KETIKA Anna mendaki jalan ke
Kampus Kumpula pagi itu, terlihat kuntuman crocus ungu muncul di celah-celah
salji yang mula mencair. Kembang crocus menandakan musim bunga sudah tiba dan
musim salji sedang mengucapkan selamat tinggal. Helsinki yang diselimuti salji
lebih empat bulan yang lalu akan kembali ceria dengan warna-warni bunga yang
berkembangan.
Hatinya juga bak kembang crocus,
mekar dan segar. Berita yang diterima seawal pagi daripada Mikael itu benar-benar
membuatkan dia tersenyum bahagia. Hujung minggu nanti Mikael akan mengadakan
persembahan sempena pelancaran album solo pertamanya. Dan yang paling menggembirakan,
dia dijemput meraikan majlis itu sebagai tetamu istimewa!
Bertahun dia dan Mikael menunggu
saat-saat bahagia itu. Bertahun mereka berusaha gigih untuk merealisasikan
impian bersama itu. Persembahan bersempena pelancaran album solonya itu adalah kemuncak
segala kegembiraan dan merupakan hadiah istimewa untuk susah payah mereka
selama ini.
Ya, kejayaan Mikael adalah
kejayannya juga! Dia tidak pernah berputus asa bagi memastikan Mikael dapat
menghasilkan sebuah album solo kerana itulah cita-cita Mikael selama ini. Dan
dia sangat berbangga kerana hasil usaha mereka selama beberapa tahun itu tidak
berakhir dengan kekecewaan.
“Moi! Huomenta...” ucapnya ceria.
Tuija dan Jenni yang sudah
menunggu di bilik rehat mahasiswa itu berpaling sambil membalas ucapan selamat
pagi itu. Mereka sedang membuat ulang kaji sementara menunggu kuliah pertama
pada pagi itu yang akan bermula setengah jam lagi.
“Hai,
Anna! Berseri-seri hari ni. Macam ada sesuatu yang menggembirakan. Tentu ada yang
kau nak kongsi dengan kami, kan?” sapa Tuija yang sedang menulis sesuatu pada
buku notanya.
Tanpa menjawab pertanyaan Tuija, Anna
melabuhkan pungung di sisi sahabatnya itu. Jenni yang sedang menyiapkan tugasan
tutorial tidak jauh dari situ mengangkat kepala, turut tertarik dengan
kehadiran Anna yang kelihatan sudah tidak sabar-sabar hendak berkongsi cerita.
“Cuba tengok ni. Kau orang tentu
gembira!” Anna menghulurkan telefonnya kepada Tuija. Mesej Mikael tertera di
skrin.
Jenni yang mendengar kata-kata
Anna, terus bangun dan segera menghampiri mereka. Mana boleh dia ketinggalan
dengan cerita-cerita sensasi begitu. Apa saja cerita, baik suka mahupun duka
pastinya mereka akan kongsikan bersama. Mereka bersahabat sejak di bangku
sekolah lagi. Jadi, hubungan mereka tidak ubah seperti adik-beradik.
“Wow, pelancaran album Mikael! Dan
kita jadi tetamu istimewa! Oh, seronoknya!” jerit Tuija sambil bertepuk tangan
selepas membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh Mikael kepada Anna. Dia yang
berketurunan Rusia begitu fasih berbahasa Finland kerana sejak dilahirkan sudah
menetap dan menjadi warganegara Finland.
Mujurlah hanya mereka bertiga
sahaja yang berada dalam bilik itu. Kalau tidak, pasti mereka telah mengganggu
pelajar lain.
“Eh, macam tak percayalah!” ujar
Jenni.
“Ismo dan Federik pun dijemput.
Aku dah tak sabar nak pergi. Kita mesti cari baju yang sesuai untuk malam
istimewa tu!” sambung Jenni yang sangat meminati fesyen dan amat mengambil
berat tentang penampilan diri. Rambutnya yang perang dan panjang sampai ke
pinggang itu sering saja bertukar fesyen. Dia bercita-cita untuk terkenal
sebagai model antarabangsa suatu hari nanti. Kerana minatnya itu, Jenni sering
menjadi penasihat kepada teman-temannya itu dalam berpakaian dan penjagaan
kecantikan.
Suatu ketika dahulu, rambutnya
dikerintingkan dan pernah juga diwarnakan merah. Pendek kata, macam-macam
fesyen dan warna rambut yang pernah dibuat dan dicuba. Belum lagi cerita
tentang pakaian, beg tangan dan kasut. Jenni adalah juara fesyen antara mereka
bertiga. Pantang ada fesyen terbaharu, pasti dia akan mendapatkannya. Di
rumahnya, ada empat buah almari penuh dengan segala macam pakaian dan aksesori,
manakala sebuah almari besar dikhaskan untuk kasutnya sahaja!
Ketiga-tiga gadis Finland yang
berambut perang itu mula memasang angan-angan. Anna sedang membayangkan
saat-saat Mikael menyanyi sambil melirik mesra padanya. Dia terbuai-buai dengan
anganan sendiri. Tuija pula membayangkan saat manis bersama Ismo di pulau
tinggalan sejarah itu. Manakala Jenni pula sedang memikirkan baju dan kasut
yang akan dikenakan pada malam istimewa itu agar tampil menawan dan bergaya.
“Aku pun dah tak sabar nak tunggu
malam minggu nanti. Aku rasa malam tu sangat istimewa dan akan jadi kenangan
sepanjang hidup aku. Walaupun majlis tu majlis Mikael dan kejayaan itu adalah
kejayaannya, tapi aku anggap majlis tu sebagai meraikan impian kami berdua.
Sekurang-kurangnya aku ada menyumbang sesuatu untuk kejayaan Mikael,” kata Anna
yang tidak lekang dengan senyuman.