Home Novel Kisah Hidup Sakit!
Sakit!
SueJya
22/5/2020 00:24:55
25,547
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 1

"I still rememberthe day I felt so down and hopeless when you aren't even there to ask whether I'm okay or no. Not even there to simply listen." – Efakitana

Sepasang mata Hadrian melilau ke segenap rumah agam milik Efakitana. Ada getar menghantar isyarat ke jari jemari yang sudah sedikit bergegar memegang cebisan kertas dengan tulisan berangkai yang tidak sekemas biasa.

"Hei Kit! Kau di mana?" Sepi, tiada jawapan. Hadrian mengulang ayat sama beberapa kali sambil berlegar-legar ke segenap penjuru rumah itu. "Kit!”

Masih sama, tidak bersahut. Lantas jejaka itu mendail nombor telefon Efakitana sambil kakinya lincah mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas. Hadrian semakin resah. Otak ligat berfikir di mana gadis itu mungkin berada. Nombor sama didail berulang. Mungkin untuk terakhir kalinya sebelum Hadrian meluaskan pencarian ke lokasi berpotensi sebagai pusat persembunyiaan Efakitana. Langkah terhenti di hadapan bilik Efakitana di mana deringan telefon kedengaran.

"Kit, sini rupanya kau!" Hadrian mengetuk pintu bilik beberapa kali namun tidak dibuka.

“Kit, ini saya Ad. Saya masuk okay?”

Masih tidak dijawab. Maka pintunya ditolak perlahan, tidak senang mengganggu sebenarnya tapi ketika itu Efakitana perlu segera ke lokasi penggambaran. Ketika pintu dibuka, asap menyusup keluar dari bekas aluminium berisi arang. Segera Hadrian melarikan sekujur tubuh Efakitana yang masih panas ke arah kereta. Pintu rumah dibiarkan terbuka luas, dalam fikirannya kala itu hanya ingin segera sampai di hospital.

"Kit! Apa kau buat ni?" Hadrian menyeka rambut depannya ke belakang. Panik dan tedesak, jejaka itu terus memandu tanpa menghiraukan lampu merah di hadapan. Ada nyawa perlu diselamatkan. Mujur jalanraya agak lenggang.

"Breaking: Pelakon popular Efakitana meninggal dunia! - Terbaru Efakitana yang popular menerusi drama The Other Side of Me disahkan meninggal dunia di Hospital Suminov Centro pada jam 3.05 petang tadi. Hal ini disahkan oleh pengurus dan agensinya sendiri. Walau bagaimanapun, punca kematian masih disiasat oleh pihak polis. Terdahulu, bintang yang bernaung dibawah agensi Once ini dikatakan sering memuatnaik gambarnya di akaun Instagram dengan caption sama selama seminggu  meminta para peminatnya untuk menyambung perkataan berikut: I still remember the day...".

Demikian tulisan pada ruang hiburan rata-rata akhbar petang itu. Gempar dengan kes bunuh diri dalam kalangan masyarakat yang sememangnya suatu isu membimbangkan tapi tidak mendapat perhatian. Hanya saja Efakitana seorang selebriti maka berita tersebut mendapat liputan media.


Jauh dari kesibukan media di perkarangan Hospital Suminov Centro, Brennon bergelut dengan diri sendiri di tingkat teratas bangunan plat usang sekitar 500 meter dari Universiti Nasional Wissen. "Hidup ini berat, saya tidak pernah mampu..." tulisnya pada buku nota di atas meja jauh ditingkat 3 bangunan 15 tingkat itu sebelum mendaki anak-anak tangga ke lokasinya kini dengan langkah berat disusuli fikiran juga hati yang berbelah bahagi.Tangan memegang erat penghadang besi seolah tidak mahu lepas. Sambil teresak berat jejaka 21 tahun itu melepaskan cengkaman pada besi tadi. Brennon duduk memeluk kedua kakinya. Tidak punya kekuatan untuk mengakhiri hidup sendiri. Lama dia menangis di ruang itu tanpa satu jiwa pun menyedari sehingga akhirnya air mata kering sendiri. Lelah berkunjung tapi nafas masih dihela panjang. Hati masih berdetak laju, ada aura pelik seakan berjalan-jalan dalam dada sama sekali tidak mengubat sakit mengunung dalam jiwa. Apa rasa itu? Kenapa ia begitu?Pelik! Dada terasa ditekan hebat, nafas berat, sukar dihela. Sakitnya membekas bukan?

"Ah, mana mungkin kau tahu. Kau tidak merasa apa yang saya rasakan saat ini. Kata kau tidak usah layan perasan, itulah kau malas berdoa, semua orang juga begitu esok okaylah kau itu. Tapi kenapa? Rasanya tidak kunjung hilang, masih di sini menyerang saya? Macam mahu mati rasanya ini. Sakit, berat, saya tidak mampu!" Gumam jejaka itu perlahan. Seolah meluah rasa pada diri sendiri. Harapnya besok kau hilang wahai bauran rasa dalam benak.

Keesokan paginya, akhbar cetak pula dipenuhi dengan tulisan tentang kejadian yang berlaku pada seorang Efakitana .Hadrian hanya mampu berdiam diri di depan keluarga yang sedang berduka. Entahlah. Sejujurnya dia hanya risau pada nasib diri. Artis di bawah jagaannya maut! Bagaimana dia akan menyara hidup nanti? Memang bukan salahnya. Tapi, kau tidak pernah tahu sekejam apa homo sapiens itu. Secebis kata mereka menusuk jauh dalam hati, membunuh perlahan dalam diam hingga akhir nanti kau sedar, kau sudah hilang diri sendiri.

 

"Ad, terima kasih sudah tolong auntie sekeluarga jaga Kit selama ini. Kamu baliklah nak, nanti auntie sekeluarga uruskan ini. Kalau auntie perlu bantuan auntie telefon kamu."

Hadrian angguk. Cepat kakinya melangkah keluar dari ruang itu. Sedihkah dia, mustahil gembira. Hakikatnya mana ada pengurus artis yang tidak peduli pada artis sendiri. Tapi apa yang tinggal untuk dia lakukan jika begini yang terjadi?

Di luar pihak media tidak sebanyak semalam. Tapi masih ada seorang dua yang ingkar. Tidak hormat pada permintaan keluarga yang inginkan urusan akhir itu dilakukan secara privasi. Maklumlah, dunia ini sakit! Kamu, mereka dan saya juga. Kita semua adalah orang-orang sakit yang tidak sedar diri! Tidak mengaku? Mahu saya senaraikan? Sakit hati, sakit dengki, sakit matamelihat orang lain punya lebih. Tapi jangan lupa kita juga ada satu persamaan lagi. Kita suka - suka menghakimi, suka mengata, suka menghina, suka merendahkan. Ya, kamu, mereka dan saya. Sama saja kita semua. Hanya saja, saya sedar itu dan kamu? Saya tidak perlu tahu. Hanya kamu ada jawapannya.

Hadrian tidak jadi pulang ke rumah. Seketika dia masuk semula mendapatkan ibu Efakitana.

"Auntie, ni kunci rumah. Auntie jenguklah nanti. Kalau perlu bantuan, telefon saja saya. Saya balik dulu auntie."

Wanita itu angguk. Hadrian pulang. Kali ini benar-benar pulang ke rumahnya. Masih diingat kejadian kelmarin. Sehingga pintu rumah Efakitana juga dibiar terbuka luas, mujur tidak dimasuki orang luar dan segalanya masih di tempat asal ketika Hadrian kembali ke rumah itu untuk mendapatkan beg berisi segala jadual Efakitana. Semua gara-gara ingin segera sampai di hospital. Namun, mungkin memang sudah itu takdirnya. Takdirkah itu?Atau sengaja melawan takdir?

 

Brennon duduk sendiri di bilik sewa pagi itu. Kelas pagi jam 9 tidak dihiraukan. Masih memakai pakaian sama seperti semalam. "Sakit" bisik jejaka itu. Tangan naik menggenggam dada. Kuku menusuk kulit torso tapi serasa tidak sakit. Sama sekali tidak berkerut dahi menahan sakit. Tingg! Bunyi mesej masuk dengan nyalaan skrin telefon pintar. Semerta cengkaman dilepaskan. Sudah berbekas kulit dadanya.

 

"Kau tiada kelas pagi ni Bren?"

"Ada" bisiknya membalas perlahan soalan dari suatu latitud bumi hampir meridian Greenwich.

"Jam berapa?"

"9"

"Kau tidak pergi kelas?"

"Tidak."

"Kenapa? Ada program?"

"Tidak."

"Habis tu?"

"Saya sakit."

"Oh, jangan lupa makan ubat. Kalau duit tidak cukup telefon saya."

"Okay."

Talian dimatikan. Skrin telefon dipandang lama.

Semudah itu kau berkata. Andai saja sakit ini seperti demam panas. Datang sebentar perginya lama. Lebih baik jika tidak singgah sekali lagi. Tapi saya yakin kamu juga tahu, lelah mental itu bukan seperti demam panas atau senggugut. Bukan juga seperti kawan lama. Bertegur sapa bila bertemu hilangnya lama dalam kesibukan dunia lalu masing-masing dengan haluan sendiri. Nanti saja kita berborak jika masih terserempak di jalan. Tidak! Saya sama sekali bukan menghakimi kamu dan mereka sebab kita semua sama, sibuk dalam dunia sendiri. Hanya mungkin saya ada sedikit masa untuk mencoret kisah ini menjadi mimpi dan impian.

Brennon meletakkan kembali telefon bimbit ke atas meja. Cutter pada organizer dipandang. Kejam minda bawah sedar menghasut,"ambil, ambil" tapi tangannya kaku. Tidak berkerjasama. Itu satu hal baik bukan?

Pandangan dilarikan ke luar jendela. Satu-satunya jendela dibilik sempit itu. Nafas dihela panjang. Serasa masih tidak bernafas. Lucu rasanya untuk berkata "saya tidak mampu bernafas" pada yang tidak faham apalagi untuk mengatakan "bernafas itu sangat berat". Kau tidak rasa bagaimana rasanya itu. Lalu kau hanya kaku mendengar kata saya. Mungkin kau bingung dengan ayat apa perlu kau balas. Dengarlah, tidak perlu. Kau tidak perlu berkata. Cukup sekadar tetap duduk diam di sisi saya sambil sesekali tepuk bahu saya dan mereka. Mungkin juga kau mahu mengatakan ini: kau sudah buat yang terbaik tetaplah di sini dan berjuang bersama. Itu lebih baik dari berkata:“Ah, semua orang melalui fasa itu. Saya juga pernah di sana dan lihat, hari ini saya adalah saya!”


Hadrian membuang pandangan jauh ke atas langit. Hakikatnya dia buntu. "Kalau duit tidak cukup telefon saya." Monolognya sambil tersenyum. Tangan meraup kasar wajah sendiri. Di mana dia perlu mendapatkan wang? Kerjanya mungkin tidak ada selepas ini! Ah, mana mungkin itu salah seorang pengurus. Mungkin itu kata kamu. Tapi mereka? Mereka kata dia tidak peka, tidak ambil berat, tidak prihatin pada artis di bawah jagaannya. Tapi dia juga bukan 24 jam seminggu ada bersama-sama dengan gadis malang yang sudah menyerah untuk terus berjuang dalam hidup! Salahkah dia? Atau kita yang salah kerana mengadili? Nafas dihela panjang, masih mengumpul kekuatan untuk ke pejabat. Deringan telefon tidak diendahkan. Biarlah. Besok saja ke sana untuk menyelesaikan sisa-sisa urusan.



"Daaront (disebut dare-ron)saya suka anda!" Demikian catatan pada ruang mesej di akaun instagram saya.

Saya Shen Joanna, penuntut junior tahun tiga ijazah sarjana muda sastera. Kedengaran agak klise bukan? Tapi sayalah suara-suara kecil dalam setiap penjuru kisah ini bukan Hadrian, bukan Brennon jauh sekali Daaront. Baca saja, kamu akan bertemu jawapan kamu di sini. Atau mungkin kamu sudah merasa lelah setakat ini, maka tutup saja kisahnya. Cukup sampai di sini. Kamu berhak buat keputusan. Ini hidup kamu, saya tidak ingin menghakimi. Seketika, coretan itu saya padam semuanya. Tidak ada kekuatan untuk meluah rasa hati. Bukan apa, tapi penghakiman manusia cukup berat untuk saya tanggung dengan hati dan minda yang tidak sebesar mana. Sakit sebenarnya mendengar makian perli kamu, dia dan mereka. Tapi saya tetap tersenyum bodoh-bodoh dengan anggukan mengiakan walaupun sebenarnya saya tidak setuju.

Petang itu saya duduk sendiri di dalam cafe terbuka Universiti Nasional Wissen. Tidak makan atau minum sekadar duduk sebentar. Mungkin juga mahu mengelak dari lambakan manusia di karnival kokurikulum tahunan. Ketika saya berdiri mahu ke stesen bas, Darront si jejaka tahun akhir arkitektur lalu di sebelah saya. Saya terkejut seketika. Tidak menyangka akan melihat kelibat manusia yang sedang menjalankan latihan industri kala itu ditempat ini. Cuti barangkali dia? Ada urusan mungkin sehingga perlu datang kemari atau mungkinkah dia datang menemui seseorang? Saya tidak tahu. Sama sekali tidak ada jawapan untuk itu. Hanya dia yang tahu kenapa, apa dan siapa yang menyebabkan dia datang ke mari. Tapi jujur saya katakan, dia masih seperti dulu. Gaya rambut, pemakaian, cara berjalan, sikap dan perwatakan dan senyumannya - sama! Masih sama. Masih Darront yang saya kagumi. Masih dia yang saya suka dalam diam. Jalannya menunduk. Mustahil tidak percaya pada diri sendiri. Ah, biarlah! Mungkin dia penat terlalu mendongak langit.

Saya hanya mampu melihat, menyukai dari jauh. Entah mengapa meluah rasa pada dia terlalu sukar untuk saya lakukan walhal bukannya saya tidak pernah berlaku jujur, mengaku suka pada seseorang manusia lain di depan mukanya. Tapi, sayang ditolak begitu sahaja. Tapi saya tidak menyesal. Mungkin sedikit menyesal, tapi penolakannya membantu saya melihat dunia sebenar, sikap manusia yang menakutkan. Itu masa lalu. Sudah lama saya tinggalkan. Tidak sama sekali mahu berkunjung lagi. Dia bukan sesiapa, hanya kenalan lama yang tidak ada maksud lain dalam hidup saya.

Darront, mungkinkah kau juga nantinya akan seperti itu? Sekadar kenalan lama yang saya pernah minati dalam diam? Tapi jujur sukar untuk saya melupakan sebuah perwatakan kau. Entah mengapa kau terus-terusan menarik pandangan mata saya untuk terus memandang kau dari kejauhan tanpa mampu saya membuka mulut mengatakan rasa hati sejak bertahun dahulu.

"Darront!"

Kedengaran pekikan rakan-rakannya memanggil. Oh, dia datang bertemu rakan-rakan mungkin. Mereka bersalaman sesama sendiri lalu duduk dikawasan hadapan cafe berdekatan tangga ke dewan cafe kolej kediaman di tingkat atas. Pada saat ini, saya rasakan bahawa saya sedang tersenyum lebar. Ada rasa-rasa halus berterbangan dalam hati. Andai saja senyuman comel dengan lesung pipi itu ditujukan untuk saya mungkin saya sudah berterbangan ke Pluto! Sesekali Darront menoleh kebelakang. Mungkin sedang menunggu rakan lain. Saya berlalu dari café untuk pulang ke rumah sewa pada ketika ini.

Bas meluncur laju ke kampus cawangan, rumah sewa saya terletak betul-betul di sebelah kawasan kampus cawangan sekitar 15 minit dari kampus utama. Saya mendongak atas melihat langit cerah, secerah mood hati saya melihat crush lama yang tidak terluah. Biru langit diselimuti kawanan awan putih mendamaikan. Saya ambil peluang itu untuk hanya bernafas. Merenung dada langit dengan setiap helaan nafas seolah di ruang sesak bagai tin sardin itu hanya ada saya seorang. Kesejukan aircond bas membuat saya berfikir pasti seronok berada di luar. Sekadar berjalan dalam panas dihembus bayu lembut dengan pemandangan ketika itu. Tapi saya yakin itu sebentar cuma. Pasti selepas itu saya akan mengeluh lagi. Pasti saya berkata panas betul dan berharap saya akan berada di tempat berpendingin hawa! Ah, tipikal homo sapiens!

Tiba di stesen bas luar kampus saya berjalan dengan cepat sekali untuk pulang ke rumah tapi memutuskan mahu singgah sebentar membeli roti di 7eleven. Maklumlah mahasiswa. Apa kau jangka dari seorang mahasiswa yang tidak punya pendapatan? Hanya mengharap pinjaman pelajaran dan sedikit kiriman dari keluarga. Memasak makanan mewah hanya dalam mimpi, makan makanan mahal itu mungkin sekali dua dalam satu semester. Kalau bukan mee segera atau roti sudah pasti biskut jawabnya. Saya yakin kamu dan mereka juga pernah merasa ini. Melainkan kau dan mereka lahir bersuap sudu emas. Sedikit pembetulan, saya bukan miskin! Tapi bukan juga golongan yang saya sebutkan di atas. Saya hanya seorang marhaen dari kelas sederhana. Tidak terlalu susah tapi bukan juga melimpah ruah wangnya. Beginilah rutin harian saya - Shen Joanna.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SueJya