“Apakah cita-cita awak sebenarnya?”
Aku
berhenti melukis sebaik sahaja mendengar Michelle mengutarakan soalan. Mataku
memandang tepat ke arah wajah putih mulusnya dan merenung mata gadis berbangsa
Cina ini, meminta penjelasan. Sebenarnya, aku tidak mendengar dengan jelas
soalannya tadi kerana terlalu asyik melukis potret ibuku, atau lebih tepat lagi
wajah ibu tiriku. Michelle melepaskan keluhan ringan sambil melurut rambut
lurusnya dengan jari.
“Saya
tanya tadi, apakah cita-cita awak sebenarnya?” Michelle mengulangi soalannya
buat kali kedua.
“Kenapa
awak tanya?” soalku pula, sengaja tidak menjawab soalannya.
“Yalah..,”
Michelle membetulkan tempat duduknya sebelum menyambung bicaranya. “Saya tengok
awak suka melukis dan saya yakin awak berbakat ke arah itu, tetapi kenapa awak
bersekolah di Sekolah Vokasional dalam Kemahiran Automotif? Bukankah kemahiran
itu sangat bertentangan dengan bakat awak? Sepatutnya awak sambung belajar
dalam aliran sains atau sastera di sekolah menengah awak sahaja. Bukan sambung
belajar di sini, Auni. Awak sudah tersasar jauh.”
Aku
terdiam seribu bahasa. Secara tidak langsung perasaan sayu menggamit jiwa
sehingga nyaris air mataku jatuh ke pipi. Aku harus kuat di hadapan Michelle. Kalau
boleh, aku tidak mahu dia tahu bagaimana aku boleh tercampak ke sekolah yang
tidak ku jiwai akan pembelajarannya ini.
“Auni?”
Michelle bersuara lagi setelah merasakan aku berdiam agak lama. Aku melemparkan
pandanganku ke wajahnya semula dengan pandangan yang kosong. Aku menghempas
pensel 2B dan 6B ke meja sehingga menghasilkan bunyi detakan. Entah mengapa aku
tidak ada hati hendak menyambung lukisan, barangkali perasaan hendak melukis
sudah terbang melayang. Michelle yang tadinya bersuara terus membisu sebaik
sahaja melihat aku yang semakin membungkam.
“Maafkan
saya jika soalan saya telah buat awak sedih,” ujarnya dengan nada kecewa. “Tapi
kalau ada masalah, awak boleh berkongsi dengan saya. Saya akan tolong awak
sedaya upaya,” sambungnya sambil melemparkan senyuman yang manis sehingga
menerbitkan lesung pipit di pipi kirinya.
“Betul
awak mahu tolong?” soalku, menguatkan kepercayaan. Michelle masih tersenyum dan
mengangguk memberi respons.
“Boleh
awak keluarkan saya dari sekolah vokasional ini? Jiwa saya bukan di sini,
tetapi di aliran lain. Saya terperangkap dalam sekolah ini. Boleh awak
keluarkan saya?” soalku dengan panjang lebar. Tanpa diduga, air mataku mulai
jatuh membasahi pipi. Kulihat Michelle menggelabah melihat keadaanku. Dia cuba
memujukku agar tidak menangis lagi, tetapi semakin dia memujuk semakin deras
pula ia mengalir.
“Tolong
saya, Michelle. Sakit menahan semua ini,” rayuku dalam esakan. Michelle tidak
mampu berkata apa-apa melainkan hanya menyeka air mataku dan memeluk erat
bahuku. Barangkali dia bagaikan tidak percaya bahawa diriku yang sentiasa ceria
dan bergurau senda di sekolah ini boleh mudah menangis dengan soalan ringkas
sebegitu.
Sejujurnya,
aku bukanlah berperwatakan ceria. Semuanya hanyalah lakonan semata-mata demi
menutup raut kesedihanku pada mata semua orang. Aku tidak mahu dilabel sebagai
lemah lagi. Cukuplah abah menghinaku sebagai seorang anak yang lemah.
“Dalam
banyak-banyak kerjaya yang bagus-bagus, pelukis juga yang kau pilih sebagai
cita-cita kau? Jangan salahkan aku kalau dah besar nanti kau jadi papa
kedana!”. Masih terngiang-ngiang telingaku mendengar suara tengkingan abah
sebaik sahaja abah melihat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) aku setahun
yang lalu. Waktu itu, kami sedang berbincang tentang pemilihan aliran mengengah
atas. Abah mula berang sebaik sahaja aku meluahkan impian untuk mengambil
subjek Pendidikan Seni Visual. Katanya, subjek itu tidak mendatangkan faedah.
Meskipun sudah banyak kali abah memberi amaran untuk tidak meneruskan
cita-citaku, tetapi aku masih tegar dengan impianku itu.
Masih
jelas kuingat saat abah merampas semua hasil karya catanku yang telah dibuat
dalam pelbagai jenis media. Arang, krayon, pensel warna, kapur dan pensel telah
kugunakan dalam setiap catanku. Kata cikgu, karya asliku lebih terarah kepada
aliran realisme dan impressionisme dan jika dijual barangkali nilainya lebih
daripada tiga angka. Namun, segala-galanya musnah sebaik sahaja abah membakar
semua karyaku. Aku hanya mampu memandang sepi kerakusan api menjilat kanvas dan
kertas lukisanku sehingga menjadi abu yang menghitam. Menangis air mata darah
sekalipun tidak akan dapat mengembalikan semua asetku itu. Aku hanya mampu
redha.
Oleh
sebab itulah aku sengaja membuat rayuan ke asrama penuh di sini setelah
mengetahui abah sengaja mendaftarkan aku ke sini. Abah terlalu fanatik akan
dunia automotif. Barangkali kerana itulah, dia menjadikan aku sebagai umpan
untuk memenuhi cita-citanya. Cita-cita aku bagaimana? Aku sengaja masuk asrama
kerana tidak sanggup hendak memandang wajah abah lagi. Bukan kerana terlalu
benci, tetapi aku tidak mahu perasaan benciku terhadap dia akan muncul sahaja.
Setakat ini, perasaan itu masih lagi belum terbit.
Dalam
asrama inilah aku bebas melukis. Melukis dan terus melukis tanpa henti.
Barangkali kerana gian melukislah, aku sering hilang fokus belajar automotif.
Pelajar automotif kerap menggunakan alatan spanar, minyak pelincir, skru dan
enjin sedangkan aku hanya boleh memegang pensel, kertas lukisan dan pemadam
sahaja. Tanganku tidak sesuai memegang peralatan-peralatan di sini.
Di
sekolah ini, hanya Michelle sahaja yang melihat semua lukisanku. Aku
mengajarnya serba sedikit mengenai satah warna, warna asas, warna sekunder dan
warna harmoni. Dalam diam, Michelle juga meminati seni lukis. Cuma dia sahaja
tidak serius ke arah itu. Setakat ini, aku sudah menghasilkan lebih dua puluh
karya dan aku berhasrat ingin menghantar lukisanku ke mana-mana pertandingan melukis.
Namun, sehingga sekarang belum ada pertandingan sedemikian disediakan.
“Awak
mahu tak pamerkan lukisan awak kepada abah awak?” Michelle secara tiba-tiba
bersuara. Terkedu aku tatkala dia menyebut perkataan ‘abah’. Sedangkan di rumah
abah terus membuang sahaja catan-catanku, apatah lagi mempamerkan
lukisan-lukisan tersebut di hadapannya. Memang menempah maut! Rasanya biarlah aku berkorban untuk tidak
mengejar cita-citaku. Biarlah aku teruskan belajar di sini meskipun setiap
keputusan ujian bulananku menunjukkan kegagalan.
Ya
ALLAH, adakah ini jalan terakhirku?
“Auni,
awak kena kuat”, Michelle mula mencuit semangatku sebaik sahaja aku menjadi
sugul.
“Saya
tak mampu”, ujarku, perlahan. “Saya tak tahu bagaimana hendak lari daripada
hasrat abah saya. Jika saya teruskan belajar di sini, kemungkinan hidup saya
yang akan hancur”. Aku mengeluh berat. Michelle mula menunjukkan ekspresi wajah
simpati. Kerutan dahinya jelas menggambarkan bahawa dia amat mengambil berat
akan masalahku.
“Takkan
awak tak mahu berjuang untuk meneruskan cita-cita awak?” soal Michelle sambil
menyentuh lembut bahuku. Sentuhan lembutnya membuatkan aku semakin deras
mengalirkan air mata. “Awak kena tegakkan hak awak, Auni. Jangan terus berdiam
diri begini”, Michelle memelukku lagi. Aku tidak mampu berkata apa-apa.
“Awak
mahu saya bantu, bukan?”
Aku
mengangguk.
“Kalau
mahu, ikut cadangan saya”, kata Michelle lalu membisikkan sesuatu kepadaku.
* * *
Terasa
asing pula apabila berada di kota metropolitan ini. Sepanjang aku bernafas di
dunia ini selama 15 tahun, tidak pernah sekalipun aku menjejakkan kaki ke ibu
negara Malaysia, iaitu Kuala Lumpur. Bersyukur ke hadratMu, Ya ALLAH.
Alhamdulillah, aku diberi peluang untuk menghirup suasana kota ini. Semua ini
tidak akan terjadi tanpa usaha Michelle.
Tidak
kusangka, abang Michelle merupakan pelukis potret terkemuka. Hanya menggunakan
teknik impasto dan ‘blending’, potret hasil tangan beliau seolah-olah kelihatan
hidup. Bertuahnya aku berada di sini menemui semua artis yang melukis setiap
aliran. Aku tersenyum di saat Michelle menghulurkan sehelai borang tertera teks
Kursus Seni Lukis Cawangan Balai Seni Negara yang diadakan selama tiga hari.
Dia telah menguruskan surat kebenaran sekolah buatku, termasuklah surat buat
abah.
“Ini
semua gila! Bilakah awak beri surat itu kepada abah saya? Apakah isi surat
tersebut” soalku dalam nada tengkingan. Di dalam mataku sudah terbayang-bayang
bagaimana keadaan api marah abah apabila dia selesai membaca surat tersebut.
Menggerunkan! Michelle sekadar ketawa dan meminta aku agar menunggu sahaja
perkara yang akan berlaku. Perkara? Apakah rancangan Michelle sebenarnya?
Ah,
pedulikan!
Apa yang
penting sekarang, aku berasa amat seronok ketika kursus ini berlangsung. Setiap
artis mengajar cara-cara mengawal berus dan teknik satah warna yang betul. Aku
begitu teruja tatkala mengetahui bahawa guruku ialah Latif Maulan, artis aliran
realisme di Malaysia. Setiap karya beliau memang hebat dan aku simpan gambar
lukisannya ke dalam komputer sebagai bahan rujukan. Latif Maulan merupakan
idolaku sejak aku di tingkatan 1 dan terasa bagaikan mimpi apabila idola
sendiri berada di depan mata.
“Apakah
tujuan awak berada di sini?” secara tiba-tiba Latif Maulan bertanya kepadaku.
Beliau ketika itu sedang memerhatikan cara aku mewarna menggunakan akrilik
Alpha.
“Saya
mahu kejar cita-cita saya”, jawabku, ringkas. Mataku menumpahkan pandangan
sepenuhnya ke arah kanvas tanpa sekilas memandang wajah beliau kerana aku ingin
fokus ketika mewarna. Ternyata aliran realisme memerlukan seratus peratus
perhatian.
“Apakah
cita-cita awak?” soalnya lagi.
“Pelukis”
“Niat
awak salah”, ujar Latif Maulan. Serta-merta aku menghentikan pewarnaan dengan
meletakkan berus ke tepi palet. Aku memandang wajah beliau dengan seribu satu
persoalan. Salahkah niatku itu?
“Melukis
bukan kerana hendak menegur cita-cita awak. Ubah niat awak tu, Auni”, tegur
Latif Maulan. Pada mulanya, aku membantah setiap tutur katanya kerana
seolah-olah menganggap cita-citaku itu seperti angin mendayu tanpa henti.
Namun, setelah mendengar penjelasannya, aku mula memahami.
“Jangan
sesekali menganggap melukis adalah jalan menuju cita-cita. Sebaliknya melukis
adalah kerana jalan Allah. Kita tidak mengejar populariti melalui hasil karya
kita, tetapi kita harus mengejar ilmu-Nya. Setiap kali selesai melukis, adakah
Auni akan rasa tidak puas kerana terdapat sedikit kecacatan pada karya?”
Aku
mengangguk. Memang tidak menafikan lagi.
“Sebenarnya,
semakin kita tidak rasa puas hati, selagi itulah kita akan terus memadam dan
membetulkan semula kecacatan karya itu. Kita terus-menerus membuat pembetulan
sehinggalah karya kita sempurna dan kita menjadi puas. Dari situlah kita
mengetahui bahawa melukis adalah belajar dan terus belajar. Seberapa banyak
hasil karya kita buat, semakin banyak yang kita pelajari. Itulah tujuan sebenar
melukis”.
Aku
tersenyum. Ternyata madah Latif Maulan menyedarkan aku mengenai seni lukis.
Beliau memberiku tugasan mencipta sebuah karya aliran realisme. Pada mulanya,
aku tidak tahu hendak melukis apa. Oleh kerana hati sayu merindukan ibu, aku
melukis potretnya buat kali kedua. Tanpa bantuan foto sebagai rujukan, aku
melukis wajah suci ibu melalui imaginasiku sendiri. Meskipun dia hanyalah ibu
tiriku, tetapi dia banyak memberiku semangat untuk aku meneruskan melukis karya
dalam diam. Sebaik sahaja selesai melukis, aku terasa seperti hendak menambah
objek lagi selain daripada wajah ibu.
Hari
terakhir kursus menjelma. Setiap peserta dikehendaki mempamerkan karya mereka
di tempat pameran dalam muzium lukisan Balai Seni Negara. Aku tidak terkecuali
dalam mempamerkan karya tersebut. Ramai pengunjung dari luar negara dan
pengunjung tempatan datang bagi mencuci mata melihat pameran kami. Lebih
mengujakan apabila Perdana Menteri datang merasmikan sendiri pameran seni kami
yang diberi nama sebagai Pameran Bakal Artis. Lukisan seorang daripada artis,
iaitu lukisan daripada Ustaz Meor Rahman telah dibeli oleh Perdana Menteri
dengan nilai sebanyak RM 4 500. Alhamdulillah, rezeki beliau hasil daripada anak
sulung.
Ketika
pameran dijalankan, aku terlihat sesusuk tubuh seperti Michelle di celah-celah
ribuan pengunjung. Dia melambai-lambai ke arahku. Senyumanku mati tatkala
melihat seseorang yang berada di belakangnya.
Abah!
Mahu
sahaja aku lari tetapi tanganku direntap oleh ibu tiriku. Ibu memelukku dan
kedengaran esakan tangisnya berkumandang. Mataku tidak lekang memandang abah
yang mula membuat ekspresi bengis. Sebaik sahaja abah melihatku, dia mula
mendekati kami berdua.
“Kau!!”.
Abah menengking di dalam ribuan orang di situ, namun suaranya tenggelam tetapi
aku masih lagi dapat mendengarnya. Aku menyembam mukaku ke dada ibu. Terlalu
takut melihat tangan abah sudah naik ke atas kepalaku seolah-olah gaya hendak
menumbuk tepat ke pipiku. Namun, tengkingannya mati sebaik sahaja guruku, Latif
Maulan datang dengan melemparkan senyuman.
“Lihat
dahulu karya anak encik”, ujarnya lalu menunjukkan karyaku kepada abah. Abah
terdiam melihat karyaku yang menunjukkan keceriaan wajah ibu dan abah dalam
busana pengantin dan aku duduk bersimpuh di antara kedua-duanya. Sesungguhnya,
aku sengaja melukis gambar kenangan ini kerana merindui wajah ceria ibu dan
abah. Sebaik sahaja abah melihat karyaku, dia terus terlopong tanpa bicara.
“Karya
mahsyur anak encik amat ringkas, tetapi dek kerana teknik warna dan kualitinya,
karya ini boleh mencecah hampir puluhan ribu ringgit. Encik boleh lihat sendiri
kesungguhan anak encik dalam bidang seni ini dan rasanya tersangat rugi jika
kebolehan anak encik ini tidak didedahkan kepada awam. Tersangat rugi. Encik
boleh nampak bakat dia melalui karya yang saya rasa adalah potret keluarga
encik sendiri, bukan? Potret yang menggambarkan suasana ceria?” terang Latif
Maulan lagi.
Dari
raut wajah abah, terbit segaris air mata yang keluar dari kelopak matanya dan
hilang sebaik sahaja jatuh mengalir ke pipi. Aku tertanya-tanya, mengapakah
abah menangis tatkala menatap karyaku ini sedangkan karya ini hampir sama
sahaja seperti karya-karyaku yang lain yang pernah abah hapuskan dahulu?