Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
26,213
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

Suasana Bilik Taklimat, Studio Alam Bina, Kolej Sains dan Teknologi (KST) itu riuh petang itu. Masakan tidak, Alif, ketua pelajar Diploma Ukur Bahan Tahun 2, meminta semua pelajar satu batch berkumpul di situ. Tentunya untuk taklimat aktiviti lawatan tapak beramai-ramai bagi memenuhi keperluan subjek Teknologi Binaan 3, salah satu subjek 'wajib lulus' untuk semester itu. Pastinya ada pensyarah pengiring, dan dia adalah Encik Azri Hassan, pensyarah subjek tersebut.


Menariknya, untuk lawatan tapak kali ini, mereka akan pergi ke tapak pembinaan kondominium mewah, dilengkapi kolam renang dan pusat membeli-belah ekslusif. Projek pembinaan itu sangat ketat dari aspek kerahsiaan. Mahu ambil foto di luar tapak pembinaan pun dilarang keras. Entah bagaimana Alif dapat kebenaran untuk mereka masuk ke sana, tiada sesiapa pun yang tahu.


"Okey semua, aku dah hantar tentatif kepada En. Azri, dan dia pun dah bersetuju," kata Alif sambil mengedarkan kertas bersaiz A5 mengandungi tentatif lawatan tapak yang dirancang sejak dua bulan lepas. Beberapa orang meneliti tentatif yang diedarkan sambil melihat kalendar di telefon bimbit masing-masing.


"Kita gerak ke sana pada pagi Jumaat, dan balik semula ke KST pada petang Isnin. Ada apa-apa soalan?"


Tangan seseorang berkemeja belang putih hijau yang duduk di barisan belakang, di kerusi paling hampir dengan pintu keluar itu, diangkat tinggi.


"Ha, Andi. Kenapa?" Alif bertanya orang yang mengangkat tangannya itu. 


"Kamu kata tadi, kita gerak pagi Jumaat?"


"Ya. Ada apa-apa masalah?"


"Jumaat tu cuti umum. Site buka ke? Pada hujung minggu site tu memang tak dibuka untuk lawatan. Dah bazir masa di situ."


Alif mengangguk. "Ya, site tu tutup pada hujung minggu dan cuti umum. Sebab tu la kita balik Isnin. Hari itulah kita ke sana."


"Habis, tiga hari tiga malam sebelum tu, buat apa?" Seorang pelajar lelaki yang duduk di sebelah Andi bertanya dengan tiba-tiba. Alif kerut kening seketika.


"Kau dah dapat tentatif ke belum, Salleh?"


Serentak dengan itu, sehelai kertas dihulurkan kepada Salleh. Salleh mengambil dan terus membacanya, berkongsi kertas nan sehelai itu dengan Andi. Kepalanya kemudian terus diangkat, memandang Alif.


"Ini tentatif pergi site visit ke, pergi holiday?"


Alif hanya sengih.


(...)


Malam. Tiada bintang menghiasi langit. Awan tebal pula berarak menutupi bulan yang mengambang di langit. 


Lorong itu samar-samar cahayanya. Sesamar bulan yang dilindungi awan. Lampu lorong itu semuanya rosak. Berkelip-kelip cahayanya. Namun, kesamaran lorong itu tidak menjejaskan seseorang berjubah hitam berhud yang berdiri di tengah-tengah lorong itu. Mayat dengan kepala terputus bergelimpangan di sekelilingnya. Di tangan kanannya ada sesuatu yang panjang, tajam berkilat dan kini, dibasahi darah.


Sorot matanya yang tajam memandang ke arah seorang lelaki separuh abad yang terbaring lemah berhampirannya, berlumuran darah. Dia membuka langkah, menghampiri lelaki itu sambil tersenyum sinis. Namun, masakan lelaki itu nampak senyumannya yang ditutupi topeng itu. Hujung 'benda panjang' di tangan kanannya itu pula terseret di atas permukaan jalan tar, mengeluarkan bunyi yang agak menyeramkan dalam setiap langkahnya menghampiri lelaki itu.


Lelaki itu membuka matanya apabila merasakan ada sesuatu yang tajam sedang bermain-main di batang lehernya. Matanya kemudian membulat melihat lelaki berhud itu sedang bermain-main dengan 'benda panjang' di tangannya itu. Sesekali diacah-acah 'benda' itu di leher lelaki yang hilang upaya untuk melarikan diri itu.


'Benda' itu. Sebilah pedang samurai berwarna hitam bersepuh emas. Pedang yang berjaya membunuh setiap samseng dan pengawal peribadi yang diupahnya dalam masa tak sampai 10 minit. Depan matanya. Secara langsung. 


Dan kini, dia sendirian. Diselubungi ketakutan.


"Hehehe. Dah tak ada orang lagi nak lindungi Datuk sekarang," kata lelaki berhud itu. Pedang samurai di tangannya itu masih dimain-mainkan. Menambahkan lagi rasa seram dalam penampilannya.


"Apa... Apa yang kau nak, hah?" 


"Apa yang... Aku nak?" Kepala lelaki berhud itu terteleng sedikit.


"Kau nak duit? Aku akan bagi kau. Sepuluh ribu, seratus ribu. Sejuta. Cakap saja, asalkan kau lepaskan aku."


Lelaki berhud itu menegakkan kepalanya dan berhenti bermain dengan pedangnya, seolah-olah sedang menimbang cadangan Datuk tersebut. Datuk itu tersenyum kecil, dia dapat rasakan ada harapan untuk dia selamat.


"Masalahnya, Datuk..."


"Apa? Cakap saja."


"Aku mahu kau MATI!"


Serentak dengan itu juga, satu jeritan ngeri bergema di lorong samar itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.