ALEX segera
menjawab telefon sebaik sahaja nama Yoonah muncul di skrin telefon pintarnya.
Penjelasan yang disampaikan oleh Yoonah membuatkan Alex terkejut.
“Alex,
jangan lupa parti Michael malam ini. Saya sudah beritahu Michael yang kita
berdua akan datang ke sana. Kamu datang ke apartment
saya jam 7.00 malam ni ya.” manja sahaja suara Yoonah.
“Kenapa
kamu membuat keputusan terlebih dahulu, saya tidak menyatakan apa-apa
persetujuan pun untuk keluar bersama.” jelas Alex tidak selesa. Dia menjauhkan
perbualan itu daripada Rania terdengar.
“Alex
sayang, jangan menolak pelawaan saya. Walaupun kita sudah berpisah, tapi saya
masih sayangkan kamu. Lagi pun kita sudah lama tidak keluar bersama-sama.
Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kamu masih bersama dengan Rania?” soal
Yoonah membuatkan Alex segera memandang Rania yang masih berselera makan di
depan matanya.
“Ya,
saya masih bersama Rania. Kenapa?”
“Saya
sudah agak. Jangan kata disebabkan Rania, kamu menolak pelawaan saya ke parti
malam ini.” Yoonah mengugut Alex.
“Jangan
kaitkan Rania dalam soal ini. Sudah banyak kali saya katakan bahawa perhubungan
kita sudah lama berakhir.” Alex semakin geram dengan Yoonah yang sengaja
menganggu dia.
“Kamu
sukakan Rania?” teka Yoonah membuatkan Alex tersentak.
Alex
mendengus kuat, “Saya tidak perlu menjawab soalan itu. Jika tidak ada apa lagi,
saya mahu tamatkan perbualan ni.” gertak Alex.
“Kamu
tidak perlu berbohong dengan saya. Segala perhatian kamu kepada Rania jelas
menunjukkan yang kamu suka dengan dia. Saya tidak peduli, kamu perlu datang
menemani saya ke parti Michael malam ini.” Tut… Alex mengeluh panjang.
Seleranya sudah tidak ada lagi.
“Kenapa
Alex? Ada sesuatu yang berlaku kepada kamu?” Rania memandang Alex dengan rasa
ingin tahu.
“Tidak
ada apa-apa. Kawan saya ajak ke parti kawannya malam ini.” ujar Alex perlahan.
“Oh,
saya fikirkan sesuatu yang buruk telah berlaku.” Rania menambah. Dia khuatir
sesuatu yang buruk telah berlaku apabila melihat suasana tegang antara Alex dengan kawannya sebentar tadi.
“Saya
malas mahu ke parti tu.” Alex meluahkan perasaannya. Sebenarnya dia tiada mood langsung untuk keluar dating bersama Yoonah, bekas kekasihnya
setahun yang lalu.
“Kenapa?
Kamu tidak sihat?” Rania meneka. Kalau melihat daripada wajah Alex, nampak okay
saja.
“Saya
letih.” pendek sahaja jawapan daripada Alex.
“Pasti
kawan kamu mengharapkan kehadiran kamu ke parti malam ni.” ujar Rania memberi
pendapat. Alex hanya mendengar tanpa memberi sebarang reaksi.
“Saya
sudah selesai makan. Ayuh, kita beredar.” Rania segera memanggil pelayan kedai
untuk membayar harga makanan. Usai menerima wang baki di tangan, mereka menuju
ke masjid Seoul Central yang hanya
mengambil masa 5 minit sahaja daripada kedai makan tadi.
“Kamu
mahu masuk sekali?” soal Rania kepada Alex sebaik sahaja mereka tiba di pintu
gerbang masjid.
“Saya
boleh masuk ke?” soal Alex membuatkan Rania tersenyum.
“Boleh.
Walaupun kita mempunyai lain kepercayaan agama, masjid sangat mengalu-alukan
kedatangan semua orang.” jelas Rania seperti seorang ustazah.
“Saya
temankan sehingga kamu selesai menunaikan ibadat.” jawab Alex dengan tenang.
Dia berasa agak suspen kerana ini kali pertama masuk ke kawasan masjid yang
dikhaskan untuk umat Islam beribadat.
Mereka
terpaksa menaiki anak tangga untuk ke perkarangan masjid Seoul Central. Kelibat pelancong muslim daripada negara Malaysia,
Indonesia dan Timur Tengah dapat dilihat di kawasan masjid yang mempunyai 3
tingkat. Rania tidak henti mengucapkan syukur dan berasa amat gembira kerana
dapat menjejaki rumah ALLAH di negara Korea yang mempunyai minoriti orang
Islam.
“Kamu
boleh duduk di sini. Saya mahu masuk ke dalam. Mungkin saya mengambil masa
dalam 15 sehingga 20 minit sahaja.” Rania memberitahu Alex yang leka memandang
seni bina masjid.
“Baik.
Saya tunggu kamu di sini ya.”
Rania
meninggalkan kameranya bersama Alex. Dia kemudian mencari tempat untuk
mengambil wuduk. Matanya tertancap melihat seorang wanita yang baru selesai
mengambil wuduk, Rania segera menuju ke bahagian tepi masjid yang menempatkan ruang
wuduk dan tandas untuk kaum wanita. Usai mengambil wuduk, Rania menuju masuk ke
dalam masjid. Dia meneliti maklumat dan papan tanda bagi mengetahui ruang solat
untuk muslimat.
“Assalammuaikum,
ruang solat muslimat di tingkat 2.” suara daripada seorang wanita Indonesia membuatkan
Rania segera menoleh ke belakang.
“Waaikummussalam,
terima kasih ya.” jawab Rania kepada wanita itu.
Sebaik
sahaja Rania sampai di ruang solat muslimah, matanya melihat keadaan
sekeliling. Ruang itu tidak besar namun panjang keluasannya. Ada beberapa orang
wanita daripada Timur Tengah sedang menunaikan solat dan ada juga yang sedang
membaca Al-Quran. Telekung yang tersusun rapi diambil dengan cermat, Rania
berniat iktikaf di masjid lalu menunaikan solat tahiyatul masjid dan solat
jamak takhir. Suasana tenang dan alunan ayat-ayat Al-Quran membuatkan Rania
berasa damai dan dekat dengan Sang Pencipta Langit dan Bumi.
“Assalammuaikum
my sister.” sapa seorang wanita
daripada Turki kepada Rania ketika melipat kain telekung. Tangannya
dihulurkan dan senyuman tidak lekang daripada bibirnya. Rania menjawab salam
lalu bersalaman dengan wanita itu. Sungguh indah apabila dapat bertemu dengan
saudara islam di negara asing.
Sebelum beredar daripada masjid, Rania mengeluarkan beberapa
wang kertas Ringgit Malaysia lalu dimasukkan ke dalam tabung masjid yang
disediakan. Dia berniat moga sedikit sumbangan wang itu dapat dimanfaatkan oleh
pihak pengurusan masjid. Matanya sempat membaca sedikit maklumat berkaitan
masjid Seoul Central. Maklumat ini
akan disimpan untuk ditulis di dalam blog kesayangannya. Masjid ini merupakan
masjid pertama di Seoul yang dibina pada tahun 1974. Keluasan tapak masjid itu
dalam sekitar 5000 meter yang telah didermakan oleh Kerajaan Korea pada ketika
itu. Selain itu, ianya juga dibiayai oleh beberapa buah negara Islam.
Rania bergegas keluar dan mencari kelibat Alex yang
ditinggalkan seketika tadi. Matanya melilau mencari namun Alex tiada di bangku
yang disediakan oleh pihak masjid.
“Mana pulak Alex ni.”getus Rania perlahan.
“Kamu cari saya?” suara Alex membuatkan Rania
terkejut.
“Alex! Kamu buat saya terkejut. Kamu ke mana?” soal
Rania dengan nada tinggi.
“Janganlah marah, saya berbual dengan
imam masjid ni. Dia seorang Korea muslim.” Alex cuba meredakan kemarahan Rania.
“Mana ada saya marah.” balas Rania
sambil mengikat tali kasutnya. Wajah Alex langsung tidak dipandang.
“Kamu takut saya tinggalkan kamu ya?”
duga Alex membuatkan Rania memandang Alex dengan mengerutkan dahi.
“Mana imamnya, saya tidak nampak pun.”
Rania memandang ke arah pintu masuk tingkat 1 yang menempatkan ruang
pentadbiran masjid.
“Imam sudah beredar, katanya mahu
bersiap sedia untuk solat asar.” jelas Alex. Pengalaman tadi sungguh berharga
tatkala disapa oleh seorang imam yang baik hati dan mesra berbual dengannya.
Jauh sekali tanggapannya terhadap agama Islam sebelum ini. Walaupun dia seorang
penganut Kristian namun dia tetap menghormati kepercayaan agama orang lain. Sudah lama Alex tidak datang ke gereja, akhir sekali ketika maknya membawa dia semasa berusia
15 tahun yang lalu. Setelah itu, jarang sekali dia pergi lagi.
“Oh, saya tidak dapat jumpa. Tidak ada
rezeki mahu jumpa imam masjid ni.” luah Rania dengan rasa hampa.
“Lain kali kamu boleh berjumpa dengan
imam. Kamu tidak mahu bergambar di sini?” Alex cuba mengalihkan perhatian
Rania.
“Mestilah mahu!” ujar Rania teruja.
“Mari, saya tolong ambilkan gambar
kamu.” Alex bersiap sedia dengan kamera di tangan. Tatkala melihat tulisan Arab
berwarna hijau di bahagian atas masjid membuatkan Alex tergamam.
“Kenapa Alex?” soal Rania sebaik
sahaja melihat Alex tidak berkelip mata memandang kalimah Allahu Akbar di atas
masjid.
“Apa maksud perkataan itu?” Alex
menunjukkan ke arah tulisan tadi. Rania tersenyum manis.
“Itu adalah bahasa Arab yang bermaksud
ALLAH Maha Besar atau dalam bahasa Inggeris ALLAH Almighty.” jelas Rania yang turut memandang ke arah tulisan itu.
“Oh, indah maksudnya. Saya suka.” luah
Alex.
“Saya juga.” sampuk Rania.
“Kamu pernah datang ke masjid ini?”
soal Rania.
“Tak pernah. Kawan muslim saya selalu
singgah ke sini jika datang ke Seoul. Kata mereka masjid ini besar, cantik dan
selesa. Mereka akan solat di tingkat 1 dan dapat berjumpa dengan orang Islam
pelbagai bangsa di sini setiap hari Jumaat.”
“Bagi umat Islam, orang lelaki
diwajibkan untuk solat Jumaat pada setiap hari Jumaat.” tambah Rania.
“Bagus masjid ini, banyak kemudahan
dan ada pula bangunan Pusat Islam yang mempunyai madrasah, Islamic Culture Research dan lain-lain.” Alex memuji akan
infrastruktur yang disediakan.
“Kami di Malaysia, banyak masjid
disediakan. Kamu perlu datang ke Malaysia. Saya boleh bawakan.” pelawa Rania
membuatkan Alex menganggukkan kepala.
Usai mengambil gambar, mereka
meninggalkan kawasan masjid dan menuju ke stesen subway Itaewon, sepanjang perjalanan mereka dapat melihat
wajah-wajah berbangsa Malaysia, Indonesia dan Pakistan silih berganti menuju ke
arah masjid.
“Rania, kamu free tak malam ni?” tiba-tiba Alex bersuara.
“Free,
mengapa?”
“Kamu ikut ke parti kawan saya.”
pelawa Alex.
“Parti?” Rania terkejut dengan
pelawaan itu. “Kalau parti orang Korea ni mesti ada minuman keras. Nanti ada yang mabuk-mabuk, tak
sesuai untuk aku.” bisik hatinya.
“Maafkan saya Alex. Saya letih dan
tidak dapat ikut kamu ke parti malam ni. Kamu ajak kawan yang lain ya.” Rania
menolak permintaan Alex dengan baik.
“Baiklah. Saya mahu kenalkan kamu
dengan kawan-kawan saya.” jelas Alex lagi.
“Mungkin di lain masa saya boleh
berkenalan dengan kawan-kawan kamu.” pujuk Rania.
Setengah jam kemudian, mereka tiba di apartment Yoonah. Semua barang-barang
Rania di bawa bersama.
“Saya mahu menginap di Kimchee Myeongdong Guesthouse yang terletak di
Myeongdong. Di situ dekat dengan stesen subway
dan tempat membeli-belah. Semalam saya sudah booking bilik di guesthouse tu.”
“Bagus. Lokasi yang strategik. Mudah bagi kamu.” Alex menyokong. Walaupun
sebenarnya dia mahu Rania tinggal beberapa hari
lagi di apartment Yoonah agar
mudah berjumpa.
“Terima kasih Alex, kamu banyak membantu saya hari ini. Pasti saya akan
teringatkan kamu bila pulang ke Malaysia.”
“Sama-sama. Ini hanya pertolongan kecil sahaja. Saya senang menemani kamu
bersiar-siar di sini.” balas Alex merendah diri.
“Esok kamu mahu ke mana?” soal Alex ingin tahu.
“Adalah mana boleh beritahu kamu.” gelak Rania membuatkan Alex benggang.
“Beritahulah saya. Di Seoul ini banyak tempat yang menarik untuk dilawati.”
pujuk Alex.
“Cuba kamu teka?” ujar Rania.
“Teka lagi?” ujar Alex tidak
bersetuju.
“Kalau kamu teka dengan betul, saya
akan beri hadiah.” pujuk Rania. Dia suka melihat wajah keliru Alex sebentar
tadi. Sweet!
“Saya tidak mahu teka atau hadiah
lagi. Beritahulah saya.” rayu Alex.
“Kamu tidak boleh paksa saya.” Rania
memalingkan wajahnya daripada Alex.
“Baiklah, saya tidak mahu paksa. Saya
harap kamu gembira dengan perancangan hari esok. Ini nombor telefon dan email
saya.” Alex menghulurkan sekeping kertas yang tertera no. telefon dan email.
“Saya berharap kita akan berjumpa
lagi. Jangan lupa hubungi saya jika kamu ada apa-apa masalah di sini.”
“Baik. Jumpa lagi. Bye.” Rania
melambaikan tangannya kepada Alex dengan rasa sedikit sebak.
Alex membalas lambaian Rania dengan
penuh senyuman. Rania bergerak meninggalkan Alex, langkahnya laju menuju ke
stesen subway. Dia tidak sabar mahu berehat
di atas tilam yang empuk di Kimchee Myeongdong Guesthouse.
Seketika kemudian, Rania membuka pintu
bilik bernombor 203. Kasutnya terus dibuka dan beg
sandangnya dicampakkan di tepi katil 2 tingkat. Rania segera merebahkan diri di
katil bawah. Aahh.. bestnya! Matanya dipejam rapat.
“Bagus juga tiada orang. Bilik ini boleh menempatkan 4 orang. Aku mahu
mandi dan lepas tu mahu buat maggie!” Rania bermonolog sendirian.
Usai solat jamak takdim, Rania membawa mangkuk yang berisi maggie di sisi
katilnya lalu dimakan dengan penuh selera. Telefon pintarnya dicari, seharian
dia tidak sempat membelek akibat lupa caj telefon. Setelah menjumpai di
dalam beg sandang, tangannya laju menyentuh skrin telefon. Pesanan SMS
disemak sekiranya ada SMS baru yang masuk.
“Aaghh…” Rania mula mengantuk. Matanya layu dan badannya berasa letih.
Beg yang terbuka, membuatkan Rania teringat akan diari Lelaki Dari Langit
kesayangannya. Dia terus mencapai dan mencatatkan peristiwa yang berlaku hari
ini.
Hari
Kedua Di Seoul
Hai,
diariku sayang… Alhamdulillah, aku masih lagi berada di Seoul. Hari ini banyak
perkara yang berlaku. Festival bunga yang aku idam-idamkan setiap kali aku
lihat di televisyen dan dalam drama Korea telah aku jejaki. Wow, sungguh cantik
dan indahnya pemandangan itu! Pasti Zaidah cemburu kalau lihat gambar yang aku
ambil siang tadi. Masjid Seoul Central pun aku suka dan teruja kunjungi. Psst…
aku tidak boleh menahan diri daripada menulis tentang Alex. Hari ini Alex telah
selamatkan aku daripada dilanggar motosikal. Mengapalah aku cuai sangat!.
Hah,
ada satu lagi insiden yang tidak diduga. Alex suapkan aku makan. Tak percaya?
Percayalah bahawa Alex telah menyuapkan aku makan Bulgogi macam yang aku selalu
tengok dalam drama Korea. Matilah aku kalau ibu dapat tahu pasal ni. Menyesal pula
aku buka mulut! Huhuhu… Ingat tau, ini rahsia antara kita berdua wahai diariku
sayang. Aku sedih bila kami berpisah tadi setelah hampir 2 hari aku bersama
Alex. Dia lelaki yang baik, handsome dan gentleman pula tuh!. Ehh… hatiku
berasa sangat gembira macam bunga sedang kembang mengharum bila sebut nama Alex.
Sesuatu berlaku pada diriku, adakah aku jatuh cinta dengan Alex?