“HUD! Hud!”
Hud pantas menoleh sebaik
saja mendengar panggilan itu. Kedengarannya seperti ada kecemasan saja. Di
belakang, Wahida sedang berlari-lari anak mendapatkannya. Tentu ada sesuatu
yang penting hendak disampaikan gadis berkulit hitam manis itu, jika tidak
Wahida tidak akan terburu-buru begitu.
“Kau dapat tak mesej aku?
Kenapa tak balas?” Wahida terus mengasak.
Sejak malam tadi dia
menunggu Hud membalas mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp, namun tiada balasan. Malah tidak dibacakan pun!
Hud berkerut kening. “Mesej apa?”
Terus saja dia menyeluk
saku seluar lalu mengeluarkan telefonnya. Terdapat tiga mesej WhatsApp daripada Wahida
yang belum dibaca. Sejak kebelakangan ini dia sudah malas hendak membaca
mesej-mesej di aplikasi itu.
“Huh, kau ni memang! Telefon dah ada kat tangan pun bukan
main susah nak baca mesej orang. Nak balas memang jangan haraplah!” marah
Wahida. Geram benar dengan sikap Hud yang jarang sangat hendak memberi respon
di WhatsApp.
“Lain kali kalau ada hal penting, telefonlah! Aku
bukannya nak check benda alah ni 24
jam. Tak macam kau, dua saat sekali belek telefon!”
Wahida mencebik. Memang
dia tahu, Hud bukannya jenis yang ‘melekat’ dengan telefon. Kalau nak beritahu
apa-apa, telefon. Tapi takkanlah malam-malam buta dia nak telefon Hud, nanti
apa pulak kata lelaki itu? Dia pun tahu Hud bukan seperti kebanyakan lelaki
lain yang bebas bergaul dan berbuat apa saja. Walaupun Hud sangat rapat
dengannya, boleh bergurau dan bergaduh, namun ada beberapa perkara yang
terbatas antara mereka.
“Hah, ada apa kau nak
jumpa aku pagi-pagi ni?” soal Hud setelah membaca mesej yang dihantar Wahida
malam tadi.
“Ada sesuatu aku nak cerita, tapi bukan kat sini. Mungkin
elok kalau kita cerita kat bilik rehat kau. Taufiq ada tak?”
“Boleh juga. Hari ni Taufiq datang lambat, mungkin petang
baru dia ada. Malam tadi pukul dia balik lambat, itu yang lewat sikit hari ni.”
“Kalau begitu, kita ke
sana sekarang.” Wahida pula yang mengarah, seolah-olah bilik itu dia yang
punya.
Tanpa berkata sepatah pun
Hud terus melangkah ke bilik yang terletak di hadapan makmal tempat dia
menjalankan penyelidikannya itu. Wahida di belakang terus saja mengekori. Bilik
itu disediakan untuk pelajar-pelajar pasca siswazah dan dia berkongsi bilik dengan
Taufiq, pelajar dari Indonesia.
“Masuklah, Wahida,” pelawa
Hud sebaik saja pintu dibuka dan lampu dinyalakan. Dia meletakkan beg
sandangnya di kerusi.
“Tak apalah, aku kat sini
aje pun dah okey.” Wahida sekadar berdiri di muka pintu. Segan pula hendak
masuk, maklumlah hanya mereka berdua sahaja. Meskipun berada jauh di
perantauan, adab-adab pergaulan masih tetap dijaga.
“Apa ceritanya?” soal
Hud.
“Maaf, bilik berselerak
sikit. Orang bujang,” sambungnya.
“Bukan orang bujang, tapi
orang buat PhD,” sela Wahida sambil memerhati Hud yang sibuk menyusun
kertas-kertas yang berselerak di atas meja. Lelaki itu seperti tidak berminat
dengan apa yang ingin disampaikan.
‘Mungkin dia dah tau?’ desis
hati Wahida.
“Kau dah dapat ni?” tanya Wahida sambil menghulurkan
sekeping sampul berwarna keemasan kepada Hud.
Hud menoleh. Sampul itu
menarik perhatiannya. Dia tahu, di dalam sampul itu pastinya kad undangan
perkahwinan.
“Kau nak kahwin?” soal
Hud sambil tersenyum.
Baguslah kalau Wahida
sudah bertemu jodoh. Usia mereka pun sedang-sedang elok untuk berumah tangga.
Mungkin majlis itu akan diadakan pada cuti musim panas nanti, fikirnya.
Pertanyaan Hud itu
meyakinkan Wahida bahawa Hud tidak terima kad itu. Ketika dia menghulurkan
sampul itu dadanya berdebar-debar. Dia tidak dapat bayangkan reaksi lelaki itu
selepas mengetahui siapakah empunya undangan perkahwinan itu.
“Kau tengoklah sendiri.”
Hud membuka sampul warna
keemasan itu lalu menarik kad di dalamnya. Lama dia menatap nama yang tercatat
dengan tulisan warna keemasan pada penjuru kiri atas dan penjuru kanan kad itu.
Jantungnya bagai tidak mahu teruskan denyutannya.
Dahinya berkerut, seperti
tidak percaya dengan apa yang dilihat. Terkejut.