Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 22

“DIA minta apa umi?” Aril sedikit terjerit akibat tidak percaya. Ada kerutan di dahinya.

Fahmi di hujung kerusi hanya memerhatikan reaksi adiknya. Dia tidak berniat untuk masuk campur dalam hal ini. Biar umi dan abah berbincang dahulu dengan Aril. Selebihnya, biar dia yang selesaikan empat mata dengan adiknya seorang ini.

“Dia minta tambah tempoh seminggu lagi.” Ulang Puan Liza untuk kali kedua. Itulah Aril, bila orang bercakap, buat sambil lewa sahaja.

Aril terdiam sejenak. Hannah meminta tempoh lagi? Gadis itu benar-benar mengotakan katanya yang dia tidak mahu berkahwin dengan Aril? Dia tidak boleh biarkan perkara ini berlalu begitu saja. Malulah dia nanti. Aril nekad, hati Hannah harus ditawan walaupun dalam jangka masa seminggu. Noktah!

“Aril, kamu pastikah ini gadis yang betul? Entah-entah salah orang sebab tu dia teragak-agak nak kahwin dengan Aril.” Encik Faruk pula bersuara.

Bagai ada yang tidak kena di mana-mana. Pertama, Aril pulang-pulang saja, dia meluahkan hasratnya untuk berkahwin. Kedua, keluarga perempuan langsung tidak tahu-menahu tentang hubungan anak mereka ini. Ketiga, gadis yang bernama Hannah ini meminta tangguhan tempoh. Jika benar mereka bercinta, pasti gadis itu tidak akan menolak.

“Aril pasti abah.Tak apalah, kita tunggu aje keputusan dia. Nak buat macam mana kan? Takkan nak mendesak pula,” jawab Aril, mensyorkan kedua ibu bapanya yang semuanya akan baik-baik saja.

“Umi rasa, umi macam pernah nampak abang Hannah tu. Tak pasti pula dekat mana,” kata Puan Liza, cuba mengimbas kembali ingatannya.

Aril tertawa kecil. “Umi ni, semua orang pun umi kata gitu.”

“Amboi, pandai nak kenakan umi ya!” Puan Liza mencubit halus lengan Aril geram.

Aril mengalihkan pandangannya kepada abangnya, Fahmi. Renungan tajam abang pasti ada maksud yang tersirat. Dia tidak suka dengan renungan abang. Bagai singa kepalaran, tidak makan sebulan.

“Ikut kata kamulah Aril. Ingat pesan umi, jangan nak permainkan perasaan orang.” Puan Liza memberi pesanan terakhir sebelum dia dan Encik Nizam berlalu naik ke bilik.

Aril mengganguk faham. Serabut kepala otak dia sekarang ini. Fikirnya semua gadis akan berasa teruja tatkala diajak kahwin tetapi tidak kepada Hannah. Andai dia mengajak Sofea kahwin hari ini, saat ini, pasti gadis itu tidak menolak. Namun, yang dia mahukan adalah Hannah, bukan perempuan lain. Baru sahaja dia ingin mengikut jejak umi dan abah yang naik ke atas, abang memanggilnya.

“Naik bilik abang, abang ada hal nak cakap dengan kau.” Arah Fahmi apabila dia berada di sebelah Aril.

Aril tidak menjawab, dia hanya mengiakan di dalam hati. Wajah bengis abang dipandang sekali lalu. Dibiarkan abang menaiki anak tangga itu terlebih dahulu. Tiba di atas, abang membuka pintu biliknya. Selagi Aril tidak memasuki biliknya, selagi itu dia tidak menutup pintu.

Sebaik sahaja Aril memasuki bilik itu, dia mengunci pintu. Aril menelan liur. Entah apa saja yang ada di fikiran abangnya. Pasti dia akan diinterogasi selepas ini. Mulalah tu tugasnya sebagai ‘Inspektor Fahmi’.

Baru Aril mahu melabuhkan punggung di katil empuk itu, “Duduk dekat sofa tu.”

Bagai lembu dicucuk hidung, Aril menurut. Nasib badan mendapat abang garang seperti ini.

“Abang nak Aril terus terang. Aril dah buat apa dengan perempuan tu?” tidak pandai memutar-belit, Fahmi terus menyerang dengan soalan pertama.

“Hish abang ni. Mana ada Aril buat apa-apa dekat perempuan tu?”

“Habis tu, kenapa dia minta tempoh lagi? Kata dia takkan tolak? Ke Aril dah buat dia marah?” bertubi-tubi soalan dia menembak Aril. Takut jika adiknya ada niat yang tersembunyi di sebalik perkahwinan ini.

“Siapa kata dia tolak? Dia cuma tambah tempoh aje kan? Relakslah bang. Biarlah kalau dia nak fikir panjang pun.” Aril cuba menenangkan abangnya.

“Aril jangan nak main-main eh. Jangan nak malukan umi dengan abah. Kalau abang tahu Aril buat perangai, siap Aril.” Fahmi memberi amaran keras. Dia bukannya mahu mengongkong hidup Aril yang sudah besar panjang tetapi adiknya hanya seorang saja. Dia mahukan yang terbaik untuk Aril.

“Abang ni, ingat Aril perempuan ke? Aril tahulah apa Aril buat. Aril dah 28 tahun bang.” Ujar Aril dengan bernada rajuk. Apa, abang fikir dia masih lagi pelajar SPM? Agak-agaklah abang ni pun.

“Kalau tahu dah 28 tahun, cuba dewasa sikit, berfikiran matang.”

“Sebab dah dewasalah Aril nak kahwin.”

“Melawan...” Fahmi mengalihkan punggungnya ke hadapan sedikit, membuatkan Aril dengan cepat kebelakang.

“Okey, okey. Dah lah Aril nak tidur, dah malam ni. Selamat malam abang, mimpi yang indah-indah. Jangan nak garang melulu, nanti lari isteri abang tu!” usik Aril sambil berjalan keluar dari bilik abangnya.

Geram, Fahmi mencampak bantal mengena kepala Aril.

“Tutup pintu tu balik!” laung Fahmi dari dalam.

Aril menghempas badan ke tilamnya. Nikmat dapat baring saat-saat kepenatan begini. Dia memandang siling, memikir mengapa Hannah meminta tempoh lebih. Adakah ia berkemungkinan yang Hannah akan menolak lamaran itu? Hannah Natasha, kenapa susah sangat untuk memiliki engkau?


ENJIN kereta dimatikan. Dari pagi tadi dia berada di tapak projek untuk memeriksa pelancaran projek itu. Membina sebuah resort tidaklah sesulit membina sebuah bangunan tetapi setiap kerja yang dia lakukan, dia akan pastikan ianya membuahkan hasil. Dia mahu kliennya berpuas hati dengan rekan dan kerjanya. Jika terdapat aduan tentang kerjanya, bukan papa tetapi nenek yang menyerangnya dahulu. Nampak saja begitu tetapi...garang! Mungkin abang peroleh sifat garang itu dari nenek barangkali.

Baru sahaja Aril mahu berjalan memasuki bangunan pejabat, dia terlihat Hannah. Dia mengerling ke jam tangannya. Hannah masuk syif petang hari ini. Dia tidak jadi meneruskan langkah. Matanya terancap pada Hannah yang berjaya membuatnya rindu menggunung semalam.

Wajah putih mulus itu tampak lebih cantik apabila dia tersenyum. Dan apabila dia tertawa, hati Aril ikut riang. Aril terdetik. Apa yang menyebabkan Hannah menolak lamarannya? Memang tidak pasti lagi tetapi mengapa minta tempoh? Sehinggalah Hannah memasuki kafe itu, Aril mengorak langkah untuk ke pejabat. Namun dia terlanggar seseorang. Itulah, pusing tak lihat kiri kanan. Teringat peristiwa kali pertama dia bertemu dengan Hannah. Bergaduh bagai nak rak menunding jari siapa salah, siapa betul.

“Eh Mr.Vincent, buat apa dekat sini?” Aril menegur, menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Hey Zafril! I jumpa one of my klien dekat daerah ni juga. I baru ingat nak singgah ofis you...” ujar Mr.Vincent tersenyum senang.

Aril terdetik. Alang-alang Mr.Vincent ada di sini, apa kata dia mengajak Mr.Vincent ke kafe Haikal. Boleh juga dia melihat Hannah. Lagipun, dia belum makan tengahari lagi meski sudah pukul tiga petang.

“Oh ya ke? Apa kata kita ke kafe depan tu. Sambil sembang, boleh minum kopi. I pun belum makan tengahari lagi ni.” Ajak Aril dengan harapan Mr.Vincent bersetuju.

“Boleh, tak ada masalah. Mari.”

Mr.Vincent merupakan CEO syarikat Citrus Interior yang menawarkan pakej hiasan dalaman. Sudah dua kali syarikat Aril dan Citrus Interior berkolaborasi untuk sebuah projek besar di Terengganu. Rekaan Citrus Interior memang unik dan lain daripada yang lain. Mereka selalu mengeluarkan idea-idea yang fresh untuk setiap pelanggan mereka.

Saat Aril menolak pintu kafe itu, matanya liar mencari bayang Hannah tetapi tidak ditemui. Dia langsung mendapatkan meja yang kosong di tepi tingkap kaca itu.

“You pergi syarikat mana tadi Mr.Vincent? Mesti syarikat berprestij kan?” tanya Aril, tertawa kecil. Sekadar mengusik Mr.Vincent.

“Mana ada syarikat yang boleh lawan syarikat you Zafril. By far the most professional and adequette company I’ve worked with.” Mr.Vincent memuji ikhlas. Dia benar-benar maksudkan kata-katanya.

Zafril padanya, adalah seorang yang sangat cekap dalam kerjanya. Meski ianya syarikat keluarga, dia tidak memperlekehkan kuasa yang dia ada. Sudahlah muda, kacak, pandai uruskan syarikat pula tu.

I am humbled by that Mr.Vincent.

“Eh you nak makan, minum apa. Hari ni I belanja, sebab kita dah lama tak jumpa.” Mr.Vincent menanya. Setelah mendapat pesanan Aril, dia terus ke kaunter.

Aril mengambil secawan air putih yang diletak khas di atas sebuah meja. Air putih itu percuma untuk pelanggan-pelanggan di kafe itu. Hannah yang sedang mengelap selang dua meja dengan Aril sedikit terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Apa lagi yang Aril mahukan darinya?

Akal nakal Aril menjenggah. Dia sengaja menumpahkan air di mejanya agar Hannah datang ke sini untuk membersihkannya. Dia yakin Hannah tiada pilihan lain selain datang kepadanya.

Hannah berdencit melihat air yang tumpah itu. Tidak pasti jika ianya sengaja ataupun tidak. Yang pasti, dia tahu Aril mahu mencari pasal dengannya. Malas dia mahu melayan Aril hari ini. Ikutkan hati, dia tidak mahu mengelap meja itu tetapi sudah namanya tugas. Hannah melangkah malas ke meja Aril.

Dengan hati yang berat, Hannah mengelap air yang tumpah itu. Masing-masing tidak bertegur sapa. Senyap bagai suara tersekat di kerongkong. Aril mengambil peluang untuk amati wajah yang dia rindui. Dia bermohon agar Hannah tidak menolak lamarannya, dia tidak sanggup.

Hati Hannah diasak gelisah. Dia tidak bersedia untuk berdepan dengan Aril dan Aril semestinya sudah tahu tentang tempoh yang dia minta itu. Hannah membuat kerja secepat mungkin agar Aril tidak berkesempatan untuk memulakan bicara namun Aril memang tiada niat untuk melakukan itu. Melihat Hannah sihat dan ada di depan matanya, dia sudah cukup gembira. Dia tidak mahu mendesak gadis itu.

Kala Mr.Vincent mendekati untuk meletakkan dulang berisi makanan, Hannah sekadar tersernyum lalu menjemput lelaki itu makan.“Enjoy your meal, Sir.”

Aril mendengus perlahan. Dengan aku tak ada pula nak senyum jauh sekali nak bertegur sapa. Sajalah tu nak tunjuk protes, nak tunjuk rajuknya. Dia sekadar melihat Hannah berlalu pergi.

“You kenal ke perempuan tu?” tanya Mr.Vincent, menghulurkan Aril makanannya.

“Kenapa you tanya macam tu?”

“Tak adalah, I tengok you tengok dia tak berkelip pun. Mesti ada apa-apa kan? I dah lama tunggu berita gembira dari you tau!” ujar Mr.Vincent teruja.

“Ada-ada aje you ni Mr.Vincent.” Aril bersuara namun tidak berniat untuk bercerita tentang hubungannya dengan mHannah.

But that girl is really pretty. Alah you ni Zafril, perempuan mana yang you tak boleh dapat, cuba bilang I. You tak payah buat apa pun, perempuan datang dekat you. Untunglah jadi lelaki kacak.” Mr.Vincent memuji. Zafril ini bagaikan usahawan muda yang boleh dijadikan contoh. Meski agak muda, dia berjaya membuktikkan kebolehannya.

Aril menelan liur. Sudah-sudahlah tu bercakap tentang Hannah. Hey Mr.Vincent ni. Cakap pasal Hannah macam tak ingat aku ni bakal suami Hannah. Eh? Memang dia tak tahu pun. Dia sedar Hannah menjadi tumpuan lelaki maka dengan itu, dia mahu bernikah dan menjadi Hannah yang halal baginya dengan segera.


“Eh kau tengok Hannah dengan Aril tu. Macam ada yang tak kena kan? Seorang ke timur, seorang ke barat.” Ujar Faz, melihat Hannah dari jauh. Dia pelik dengan perangai dua orang ini.

“Apa yang peliknya. Perkara biasalah tu kalau dia orang gaduh. Lebih baik dia orang senyap daripada bertegang urat,”nyata Nabil sambil mencuci cawan.

“Hish, kau ni, tak fahamlah. Selalunya dia orang gaduh bertekak sana sini tapi hari ni macam perang dingin. Macam kekasih bergaduh....”Faz membuat persepsi sendiri.

“Biarlah. Kalau bercinta pun, tu dia orang, yang kau sibuk ni apa hal?”

“Eh kau ni kan, Hannah tu kawan aku. Mestilah aku prihatin.” Marah Faz, geram apabila Nabil tidak bersependapat dengannya.

“Nah, kalau kau prihatin, kau tolong aku cucikan pinggan ni. Aku masih ada banyak kerja nak buat.” Nabil menolak kerjanya. Kemudian dengan cepat dia berlalu pergi.

“Eh kurang asam punya budak!” rungut Faz. Dia pula yang ditinggalkan dengan cawan-cawan ini. Tak guna punya Nabil.

Hannah terdetik. Benarkah keputusannya untuk meminta tempoh lagi? Bukankah ia bagaikan memberi harapan kepada Aril? Sepatutnya, dia tolak saja lamaran itu tetapi entah mengapa lidah ini boleh terlepas kata meminta tempoh. Bagaikan bukan dia yang bercakap. Entahlah dia juga keliru dengan diri sendiri. Kini, dia hanya berdoa saja agar diberikan pertunjuk jika Aril adalah benar jodohnya.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.