4,434
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Resah dibalut gelisah. Hati diburu ketakutan sekaligus perasaan itu menjalar ke seluruh tubuh. Aku terus berlari. Maut mengejar dengan amukan yang ganas. Memburu bagi menjemput aku pulang.

Aku perlu berjuang. Aku tidak mahu mati semudah itu. Semua kawan-kawan aku dah mati dan aku tak bersedia lagi untuk bergelar mayat. Untuk waktu ini.

Sunyi.

Tuli.

Tiada bunyian yang terhasil. Hanya derapan kaki aku yang kedengaran. Bergemeratap memijak dedaunan kering dan dedahan reput.

Aku hanya bertelanjang kaki. Kasut aku sudah tertanggal entah hilang di mana. Daging telapak kaki acap kali memamah duri dan kayu-kayuan tajam. Terhiris dan tergores. Tapak kaki aku luka lantas mengalirkan darah yang merah lagi pekat. Menyuntik rasa sakit yang menyiat sehingga ke benak. Menggigit-gigit sehingga merenggut kudrat untuk berlari.

Hanya semangat yang menunjang jasad untuk terus memacu larian. Hanya dengan satu tujuan. Menyelamatkan nyawa nan satu. Yang dipinjamkan oleh Tuhan hanya untuk sekali seumur hidup. Tiada galang ganti. Tiada pertukaran abadi.

Kelam.

Matahari telah lama memalingkan wajahnya, memberi peluang kepada bulan untuk memancarkan cahaya menerangi bumi. Namun bulan seakan-akan merajuk pada hari itu. Bersembunyi di mana-mana di sebalik awan. Enggan memunculkan diri. Enggan mengasihani sekujur nyawa aku yang tercungap-cungap melarikan diri dari ajal yang mengejar. Mungkin hanya mampu memerhati dari jauh tanpa mampu untuk membantu.

Bayang-bayang aku sendiri turut lenyap dalam kegelapan sebegitu. Tidak lagi mahu menjadi sahabat karib yang sentiasa menemaniku ke mana-mana.

Seolah-olah tidak mahu diburu dan dibunuh bersama dengan jasad aku. Seolah-olah dia ingin hidup bebas seribu tahun lagi daripada bertuankan aku.

Telinga aku masih menangkap bunyi dedaunan yang bergeser seolah-olah dirempuh kuat oleh sesuatu. Aku menghempaskan keluhan berat lagi keras.

Dia masih mengejar aku!

Mahu tidak mahu aku harus terus berlari. Membius segala kepenatan seolah-olah memiliki sejuta nafas. Pokok sebesar pemeluk dilewati satu persatu. Dalam kegelapan hutan yang hanya dibantu sinaran cahaya rembulan hanya pepohon besar sahaja yang mampu dilihat dengan jelas.

Beberapa kali juga aku tersadung akar yang menjalar di atas tanah. Setiap kali itu juga tubuh aku jatuh terhempas ke tanah. Dan setiap kali itulah aku menyeringai menahan kesakitan. Namun aku tetap gagahi diri untuk bangun semula dan meneruskan larian. Tanpa aku sedari kesakitan itu merenggut tenaga sedikit demi sedikit.

Aku akhirnya menyerah.

Akur dengan kudrat diri yang terbatas. Aku benar-benar kehabisan tenaga. Dada aku berombak kencang menghirup udara. Aku membongkok menunjangkan kedua-dua belah telapak tangan ke atas lutut. Bernafas termengah-mengah dengan wajah yang memerah. Sekujur tubuh dibasahi keringat. Meresap melalui liang benang pakaian sekaligus membasahkannya.

Aku melingaskan pandangan. Tidak terlihat bayang-bayang pemangsa yang mengejar. Jarak pandanganku benar-benar terhad. Tiada apa yang jelas di pandangan matanya. Maka tatkala itu hanya deria pendengaran sahaja menjadi talian hayat. Saat-saat begitu baru aku tersedar betapa bernilainya setiap deria yang ALLAH kurniakan kepada setiap manusia. Setiap ciptaanNya tiada yang sia-sia melainkan mempunyai kepentingan tersendiri.

Pendengaran cuba ditajamkan. Aku cuba mengamati setiap bunyi yang menerjah gegendang telinga. Suasana terasa begitu sepi. Hanya nafas aku yang keras menghirup udara masih kedengaran.

Aku berkira-kira sendiri. Kemungkinan besar makhluk itu tidak lagi mengejar diriku. Aku menghembuskan nafas perlahan namun bukannya satu hembusan kelegaan. Selagi aku berada di dalam hutan tersebut, maut sentiasa mengitari diriku. Maka aku harus mencari jalan keluar dari hutan tersebut selekas mungkin.

Tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi dedaunan yang bergemeratap seakan-akan dirempuh sesuatu. Pantas aku berkalih cemas. Anak mata aku membesar. Terlihat dedaunan meliuk lintuk. Yang aku pasti ianya bukan angin. Dia sudah dekat!

Aku tidak menunggu lama. Langkahan kaki pantas di atur. Baru beberapa tapak melangkah, tidak semena-mena kaki direntap sesuatu dan badan aku melambung ke atas.

“Sial!”

Aku menyumpah. Tubuh aku terawang-awang dalam keadaan songsang. Seutas dawai besi melingkar pergelangan kaki kanan sekaligus menjerut ia. Aku meraung kesakitan. Dawai itu mempunyai cerucuk yang tajam.

Daging kaki ditembusinya. Cerucuk besi itu mencengkam sehingga ke tulang. Darah memancut keluar setiap kali aku merentap-rentap cuba melepaskan diri. Sakit yang ditanggung bukan kepalang. Aku menjerit semahu-mahunya. Jeritan aku bergema sebelum lenyap ditelan rimba.

Satu susuk tubuh memakai jaket hitam berhud muncul di hadapan aku. Dia berdiri tegak memerhatikan aku yang tergantung terbuai-buai sambil meraung kesakitan. Hanya bibirnya sahaja yang terserlah. Bibirnya itu menguntum senyuman.

“Celaka! Lepaskan aku bodoh!”aku membentak sekeras-kerasnya.

Dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Hanya berdiri tegak dengan separuh wajah yang terselindung di sebalik hud. Bibirnya masih menguntum senyuman. Seolah-olah rasa gembira menggeletek hatinya melihat kesengsaraan dan kesakitan yang aku tanggung.

“Lepaskan aku! Lepaskan!”aku berteriak semahu-mahunya.

Dalam masa yang sama aku meronta hebat cuba melepaskan diri tetapi usaha itu gagal. Dawai yang bercerucuk tajam itu semakin ketat setiap kali aku meronta. Darah semakin lebat mengalir keluar. Sekejap-sekejap aku mengetap gigi lalu menyeringai menanggung kesakitan yang tidak terperi. Rasa tersayat sehingga ke otak.

Dia tertawa besar. Suaranya garau, bergema dan melantun di segenap ruang hutan.

“Kau pasti mahu melihat aku sebelum kematian menjemputmu?”suaranya menyoal kedengaran menyeramkan.

Kemudian dia tertawa lagi diiringi dengan gelak tawa sinis.

Aku menyimpan rasa sakit hati yang sarat. Namun dalam keadaan sebegitu aku tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Hanya mampu berserah kepada takdir sama ada mahu menghumban aku ke pintu kehidupan atau kematian. Dan kunci takdir itu dimiliki oleh susuk tubuh berhud yang berdiri di hadapan aku kini.

Dia menunduk. Selang beberapa saat dia mendongak semula sambil kedua-dua belah tangan memegang hud yang menutupi separuh wajahnya.

Lalu hud tersebut diselak ke belakang. Matanya merenung aku. Bibirnya masih menguntum senyuman sinis.

Saat wajahnya terserlah mata aku terbuntang luas dan mulut aku terlopong. Aku terperanjat besar. Kejutan yang langsung tidak diduga sama sekali.

“Kau??”

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.