang pahit?"
"Well, perempuan pahit itu maksudnya perempuan yang boleh menyedarkan abang yang dunia ni bukan semuanya indah dan abang kena hadapi aje semua ini."
Asmawi mengenyit matanya pada Leila sebelum kopinya dihirup. Ah, lelaki ini pandai mengalihkan topik kembali pada asalnya. Namun, Leila memilih untuk buat-buat tidak faham.
"What happened, Lei?" soal lelaki itu perlahan. Wajahnya berubah sayu.
Kening Leila terangkat tanda tidak mengerti.
"Apa yang berubah antara kita?"
"Apa yang berubah?" soal Leila semula dengan dahi yang berkerut.
"Kenapa Lei hilangkan diri lepas abang berkahwin?"
Leila terdiam seketika.
"Abang tertanya-tanya pasal tu. Bertahun-tahun abang fikirkan. Elok aje lepas abang kahwin dengan Alice, Lei terus senyap."
"Abang kan baru kahwin masa tu. Takkan Lei nak call abang pula?"
"Masa abang nak berpindah pun, Lei janji nak datang ucap selamat jalan, tapi Lei tak datang pun," sambung Asmawi. Dia tidak mengendahkan alasan yang diberikan oleh gadis itu.
"Bukan ke Lei dah cakap masa tu yang kakak Lei tak sihat?"
"Lepas tu? Kenapa tak call? Tak balas surat abang? Tak jawab e-mel abang?"
Leila mengeluh panjang. "Abang, bila abang dah kahwin, takkan Lei nak buat semua tu lagi? Tak eloklah. Kita bukannya sedarah sedaging."
"Satu e-mel pun tak boleh balas?"
Sekali lagi Leila terdiam.
"Sekarang, abang dah balik. Bukan sebagai suami orang. Dah tak ada sebab untuk Lei guna alasan tu."
"Itu bukan alasan."
"Jadi, boleh kita jadi macam dulu?"
Leila mengetap bibir. Sepasang mata lelaki itu direnungnya. Sayang sekali. Suatu masa dahulu, inilah yang dia inginkan. Inilah yang dia harapkan. Ini yang dia bayangkan akan berlaku. Tetapi sekarang?
"Kalau maksud abang untuk jadi kawan, ya. Boleh."
Asmawi menunduk. Pandangannya dialihkan pada bucu meja. Dikuisnya sudut meja itu seolah-olah ia perkara paling menarik di dunia. Dahinya berkerut tanda dia sedang menimbal sama ada dia patut suarakan apa yang dia sedang fikirkan sekarang atau tidak.
"Kalau abang maksudkan lebih daripada tu? Kalau abang nak berkawan balik dengan Lei dengan harapan, suatu hari nanti Lei akan jadi isteri abang?" Akhirnya, perkara itu terluah dari bibir Asmawi.
"Abang ...."
Ini yang Leila paling takutkan. Situasi ini yang dia tak mahu hadapi. Situasi ini yang dia cuba elakkan apabila dia mengelak daripada menjawab panggilan lelaki itu. Dia tidak mahu tahu jika Asmawi bahagia bersama Alice. Dan dia juga tidak mahu tahu sekiranya lelaki itu tidak bahagia bersama Alice. Kerana dia sudah pun membuat keputusan suatu masa dahulu.
"What say you?" soal Asmawi berharap.
"Abang ...." Air liur terasa perit untuk ditelan.
"Lei dah bersumpah. Lei takkan kahwin. Dengan sesiapa pun. Sampai bila-bila."