Home Novel Cinta LELAKI ITU UNTUKKU (adaptasi drama)
Bab 20

IDLAN tidak keluar-keluar dari biliknya sejak peristiwa siang tadi. Kedatangan gadis itu benar-benar membuatkan suasana rumah itu sunyi sepi. Apatah lagi tanpa bunyi riuh rendah suara anak-anak pasangan Mara dan Rezal.

Orked duduk meminggir di suatu sudut. Matanya asyik mengerling ke arah bilik Idlan yang tertutup rapat. Baru sebentar tadi dia mendengar Mak Tun melaung mengajak anak muda itu makan malam, tapi panggilan Mak Tun langsung tidak disahut Idlan. Sudahnya Mak Tun terpaksa mengalah lalu beredar dari situ. Dia perasan ada keresahan bermukim di wajah Mak Tun. Pasti wanita itu risau dengan keadaan Idlan.

“Orked..” panggilan Mak Tun mengejutkan Orked. Dia pantas menoleh, menghadap ke arah Mak Tun yang sedang memandangnya.

“Ya Mak Tun?”

“Mak Tun risaulah Orked. Orked tolonglah pujuk abang Idlan kamu keluar dari bilik dia. Dia tak pernah macam ni sebelum ini.” Pinta Mak Tun resah seraya duduk di sampingnya.

Orked terkedu. Pujuk? Dia bukanlah orangnya yang pandai hal pujuk-memujuk ini. Bahkan untuk bergaul dengan orang lain juga dia tidak pandai, inikan pula mahu memujuk lelaki itu seperti kehendak Mak Tun.

“Nanti okeylah dia tu.” Jawabnya ambil mudah. Jangan harap dia pergi memujuk Idlan kerana dia paling tidak pandai melakukannya.

“Kalau dia tetap berkurung diri macam tu, nampak gaya Mak Tun kena telefon mamanya.” Keluh Mak Tun.

Mendengar kata-kata Mak Tun, mata Orked terbuntang lus. Kalau Mak Tun menelefon ibu tirinya Maria, pasti bukan sahaja wanita itu yang datang, malah ayahnya juga akan datang ke situ. Tak boleh jadi ni! Seboleh-bolehnya dia tidak mahu terserempak dengan ayahnya buat masa sekarang.

“Err..Mak Tun, tak apalah. Nanti Orked cuba cakap dengan Idlan.” Ujar Orked. Dia menawar dirinya bukan kerana dia ikhlas mahu memujuk lelaki itu tapi kerana dia tidak mahu ayah dan ibu tirinya datang ke tempat itu dan meragut semua ketenangan yang dirasainya ketika ini.

“Alhamdulillah, syukur. Terima kasih ya Orked.” Mak Tun kelihatan gembira.

“Err..tapi Mak Tun, perempuan yang datang tadi tu siapa?” Soal Orked ingin tahu. Sejak siang tadi dia menyimpan semua persoalan ini, tapi tidak ada sesiapa pun yang mahu menjelaskan apa-apa padanya.

Mak Tun terdiam seketika. Barangkali sedang mencerna ayat yang sesuai untuk dipertuturkan kepadanya.

“Tadi tu Nadya, teman wanita Idlan. Mereka berkawan sejak kecil. Tuan Rustam, ayah Nadya tu teman baik Tuan Ikhmal ayah Idlan.” Ujar Mak Tun.

Orked terdiam. Betul seperti apa yang diduga, gadis cantik itu memang teman wanita Idlan, tapi apa maksud pertengkaran kedua-duanya siang tadi?

“Kenapa Nadya cakap Idlan tinggalkan dia?” Tanya Orked lagi.

“Entahlah Orked, Mak Tun pun tak tahu. Selama ni mereka berdua elok aje, malah Idlan pernah cakap dengan Mak Tun dan ibunya sebelum ke London dulu yang dia hanya akan bertunang dan kahwin dengan Nadya. Mak Tun ingatkan dia balik ke mari untuk bercuti, tapi tak sangka Idlan tangguhkan pengajian dia kat sana. Mak Tun rasa ibunya si Maria tu pun tak tahu hal ni.” Keluh Mak Tun susah hati.

Orked terdiam. Wajahnya berkerut memikirkan kata-kata Mak Tun itu.

“Dulu Idlan tak pernah berahsia apa-apa dengan kami. Tapi sekarang, dia dah banyak berubah. Mak Tun risau Orked. Kami semua sayangkan dia, macam anak kami sendiri. Tapi entah apa yang tak kena dengan dia.” Mata Mak Tun berair.

Orked menarik nafas panjang mendengar luahan hati wanita itu.

Sebaik ditinggalkan Mak Tun, sekali lagi dia mengerling ke arah pintu bilik Idlan yang masih terkatup rapat. Perlahan-lahan dia bingkas bangun dari sofa lalu menuju ke bilik lelaki itu. Tangannya diangkat tinggi separas muka pintu, namun ada sesuatu yang menghalangnya dari mengetuk pintu bilik lelaki itu. Ah! Lupakan sahaja. Mungkin juga Idlan sepertinya, perlukan waktu untuk bersendirian. Dia tidak jadi mahu memanggil lelaki itu lalu kembali ke ruang tamu.

Detik demi detik berjalan, mata Orked mula layu. Filem Inggeris yang menjadi tontonannya sebentar tadi mulai kabur sedikir demi sedikit. Rasa kantuk mulai menyerangnya di setiap penjuru.

Tanpa disedari satu kelibat tubuh membuka pintu bilik lalu keluar. Derap langkahnya perlahan. Namun bunyi televisyen yang masih terpasang kuat menggamit perhatiannya.

Idlan menoleh lalu terpandang sesusuk tubuh yang hampir terlena di atas sofa. Melihat Orked sedang tersengguk-sengguk, dia hanya mampu mengeluh. Kenapa tidak tidur di bilik sahaja? Perlahan-lahan anak gadis itu dirapati.

Posisi tidur Orked mula berubah. Kepala anak gadis itu terkulai layu hampir rebah. Idlan cepat-cepat duduk di sisi anak gadis itu, membiarkan kepala itu terlentok di bahunya. Saat kepala itu jatuh di bahunya, tiba-tiba sahaja dia terkedu, tidak percaya dengan apa yang sedang dilakukannya.

Dia menoleh. Sepasang matanya mula memerhati wajah Orked yang polos dengan kelopak mata yang terpejam rapat. Gadis itu memiliki dua ulas bibir yang indah dan sepasang kelopak mata yang bundar. Cantik! Bisik hati kecil Idlan, sekaligus merasa berdebar-debar tidak keruan.

YA ALLAH! Idlan beristigfar beberapa kali. Dia mengalihkan pandangan dari wajah itu, mengharapkan debaran itu segera lenyap. Orked adiknya, anak ayah tirinya, maka tidak sepatutnya dia merasa seperti ini pada anak gadis itu. Ini hanya perkara biasa, malah mana-mana lelaki pasti akan merasa sepertinya bila berada dekat dengan seorang gadis. Debaran di dadanya sebentar tadi hanya sementara, ia tak bermakna apa-apa. Begitulah Idlan cuba menyakinkan dirinya.

Sekali lagi dia menoleh ke arah wajah anak gadis itu yang berada di dadanya. Sesekali nafas Orked turun naik. Wajah anak gadis itu kemerah-merahan. Idlan terpegun lagi. Dia menarik nafas panjang. Kenapa dengan diriku Ya ALLAH? Aku baru sahaja membereskan hal tentang Nadya, mengapa pula perasaan ini yang KAU anugerahkan kepadaku? Dan kenapa Orked? Gadis manis yang mempunyai impian yang tak kesampaian. Gadis yang kehilangan kasih sayang ayahnya sendiri. Mengapa semua ini harus berlaku pada aku?

Idlan tiba-tiba merasa sesak nafas. Dia memegang permukaan dadanya. Wajahnya berkerut. Dia mahu beredar, tapi kepala anak gadis itu masih di bahunya. Tapi dia tidak boleh menunggu lagi, tubuh anak gadis itu segera dikalihkan menyebabkan mata Orked tiba-tiba terbuka. Terkelip-kelip mata gadis itu memerhatikannya.

“Jangan tidur kat sini. Kalau nak tidur pergi tidur di bilik.” Idlan bersuara dengan wajah merah padam.

Muncul keringat halus di dahi Idlan, membuatkan wajah Orked berkerut. Hairan melihat lelaki itu seperti tidak sihat.

Idlan segera melangkah deras ke biliknya.Daun pintu dikatup rapat. Dia meluru ke arah laci biliknya, mencari-cari sesuatu dalam keadaan kelam kabut. Sebaik tangannya menemukan botol sederhana besar, dia segera membuka botol tersebut lalu menumpahkan isinya di atas meja. Sebiji pil diambil lalu dimasukkan ke dalam mulut. Tubuhnya menggigil, namun dia memaksa dirinya rebah ke atas katil dengan mata terpejam rapat.

Dia harus bertenang dan membiarkan ubat itu mengalir ke setiap urat sarafnya. Wajah arwah ayahnya mendadak muncul di ruang mata

Ayah! Id tahu, Id tidak berhak untuk meminta apa-apa pun. Tapi jika hanya ada satu perkara yang boleh Id impikan, Id hanya mahu satu sahaja. Id mahu hidup ayah! Id mahu hidup! Bisik Idlan dengan mata berkaca.

* * * *

RUANG legar di Mount Vernon Hospital bagai sudah tidak asing. Dia menanti di sebuah ruang menunggu. Duduk di situ hampir satu jam yang lalu meskipun dia sudah bertemu dengan John Hatchback atau lebih dikenali sebagai Dr. Hatchback, lelaki Inggeris yang merawat dirinya hampir tiga bulan yang lalu. Ketika itu dia dan Nadya mengalami kemalangan kereta ketika dalam perjalanan pulang ke kampus mereka. Kedua-dua mereka penuntut di London Southbank University dalam bidang architecture.

Kereta yang dipandunya dilanggar sebuah kereta lain di persimpangan jalan Gladstone Street. Nadya tercampak dari kereta dan terhumban ke hadapan cermin kereta yang pecah. Keadaan gadis itu agak parah, begitu juga dengan dirinya. Dia pula cedera di kepala dan tidak sedarkan diri tiga hari lamanya di katil hospital. Semua itu berlaku tanpa pengetahuan ibunya Maria. Malah tidak ada sesiapapun yang tahu apa yang sudah berlaku pada dirinya ketika itu kecuali Tuan Rustam, ayah Nadya. Dia yang meminta lelaki itu merahsiakannya dari pengetahuan ibunya dengan alasan tidak mahu ibunya risau.

Dalam tempoh dirawat, dia sering menghabiskan masanya melawat Nadya yang masih tidak sedarkan diri. Hatinya benar-benar merasa bersalah kerana menyebabkan anak gadis itu cedera. Kerana kelalaiannya, Nadya menerima padah. Mujurlah Tuan Rustam tidak menyalahkannya. Kepada lelaki itu dia berjanji mahu menjaga Nadya seumur hidupnya. Itu janji dan tekadnya untuk terus setia. Tapi itu janji tiga bulan yang lalu. Hakikatnya manusia boleh berubah. Dirinya juga boleh berubah. Dan Nadya orang pertama yang menyedarinya.

“Sejak kita accident, Id dah tak macam dulu lagi. Kenapa?” Soal gadis itu inginkan penjelasan. Dia hanya mendiamkan diri. Kata-kata Nadya antara didengar dengan tidak.

“Id semakin berubah. Apa yang tak kena Id?” Soal Nadya sedih.

Dia memandang gadis itu. Merenung wajah bujur sirih Nadya yang pernah menawan hatinya. Sejak kecil mereka berkawan. Hubungan mereka disatukan kerana ayah-ayah mereka adalah teman sepengajian di universiti. Dan kini dia dan Nadya juga sama-sama menuntut di universiti yang sama.

“Id ada assignment nak disiapkan. Can you leave me alone?” Dia memintanya tanpa memandang ke arah Nadya. Helaian assigment di hadapannya ditilik tanpa memberi perhatian pada gadis itu.

Menyedari kehadirannya tidak diingini, diam-diam Nadya beredar dengan wajah resah. Sejurus gadis itu lenyap dari pandangan, barulah dia mnghamburkan keluh kesah. Kenapa dia asyik menghindari gadis itu, biarlah dia sahaja yang tahu. Yang nyata, segalanya berubah selepas mereka mengalami kemalangan tempohari.

“Your test results came in this morning. I’m afraid the prognosis isn’t good.”

“What do you mean?”

The biopsy shows a higher numbers of abnormal and immature white blood cells, results in a lack of blood platelets affecting your blood and bone marrow.”

“And it is supposed to be the bad news?”

“I’m afraid it is. I’m sorry for telling you this, but it is a blood cancer.”Ujar Dr. John Hatchback dengan wajah simpati.

Dia terpaku mendengar kata-kata doktor itu. Langit seolah mahu runtuh di atas kepalanya. Kata-kata itu umpama belati tajam yang menusuk ke hati.

What types of blood cancer? Leukemia? Lypmh?”

“It is acute myeloid leukemia. And the cells develops very quickly in your bone marrow. We have several options to discuss but I’m not going to lie to you.”Lelaki itu memandang lama ke arahnya. Ada sesuatu yang mahu diperkatakan lelaki itu padanya, tetapi Dr.Hatchback seakan berat hati. Dan tanpa suara, hanya gerak-geri, dia seakan boleh menduga apa yang mahu dijelaskan lelaki itu padanya.

“Mr. Ikhmal?” Suara seorang wanita dengan loghat aneh singgah di pendengaran. Dia berpaling lalu bertembung pandang dengan jururawat berbadan gempal itu.

Why are you still here?” Tegur wanita itu sambil tersenyum ramah.

Dia menggeleng. Sempat menghadiahkan senyuman untuk jururawat yang berada di bilik Dr. Hatchback tadi sebelum bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

Don’t forget to take your pills okay?” Pesan wanita itu lagi.

Dia sekadar mengangguk lalu pergi dengan langkah lemah. Dia tahu jururawat bernama Helen itu masih mengawasi kelibatnya dari jauh. Renungan wanita itu terhadapnya jelas mengandungi simpati. Dan dia tidak mahu simpati yang sama dari wajah Nadya jika Nadya tahu tentang penyakitnya. Dia tidak ingin menerima simpati dari sesiapa pun. Tidak! Simpati itu hanya akan melemahkan dirinya walhal dia benci menjadi lemah dan tidak berupaya di hadapan sesiapa pun jua!

* * * *

ORKED merenung sisa malam yang pekat dari beranda biliknya. Dari beranda itu dia melihat ke arah sebuah beranda lain. Beranda itu hak persendirian Idlan. Lampu di bilik lelaki itu masih terpasang meskipun malam semakin larut. Malam ini keadaan benar-benar sunyi sepi. Mara dan Rezal bersama anak-anak mereka khabarnya telah balik siang tadi. Jadi dia hanya tinggal berempat bersama-sama Idlan, Mak Tun dan Pak Man.

Sebenarnya jika difikirkan, tempat ini sebenarnya agak tenang dan indah. Suasananya juga mendamaikan. Entah sejak bila dia merasa lebih selesa di sini. Di sini walaupun tidak ada kelab malam, shopping complex dan teman-teman rapatnya, tapi di sinilah dia menemui kembali dirinya yang pernah hilang. Di sinilah dia menemui ketenangan tanpa kata makian dan nista dari seorang lelaki dipanggil ayah. Dan di sinilah juga dia diberi peluang untuk mengenali Idlan Riyaz, anak kepada seorang wanita yang menjadi isteri ayahnya sendiri.

Mengenangkan apa yang berlaku di ruang tamu tadi, dirinya diulit pelbagai tanda tanya Ada rasa aneh menjengah dirinya saat dia membuka mata dan terpandang wajah Idlan di sampingnya. Mata lelaki itu jelas sedang menatap wajahnya. Ketika lelaki itu beredar dari situ, barulah dia menyedari dia sebenarnya sedang tertidur di ruang tamu semasa menonton filem. Tapi apa yang Idlan buat di situ? Menonton televisyen bersamanyakah? Bila masanya lelaki itu keluar dari bilik?

Aneh! Dia masih yakin yang dia melihat wajah Idlan seperti kesakitan. Ketika lelaki itu terburu-buru pergi meninggalkannya, dia tidak dapat berfikir apa-apa selain dari merasa bingung dan sedikit malu. Pasti Idlan sempat memerhatikan keadaan dirinya yang sedang lena. Jangan aku tidur dengan mulut ternganga atau berdengkur sudahlah! Keluh Orked benar-benar merasa segan dan malu. Malah wajahnya merona merah bila mengingatkan kata-kata lelaki itu terhadapnya siang tadi. Pengakuan Idlan siang tadi meskipun dia tahu bukannya serius, tapi entah kenapa menjentik rasa debaran di dadanya.

Aduh! Kenapa malam ini aku terlalu asyik memikirkan tentang lelaki itu? Sejak bila soal tentang Idlan menjadi keutamaan? Orked mengeluh panjang. Tiba-tiba dia mendakap permukaan dadanya. Matanya terpejam rapat. Debaran di dadanya tidak kunjung padam setiap kali dia membayangkan renungan Idlan yang menggetar sukmanya.

Dingin malam terus mengulit kulitnya, memaksa dia memeluk tubuh menahan kedinginan yang terus menggasak. Hatinya tergerak untuk menoleh sekali lagi ke arah beranda di bilik Idlan. Ketika itulah matanya tiba-tiba terpandang sesuatu.

Kelibat seorang lelaki muncul di beranda bilik itu, sedang mendongak penuh asyik ke arah langit lepas yang tidak berbintang. Dia terpaku memandang gerak-geri lelaki itu. Wajah Idlan kelihatan amat muram, seperti menanggung beban yang amat berat. Ternyata kedatangan Nadya yang menyebabkan perubahan pada diri Idlan. Selalunya dia melihat lelaki itu dengan sikap ceria, tenang dan menghiburkan. Tapi kali ini Idlan tidak ubah seperti dirinya yang lalu.

Dia mengeluh. Serta-merta teringat janjinya pada Mak Tun mahu memujuk lelaki itu. Aduh! Kenapa kau beria-ia berjanji begini? Hati sendiri tidak terpujuk, ada hati mahu memujuk Idlan! Cebik Orked.

Kepalanya segera didongak. Turut merenung bintang-bintang yang bertebaran di langit. Indah! Dia tersenyum sendiri seraya menoleh ke beranda sebelah. Renungannya terpaku agak lama ke arah lelaki di beranda itu.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.