Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,358
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

SAYUP-SAYUP telingaku menangkap suara erangan, langsung membawa aku ke alam nyata. Tidak lagi hanyut di alam mimpi. Aku menggagahkan diri untuk membuka mata yang kuyu. Entah berapa lama aku tertidur, aku sendiri tidak pasti. Seingat aku, aku sedang berkhayal tentang arwah ayah dan sejurus selepas itu aku terlena. Diulit mimpi yang sangat indah. Aku, arwah ayah dan arwah ibu. 

“Argh!”

Jeritan itu menerjah pendengaranku. Aku mencelikkan kedua-dua mata seluasnya. Dari jauh, aku nampak beberapa orang lelaki tinggi lampai berbalut sut hitam sedang menuju ke arahku. Pandanganku berbalam-balam dalam usaha untuk mengenalpasti gerangan-gerangan itu. Setahu aku, orang yang menculikku tidak memakai sut hitam. Penampilan mereka selekeh kecuali bos mereka. Lantas, siapakah mereka yang muncul dengan tiba-tiba ini?

“Argh!”

Sekali lagi ruang yang kotor ini dikejutkan dengan erangan. Mata aku dijamu dengan adegan yang sama pernah aku saksikan sebentar tadi. Kali ini, mereka yang menculik aku pula menjadi mangsa. Mereka menggerung sakit setelah diterajang oleh lelaki-lelaki bersut hitam itu. Di kiri dan di kanan, tubuh-tubuh lembik bergelimpangan seperti mayat. Tetapi aku yakin mereka tidak mati kerana dada mereka masih bergerak turun dan naik. 

Beberapa saat kemudian, jantungku mulai berdegup dengan kencang apabila satu tubuh yang lembik melayang ke arahku dan aku yakin aku tidak akan mampu untuk mengelak daripada kemungkinan tubuh itu akan menghempap aku. Bagaimana aku mahu mengelak dalam keadaan tangan dan kakiku yang terikat? 

“Argh!” Mata aku hampir terpejam.

Dan-dan, ada satu tubuh menghadang aku daripada dihempap oleh tubuh tadi. Dua tangannya memerangkap aku di dinding. Nafas hangatnya menampar wajahku. Aku terpaku seketika sebelum memberanikan diri untuk mengangkat wajah. Sesaat, aku dan dia bertatapan. Dua mata hitamnya merenung tepat ke dalam anak mataku. 

“You’re safe.”

Tubuh aku mengeras dan kejang. Tidak dapat memberi sebarang respon. Saat bibirnya menguntum senyuman, degupan jantungku bertambah laju. Tubuh aku memberikan reaksi yang tidak terjangka. Menggigil hebat bagaikan air sejuk sedang menimpa tubuhku secara berterusan. Senyuman itu benar-benar membuatkan aku lemah. Mujur saja aku tidak berada dalam keadaan berdiri. Jika tidak, aku pasti aku akan rebah ke lantai. 

““Look at what they did to you. Wajah dah comot. Tudung pun hampir tertanggal.” Dia memberi komen. Pandangannya berlabuh ke setiap inci raut wajahku. Dari dahi sehingga ke bibir. Aku naik rimas apabila ditenung sebegitu.

“Siapa kau?” Aku bertanya dalam suara yang serak. Sungguh berterus-terang soalan yang aku lemparkan kepadanya.

“Kau akan tahu.” Hanya itu yang diucapkannya sebelum dia bangkit dan memusingkan tubuh seterusnya melepaskan tumbukan pada wajah seseorang. Mata aku terbelalak dengan tindakannya itu. Rupa-rupanya dia telah menyedari seseorang sedang meluru ke arah kami berdua. Dengan tindakan pantasnya, dia berjaya mematahkan serangan itu.

Aku fikir aku sudah selamat namun entah dari mana datangnya seorang lelaki lain di sebelahku dan dia cuba menarik aku. 

“Lepaskan aku!”

Terdengar sahaja suaraku, lelaki tadi membalikkan tubuh. Riak wajahnya bertukar garang. 

“Don’t touch her!” 

Serentak, lelaki yang cuba menarik aku ditempeleng di wajahnya. Tidak cukup dengan itu, bahagian rusuk kirinya ditendang kuat. Dia tersungkur di lantai dan menyeringai kesakitan. Tangan diangkat ke udara tanda dia menyerah kalah, tidak mahu berlawan lagi.

“Tuan, perlu ke kita buat laporan polis pasal ni?” Salah seorang daripada lelaki-lelaki bersut hitam tadi mengajukan soalan. 

Lelaki yang berada dekat denganku ini mengangkat tangan, memberikan isyarat yang aku tidak fahami langsung. 

“Baik, tuan.”

“Siapa kau?” Aku mengulang soalan yang sama apabila dia masih tidak menjawab soalanku tadi. Rasa geram mendongkol dalam diri dengan sikap acuh tidak acuhnya itu.

“Kau akan tahu. Buat masa sekarang, kita mesti tinggalkan tempat ni.” Dia masih memberi jawapan yang sama. Jawapan yang tidak melegakan aku sebaliknya hanya menambahkan rasa curigaku yang mencanak naik.

“Ikut aku.” 

Aku menggelengkan kepala. Dia mahu aku meninggalkan tempat ini dan mengikuti dia? Aku tidak kenal dia. Mana mungkin aku sudi. Dibayar tinggi juga aku tetap tidak mahu. Menempah bala sendiri saja kalau aku mengikut dia.

“Tempat kau adalah di sisi aku.”  

“Siapa kau nak aturkan hidup aku? Aku tak kenal kau pun!” Aku meradang. Sesuka hati dia saja hendak mengarah aku. Sejak bila pula tempat aku perlu ada di sisi seorang lelaki yang aku tidak kenali? Dia tiba-tiba muncul di hadapanku, berlagak seperti hero yang menyelamatkan seorang heroin. Sesiapa sahaja akan mempersoalkan tindakannya. 

“Tapi aku kenal kau, bakal isteriku.”

Serta-merta aku merasakan jantung aku tersumbat. Nafas tersekat di celah kerongkong. Apa dia cakap? Bakal isterinya? Siapa pula yang mahu menjadi isterinya? Tiada angin. Tiada juga ribut. Dia tiba-tiba sahaja mengaku aku sebagai bakal isterinya. Drama swastakah ini dan siapa pula pengarahnya?

“Siapa bakal isteri kau?” Aku buat muka menyampah.

“Kau,” jawabnya pendek.

Jawapan ringkasnya itu membuatkan degupan jantungku kembali kencang. “Aku tak kenal kau. Macam mana kau boleh mengaku yang aku ni bakal isteri kau? Kau dah gila ke?” Tanpa segan silu aku membidas dia dengan kata-kata yang tidak sepatutnya aku lafazkan. 

Dia meleretkan senyuman di bibir, tidak terkesan dengan gelaran ‘gila’ yang aku tujukan kepadanya. “Patutlah kau bakal isteri aku. Kita memang sepadan.”

“Huh?” Aku semakin bingung. Aku sedang memarahi dia. Dia pula boleh pula tersenyum kepadaku. Dah kenapa dengan lelaki ini? Otaknya yang tidak betul atau aku yang bermain dengan ilusi semata-mata?

“Ikut aku. Ada seseorang nak jumpa kau.”

“Dan orangnya itu ialah kau?”

“No. You met me already.”

“Kenapa kau selamatkan aku?” Aku memuntahkan pertanyaan kerana bagi aku, apa yang berlaku pada saat ini semuanya tidak masuk akal. Bagaimana mungkin seseorang yang aku tidak kenali datang ke sini semata-mata hendak menyelamatkan aku? Siap mengaku aku sebagai bakal isterinya lagi.

“Kau akan tahu nanti.”

Tanpa menunggu lama, dia menanggalkan ikatan tali pada tangan dan kakiku. Aku merasakan bahagian tanganku agak pedih setelah terlilit dengan tali dalam tempoh yang lama. Begitu juga dengan kaki yang hampir hilang kekuatannya saat aku berdiri. Hampir saja aku melorot ke bawah namun tangan kekarnya dengan pantas memaut pinggangku, menyokong tubuhku yang lemah. Bibir ini mahu mengucapkan terima kasih kepadanya tetapi memikirkan dia tidak mempunyai hak untuk menyentuhku, aku menolak tangannya dengan kasar. Dia hanya menjongket kening, tidak marah dengan tindakan aku. Sebaliknya apa yang terbentang di ruang mataku benar-benar membuatkan jantung aku kembali berdetak dengan pantas. Selaju hembusan nafasku. Selaju jantung yang sedang mengepam darah. Dia sedang tersenyum. Senyuman yang memikat hati dan membuai jiwaku. Dalam sekelip mata, aku menjadi lemah.

“Don’t ever smile at me like that.” Aku melarang dia. Wajah aku memang masam mencuka saat ini. Bibir pula agak payah untuk menguntum senyuman. Keras semacam. Rasanya tiada sebab untuk aku beramah mesra dengan lelaki ini walaupun dia sudah mengaku terang-terangan bahawa aku adalah bakal isterinya. Siapa yang boleh menerima kejutan sebegini? Diculik kerana sebuah dendam dan diselamatkan oleh seorang yang tidak dikenali yang mengaku dirinya bakal suamiku. Kalau aku tidak kuat, aku boleh jatuh pitam di sini juga. Bercinta pun tidak pernah. Tup-tup bakal suami muncul di depan mata.

“Kenapa? Kau tergoda dengan senyuman aku?” Dia mengangkat sebelah kening, mahu menguji aku.

Pipiku membahang seakan aku sedang dijemur di bawah matahari. Bibir bergetar hebat. Jantung semakin berdegup dengan laju. Lelaki ini… Dia tahu apa kelemahan aku. Bagaikan dia mampu membaca fikiran bahawa aku sudah terpikat dengan senyumannya itu, dia sengaja melebarkan senyuman di bibirnya.

Rama-rama sudah melebarkan kepak di dalam perutku. Dah kenapa dengan aku ini? Takkanlah kerana senyuman dia, hati aku sudah tertarik kepadanya? Aku palingkan muka, tidak sanggup melihat senyuman yang menghiasi wajahnya itu.

“Kau boleh berjalan, kan?” soalnya setelah melirik ke arah kakiku.

Aku angguk saja kerana kaki aku masih larat untuk mengorak langkah. Pedihnya masih terasa tetapi aku buat tidak endah. Bukannya sakit sangat pun.

“Kau jangan cuba lari.” Dia memberi amaran.

Aku nak lari? Ke mana lagi aku hendak melarikan diri? Kiri dan kanan orang-orangnya mengawasi kami. 

“Tak. Aku takkan lari. Puas hati?” Malas hendak bertekak dengan lelaki yang baru aku kenali ini. Munculnya dia pada saat tidak terduga. Dan kini dia meminta aku mengikuti dia pula. Entah apa motifnya menyelamatkan aku. Keadaan ini sebenarnya bahaya untuk aku. Tetapi aku sudah tidak mempunyai pilihan lain. Jika aku tidak mahu, dia tetap akan memaksa aku juga. Sudahnya, aku turutkan saja.

“Siapa nama kau?” Hati aku dicucuk rasa ingin tahu.

“Please to meet you, Ayesha Afiyah. Aku Ghaz Lutfi.”

Ghaz Lutfi. Seorang hero yang menyelamatkan aku daripada sang penculik tadi.

PINTU kereta dibuka oleh orang suruhannya. Aku diarahkan masuk namun kaki aku bagaikan melekat pada tanah, tidak mahu menurut arahannya itu. Siapa dia hendak mengarah aku? Agaknya dia fikir aku tiada maruah diri hendak mengikut lelaki yang tidak dikenali. Bukan mahram pula tu. Kalau terjadi apa-apa kepadaku, senanglah dia hendak meletakkan kesalahan di pundakku seratus peratus kononnya aku yang tidak pandai menjaga diri. Aku yang murahkan harga diri dengan mengikut jantan yang tidak dikenali.

“Masuk.” Ghaz Lutfi memberi arahan sekali lagi.

“Kau ni siapa? Suami aku ke nak mengarah aku?” Aku tayang wajah geram di hadapannya. 

“You’ll end up being my wife soon. Bila kita dah kahwin nanti, kau kena dengar cakap aku juga, kan?” Itulah sahaja modalnya. Bakal isteri. Bakal suami. Aku sudah naik muak mendengarkan perkataan yang sama terpacul dari bibirnya. Dia saja yang beria-ia hendak beristeri. 

“Masalahnya aku tak nak jadi isteri kau.” Aku menarik muncung sedepa. Dia ingat aku terdesak sangatkah hendak menjadi isteri orang? Umur aku pun baru masuk dua puluh dua tahun. Takkanlah semuda itu aku mahu menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri? Lebih-lebih lagi kepada lelaki yang aku tidak kenali ini. 

“Kau nak atau tak, kau tetap akan jadi isteri aku. Dah berapa lama aku tunggu saat ni. Takkan aku nak lepaskan kau macam tu aje?” 

“Kau cakap kau tunggu aku? Kau sebenarnya siapa?” Susah sangatkah dia hendak memberitahu aku siapakah dia? Ya, nama dia ialah Ghaz Lutfi. Tetapi nama sahaja tidak cukup untuk menjelaskan identiti dia. 

“Aku akan bagitahu kau. Tapi sebelum tu, kau kena ikut aku.”

“Kau sedang memaksa akulah ni?”

“Ya.”

Aku melepaskan keluhan. Lelaki ini memang tidak faham bahasa. Soal kahwin mana boleh dipaksa. Aku ada hak untuk menentukan dengan siapa aku akan berkahwin nanti. Mengapa pula dia yang mahu mengatur hidupku? 

“Kau jangan risau. Aku tak ada niat yang buruk terhadap kau. Percayakan aku, Ayesha. Aku hanya ingin menjaga dan melindungi kau. Salah ke?” 

Aku tidak tahu mengapa namun hatiku tersentuh apabila dia berkata begitu. Mahu menjaga dan melindungi aku? Daripada siapa? Dan kenapa dia beria-ia benar hendak menjadikan aku isterinya?

“Tuan.”

Salah seorang daripada orang-orang Ghaz Lutfi datang ke arah kami. Dia membisikkan sesuatu di telinga Ghaz Lutfi. Lelaki itu terangguk-angguk. Aku menjadi ingin tahu setelah melihatkan gelagat dua lelaki itu.

“Pihak polis dah dalam perjalanan,” bagitahu Ghaz Lutfi tanpa sempat aku bertanya. Macam tahu-tahu saja apa yang bermain di fikiranku tatkala ini. Bibirnya menguntum senyuman. 

“Jadi?” Aku menyoal.

“Pasal ni, biar polis yang uruskan. Sekarang kau masuk ke dalam kereta dan aku akan jelaskan segala-galanya.”

“Kalau aku tak nak?” Aku cuba memprotes. Sesuka hati dia sahaja hendak memaksa aku. Ini hak aku. Ikut suka hati akulah hendak bersetuju atau tidak. Dia tiada hak ke atasku.

Lelaki yang berdiri di hadapanku ini mendekatkan wajah dan aku pula berusaha menjauhkan kepala. Apabila wajahnya betul-betul berhenti di sebelah telinga, bulu romaku meremang tegak. 

“Kau fikir aku tak berani nak tarik kau secara paksa? Atau kau nak aku dukung kau?” 

Mataku terbeliak saat dia menjauhkan wajahnya dari telingaku.

“Kau jangan nak buat kerja gilalah! Kau ingat aku perempuan murahan nak bagi kau sentuh aku sesuka hati kau?” Aku membentak marah.

“Jadi, kau jangan paksa aku buat kerja gila. Mudah, kan?” Dia tidak mengalah. Dia seolah-olah mahu mengugutku supaya mendengar cakapnya.

Aku renung tajam anak matanya. Dia membalas renungan aku bersama bibirnya yang senget. Pandangan kami bersabung lama sehinggakan ada suara-suara yang berdehem, cuba menghentikan kami.

Aku tahu dia tidak akan beralah. Dia mahu menang dan kemenangan itu berpihak kepadanya. Rengusan kuat aku lepaskan.

“Okey! Aku ikut kau. Tapi kau mesti berjanji yang kau takkan buat apa-apa pada aku!” Aku mengaku kalah.

Dia mengangguk, meyakinkan aku. Aku menjeling dia dan tayang penumbukku sebagai tanda amaran sebelum membolos masuk ke dalam perut kereta. Wajahnya dihiasi dengan senyuman. Langsung tidak kisah dengan amaran kecilku. Setelah itu, dia turut menapak masuk ke dalam kereta. 

Menyedari dia bakal duduk di sebelah aku, aku mengengsot jauh darinya. Pacuan empat roda yang dipandu oleh pemandunya akhirnya bergerak meninggalkan kawasan ini. Aku membuang pandangan ke luar tingkap. Di sebalik cermin kereta yang tertutup, aku nampak beberapa tubuh manusia yang terjela di tanah. Tiada kesan darah yang ketara. 

“Kenapa kau lakukan kekerasan untuk selamatkan aku?” Tanpa aku sedari, bibir aku melontarkan soalan.

“Aku ada pilihan lain ke?” Soalan juga yang dia titipkan.

“Macam mana kalau dia orang mati?” Itu yang aku takutkan. Bukan dia sahaja yang akan diburu oleh pihak polis, aku juga mungkin akan terlibat sama. Tidak pasal-pasal aku dituduh bersubahat dengan lelaki ini.

“Kau tak payah risau. Dia orang tak mati.” Dia cuba menyedapkan hatiku.

“Kau terlalu yakin,” gumamku antara dengar dan tidak dengar. Mata ini masih memandang ke arah luar kereta.

“Ayesha.” Suara lunaknya memanggil namaku. Aku berpaling ke arahnya. Wajah kacaknya menjadi santapan mata. 

“Macam mana kau tahu nama aku?”

“Panjang ceritanya.”

“Pendekkan,” pintaku laju. Namun, dia menggelengkan kepala. 

“Tadi kau cakap kau nak jelaskan semuanya pada aku!” Aku menjerit dalam kegeraman. Rasa diri ini tertipu olehnya. Dipermainkan. Hati yang sakit bertambah sakitnya.

“Kau tak pernah dengar nama Luf Harith?”

Aku cuba mengingati nama yang meluncur laju dari mulutnya itu. Luf Harith? Tiada pula aku kenal sesiapa dengan nama itu. Mindaku cuba memanggil tetapi aku tidak dapat menangkap apa-apa.

“Aku tak tahu.”

“Kau pasti? Tapi arwah ayah kau kenal Luf Harith.”


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie