Home Novel Kisah Hidup Sakit!
Sakit!
SueJya
22/5/2020 00:24:55
25,550
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 3

Brennon berjalan perlahan menaiki anak-anak tangga ke bilik sewa. Jangan dihakimi keadaan plat usang itu. Luaran sahaja buruk. Hakikatnya ia masih gagah berdiri menampung semua penghuni. Nafas dihela beberapa kali. Bukan penat mendaki tangga. Tapi penat menghidupi hidupnya. Oh, lupa mengkhabarkan. Dalam Universiti Nasional Wissen, Brennon ada seorang sahabat. Jeevan namanya. Seorang jejaka tampan dalam jurusan kejuruteraan awam, cerdik pintar orangnya, ceria dan selalu tersenyum gembira. Pada perkiraannya, Jeevan ada teman wanita. Sering berkepit kemana-mana. Tapi tidak pula pernah sekelas dengannya. Setahu Brennon wanita itu juga berada di tahun dua. Sama seperti dia dan Jeevan. Dia sering kali berselisih dengannya tetapi tidak berani menegur jika Jeevan tidak ada bersama wanita itu. Takut gosip liar tersebar luas. Tiba di hadapan pintu bilik sewa, telefon pintar berdering. Mesej dari Jeevan yang berbunyi demikian "Bro, kau sudah makankah? Kalau belum jom turun cafe de'mouth." Kaki menapak ke lif di hujung aras bilik sewanya. Tidak gemar menggunakan tangga untuk turun ke tingkat bawah. Hanya suka mendaki tangga untuk naik ke tingkat atas. Jeevan memang selalu mengajaknya keluar makan dan ya, Brennon suka itu! Kenapa? Kerana Jeevan seorang yang memahami. Pendengar setia segala macam masalah yang dia hadapi. Tapi kadangkala jika ada teman wanitanya ikut sama melepak, jejaka itu hanya akan bergurau senda sehingga masing-masing pulang ke rumah. Sama sekali tidak menunjukkan tanda bahawa dia bersedia mendengar luahan hati sahabatnya. Terkadang terlihat klise bila budak kaunseling tidak ampu mengawal perasaan dan minda sendiri. Jauh berbeza dengan Jeevan si budak kejuruteraan awam. Mungkin kau merasakan mereka salah pilih program pengajian. Entahlah, saya juga merasakan hal sama kadangkala. Mujur hati saya pada sastera. Tidaklah terlalu terseksa rasanya.


Brennon tiba di cafe de'mouth 10 minit kemudian. Cepat sekali dia. Bukan janji on the way manusia zaman moden! Hakikatnya, cafe itu tidak jauh dari plat usang tempat Brennon menyewa bilik. Hanya beberapa blok jaraknya.


"Bren, sini!" Laung Jeevan sambil melambai tangannya.


"Kau seorang saja? Girlfriend kau tidak ikut sekali?"


Soal Brennon sambik menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Jeevan.


"Girlfriend?"


Dahi Jeevan berkerut memikirkan figura yang dimaksudkan sambil menuang soju ke gelas kecil. Mungkin dia sudah meneguk beberapa gelas minuman keras itu sebelum Brennon tiba.


"Yang hari tu?"


"Oh, Shen? Bukan! Dia bukan girlfriend saya." Jeevan ketawa kuat. "Shen sahabat saya. Sahabat dari kecil. Dia banyak tolong saya."


"Oh, shen... Dia tidak join makan sekali hari ni?"


"Tidaklah. Shen itu seperti kau Bren. Suka sendiri. Penat berdepan orang ramai. Tapi dia bukan pemalu. Bukan juga pendiam. Shen hanyalah seorang Shen. Kadang saya juga tidak faham dengan dia."


Kali ini Brennon diam. Pelik dengan tingkah Jeevan yang tiba-tiba minum dan banyak bercakap. Mungkin ada sesuatu yang perlu diluah dari benaknya fikir Brennon. Lalu didengar sahaja semua kata lelaki itu.


"Kau tahu? Dulu saya sempat putus asa. Tapi Shen kata, jangan, saya yakin kau boleh! Dan saya teruskan. Sampai saat ini. Tapi Shen, Shen juga sibuk. Kadang saya kasihan dan tidak berani mencari dia. Sebab tiap kali saya sakit dialah yang dulu datang berlari pada saya. Shen itu seperti seorang kakak dan sahabat saya selamanya."


Jeevan pandang Brennon. "Saya tahu kau curious pada Shen bukan? Kenapa tidak kau kenali saja dia? Tapi jangan pernah jatuh cinta pada dia. Sebab kau tidak akan mampu berdiri di sebelah dia dan bila kau rasa kau sudah berada pada levelnya, kau justeru sedar kau tidak layak. Kau boleh berkawan. Tapi cukup sekadar kawan. Kau tidak akan pernah mampu untuk jadi lebih dari itu."


Brennon menahan tangan Jeevan yang ingin menuang soju ke dalam gelas untuk yang entah keberapa kali. Kenapa jejaka ini? Patah hatikah dia? Ditolakkah cintanya? Siapa? Shen?


"Shen tolak kaukah?"


Jeevan sengih saja. Sudah sedikit mabuk akibat menelan soju dari tadi.


"Tidak. Shen hanya seorang sahabat dan seperti kakak untuk saya. Walaupun hakikatnya dia muda beberapa bulan."


"Kau ada masalah?"


"Tidak, saya sudah bertemu cara mengatasi segalanya!"


Brennon bingung. Niatnya tadi datang ke de'mouth hanya untuk makan dan bercerita sebentar. Tidak menyangka ini jadinya. Kenapa dengan Jeevan? Fikirnya.


"Van, kau okay? Mahu saya hantar pulang?"


"Tidak apa, saya boleh sendiri. Kau Bren, jangan ragu-ragu. Kenali saja Shen kalau kau mahu. Tapi ingat, cukup sekadar sahabat! Kau dan saya tidak layak untuk dia."


"Okay."


Jeevan tersenyum gembira bagai hari itu dia yang punya. Brennon hanya melihat pelik. Entah apa yang sudah terjadi pada sahabatnya itu. Setelah beberapa ketika. Jeevan akhirnya menyusun dua botol soju yang berisi tinggal separuh. Satu botol dan separuh sudah habis diteguknya. Dapat dilihat dia sedikit mabuk tapi masih mampu bertindak biasa. Mungkin saja kadar toleransi alkoholnya tinggi.


"Bren, saya balik dulu. Kau makanlah. Terima kasih datang mendengar kata-kata merepek saya. Ingat, berkawan boleh tapi jangan pernah jatuh cinta dengan Shen! Saya tidak akan pernah approve!" Ucapnya sambil ketawa. Mungkin dia bergurau. Entahlah, boleh jadi dia memaksudkannya. Jeevan meletakkan beberapa keping duit kertas untuk membayar minuman dan makanan di atas meja tadi termasuk makanan Brennon. Jejaka itu tersenyum memandang Brennon, berlalu pergi dengan lambai seperti pada ketibaan Brennon tadi.



6:00 pagi, saya bangun mendengar bunyi penggera pada pintu. Entah siapa yang menekan pembaz pintu seawal ini. Hari ini hari sabtu. Saya tidak ada sebarang kelas pada hujung minggu hanya isnin hingga khamis. Jumaat juga tidak ada kuliah. Tapi selasa dan rabu agak chaotic. 3 kelas dengan jumlah 9 jam pada kedua hari itu. Isnin hanya dua kelas pada waktu pagi dan khamis hanya satu menjelang tengah hari. Agak lapang pada masa tersebut. Saya gosok mata sambil berjalan malas dalam persalinan pyjamas menuju ke pintu depan apartment. Saya tinggal bersama tiga orang rakan. Dengan hanya 3 buah bilik dalam apartment itu. Saya tidak mempunyai roommate. Begitu juga rakan sebelah. Hanya Chinta dan Sisca yang duduk sebilik. Itu pun kerana mereka adik beradik yang masing-masing berada pada tahun 1 semester 1 dan 2. Maka agak selesa untuk duduk sebilik walau kadangkala tetap bergaduh.


"Shen," Panggil jejaka di sebalik pintu itu ketika melihat kelibat saya.


"Ya, ada apa?"


"Van."


Masa itu saya sangkakan, dia memaksudkan van sebuah kereta.


"Kenapa?"


"Jeevan. Jeevan ada di hospital."


Mendengar Jeevan saya terkejut. Sangat terkejut bahkan! Setahu saya manusia itu baik-baik sahaja selepas saya tinggalkan untuk ke kelas ganti sekitar pukul 2 petang kelmarin. Lalu, kenapa dengan dia? Sakitkah? Kenapa tidak hubungi saya seperti selalu?


"Jeevan kenapa? Sakit?" Lembut saya bertanya. Seperti nada yang saya biasa gunakan ketika menanyakan hal sama kepada Jeevan. Sahabat kanak-kanak yang dengan tegas mengatakan saya adalah sahabat selamanya. Saya sering tergelak kecil mendengar itu. Mungkin dia takut andai saya jatuh cinta padanya bukan?


Dia geleng. Saya hairan melihat itu.


"Jadi buat apa di hospital?"


"Dia..."


Bergegar tangannya. Telefon bimbit dan sepucuk surat diserahkan kepada saya.


"Accident. Malam tadi. Saya tidak tahu mahu bagitau dengan siapa. Kau saja kawan dia yang saya kenal."


Belum sempat saya buka surat tadi, dia sudah membuka mulut bercerita. Saya terkejut! Sangat terkejut. Bagaimana keadaan sahabat saya itu? Baikkah dia? Terukkah keadaannya? Tidak dapat saya gambarkan perasaan itu.


"Saya minta maaf. Saya, saya patut hantar dia balik semalam. Tapi,... Patutnya saya paksa dia mahu saya hantar."


Saya pelik mendengar kata-katanya. Bingung dengan apa sebenarnya yang hendak dia katakan.


Ya, ia seperti apa yang mungkin kau sangkakan. Keadaannya teruk. Saya andaikan begitu. Sebab menurut jejaka tadi Jeevan ada di ruang ICU. Saya datangi keluarganya. Tidak berani untuk hanya sekadar menyampaikan berita melalui telefon. Lagipun, rumah Jeevan hanya 3 kilometer jaraknya dari kampus. Mungkin sekitar 4 kilometer dari hospital dia berada. Wanita muda itu menangis hiba. Si ayah diam saja. Ibu kandung Jeevan sudah lama dipanggil pulang ke langit dan wanita muda itu ibu barunya. Tidaklah semuda mana tapi masih muda dibanding ayahnya yang sudah berusia 57 tahun.


Usai menyampaikan hal itu, saya terus ke hospital. Niat di hati ingin menjenguk sahabat saya itu hanya untuk mendapati Jeevan juga sudah pulang ke langit! Saya kecewa. Saya marah dan sedih dalam satu masa yang sama. Jauh di benak hati saya hanya berfikir jika 'teruk' itu sekadar masuk ICU dan tidak lebih. Dengan segala macam wayar ditekap pada tubuh dan bukannya bertutup kain putih. Saya lihat jejaka yang mengetuk pintu apartment saya tadi sedang duduk sugul menunduk di luar ruang ICU.


"Saya sangka dia masih ada."


Bisik saya perlahan agak kecewa dan dia mendengar bicara saya.


"Maaf." Sepatah jawabnya. Saya tidak menyalahkan dia. Tapi kenapa dia tidak berterus terang? Saya datang dengan harapan esok Jeevan sembuh. Besok saya masih boleh bertemu dan tersenyum bersama walau saya tahu Jeevan juga sakit dengan masalah sendiri.


"Macam mana jadi macam ni?"


Dia pandang saya. Mengumpul kekuatan untuk bercerita. Tapi belum sempat dia berkata-kata si ayah dan ibu Jeevan datang.


"Joanne, Jeevan, macam mana." Tanya si ayah. Saya hanya menunjuk ke arah ICU. Tidak mampu berkata apa-apa. Kedua manusia tadi masuk ke ruang tadi dan tidak lama kemudian kedengaran sayup suara tangisan yang saya jangka milik si ibu. Saya tidak mampu bertahan di tempat itu lebih lama lalu saya ajak jejaka yang mengaku sahabat Jeevan untuk pulang ke kampus. Ada hal yang perlu saya ketahui darinya. Sebelum berlalu saya sempat menoleh ke belakang. Melihat pintu bilik ICU yang saya tahu ada seorang sahabat di sana. Kau sudah cukup kuat selama ini, maaf tidak sempat mendengar segala bicara kau kelmarin.


"Macam mana boleh jadi macam tu?" Saya ulangi pertanyaan saya.


"Malam tadi Jeevan ajak saya keluar makan. Sampai de'mouth saya tengok dia minum soju. Tapi dua botol saja. Ada lebih separuh lagi. Dia tidak habiskan. Lepas tu dia balik. Jam 1 subuh, saya dapat telefon dari dia. Katanya datang jalan simpang parallel. Dia mahu minta tolong. Sampai sana saya nampak dia masih dalam kereta. Masa tu dia serahkan surat dengan handphone dia, katanya bagi dengan Shen."


"Jadi sampai hospital dia masih ada?"


Dia angguk.


"Bila, dia meninggal?" Pelik rasanya mengatakan satu perkataan itu. Pelik menyebut Jeevan sebagai dia.


"Pagi tadi. Sebelum saya datangi apartment kau."


Saya tarik nafas dalam-dalam. Sangat ingin marah! Kenapa tidak dia berterus terang? Sakit kau tahu? Sakit!


"Maaf saya tidak tahu macam mana mahu bagitau yang dia sudah tiada."


Dia pandang wajah saya seolah meminta belas kasihan.


"Ada apa-apa pesanan dia yang lain mungkin? Kau ada dengan dia sampai masa-masa akhir bukan?"


Dia geleng sambil pandang wajah saya. Seolah cuba membaca riak untuk memahami perasaan saya.


Selesai menyoal itu ini, saya pulang ke apartment. Masih dengan poker face seolah tiada apa yang berlaku. Di dalam bilik saya baca surat Jeevan yang saya letakkan di atas meja belajar.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SueJya