Home Novel Cinta Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
AnnSelasih
10/11/2020 20:27:24
5,790
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog
Dua jam telah berlalu, namun Raden Puspa masih ralit mencatat. Lembaran kertas di tangannya penuh contengan. Itu bermakna tempoh masa yang sama juga Raden Puspa telah terpusing-pusing dalam pagar sesat.


"Aduh Ndoro Puteri, puaslah hati ini dirundung walang. Makan tidak, berehat tidak mahu. Andai diketahui Sang Nata, kertas itu akan dibenam dalam tanah sekali dengan patik. Ayuh, kita berehat." 

Jelas kepenatan di wajah Raden Puspa. Namun bibirnya masih melengkung manis.

"Jikalau mbak penat, pergi sahaja. Beta tidak perlu peneman." 

Mbak Manis menggaru-garu kepala. Habis akal dia memujuk Raden Puspa agar berehat. Jawapan baginda kekal sama. 

"Akal bijaksana si Inu ini, dari mana gerangan datangnya? Bagaimana dia boleh memboloskan diri dari pagar sesat bonda?"

Monolog Raden Puspa didengari Mbak Manis. Segera dia mengusul saranan. "Mahu patik panggilkan Inu?" 

Raden Puspa menggeleng."Sia-sia mbak. Sengaja Inu bedebah itu beralasan. Sibuk membersih kandang kuda katanya." 

"Oh, kalau begitu..." 

Kata-kata tidak dapat dihabiskan. Mata mbak Manis terjegil. Badannya terjelepuk ke tanah. Tarik nafas mbak Manis pendek-pendek. Dia cuba bercakap. 

"Lari... Ndoro." 

"Mbak!" 

Jeritan Raden Puspa diiringi tangis. Terketar-ketar dia menyokong bahu mbak Manis. Dia sekadar mampu melihat darah membasahi baju inang pengasuhnya. Perkara mendadak yang sedang berlaku payah dihadam. 

Dengan tenaga yang berbaki, Mbak Manis menolak Raden Puspa. Malah dia turut tersungkur. 

 "Lari..." 

Raden Puspa tahu, itu satu-satunya perkara yang dia perlu lakukan. Kerana ketika itu batang panah bertimpa-timpa tiba. 



"Raden Puspa!" 

 "Raden Puspa Kencana!" 

Nama itu diteriakkan dari tadi. Semenjak Raden Inu mula mencari Raden Puspa. Dia menerima perkhabaran rencana serangan besar-besaran pemberontak yang mahu menggulingkan pemerintah Tanjung Puri. Berlarian tanpa henti dari kandang kuda ke pagar sesat, kaki Raden Inu terasa kebas dan malah memberat. Meskipun sedemikian dia tetap terus mencari Raden Puspa. Setiap simpang, jalan mati di situ dia hafal. Malangnya Raden Puspa gagal ditemui. 

Gendang besar yang dipalu tanpa henti menambah gusar Raden Inu. Nalurinya memberitahu bahawa Tanjung Puri berkemungkinan gagal bertahan. Sebegitu jua nasib seisi istana termasuk Raden Puspa Kencana. 

"Di manakah dikau, Puspa." 

Bibir melepaskan resah dadanya. Hala tuju Raden Inu kian rawak. Isi kota telah mula gamat dengan jerit pekik manusia dan denting pedang panjang. Becak hujan semalam telah menjadi takung darah. Kepenatan, Raden Inu tabah mengheret tubuh. Sesekali kakinya tersepak anggota manusia yang terpisah dari badan. Dikerdip-kerdipnya kelopak mata membuang titis peluh. 

"Puspa!" 

"Puspa Kencana!" 

Walaupun sedar jeritan melawan hingar sia-sia, Raden Inu kuat melawan pasrah. Setiap perempuan ditolehnya. Selepas itu barulah dia mengamati bahagian wajah sama ada berpelitup muka atau tidak. Sungguh, sehingga saat itu Raden Inu tidak mengenal paras Raden Puspa Kencana. Gadis itu tidak pernah menayang muka melainkan sepasang mata yang bersinar indah. 

Tiba-tiba ekor mata Raden Inu menangkap sekumpulan pemuda sedang mengepung seorang gadis. Hujung senjata mereka memerangkapnya. 

Puspa! 

"Raden Puspa!" 

Usai nama gadis disebut, pandangan mereka bertembung. 

"Selamatkan dirimu, Inu! Pergi!" 

Aria Ningsunku, tahukah dikau hati ini milik siapa? Lalu apa ertinya celakamu berbanding deritaku. 

Belum sempat Raden Inu mengorak aksi, kepalanya diketuk. Terbaring atas rumput, mata Raden Inu tak putus merenung Raden Puspa. Tautan pandangan mereka terputus setelah Raden Puspa menjatuhkan badan ke dalam tasik. Derita sempat menyelinap ke dalam kegelapan yang melatari mata Raden Inu. 

Aria Ningsun, adakah ini takdir kita?

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.