Home Novel Cinta Salju Cinta Anna
Salju Cinta Anna
Aida Adriani
12/6/2015 21:33:44
18,023
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

HUJAN yang turun mencurah-curah sejak tengah hari baru saja berhenti. Market Square atau lebih dikenali sebagai Kauppatori oleh penduduk tempatan yang tadinya lengang sudah pun dipenuhi oleh pengunjung. Gerai-gerai menjual buah-buahan kelihatan tersusun cantik dengan buah-buah beri pelbagai warna. Penjaja-penjaja pakaian, cenderahati, barangan kraftangan daripada bulu dan kulit binatang kelihatan sibuk melayan pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada pelancong asing.

Di jeti, beberapa buah bot dan feri sedang berlabuh. Tidak jauh dari jeti, seorang wanita tua sedang menyusun ikan-ikan untuk dijual di atas botnya. Dahulu, dia adalah pelanggan tetap penjual ikan itu. Setiap kali dia datang membeli ikan, wanita separuh usia itu akan menawarkan kepala ikan salmon kepadanya. Seronoknya TUHAN saja yang tahu kerana kepala ikan salmon itu diberi percuma saja!

Pandangan Hud beralih ke tengah Kauppatori. Tersergam monumen patung helang berkepala dua di atas glob. Patung tembaga yang dinamakan Czarina’s Stone adalah monumen tertua yang dibina pada tahun 1835 untuk memperingati lawatan Czar Nikolas I dan Czarina Alexandra, pemerintah Rusia ke Finland. Berhampiran dengannya adalah istana presiden.

Dahulu, dia tidak percaya yang bangunan bercat putih berhadapan monumen itu adalah istana presiden kerana bangunannya hampir serupa dengan bentuk bangunan lain. Yalah, ianya tidak seperti sebuah kediaman seorang ketua negara kerana struktur luar bangunan jauh daripada kesan mewah, tidak pula kelihatan polis atau tentera yang mengawasi bangunan tersebut. Ia hanyalah sebuah bangunan biasa yang tiada beza dengan bangunan-bangunan lain di sekitarnya.

Melihat patung wanita di tengah kolam air pancuran yang terletak tidak jauh dari Kauppatori, teringat perayaan Vappu atau Hari Pelajar yang disambut pada 1 Mei setiap tahun di sini. Pada hari tersebut, pelajar dan bekas pelajar universiti melakukan ritual dengan memandi dan memakaikan topi putih kepada patung wanita yang bernama Havis Amanda itu.

Hud tersenyum sendiri. Manis kenangan pada hari sambutan Vappu empat tahun lalu masih terasa. Berkelibat bayangan wajah yang diseri rona merah jambu pada wajah si gadis penjual bunga itu. Ya, si penjual bunga ros yang manis itu!

“Aku masih menunggu…’ bisiknya. Kalau boleh mahu saja melaungkan kata-kata itu sekuatnya, biar seluruh bumi Suomi ini dengar. Biar pokok, angin, awan dan burung sampaikan bisikannya kepada si dia.

Sudah lebih setahun dia berada di sini, tapi orang yang di nantikan masih belum ditemui. Entah ke mana dia menghilang, menyepi sekian lama tanpa berita, tanpa khabar dan tanpa ucap selamat tinggal. Dia cuba menghubungi nombor telefon yang disimpan sejak lama dahulu, malangnya nombor itu sudah pun ditamatkan perkhidmatan. Sudah berpuluh e-mel dihantar, tapi satu pun tidak berbalas.

“Ke mana kau menghilang?” bisiknya lagi.

“Aku tunggu kau datang, Hud!”

“Aku janji, aku akan datang. Insya-ALLAH.”

“Kalau kau tak datang?” dia seperti tidak yakin dengan janji yang diberi.

“Kau tak percaya?”

“Aku takut.”

“Apa yang kau takut?”

Dia diam, dan membiarkan saja pertanyaan itu dibawa angin petang.

“Hud!”

Suara melaungkan namanya itu memutuskan lamunan Hud Aidit. Pantas dia menoleh ke kiri, seorang gadis berkot putih dengan rambut panjang separas pinggang sedang berlari-lari anak ke arahnya. Terhenti bicara rindu, terbang segala memori indah. Wajah yang tadinya memenuhi segenap ruang ingatan terus lenyap berganti dengan wajah si gadis berkulit sawo matang dan berlesung pipit di kedua-dua belah pipinya.

Gadis manis tinggi lampai itu terus duduk di sebelah tanpa dipelawa. Segelas coklat panas dihulurkan kepadanya.Hud terus mencapai gelas kertas bertutup itu sambil mengucapkan terima kasih.

“Maaf, lama menunggu. Banyak yang cantik, rambang mata nak pilih,” ucapnya sambil membetulkan rambut yang diselak angin.

“Kalau tak rambang mata bukan Natasya namanya,” gurau Hud tanpa berlapik. Dia sudah faham sangat dengan kegilaan Natasya apabila membeli-belah, kalau tidak berjam-jam lamanya, tidak sah!

“Itu trademark aku, kan? Alah, Hud Aidit kan sabar orangnya. Dia akan tetap sabar walau seharian menunggu,” balas Natasya sambil tertawa manja.

“Sabarlah sangat!” balas Hud bersahaja. Dia sudah tahu, Natasya pasti ada jawapannya. Yalah, gadis Pegawai Diplomatik itu sentiasa ada hujah untuk membela diri.

“Lama-lama memilih, dapat ke jaket yang kau nak beli untuk abang kau tu?” soal Hud setelah meneguk coklat panas.

“Mestilah dapat. Nak tengok?” balas Natasya sambil mengeluarkan jaket bewarna coklat bergaya mewah daripada beg kertas.

“Cantik tak?” soal Natasya sambil mengacukan jaket tersebut ke tubuhnya.

Hud sekadar mengangguk. Tentulah cantik, jaket kulit asli buatan tangan pastilah berbeza dengan jaket biasa yang dihasilkan di kilang. Harganya pun pastilah berganda mahalnya. Ah, cita rasa Natasya, tidak ada yang tidak mahal! Apa saja yang dibeli mesti berjenama dan berkualiti tinggi. Maklumlah, anak bekas duta besar, celik saja mata semuanya dikelilingi dengan barangan berjenama.

“Jarang-jarang boleh dapat ni. Jaket daripada kulit cerpelai ni bukan senang nak beli kat tempat lain. Dia kata, tak kisah berapa harganya.”

“Oh, kulit mink mestilah mahal! Bukan setakat mahal, tapi mahal giler!” komen Hud.

“Kau tahu berapa harganya?” tanya Natasya lagi sambil melipat jaket tersebut lalu dimasukkan ke dalam beg kertas semula.

Hud mengangkat bahu. Dia langsung tidak ada idea tentang harga jaket cerpelai walaupun dia pernah tinggal di situ selama tiga tahun. Tiga tahun dia berada di Helsinki, belum pernah sekalipun dia bertanyakan harga jaket kulit cerpelai itu, kerana dia tahu dia tidak akan mampu hendak membelinya waima sekadar poket jaket itu sahaja. Usahkan hendak membelinya, hendak menyimpan impian untuk memilikinya pun dia tidak berani!

“500 euro.”

Membuntang mata Hud mendengarnya lalu terus mencongak, menukarkan kepada ringgit Malaysia. “Wow, lebih 2000 ringgit!”

“Hmm...Murah aje ni Hud. Bukan senang nak dapat yang berkualiti dan original macam ni.. Kalau beli online lagi mahal. Nanti bila dah dekat nak balik, aku nak beli untuk mama pulak. Warna putih cantik jugak, ada bulu cerpelai kat leher. Mama tentu suka. Aku dah tengok tadi, harganya lebih kurang jugak. Mungkin dapat murah lagi kalau pandai tawar harga. Nanti kita datang lagi tau!” Natasya berkata ceria.

“Hmm... jadi penunggu lagi?” Hud pura-pura mengeluh.

Sebenarnya dia tidak kisah pun hendak menunggu berapa lama di situ, kerana duduk berlama-lama di dataran Kauppatori itu membuatkan dia semakin terasa dekat dengan orang yang dirindui. Dan dia berharap satu keajaiban, tiba-tiba gadis itu muncul di situ!

“Boleh, kan?” Natasya melirik manja. Rambut yang menutupi mata diselitkan ke telinga.

Hud mengangguk. Dia bukan tidak pandai membantah, tetapi dia bersedia untuk menemani gadis itu ke mana saja kerana setiap langkahnya di kota Helsinki itu persis menyelak lembaran kenangan yang pernah dilalui di situ.

“Hud, kau okey ke?” tanya Natasya sambil berkerut kening. Hairan melihat Hud yang tidak seceria biasa. Fikirannya seperti sedang jauh melayang. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran pemuda itu dan dia amat cemburu.

“Kenapa pula? Aku okey je.”

“Sejak tadi aku rasa fikiran kau bukan ada di sini. Kau bosan ke teman aku shopping ni?” rengek Natasya sambil memaut lengan Hud. Dia cuba mengalih perhatian lelaki itu daripada terus larut dalam kenangan lama.

Hud menarik lengannya. Dia tidak suka diperlakukan begitu. Rimas sangat bila Natasya mula menunjukkan lagak manjanya dengan meliuk-lentokkan badannya. Tubuhnya yang tinggi lampai itu tidak ubah seperti pokok kelapa ditiup angin sewaktu musim tengkujuh di pinggir Pantai Balok!

“Maaf,aku lupa.Aku tak sengaja, Tapi aku tak suka kau macam ni. Kalau kau tak selesa temankan aku, lain kali aku datang sendiri. Maaf, okey?”

“Eh, tak ada apa-apalah, Tasya. Aku cuma terkenang-kenang zaman aku belajar kat sini. Kauppatori ni tempat aku melepaskan lelah. Kadang-kadang aku dan Taufiq datang untuk beli ikan murah.”

Sesungguhnya hatinya sedang libang-libu diserang rindu yang menggebu. Fikirannya bukan lagi di situ tetapi sudah jauh berada di suatu waktu yang telah lama berlalu. Jiwanya sudah hanyut dibawa arus masa, kembali ke suatu detik yang sangat indah untuk dikenang. Dia hanyut dan mabuk dengan bayangan kisah lalu.

“Aku tahu apa yang ada dalam fikiran kau sekarang ni, Hud. Kau fikir tentang dia, kan?”

Hud tidak ingin menjawab pertanyaan itu. Benarlah, kedatangannya ke Helsinki kerana ingin menemui seseorang. Dia yakin, dia akan temui gadis itu. Dia dapat rasakan, gadis itu sedang menantinya dan akan datang kepadanya. Ya, dengan izin ALLAH.

“Aku tahu, kau sengaja mintak kerja ni kerana nak cari peluang dekat dengan dia. Aku tahu, kau sengaja pilih Helsinki untuk projek kau kali ni kerana kau nak cari dia.”

Hud diam terus. Sekilas pandangannya beralih ke arah Natasya di sebelah. Dia tidak nafikan dakwaan Natasya itu. Memang benar, dia memohon kerja dengan badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam membanteras penyalahgunaan senjata kimia itu kerana dia ingin mencari ‘hatinya yang hilang’ di sini. Setahun dia di sini, bayang si dia pun langsung tidak kelihatan. Ke mana perginya gadis itu?

“Kau tak jemu-jemu menanti dia walau dah lama berlalu, kan?” soal Natasya bernada cemburu. Ya, dia cemburu dengan kesetiaan Hud yang tidak pernah berbelah bagi itu.

“Aku tak pasti aku dah jemu atau belum. Yang pasti, aku hanya ingin bertemu dia.Aku dah janji dengannya. Aku tak mahu dianggap pembohong dan mungkir janji.”

“Dah hampir dua tahun, Hud. Entah-entah dia dah berpunya.”

“Kalaupun dia sudah memilih yang lain, aku takkan pernah kesal. Aku tahu, janjiku tetap takkan berubah.”

“Kenapa tak cari yang lain?” soal Natasya, meluahkan rasa ingin tahunya yang sekian lama terpendam.

Hud sekadar tersenyum, membiarkan saja pertanyaan Natasya dibawa angin Laut Baltik. Dilemparkan pandangannya jauh ke tengah laut nan biru. Seraut wajah yang tidak pernah luput daripada ingatan kembali mengocak perasaan. Wajah yang pernah datang kepadanya membawa segunung harapan dengan hati dan perasaan menjadi taruhan. Dia tidak pernah lupa dan tidak akan lupa selagi tidak mendengar jawapan daripadanya.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aida Adriani