Lydia melihat teman sebiliknya yang sudah lena dibuai mimpi. Dilihat jam
di tangannya. Baru pukul 10.00 malam. Perutnya berkeroncong. Dia perlu mencari
makanan untuk mengalas perut.
Dengan perasaan malas, dia menuju ke café.
Selepas membuat pesanan, Lydia duduk di kerusi yang agak jauh dari pandangan
orang ramai sambil memerhati suasana sekeliling. Pandangannya beralih ke arah
lorong di hadapannya. Dia membulatkan mata. Susuk tubuh yang sedang berjalan
menghampirinya seperti dikenali. Belum sempat dia bangun, Imran telah menghampirinya.
“Nak ke mana?” tanya Imran sambil tersenyum.
“Nak balik ke bilik,” jawab Lydia sambil
memikirkan cara untuk meloloskan diri melalui lorong tersebut tanpa bersentuh
dengan Imran.
“Bukan ke awak dah order burger?” Sengaja
Imran membakar Lydia yang kelihatan serba salah mukanya.
“Ha’ah… lupalah,” jawab Lydia lemah. Dia bangun
lalu mendekati gerai burger itu semula.
Imran mengekori langkah Lydia. “Sein, buat
cepat-cepat untuk awek aku ni tau!” arah Imran.
Sein mengangguk dan tersenyum.
‘Awek?’ Nak termuntah Lydia mendengar perkataan
yang disebut Imran.
“Lapar sangat ke?
“Tak lapar sangat. Saja nak makan,” jawab Lydia
dengan nada acuh tidak acuh.
“Awak free tak pagi esok?”
“Kenapa?”
“Saya nak ajak awak joging kat Tasik Harapan.
Biar keluar peluh sikit!”
Kali ini Lydia terbeliak memandang Imran. Masuk
bab jogging pula dah? “Maaf, saya sibuk!”
Lydia makin gelisah dengan pertanyaan demi
pertanyaan. Dalam masa yang sama dia merasai perasaan yang cukup aneh. Hatinya
terasa indah. Seolah-olah kini dia mempunyai tempat untuk berteduh, bermanja
dan bergurau senda. Hati, janganlah terlalu banyak meminta.
“Jomlah, temankan saya. Saya tunggu awak kat
blok tujuh pagi esok, okey?” pujuk Imran yang tidak pernah putus asa mahu
memenangi hati Lydia.
Wajah Imran tampak ikhlas. Hatinya yang sekeras
kerikil tadi mula lembut. Namun, untuk memberi peluang kepada lelaki dalam
hidupnya, tidak mungkin menjadi kenyataan.
“Burger dah siap,” laung Sein.
Lydia
bangun untuk mengambil burgernya. Selesai membayar, tanpa berpaling ke arah
Imran yang menunggu jawapannya, Lydia terus berlalu dari situ.
“Saya tunggu esok. Jangan lupa ya!”
Sayup-sayup kedengaran pesanan suara Imran di
gegendang telinganya. Lydia tidak peduli. Dia harus cepat sampai ke bilik.
Sesudah menunaikan solat subuh, Lydia berteleku seketika di sejadah. Dia
mengenangkan pertemuan demi pertemuan dengan Imran. Makin kuat dia menolak
Imran dalam memorinya, makin kerap wajah itu bertandang dalam setiap perjalanan
hidupnya. Secara kebetulan atau sengaja?
Lydia membuka telekungnya lalu meletakkan di
atas katil. Sinar suria mula menembusi tingkap biliknya. Matanya memandang ke
luar. Seorang lelaki dalam pakaian sukan sedang keseorangan di bawah seperti
menantikan seseorang. Dilihat jam di tangan. Tepat jam 7.00 pagi. Imran
benar-benar menepati janjinya. Bagaimana ya?
Antara mahu dan tidak, Lydia menyarungkan
pakaian sukan dengan kasut lalu menuruni tangga untuk mendapatkan Imran.
“Lama tunggu?” Entah mengapa, hati Lydia jadi
lembut menerima pelawaan Imran, tidak seperti lelaki lain. Seperti ada hubungan
istimewa terjalin antara dia dengan lelaki berkumis tipis ini.
“Baru lima minit,” balas Imran dengan perasaan
gembira. Dia tidak menyangka gadis misteri ini akan menerima pelawaannya.
“Jom!”
Sambil berjoging, mereka berbual-bual mengenai
sesi kuliah, pensyarah yang menjadi pilihan, peristiwa di Taman Negara dan
serba sedikit mengenai ahli keluarga.
Lydia ketawa tatkala Imran membuat lawak.
“Dah ada boyfriend?” Imran memancing
perhatian gadis di depannya.
Lydia hanya diam sambil menumpukan perhatian
terhadap latihan regangan di Tasik Harapan.
“Kalau dah ada… eloklah saya tarik diri
awal-awal. Saya tak nak dikatakan cuba memikat kekasih orang pula,” jawab Imran
separuh merajuk.
Lydia berhenti membuat regangan lalu mengalihkan
perhatian kepada Imran, mencari riak-riak kejujuran di wajah lelaki itu.
“Kenapa awak tanya?”
“Sekadar bertanya sebelum melangkah lebih jauh,”
balas Imran dengan maksud yang cukup tersirat. Mengharapkan gadis di hadapannya
memahami keluh resah di jiwa.
“Saya tak ada boyfriendlagi.”
Wajah Imran kembali bercahaya. Dia terasa berada
di awang-awangan.
“Dan saya tak berhajat untuk ada boyfriend
pun.”
Kata-kata akhir Lydia mengembalikan Imran ke
alam nyata, dia masih pelik dengan penjelasan gadis itu. “Tapi kenapa?”
“Saya nak tumpukan sepenuh perhatian kepada
pelajaran. Saya nak bekerja dan membantu keluarga,” jelas Lydia tanpa menoleh
ke arah Imran. Tidak sanggup rasanya untuk menipu dengan alasan yang sengaja
diada-adakan. Namun, inilah alasan terbaik mampu diberikan.
“Saya tak percaya!” tukas Imran.
“Awak meragui kejujuran saya?” Lydia memandang
Imran dengan tajam.
“Bukan begitu. Saya rasa awak ada sebab yang
lebih kuat untuk tidak ada boyfriend. Bukan kerana keluarga… tetapi
kerana ini, kan?” jelas Imran lalu menayangkan sehelai kertas yang bertulis
tangan. Terbentang di hadapannya helaian lirik lagu dikir barat yang tidak jadi
dipersembahkan ketika perkhemahan dahulu.
Lydia tergamam. Patutlah dia tidak berjumpa
kertas tersebut. Rupa-rupanya ia telah dijumpai Imran. Kelu lidahnya untuk
mencipta sebarang alasan.
“Kenapa awak benci lelaki?” tanya Imran lagi.
“Betul awak nak tahu?”
Imran mengangguk.
Lydia meraup wajahnya. Imran bukan lelaki yang
mudah putus asa. Makin dia melarikan diri, makin kuat Imran mengejarnya. Memang
terasa berat untuk bercerita kisah silam, tetapi dia harus berterus terang agar
Imran berhenti menganggunya. “Kerana lelaki pernah mengecewakan saya.
Menghancurkan hidup hingga seketika saya rasa tak berdaya untuk berfikir waras
lagi. Saya tak mahu dikecewakan lagi.”
Imran diam. Mukanya seperti orang bersalah.
“Maafkan saya, Lydia. Maafkan saya. Saya tak
bermaksud untuk mengungkit kembali cerita silam Lydia. Maafkan saya.” Berulang
kali perkataan maaf disebut Imran.
Lama mereka membisu melayan perasaan.
“Maaf, saya nak balik berehat.” Lydia meneruskan
perjalanannya tanpa memberi peluang Imran untuk berkata-kata. Sambil berlari
dia menyapu air matanya yang membasahi pipi. Dia tidak peduli mata-mata yang
memandangnya. Imran sudah jauh ditinggalkan.
Hatinya luka, pedih dan perit. Kenangan pahit
itu berulang lagi seperti tayangan filem dalam memorinya. Kesakitan diterajang,
kepedihan dan kedukaan emosinya hanya dia yang menanggungnya. Ia bukan sekadar
kesakitan fizikal, tetapi jiwa dan raganya lebih parah lagi. Tekanan jiwa yang
orang tidak dapat membacanya menerusi pandangan mata kasar.
Dia begitu bencikan lelaki yang pernah
menyakitinya, tetapi bagaimana dengan Imran? Apakah berbaloi menolak seorang
lelaki yang baik hanya kerana peristiwa silam? Lydia membiarkan persoalan itu.
Dia sudah tidak upaya untuk berfikir lagi.