Home Novel Cinta Mengintai Cinta
Mengintai Cinta
Hidayah
29/5/2020 00:52:53
17,267
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

"Excuse me!"

Fisya panggil lelaki yang ingin membuka pintu kereta itu. Tercungap-cungap berlari buat nafasnya turun naik tidak menentu. Lelaki itu dilihatnya berpaling menghadapkan badan ke arahnya. Sesaat saja riak wajah Fisya bertukar. Debarannya ketika itu sudah tidak menentu. Terketar-ketar bibirnya memang tidak dapat disembunyikan lagi. Kalau tidak dikuatkan sepasang kaki itu, tubuhnya boleh rebah bila-bila masa saja. Tapi dia tak mahu. Bukan di depan Ikhwan!

Ikhwan yang baru saja memandang Fisya mula menunjukkan reaksi kurang senang. Dahinya berkerut seolah tidak mahu percaya apa yang menghiasi matanya ketika itu. Sengaja dikecilkan kelopak mata dan mula dikatup dengan harapan bila dibuka bukan lagi wajah itu. Ah, mata tidak salah kali ini!

“Wow!” Ikhwan mengawal suara. “Tak sangka jumpa awak kat sini.” Dilirik Fisya yang tercegat hanya dua tapak kaki di hadapannya. Wajah itu sedikit pun tidak berubah. Wajah yang tidak pernah hilang dari tabir mata selama ini. Cuma riak wajah itu lain benar.

Fisya kaku. Dia tidak kuat melihat wajah itu. Dia tidak mampu bertentang mata dengan lelaki itu. Memang sah! Ikhwan Rafizi. Mana mungkin dia lupa walaupun sudah hampir tiga tahun berlalu. Kalau sepuluh tahun pun, dia akan ingat nama itu. Kalaulah nama Ikhwan Rafizi itu diperbuat dari besi, walau berkarat pun dia akan ingat!

Hujung jemari Ikhwan bermain segugus kunci. “Kali terakhir awak mesej, saya ingat lagi. Awak kata, macam mana saya nak jumpa awak. Mungkin saya tidak dapat memandang awak seperti sebelum ini.” Ikhwan mengulang semula kata-kata yang pernah dihantar oleh Fisya kepadanya sebelum ini.

Ikhwan tidak menyangka tempat letak kereta itu menemukan semula dia dengan seseorang. Dan seseorang itu bernama Fisya yang pernah digelarnya ‘sayang’ suatu ketika dulu. Tadi pagi entah kenapa hatinya teringin parkir di situ walaupun tujuannya hanya melepak di Warung Pak Ukah.

“Napa tercegat pula? Bukan awak ke yang sapa saya tadi?”

Fisya undur setapak. Dia tidak jadi mahu marah-marah mengenai parkir kegemarannya itu. Kalau dia tahu tadi, dia tidak mahu pun keluar dari Kafe Sharifah. Kalaulah dia perhati dulu sebelum menyapa lelaki ini, lelaki ini tidak akan fikir dia terhegeh-hegeh menegur seolah tiada apa yang berlaku.

“Boleh awak sapa saya selepas berkurun lama tak hubungi saya?” sindir Ikhwan. Suaranya masih dikawal. Matanya tidak lari dari wajah Fisya yang masih setia memandang keretanya.

 “Bro!” sapa Lim. Dari jauh dia sudah melihat Ikhwan berbual dengan seseorang. Tadi selepas makan di Warung Pak Ukah, dia membiarkan Ikhwan kembali menuju ke parkir kerana dia ingin singgah sekejap di farmasi.

Ikhwan menoleh mencari suara Lim. Dia mengangkat tangan seraya senyum kelat. Bila menoleh semula, wajah Fisya sudah hilang dari pandangan matanya. Matanya liar mencari kelibat Fisya tapi gagal. Benarkah itu Fisya atau hanya mainan perasaannya selama ini?

“Siapa tadi tu?” soal Lim sebaik masuk perut kereta.

Ikhwan lihat Lim sekejap. “Erm, kawan lama,” balasnya ringkas mematikan soalan Lim.

 

~~~~~

 

Fazlan sejak tadi hanya mampu bertindak sebagai pemerhati senyap. Tindakan Fisya di hadapannya tadi yang tiba-tiba keluar sedikit sebanyak buat dia tertanya-tanya. Boleh pula Fisya meninggalkan barang penting di hadapan orang tidak dikenali seperti dirinya itu? Apa penting sangat hingga Fisya lari tak pandang sekeliling?

Melihat dari jauh, Fazlan berteka-teki sendiri. Apatah lagi bila Fisya masuk semula ke dalam kafe dengan tergesa-gesa. Sempat dilihatnya wajah itu seakan pucat. Tidak seperti tadi yang penuh semangat seakan mahu sedia ingin bergaduh.

Fazlan cuba buat muka selamba bila Fisya mendekati tempat duduknya. Dan... Fisya duduk di sebelahnya berdekatan dinding. Tubuhnya sengaja dihadap ke dinding. Seolah ingin bersembunyi dari lelaki di luar kafe itu. Keadaan itu buat Fazlan tidak sedap hati. Dia mula berdiri untuk duduk di kerusi hadapan.

Belum sempat tubuhnya tegak berdiri, lengannya seakan digenggam seseorang. Sejuk dirasakan menjalar di kawasan lengannya. Fazlan melirik Fisya. Seperti memahami, Fazlan menempelkan punggungnya semula. Degupan jantungnya sebaik saja disentuh Fisya tadi, hanya Tuhan yang tahu.

 

~~~~~

                                                                                

Sejak balik dari Kafe, Jess sering mencuri pandang wajah Fisya. Bungkusan makanan yang dibawa menarik perhatian. Wajah cemerut Fisya sedikit sebanyak buat hati Jess gusar. Mesti ada yang tidak kena lagi di mata Fisya. Namanya diseru untuk makan bersama. Usai makan, Jess cuba buka mulut.

“Kenyang, beb.” Jess mengelus perut sambil melirik Fisya. “Ni belanja mesti ada sebab kan?”

“Sebab apa lagi.” Fisya mencuci tangan di ruang dapur. Jess menunggu jawapan di hadapan laptop. Sudah siap sedia menonton video kegemarannya. Fisya mencari tempat duduk di sebelah Jess. Matanya jatuh pada pandangan langit yang kian mendung. “Sebab aku bad mood sepanjang hari ni. Otak aku rasa penat. Seolah-olah  hari ni paling menyakitkan hati, tau tak!”

“Laaa… pasal buku tu pun nak moody sampai malam, apa hal. Rileks la Fisya…” Jess geleng kepala. Pandangannya masih fokus pada folder video yang sudah dimuat turun Fisya di Kafe Sharifah sebelum ini.

“Kalau fasal buku tu, aku dah sejuk dah sebelum pergi kafe tadi.”

Jess pantas mencari bebola mata Fisya. “Aik? Habis tu, fasal apa pulak ni?”

“Kau nak tau tak...” Fisya menghadap Jess. Seperti sudah bersedia meluah semua perasaannya. “...lepas kejadiaan buku tadi pagi, sampai parkir kafe, tempat letak kereta yang selalu aku letak tu..” Fisya melihat Jess mengangguk-angguk. “…ada pula kereta baru menyibuk letak kat situ. Mula la aku panas tadi. Bukan apa la. Banyak kot parkir kosong kat barisan tu, dia nak juga kat hujung.”

Jess menunjukkan riak khusyuk mendengar luahan Fisya.

“Tu tak habis lagi tau. Aku cuba la positif. Masuk aje kafe, buat hati aku ni rasa macam nak meletup. Tempat yang selalu aku duduk, kan ada soket hujung tu.” Fisya lihat Jess angguk kepala. “Ada pula sorang mamat dah duduk kat situ. Tempat lain kosong kot!”

Jess hanya menggeleng-geleng. “Boleh pula tempat-tempat yang selalu kau guna selama ni diambil orang?”

“Kan?” Fisya mengiyakan ayat yang baru keluar dari mulut Jess.Tiba-tiba wajah lelaki yang duduk di hadapannya tadi menari-nari di tirai matanya, “Aish!”

“Haa, apa lagi?” soal Jess seolah-olah dapat menghidu sesuatu dari Fisya yang mulai bertukar riak wajah itu apatah lagi menggunakan perkataan ‘aishh’. Itu perkataan yang hanya keluar dari kerongkong Fisya jika dia betul-betul tidak suka sesuatu perkara.

“Mamat tadi, Jess…” tiba-tiba Fisya tidak larat mahu bercerita panjang mengenai lelaki itu. Bukan hanya wajah Fazlan yang terbayang. Tapi wajah seorang lagi yang benar menggarit lukanya. Tanpa sepatah, dia sudah menarik punggungnya. Mula bergerak meninggalkan Jess yang masih memanggil-manggil namanya. Pintu bilik dikatup rapat serentak pipinya terasa sesuatu yang mengalir suam. Lelaki itu sekali lagi mengguris hatinya yang selama ini baru mulai sembuh dari koma.

Fisya menarik laptop. Dibuka dan ditempelkan pada tilam. Ada sesuatu yang ingin diluahkan pada Fisya Batrisya (FB) Menaip malam ini. Sejak tadi radio di bilik terpasang tidak disedari. Hanya bila dia perasan tatkala ada satu lagu baharu didengarnya menyapa gegendang telinga. Berlatarbelakangkan lagu itu, dia mula rancak menaip ditemani genangan air di kelopak matanya.

 

FB MENAIP : DRAF 2

Hati.

Hati ini pernah robek. Bukan sekadar robek biasa yang boleh dijahit menutup luka. Bukan sekadar luka yang perlu disembuhkan. Tapi luka yang perlu dirawat dengan balutan-balutan yang berpanjangan. Berterusan.

Hati ini pernah melukakan. Tapi bukan pada minda sedar yang mampu buat aku berfikir lancar. Bukan pada ketika aku tahu apa itu sayang. Bukan juga pada ketika aku tahu cara menghargai.

Hati ini pernah digarit kesal. Kerana aku tahu semua itu menjadi calar yang tidak mahu lari dari hati dan perasaan. Hingga ketika aku ingin melupakan terasa payah. Hingga ketika aku mahu meneruskan hidup terasa sukar.

Hati ini masih berteman duka. Mana mungkin aku bisa mengelus hati dengan kata-kata yang sedikit pun tidak membantu aku untuk terus kuat. Mana mungkin aku bisa memujuk hati yang sudah tua dimakan rajuk.

Hati. 

                                                                        

“Awak pernah rasa dilukakan seperti mana awak lukakan hati saya dulu?”- Lelaki

“Pernah. Dan lebih daripada itu.” - Hati


 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.