Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
26,192
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

Wartawan berkumpul di pintu masuk sebuah bangunan menyerupai asrama sekolah dengan papan tanda 'Wirda Kejora' di luar. Kanak-kanak yang menghuni bangunan itu pula kehairanan melihat longgokan manusia di pintu pagar rumah anak-anak yatim itu. 


"Eh, kenapa tu?" Seorang budak lelaki yang duduk di bangku batu di tepi padang berhampiran pintu pagar bertanya, ingin tahu.


"Entah. Agaknya diorang nak buat liputan pasal kita tak?" Seorang lagi budak lelaki yang berdiri di sebelahnya menyuarakan fikirannya.


"Wah! Kalau macam tu, famous la kita!"


Seorang budak perempuan yang mendengar perbualan budak-budak lelaki itu hanya mendengus. Mereka tidak tahu apa-apa. Kalaulah mereka tahu siapa sebenarnya pengurus rumah anak-anak yatim itu...


Sebuah kereta mewah berwarna hitam memasuki perkarangan rumah anak-anak yatim itu. Para wartawan terus masuk ke dalam, tidak mempedulikan arahan pengawal keselamatan yang hanya bersendirian di pintu pagar utama rumah anak yatim itu.


Seorang lelaki keluar dari keretanya. Wartawan mula menyerbu ke arah lelaki itu, yang mula berjalan ke bangunan utama Wirda Kejora itu.


"Tuan, boleh tuan berikan komen..."


"Tuan, apa pendapat tuan berkenaan kematian Datuk Fareez pagi ini?"


"Tuan, saya mahu tanya..."


Lelaki itu berpusing, menghadap para wartawan yang membuntutinya secara berjemaah itu. 


"Buat masa ini, saya tiada komen. Biarlah pihak polis membuat siasatan. Saya sendiri pun belum jelas tentang apa yang sedang berlaku sebenarnya," kata lelaki itu dengan tenang, wajahnya terhias senyuman tawar. Dua lagi pengawal keselamatan muncul dari bangunan, menghalau wartawan-wartawan itu keluar dari perkarangan rumah anak-anak yatim itu.


Lelaki itu berjalan menghampiri budak-budak lelaki di bangku itu. 


"Abah Aza, kita nak masuk tv ke?" Budak lelaki di bangku itu bertanya teruja. Lelaki yang dipanggil 'Abah Aza' itu hanya tersenyum mendengar soalan itu.


"Taklah. Dia nak tanya Abah Aza benda," jawabnya tenang.


"Tanya apa?" 


"Adalah. Hal orang dewasa," katanya lagi dengan nada mesra. "Jom, kita pergi kantin. Abah Aza belanja."


"Yeay!" Dua orang budak itu menjerit teruja lalu mengikuti 'Abah Aza' ke kantin yang berada betul-betul di sebelah padang itu. Budak perempuan itu pula tidak berganjak, berpaling ke arah padang, buat pekak dengan ajakan itu. 


Seorang daripada budak lelaki itu kemudian berpusing ke belakang dan menghampiri budak perempuan itu.


"Ainul, jomlah. Abah Aza ajak awak sekali," katanya. Budak perempuan itu hanya menggeleng.


"Saya tak lapar," katanya perlahan.


"Yalah tu. Habis makanan nanti, tak tahu..." sindir budak lelaki itu lalu berlari ke arah kantin. Ainul hela nafas lemah. Sesekali dia memandang ke arah 'Abah Aza' dengan perasaan bercampur baur.


(...)


Lelaki itu masuk ke pejabat selepas melayan anak-anak yatim tadi. Lantas dia duduk di kerusi, membaca akhbar yang memaparkan berita yang menyebabkan para wartawan menunggunya di pintu pagar pagi tadi. Panggilan telefon masuk bertalu-talu. Kepalanya yang pening dipicit kuat.


"Tuan perlukan apa-apa?" Seorang wanita yang menjenguk ke dalam pejabat bertanya.


"Ya, Salina," kata lelaki itu kepada pembantunya. "Panggilkan Sid, Naufal dan Zack ke mari."


Salina keluar dari bilik. Seketika kemudian, tiga orang lelaki, seorang bertubuh besar dan tinggi bagaikan ahli gusti profesional, seorang bertubuh sederhana dan seorang lagi kurus kering bagaikan papan masuk.


"Ada di antara kamu bertiga tahu pasal ini?" Berita berkenaan kematian Datuk Fareez, salah seorang penaja rumah anak yatim Wirda Kejora yang diuruskannya itu ditunjukkan kepada mereka bertiga. Mereka segera menggeleng.


"Kami pun baru tahu tadi, Tuan Azazil," kata Zack, lelaki bertubuh kurus itu.


"Sekarang ni, aku minta kamu bertiga slow down sikit. Jangan sampai polis jumpa kaitan antara kita, Datuk Fareez dan 'Exotika'. Faham?"


Ketiga-tiga lelaki itu mengangguk. Tiba-tiba mata Sid bagaikan ternampak sesuatu. Ada satu lembaga melarikan diri di celahan pokok di tingkap besar di belakang Tuan Azazil. 


"Tuan, ada orang curi dengar!"


Tuan Azazil mengangguk. Mukanya masih tampak tenang. Bagaikan sudah tahu siapa gerangan manusia yang mencuri dengar itu. "Buatlah apa yang patut. Pergi sekarang."


Sid, Naufal dan Zack mengangguk sebelum keluar dari pejabat Tuan Azazil.


(...)


Ainul berlari ke arah surau, wajahnya cemas. Segala maklumat yang dia dapat dengan mencuri dengar perbincangan Tuan Azazil dengan tiga pekerja rumah anak yatim itu dihadam. Patutlah ramai wartawan tadi!


Tiba-tiba dia terlanggar seseorang. Masing-masing terus jatuh, Ainul menghempap kaki lelaki yang dilanggarnya itu.


"Ainul, kenapa lari-lari ni?" 


Ainul menjeling tajam ke arah wajah lelaki itu sebelum bangun dan sambung berlari. Lelaki yang dilanggar Ainul itu memandang Ainul yang semakin menjauh, terkebil-kebil.


"Nazmi, apahal kau duduk tengah-tengah jalan ni?"


Lelaki itu menoleh ke hadapannya. Naufal bercekak pinggang, memandangnya dengan wajah pelik. Dia terus bangun, kaki seluarnya dikibas untuk membuang kekotoran yang melekat.


"Kau nampak budak Ainul tu pergi mana?"


"Sana." Nazmi menunding ke arah Ainul lari tadi.


Naufal mengangguk sekali. "Aku rasa, dia dah tahu pasal Exotika."


Nazmi hanya membisu. Bagaikan mengetahui akan hal itu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.