Matanya yang lemah itu dibuka perlahan-lahan. Sinar
cahaya putih itu menyilaukan matanya. Badannya yang masih sakit digagahi juga
untuk bangun. Cahaya yang kuat itu menyebabkan dia tidak nampak apa-apa.
Dimanakah aku? Jerit hatinya.
Matanya digagah lagi mahu melihat cahaya putih yang
semakin kuat itu dan akhirnya silauan cahaya itu semakin menghilang. Tiba-tiba
silauan cahaya putih itu menjadi bebola api yang besar. Bebola api itu menerpa
ke arahnya dan membakar seluruh badannya. Dia menjerit dengan kuat kerana api
tersebut menyebabkan kesakitan yang teramat.
“Anak....” Suara sayup-sayup itu didengar di telinganya.
Dia mahu meminta tolong namun suaranya tersekat di kerongkong.
“Anak... Bangun nak.” Panggilan iu bersama dengan
goncangan badannya menyebabkan dia tersentak dan akhirnya terjaga dari mimpi
yang ngeri. Nafasnya tercungap-cungap.
Dia melihat sekelilingnya. Tempat itu begitu asing
baginya. Tempat tersebut dikelilingi papan-papan usang. Sebiji lampu kecil
menerangi bilik tersebut. Di sebelahnya dia dapat lihat seorang lelaki tua
bersama dua orang lelaki yang kiraannya berumur 16 atau 17 tahun.
“Anak tak ada apa-apa?” Orang tua itu memulakan bicara
melihat lelaki asing itu terpinga-pinga. Dia merenung orang tua itu. Kemudian
matanya melihat kepada dua budak lelaki tersebut.
Dia memegang tubuhnya. Memegang tempat pembaringannya
yang merupakan sebuah katil kayu yang dilapik dengan tilam yang sudah lusuh dan
berbau aneh. Dia kemudian memandang lelaki itu semula. Berkerut-kerut dahinya
ingin mengingat sesuatu. Memorinya diminta bekerja keras. Dia mengimbas
memorinya dalam dan dalam. Akhirnya dia teringatkan sesuatu.