Home Novel Cinta Tak Ingin Kau Pergi
Tak Ingin Kau Pergi
11/2/2014 11:35:48
7,840
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Jari jam sudah menunjukkan angka 1 pagi. Puas dipaksa namun kelopak mata Firdaus tidak layu-layu. Telinganya terngiang-ngiang suara Karmila yang menjawab panggilan dengan manja dan merengek-rengek. Panggilan itu sudah pasti bukan daripada Akil sebab Karmila tidak pernah membahasakan Akil‘abang.’

Tengahari tadi Akil mengirimkan sejambangan bunga mawar merah untuk Karmila dan pada kad yang terselit di dalam jambangan bunga itu hanya tercatat satu patah perkataan sahaja. Maaf.

‘Jangan-jangan Mila ni sengaja mencari sebab untuk meretakkan perhubungannya dengan Akil,’teka hati Firdaus. Bermacam-macam persoalan hadir di dalam mindanya menyebabkan perasaannya rasa sesak. Perbincangan antara dia, emak dan ayahnya pada minggu lepas juga semakin menyerabutkan perasaannya. ‘Emak dan ayah pun satu hal juga, kenapalah baru- baru ini sahaja menyuarakan hasrat hati mereka. Kalau berterus terang dari dulu,kan senang? Ratna aku nak campak ke mana pulak?’

Rungutan demi rungutan datang bertandang di benaknya. Persoalan demi persoalan terus menghantui. Akhirnya Firdaus terlelap sendiri.

“Abang!Abang!Bangun! Dah subuh ni!!”

Pekikan suara Karmila yang kuat sambil mengetuk-ngetuk daun pintu biliknya menyebabkan Firdaus terkejut terus menggelonsor turun dari katilnya. Setelah itu dia terus berdiri tegak lalu membuat regangan untuk membetulkan urat sarafnya beberapa saat.

“Alamak! Pukul 6.45 pagi?”

Terbeliak matanya sewaktu melihat muka jam yang tergantung di dinding biliknya. Menyedari kelewatannya pada pagi itu Firdaus kelam kabut memasuki bilik air untuk mandi. Dia mengambil masa tidak sampai tiga minit untuk menyelesaikan urusannya di dalam bilik air. Keluar dari bilik air sahaja dia mencapai sejadah dan menyarung jubah ke tubuhnya. Jubah itu sememangnya digunakan sewaktu dia mengadap ilahi. Jubah dari Turki itu hadiah daripada Karmila adiknya yang membelikan untuknya sewaktu dia melancung ke Turki dua tahun yang lalu.

“Abang, baju abang Mila dah gosokkan. Ada kat pintu ya...”

Sekali lagi suara Karmila memekik di luar pintu biliknya. Sememangnya setiap hari Karmila berbaik hati untuk menggosokkan baju yang akan dipakainya ke pejabat. Meskipun dia melarang tetapi Karmila tetap hendak melakukannya juga. Sebagaimana biasa Firdaus akan mengambil baju yang disangkutkan oleh Karmila pada tombol pintu. Hari itu Karmila menggosokkan kemeja lengan panjang berwarna kelabu untuknya.

Selesai berpakaian Firdaus segera menuruni tangga menuju ke ruang makan untuk minum pagi. Meskipun terlewat dia mesti juga menjamah sarapan yang sudah disediakan oleh emaknya. Jika tidak panjang berjelalah leteran Mak cik Suhaila.

“Assalamualaikum,emak..ayah..”sapa Firdaus sebaik sahaja masuk ke ruang dapur untuk bersarapan pagi. Mak cik Suhaila dan Pak cik Roslan sedang asyik menjamu selera. Karmila pun ada. Masih belum bertolak ke tempat kerjanya.

“Abang, Mila nak tumpang kereta abang ke pejabat, boleh tak?” soal Karmila sebaik sahaja Firdaus duduk di kerusi di sebelahnya. Firdaus menjeling jam di pergelangan tangannya sambil memikir-mikir. Pasti dia akan kesuntukan masa jika menurut kehendak adiknya itu.

“Kereta Mila ada masalah ke?” tanyanya pula sebelum membuat keputusan. Tangannya pantas mencapai sebiji karipap yang disajikan oleh emaknya. Pastinya karipap itu dibeli oleh emaknya atau Karmila di gerai berdekatan taman perumahan mereka.

“Kereta Mila, Mastura bawa. Semalam sewaktu dia hendak balik tiba-tiba pula keretanya meragam. Ayah suruh dia bawa kereta adik kau ni..”jelas Pak cil Roslan yang tidak bersuara dari tadi.

“Bolehlah Fir..tumpangkan Mila ni. Ayah kau nak suruh dia bawa kereta buruknya tu dia tak tahu pula nak bawa. Maklumlah dah biasa dengan kereta automatik..”sampuk Mak cik Suhaila pula.

Karmila menyengih kerana ramai pula yang menyokong kehendaknya pada pagi itu. Dia tahu Firdaus keberatan untuk menumpangkan dia ke pejabat kerana laluan perjalanan mereka berlainan arah.

“Yalah,” jawab Firdaus sepatah lantas menghabiskan sisa minumannya. Setelah itu dia cepat-cepat bangun dan bersalaman dengan emak dan ayahnya sebelum beredar dari ruang dapur.

“Cepat sikit tuan puteri, kalau tidak kena tinggal..”

Firdaus sempat berpesan kepada Karmila dengan suara kuat dari muka pintu. Karmila yang mendengar kata-kata pesanan berbau ugutan itu pantas mencapai beg tangannya dan berlari anak ke pintu hadapan. Firdaus sedang membedek-bedek kasut yang akan dipakainya sambil merungut. Setokinnya yang baru dipakainya semalam sudah tidak nampak bayangnya.

“Setokin abang mana Mila?”tanyanya dengan suara kuat. Karmila sudah berdiri di sisinya dan sudah mengenakan kasut.

“Setokin? Tasya buat main kut!”teka Karmila. “Tak apalah,abang. Biar Mila pergi ambil setokin yang lain ya..”tawarnya cepat-cepat sebelum Firdaus naik berang. Karmila segera memasuki rumah semula.

“Nak warna apa,abang!!”jeritnya sambil mendaki tangga. Firdaus tidak menjawab. Di dalam simpanan, setokinnya hanya ada dua warna sahaja. Hitam dan coklat tua.

Pukul 7.50 pagi barulah dua beradik itu keluar dari perkarangan rumah menuju ke pejabat.

Firdaus memandu agak laju daripada biasa. Pukul 8.10 barulah mereka tiba di hadapan bangunan yang menempatkan pejabat Karmila. Karmila bekerja di sebuah syarikat insuran.

“Terima kasih, abang. Balik nanti Mila callteksilah...” beritahu Karmila kepada Firdaus yang memerhatikan dia yang sedang membuka pintu kereta.

“Tak usah nak membazir duit. Tunggu aje abang kat sini..”balas Firdaus. Karmila tidak membalas kata-katanya tetapi tersenyum lebar sambil berpamit sebelum meninggalkan Firdaus yang masih memerhatikannya dari dalam kereta.

Firdaus segera meninggalkan tempat itu dan meneruskan perjalanannya ke arah pelabuhan. Pemanduannya terganggu apabila mendengar lagu Kenangan Terindah Berubah nyanyian Sampsons dengan tiba-tiba. Matanya terlontar ke atas dashboard kereta. Rupa-rupanya irama lagu itu datang dari telefon mudah alih Karmila yang tertinggal.

“Aduh! Bila masa pulak Mila letak telefon kat situ?”soalnya dengan nada sesal. Sebaik sahaja keretanya berhenti di lampu isyarat yang menyala merah tangannya mencapai telefon bimbit milik Karmila. Firdaus terus menekan memori panggilan tidak dijawab. Tertera nama Adam. Telefon yang masih di dalam genggaman bergetar pula menandakan ada panggilan yang masuk. Segera matanya menjilat skrin dan melihat nama yang tertera. Akil Iskandar. Mahu tak mahu Firdaus terpaksa menjawab panggilan itu dan memberitahu Akil yang Karmila tertinggal telefon bimbit di dalam kereta. Setelah itu dia terus menamatkan mood aktif pada telefon adiknya itu.

“Mila! Tak mahu balik lagi ke? Dah pukul 5.00 petang dah ni.Dari tadi aku tengok engkau tersenyum-senyum sendiri apa hal?” soal Hamidah yang sedang bersibuk-sibuk mencapai beg tangannya yang terletak di rak belakang meja tulisnya. Dia cuba mengingatkan Karmila yang masih sibuk dengan fail-fail di atas meja. Teman sepejabat yang lain semuanya sudah pulang.

“Baliklah dulu, sebentar lagi aku keluar! Ermmm,lagi sepuluh minit mungkin!” jawab Karmila sambil mengerling jam yang tergantung di dinding. Seketika kemudian kelibat Hamidah hilang sebaik sahaja daun pintu pejabat itu ditutup. Karmila mula mengemas meja kerjanya dan menyimpan dokumen penting di dalam kabinet besi berkunci. Setelah itu dia tergesa-gesa menuju ke lif.

Keluar dari lif dia bergegas pula menuju ke tempat yang dijanjikannya dengan Firdaus pagi tadi. Namun kereta abangnya itu masih belum kelihatan. Agak lama Karmila menunggu di situ sehingga perasaannya menjadi tidak tentu arah dan tidak selesa.

“Dahlah telefon aku tertinggal dalam kereta dia!” rungut Karmila dengan perasaan sesal.

“Kemana Abang Fir ni? Erm,berjanji beginilah yang aku tak suka nii! Jadi atau tidaknya beritahulah, diam saja!!” marahnya sendiri. Hatinya dibalut kehampaan.

Sebuah kereta Honda City berwarna kelabu berhenti di hadapannya. Karmila terkejut kerana pemilik kereta itu dikenalinya benar. Tiba-tiba pula Akil Iskandar membuka skrin tingkap di tempat duduk penumpang dan memanggilnya.

“Mila, masuklah. Abang Fir minta tolong Akil datang ambil Mila. Secara kebetulan memang Akil nak berjumpa dengan Mila..”

Mahu tak mahu Karmila terpaksa masuk ke dalam perut kereta lelaki itu. Jika menolak pelawaan entah-entah tidak ada teksi yang akan memasuki kawasan itu.

“Terima kasih. Macam mana Abang Fir boleh telefon Akil pula ni?”soal Karmila sebaik sahaja duduk di tempat penumpang di sebelah Akil. Tekadnya untuk menyepikan diri daripada Akil beberapa lama sebagai tanda merajuknya terburai di pertengahan jalan.

“Pagi tadi Akilcall ke telefon Mila. Dia yang menjawabnya..”terang Akil bersahaja. Matanya terus melirik kepada Karmila yang sedang duduk di sampingnya. Hari itu Karmila berbaju kurung warna hijau sedondong dengan tudungnya.

“Aa’aa, Mila tertinggal telefon dalam kereta Abang Fir...”jelas Karmila. Akil memfokuskan pemanduannya dan diam agak lama. Giliran Karmila pula mengerling Akil dengan ekor matanya. Perasaannya mula rasa tidak selesa kerana Akil terus membisu.

“Akil, nanti Akil turunkan Mila kat mana-mana pondok menunggu bas ya. Biar Mila balik naik teksi aje...”ujar Karmila seolah berjauh hati.

“Kenapa nak buat macam itu pula? Kita pergi makan, lepas tu Akil hantarkan Mila balik ke rumah..”balas Akil. Nada suara Karmila tadi bagaikan dia sedang merajuk.

“Mila marahkan Akil lagi ke?”soal Akil sambil menoleh kepada Karmila. Karmila mendiamkan dirinya. Gadis mana yang tidak meradang jika bertembung dengan kekasih hati yang sedang berduaan dengan gadis lain?

“Mila nak makan di mana?” tanya Akil lagi apabila Karmila terus mendiamkan diri.

“Makan..?Kalau kita pergi lain kali boleh tak? Mila senak perut..”dalih Karmila. Tangan kirinya serta merta mengusap perut beberapa kali.

“Kalau begitu Akil bawa Mila pergi klinik..”tawar Akil pula sambil senyum meleret. Kali ini Karmila mesti tak dapat menolaknya lagi, fikir lelaki itu.

“Tak apalah, Akil. Tak payah susah-susah..ermm, Mila memang dah pergi klinik semalam. Ubatnya pun masih ada kat rumah. Mila aje yang tak makan ubat seperti yang doktor nasihatkan. Kita terus balik ke rumah Mila,lah ya..”ajak Karmila dengan segunung harapan.

“Okey...”

Akil akhirnya mengalah. Karmila kalau merajuk memang susah hendak dipujuk. Biarkan sahaja dia melayani rajuknya sendiri. Lama kelamaan dia akan kembali seperti biasa. Sudah dua tahun mereka menjadi teman akrab, dia sudah masak dengan perangai gadis itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.