Home Novel Travelog DOKTOR LOVE
Bab 2; Dr Shahril Adli @ DR LOVE

2

Pagi yang malar segar, sesegar aku yang dibangunkan telefon bimbit yang melagukan lagu Rondo Alla Turka, karya Mozart. Seperti dia barangkali, muzik itu menyegarkan minda, bagai ada panggilan yang perlu dijelaskan segera.

Selepas bersiap dan meneguk kopi dan sekeping roti telur di gerai berhampiran, seperti kata budak lelaki yang lebih kurang pada anggaranku berusia antara sebelas sehingga dua belas tahun, “Roti jantan”, aku segera bertolak untuk mencari Pejabat Wantas. Pesanan ibu semalam aku ingat lagi, “Ril pergi ke Kuala Kedah, tengok je papan tanda bertulis, Jeti Kuala Kedah. Nampak masjid, ke sebelah kiri. Di sebelah kanan Ril nanti, akan Nampak pejabat JPJ. Di depan pagar JPJ, ada pejabat Wantas. Ril pergilah ke pejabatnya.” Panjang lebar sekali. Aku ingat lagi, aku hanya mengangguk. Ibu menyambung lagi.

“Jangan mengangguk aje. Pejabat Wantas tu, kata Makcik Salma, kecil saja.Jangan nak cari pejabat yang besar-besar pulak. Nanti cari tak jumpa pulak. Saiznya macam besar van je.” Aku juga masih ingat lagi, aku mengangguk lagi.

“Van?”

“Ha’ah, sebesar van.”

“Maksud ibu, sebesar kabin?”

“Ya, ya. Itu lagi tepat.” Kata ibu sambil ketawa. Agaknya sukar untuk ibu mencari perkataan ‘kabin’ dalam kamus mindanya.

”Atau Ril boleh gunakan RORO saja.” Ibu memberi cadangan kepadaku.

Aku hanya menggelengkan kepalaku. Menggunakan RORO, istilah kepada kapal pengangkutan seperti Feri di Pulau Pinang yang boleh mengangkut kenderaan bersama penumpang sekali terus ke pulau lagenda itu bakal memberikan aku kelebihan. Ya, tentunya, aku dan keretaku, dapat terus menjejeakkan kaki ke sana secara terus. Masalahnya adalah, aku bakal tiba di Kedah tengah malam, dan perlu memandu lebih lama sehingga tiba di Kangar, dan keesokkannya perlu ke Kuala Perlis. Jadi, jalan singkatnya, aku lebih suka untuk singgah ke Kuala Kedah.

Aku benar-benar mengikuti petua yang ibu bekalkan, dan ternyata kata-kata ibu ada kebenarannya. Bak kata orang-orangtua, ‘Kecil-kecil cili padi’ pejabat yang comel tidaklah bermakna perniagaan yang tidak laku juga. Perniagaan syarikat ini agak hebat. Penghantaran kenderaan yang berlaku detiap hari, entah berapa kali laluannya dari Kuala Kedah-Langkawi setiap hari. Pejabat Wantas yang comel, benar-benar comel di mataku. Hanya satu unit kabin yang diletakkan sebagai pejabat penghantaran.

Dan aku tergelak sendiri memikirkan kenapalah tidak sahaja aku gunakan panduan GPS yang tersimpan dalam peti smpanan di bahagian dash boardkeretaku. Bukankah lebih mudah, membiarkan suara gadis yang mendayu itu memberi arahan dengan mudah!

Segera meletakkan kereta di padang bersebelahan pejabat. Berbekalkan tempahan yang telah dibuat oleh rakan ibu, yang biasa kupanggil dengan nama Makcik Salma, aku segera menyebut nombor keretaku. Dan lega, keretaku bakal dihantar petang nanti, dan keesokkannya aku bakal mendaratkan keretaku di pulau sana.

Di pejabat sana, kad pengenalan dan salinan pemilikan kenderaan segera dilakukan, aku segera mengisi borang penghantaran kenderaan.Dan bayaran, sebanyak dua ratus ringgit bertukar tangan.

“Bukan selalu bayaran hanya RM 150.” Aku bertanya kepada gadis yang menjaga meja pelanggan di pejabat miniku. Mengikut pesanan ibuku, bayarannya sepatutnya dalam lingkungan RM150 sahaja. Bayaran yang dikenakan sebenarnya mengikut saiz dan model kereta.

“Maaflah encik. Disebabkan akan ada LIMA, bayaran naik sedikit.”

“Oh LIMA.” Aku mengangguk perlahan. LIMA atau daripada ringkasan daripada Langkawi International Maritime and Aerospace, atau jika diterjemahkan kepada Bahasa Kebangsaan sebagai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi bagaikan memberi faedah pendapatan tambahan kepada syarikat pengangkutan seperti ini. Apalah daya, sebagai pelanggan, terpaksa bersetuju dengan permintaan yang ditawarkan. Seperti yang dikatakan selalu, ‘Take it or leave it.’ Sebagai pengguna, aku terpaksa menerimanya juga. Aku perlukan penghantaran keretaku ke seberang laut di sana.

“Saya ke kereta sekejap, mahu ambil beg. Segera aku mencapai kunci kereta, berjalan ke pakir yang hanya berjarak beberapa meter, membuka pintu kereta di bahagian dalamnya. Segera ku mengambil satu beg baju bersaiz sederhana yang mengandungi beberapa helai baju, seluar panjang dan sehelai kain pelikat, sehelai tuala mandi dan barangan dandanan biasa.Barangan berharga lain seperti note book yang aku simpan di dalam beg sandangku, sebuah kamera video, sebuah i-pad segera aku sandang ke belakangku.Kunci kereta segera aku pulangkan kepada gadis Tionghua tadi dengan ucapan terima kasih.

“Jeti, ke Langkawi arah mana?”

“Encik jalan terus ke sebelah kiri. Lepas tu terus saja, jangan belok-belok lagi. Tak jauh pun, dalam lima minit saja.”

“Terima kasih.” Kulihat dia tersenyum kembali. Melihat senyuman dia, kepenatan semalam bagaikan hilang. Nasib baik aku sudah memiliki Amelia, kalau tidak! Aku pasti mengurat gadis tadi. ‘Andai berbekalkan rupa, tentu hidung pesekku, mata sepet dan warna kulit kelabu ini tidak akan dapat mengurat dia, tapi dengan ‘Dr’ di hadapanku, pasti, dia tidak kisah dengan wajahku yang tidak glamor.’ Fikiran nakal jantanku menjentik juga, dalam mengharungi kepanasan cahaya mentari yang mulai sudah agak tegak di atas kepalaku.

Di jeti, orang ramai agak bersesak. Barisan bagi mendapatkan tiket feri pada jam 1.30 petang agak bersesak panjang. Terdapat lebih kurang duapuluh orang yang berbaris. Baju t-shirt biru yang kupakai terasa lekit dek peluh yang mulai merembes keluar.Angin Timur yang panas sesekali menggila juga, menampar manja, tetapi tidak menggoda langsung!Penghawa dingin yang mengalir perlahan, tidak cukup bagi menampung manusia yang ramai begini. Dan bernasib baik, sekeping tiket bertukar tangan.

“Dua puluh tiga ringgit.” Penjual tiket bersuara ramah. RM 23 bertukar tangan. Agak mahal untuk satu berjalan yang hanya sejauh 17 km. Barangkali kalau menaiki teksi di ibukota hanya akan berjumlah RM 10.50 sahaja. Jumlah sekali ganda rupanya. Segera mataku melihat jam, masih ada sejam setengah lagi masa untuk bertolak. Terpandang akan gerai di tepian laut di sebelah kiri. Teringat lagi pesanan ibu, “Sebelah kiri jeti, ada gerai.Cubalah laksa utara di sana, sedap.”

Laksa utara bukanlah makanan kegemaranku. Itu makanan kegemaran ibu sebenarnya. Aku lebih selesa menjamah nasi dan kari Melayu. Pun begitu, apalah salahnya mencuba. Barangkali sesedap kata ibu. Aku segera melangkah mengikut kakiku menuju ke sebelah kiri seperti yang dipetuakan.Ternampak lagi sebuah pejabat penghantaran, kali ini lagilah bersaiz ‘super mini’. Kali ini pejabat penghantaran barangan, kemudahan kepada sesiapa yang mahu menghantar barangan tanpa perlu menaiki feri ke pulau sana. Hanya bersaiz sebuah ‘tandas’ yang hanya memuatkan seorang kerani penghantaran. Bayangkan betapa kuatnya pengaruh pejabat bersaiz mini ini yang berupaya menghantar barangan yang lebih bersaiz besar, melebihi saiz pejabatnya sendiri. Bauan air laut yang berbau pahit dan maung agak memualkan bagi sesetengah orang, tetapi agak biasa bagi seorang doktor perubatan seperti aku. Akhirnya aku temui juga gerainya, bertulis menjual laksa dan sebaris lauk pauk.

Melihat kari kepala ikan membuatku terasa lapar, agaknya sekeping roti canai yang dimakan sebagai sarapan sudah lama diproses, hadam dalam perut.

“Bagi saya nasi mak cik.” Segera aku meminta mak cik pertengahan umur itu yang kelihatannya sedang menunggu pesananku. Dia segera menghulurkan sebiji pinggan plastik yang berisi nasi panas. Aku hanya merenung pinggan plastik yang sudah kelihatan kekuningan.

‘Plastik!’ Ah, pelbagai persoalan tentang satu perkataan yang mudah disebut!

‘Plastik?’, sekali lagi dia mengaum dalam hati.Dalam minda. Dalam ritma jantungku.

Andai mengikut teori yang biasa aku baca, penggunaan plastik sepatutnya dielakkan bagi mengisi makanan terutamanya bagi hidangan yang panas. Bahan kimia yang berada dalam plastik akan bertindak balas dengan haba panas dan member kesan kepada bahan kimia dalam badan manusia. Penggunaan pinggan daripada kaca atau seramik lebih baik dalam hal sebegini.Tetapi, pilihan apakah yang aku ada. Sekali lagi sebagai pengguna, kita tiada pilihan.‘Take it or leave it’.

“Mak cik bagi saya mangkuk sebiji.” Dengan segera mak cik itu menunjukkan ke arah sisiku. Rupanya, pinggan dan mangkuk diletakkan bersama, hanya sebelah menyebelah. Mangkuk yang aku ambil diisi dengan kari kepala ikan. Nampak sedap! Dan nampaknya rupanya tidak kalah dengan rasanya. Kari kepala ikan yang amat enak.Air limau ais yang disedut pula memberi kenikmatan yang tidak terhingga.

“Mak cik, bagi saya laksa satu.” Segera memesan sepinggan laksa utara pula. Sengaja aku masukkan hanya sesenduk nasi cuma bagi memberi ruang untukku merasa laksa pula. Kuah laksa yang panas, terbau harumnya bunga kantan, dan dihiasi dengan potongan daun daun kesum, bawang dan cili padi. Kuhirup perlahan. ‘Boleh tahan, sedap.’ Hati memuji perlahan. Untuk pelanggan yang bukan peminat laksa, makanan yang rasanya begini, ‘two thumbs up’. Pujiku lagi. Aku menghirup titissn kuah yang terakhir dalam mangkuk yang sederhana saiznya. Bukannya kerana aku lapar sangat, perutku terasa sudah ‘penuh’ tetapi itulah caranya yang diajar oleh ibuku menikmati makanan.

Sebagai pengguna, kita perlu menjadi pengguna yang konservatif. Jadi makan dengan berhemah adalah perkara terpuji. “Jangan membazir makanan,” kata ibu berkali-kali, pesanan yang biasa ibu sebutkan berkali-kali ketika aku memulakan sarapan, makan tengah hari atau malam ketika kecil dahulu. Jadi kebiasaan menjadi habit yang menguntungkan. Dan kata-kata azimat ibu ada betulnya, bayangkan sebutir nasi barangkali menjadi penghubung nyawa akan negara-negara yang mengalami peperagan seperti Palestine atau Somalia, yang mengalami kebuluran akibat kemarau yang berpanjangan.

Bauan air masin terbawa dek panas hawa angin Timur menyentuh hidungku perlahan. Mataku terus memandang ke arah kejauhan sana. Laut yang terbentang luas. Walaupun pemandangannya tidaklah secantik lukisan yang biasa kita gambarkan, lautan yang membiru dan sebagainya. Kepadaku, laut lebih kelihatan dengan warna kelabu. Langit tentunya masih membiru, cantik. Terasa damai dan keresahan yang silih berganti. Bot-bot nelayan kelihatan tersadai di muara, air masin kulihat hanya separas bawah penanda tiang besi, mungkin menandakan di bawah paras yang biasa atau tanda paras air pasang. Jam menunjukkan lebih kurang 15 minit lagi, feri akan tiba dan berkemungkinan feri mulai bersedia untuk memuatkan penumpang ke atasnya.

Segera membayar harga makanan dan berlalu. Hanya sebuah beg sandang, sebuah beg pakaian dan sebuah beg yang mengandungi gitar. Tidak berani meninggalkan gitar semalaman di dalam kereta yang akan mendedahkan gitar ini kepada kepanasan.Kulit gitar akan mengelupas, atau talinya yang meregag mungkin akan putus. Tidak pasti bagaimana perkhidmatan servis gitar di sana. Mungkin ada? Atau mungkin tiada? Tiada siapa tahu. Dan aku bakal tahu, paling cepat dalam tempoh 48 jam berikutnya.

Barisan penumpang mulai kelihatan sehingga ke paras belakang jeti. Aku mengambil tempat yang aku percayai di belakang sekali Di bahagian berhampiran jeti, kelihatan paras pasir laut yang berselut. Anak-anak ketam yang kelihatan merah bagaikan ‘berlarian di atas tanah selut yang berwarna kelabu gelap. Telefon bimbitku mulai bermelodi lagi di dalam poket seluar jeansku.Aku bergerak jauh untuk melihat di skrin pemanggil penting ini.

“Alamak ibu! Lupa nak bagitahu ibu aku sudah nak ke feri.” Bercakap perlahan sendiri. Segera menjawab panggilan.

Panggilan salam dijawab. Segera memohon kemaafan, “Maaflah ibu, lupa nak update info. Dah nak naik feri ni, tengah beratur.”

“Itulah. Ibu ingat nak bagitahu Mak Cik Salma.Nanti dia tunggu di jeti.”

“Tak payahlah ibu. Biar saja Ril tidur di hotel malam ni. Pagi esok Dil telefon makcik. Hari ni biar Dil rehat sajalah ibu. Agak penat. Malam nanti nak tidur awal sikit.” Menerangkan dengan panjang lebar. Aku pasti Makcik Salma boleh menyediakan bilik tetamu yang selesa tetapi waktu ini aku hanya terfikirkan ‘katil dan bantal’ sahaja.Aku benar-benar merasakan aku perlu tidur semalaman bagi memulihkan tenaga yang keletihan semalaman memandu bersendirian. Situasi ini agak ‘canggung’ jika kerana di rumah Mak Cik Salma. Terbayang rumah Mak Cik Salma yang berwarna jingga keemasan. Rumah teres setingkat yang dibuat daripada kayu.

Perjalanan di atas feri sudahpun menjadi satu perjalanan yang panjang kepadaku. Mataku sudah meranum. Kupejam mata, membayangkan keresahanku di siti. Aku akan berada di pulau terbuang ini, mungkin selama-lamanya. Walaupun pulau ini menjadi pilihanku untuk bertugas kerana di sinilah Idolaku, Tun Dr.Mahathir Mohamad memulakan kerjayanya sebagai pegawai perubatan!

Bunyian keriuhan menyedarkan aku. Aku tertidur dalam situasi yang kurang selesa sebenarnya. Beg kecil pakaian yang berada di bawah tempat duduk. Beg sandang pula yang berada di atas ribaku, sementara beg gitar berada betul-betul di hadapanku, berdiri dengan menjadikan hanya ada ruang beberapa inci daripada tubuh kurusku. Ah! Bagaikan tidak bernafas jadinya. Kelihatan penumpang mulai berdiri, panjang sekali barisannya. Aku menyapu wajahku dengan tisu lembap yang aku bekalkan di dalam beg sandangku. Terasa segar sedikit. Penumpang sebelahku, seorang lelaki pertengahan umur dan isterinya barangkali awal-awal lagi sudah hilang lesap daripada pandangan mataku. Agaknya mereka perlu tergesa-gesa untuk turun ke jeti di pulau ini.

Aku menunggu barisan itu semakin surut dan tiada sesiapa lagi yang berbaris di pintu. Mendapat tempat duduk berhampiran pintu, hanya dua kerusi berhampiran pintu keluar yang sempit seakan member kelebihan kepadaku. Dan aku akhirnya memecahkan rekodku di sini dengan menjadi orang terakhir yang keluar daripada feri penumpang. Deretan penumpang sudahpun menunggu giliran untuk masuk sebelum ke dalam feri, untuk bertolak balik daripada pulau ini ke Kuala Kedah.

Bauan jeti yang ‘gah’ besarnya seolah memberikan rasa kelainan kepada diriku. Yalah, aku sudah lama sangat tidak berada di sini. Sejak aku dan ibu keluar daripada pulau buangan ini. Angin Timur bergerak pantas, berangin dan menyenangkan.

Berjalan di tengah-tengah jeti simen ini memberi nafas kelegaan setelah terhimpit hampit dua jam di dalam feri bernama LADA 2, Dataran Helang boleh dilihat dari jauh, mengikut ‘google’ yang aku lihat sejak sebulan yang lepas, apabila aku tahu, yang aku ditempatkan di sini.

“Kereta sewa cik?” Sepanjang jalan di sapa dengan pertanyaan jika kita berkeperluan mendapatkan kereta sewa. Aku hanya menggelengkan kepala tanpa suara. Deretan kedai-kedai mewah, kedai makanan termasuklah Starbuck Café mengejutkan aku. ‘Jadi, tidaklah aku akan kerinduan untuk menikmati secawan kopi dari Starbuck’, hati berbisik sendiri. Tidak menyangka jeti akan jauh berubah daripada pandangan yang pernah aku lalui dahulu.

Mataku melingas memerhatikan sekeliling. Aku perlu mencari teksi yang boleh membawa aku ke Hotel Baron. Barangkali mandian yang menyegarkan, makanan yang panas boleh memberi rehat yang aku inginkan.

Aku melintasi lintasan ‘zebra’ yang disediakan. Teringat kata abang kereta sewa yang aku tanyakan sebentar tadi, “Lintas ‘zebra’ tu, di belakang tu ada kaunter teksi.” Dengan slangga yang perlu diamati sedikit, tentunya perkataan itu boleh difahami dengan mudah.

“Saya nak teksi ke Hotel Baron.”

Permintaan yang mudah. “Okay, encik ikut saya.” Aku dibawa kepada sebuah teksi yang baru. Aku segera mengambil tempat di hadapan, bersama pemandu setelah meletakkan beg sandang dan gitar ke tempat duduk penumpang.Pak cik dalam pertengahan usia lima puluhan itu memperkenalkan dirinya sebagai Mokhtar. Katanya, dia boleh dipanggil sebagai Pak Cik Tart. Aku tersenyum sendiri, ‘Tart, tart nenas?Atau Tart jem?’ dalam hati bersorak sendiri.

“Encik mai lawat sini?Baru pertama kali ka?”

“Tak. Bukanlah pertama. Tapi dah lama tak datang sini. Dah berbelas tahun juga.”

Dia tersenyum sambil tangannya terus memegang stereng kereta.

“Lama dua puluh tahun tu. Encik nak pi melawat ka esok, saya boleh bawa encik.”

“Terima kasihlah pak cik. Esok kawan ibu saya akan bawa saya ke rumah dia.”

“Oh, macam tu. Encik kerja sini? Kerja di mana?”

“Bukit Tekoh!”

“Bukit Tekoh?”

“Hospital.”

“Ohh, doktor lah ni. Mesti doktor ni ganti Dr. Rahmad yang baghupencen minggu lepas.”

Aku mengangguk. ‘What a small world’. Dia juga tahu pasal Dr.Rahmad. “Pak Cik Tart kenal doktor tu?”

“Kenal. Kenal sangat-sangat. Saya pun tinggal dekat-dekat situ. Dr. Rahmat lama di situ. Anak dia kecik lagi masa mula-mula dia mai sini, sampai dah bercucu di sini. Dia dah balik kampong dia lepas pencen, buka klinik sendiri di sana Anak lelaki dia pun doktor juga. Buka kliniklah dua beranak tu.” Dia bercerita panjang lebar. Dalam hubungan psikologi dan taraf sosial, bercerita penuh bermakna dia mengenali individu tersebut secara dekat. Hubungan inter-personal.

Teksi ini mulai melintasi Jalan Putra, dipayungi pokok-pokok sena bersaiz besar yang merendang. Mentari yang tegak di kepala bagaikan teduh, dipayungi dedahan pohon dan dedahunnya yang berjuntaian di kedua-dua belah jalanraya. Bayangan pokok laksana payung besar yang memayungi cahaya suria yang semarak menyala.

Aku mengangguk terus. Sepasang mata sepetku segera terpandang bangunan yang sangat biasa pada zaman silamku. Melintasi sebuah masjid, aku bagai terpukau. Entah berapa lama tidak menjejakkan kaki di masjid seindah ini.

“Ni Masjid Al-Hana.” Aku mengangguk terus. Entah bagaimana terbayang akan zaman dahulu. Terbayang akan wajah seorang budak lelaki yang mengayuh basikal berulang alik di kawasan masjid ini. Aku pernah berada di sini, barangkali belajar membaca al-quran. Bagai skrin wayang gambar yang mengulang aksi budak lelaki yang comel berulang-alik ke masjid ini zaman kanak-kanak dahulu. Bagaikan ternampak akan budak lelaki yang berseluar teluk belanga, dan berbaju t-shirt kerana baju tekuk belangannya sudah dibuka dan diperosok ke dalam beg yang berada dalam raga basikal. Hon dengan nada sederhana terhadap motorsikal menghentikan fantasi lamaku.

Di simpang hadapan masjid, Pak Cik Tart memberi isyarat membelok ke kanan.

“Dah sampai?”

“Hotel tu belakang sini saja. Lepaih Perpustakaan awam ni, Hotel Baron la. Sini senang doktor nak makan. Ada banyak gerai makan di keliling.”

“Nama saya Shahril. Shahril Adli.”

“Jadi Doktor Shahril la ni.”

“Pakcik panggil saja saya Adli.”

“Tak sedap nak panggil Adli saja. penat-penat orang belajar nak jadi doktor ni.”

Aku tersenyum. Kata-kata pakcik separuh umur pada anggaranku, ada kebenarannya. Pun begitu, panggilan doktor hanyalah pangggilan formaliti sebagai profesion pekerjaan. Dia membantu aku membawa baranganku ke dalam ruang ‘reception’.

“Berapa Pak Cik Tart?”

“Sepuluh ringgit.” Duit berwarna merah bertukar tangan.

Dia sebaliknya menghulurkan aku sekeping kartu namanya. “Kalau Doktor perlu apa-apa nanti, telepon la pak cik ya.”

“Okay. Bila saya sudah dapat rumah nanti, saya telefon pak cik.”

“Bukan nanti doktor duduk rumah Dr. Rahmat tu?”

Aku tersenyum kembali. Rumah untuk keluarga yang berada dalam kawasan Klinik di sana terlalu besar untukku, lagipun terasa tidak ada privasi dengan tinggal bersama dalam lingkungan klinik itu. Jadi, aku memohon untuk tinggal di luar sahaja, masih lagi berada di sekitar kawasan tempat aku bekerja.

“Tak pak cik. Kawan mak saya carikan rumah dekat-dekat situ juga.”Dia mengangguk lagi. Setelah berurusan dari ‘hotel ke hotel’ aku melangkah ke bilik. Melihat situasi bilik, aku tergelak sendiri. Dua katil kelamin yang besar. Sebuah katil bagi mengisi beg kecil dan gitar, dan sebuah lagi katil untuk diriku sendiri.

Teringat akan Amelia, segera aku menekan butang panggilan segera.Butang nombor satu!

“Eh Dil, you dah sampai.”

“Dah. Siap landing atas katil lagi. Wish you were here! Right now!”

Dia hanya ketawa mengilai di hujung gagang. “Kenapa pulak?”

“Katilnya mak ooi, besar giler. Dua buah lagi.”

Aku hanya menanti dia ketawa lagi. “I tak boleh lama. Sekejap lagi ada orang jemput I. I ada majlis amal, show baju tradisional.”

Really, you tak cakap pun.”

Last minute Ril. Baru tahu malam tadi.Ada orang tarik diri, I tolong jayakan saja.”

“You pakai baju apa nanti?”

“Kebaya nyonya. Baju kebaya Pahang dan Baju kurung pesak Pahang.”

Memejamkan mata sambil membayangkan Amelia dalam Kebaya Nyonya. Sah! Memang cantik amat! Tubuh kecil moleknya, berkulit merona putih gebu, akan sesuai dengan apa juga jenis pakaian pun!

“I jadi cemburu tiba-tiba Lia!”

Dia ketawa lagi, “Apasal pulak Encik Ril?” Soalan yang kedengarannya bagai berpura-pura sahaja kepadaku.

“Ialah, melihat cantiknya you dalam kebaya nonya tu, semua mata-mata lelaki akan memandang you sahaja.”

Kudengar dia terus ketawa. “Habis kalau ada di atas pentas, penonton lain semuanya di bawah. Memang sah la orang akan pandang kami yang ada di atas pentas.”

“Kalau I yang pakai kebaya tu, sure tak de yang pandang.” Sengaja menjawab, membayangkan diri dalam baju kebaya nyonya itu, ‘Andai warna merah terang lagi, kena ke dengan rona kulit kelabuku, dengan berhidung jambu air, ah, siapapun tak akan pandang.’ Hatiku mengusik sendiri.

“Memang la tak ada yang pandang Ril ooi, awakkan jantan?”

Aku tergelak. Sebenarnya terlupa satu perkataan lagi, “Kalau I perempuanlah. Kulit dah lah kelabu, hidung pesek, mata sepet.”

“Tak semestinya begitulah Ril. Ada beberapa model kulit hitam, dan hidung yang pesek macam you, tapi berjaya.”

“Siapa?” Sengaja menduga dia.

“Tyra Banks, Naomi Campbell, Chanel Iman…Ramailah lagi.”

Aku tergelak. Sebenarnya aku hanya bergurau dengan Amelia. “I nak you kata, youlah orangnya. Haiya!”

Agaknya dia baru terperasan gurauanku dan tertawa lagi.

“Maaflah Ril, kena bergerak dah ni.Pemandu dah sampai.”

“Okay.” Belum sempat aku habiskan, perbualan kami ditamatkan. Dan teringat dengan ibu, baik aku lekas memberitahu ibu yang aku sudah menjejak tanah pulau ini.

Dail yang disambung segera bersambut. Segera aku memberi salam. Ibu menyambutnya dengan ucapan balas.

“Dah sampai?”

“Dah ibu. Bosan sungguh atas feri, lamanya. Dekat dua jam.”

Ibu hanya ketawa.“Tu kira cepatlah tu. Zaman dulu lagi lama. Tapi dulu tak boring sangat kot.Konsep feri yang terbuka. Tak ada dinding, jadi orang boleh tengok laut.”

“Nampak laut ibu? Terbuka? Tak ada dinding? Lagilah boring ibu. Apa nak buat kalau nampak laut.”

Terdengar ibu ketawa, menandakan dia kelakar sangat dengan perkataan aku sebentar tadi.“Tengok laut pun dapat pahala Ril. Itukan tanda kekuasaan ALLAH. Dulu-dulu masa Ril kecil, Ril suka tengok laut. Ril kata nak berenanglah, nak menyelamlah, nak tangkap ikan, nak pancing, macam-macam Ril nak buat.” Ibu bercerita lagi dengan ketawa, menandakan dia suka apabila bercerita tentang cerita yang lama ini.

“Biar betul ibu?”

“Betul. Entah kenapa bila Ril dah ‘besar’, minta semuanya hilang begitu saja.”

Aku hanya terdiam. Tiada perkataan untuk aku gambarkan kata-kata yang keluar daripada bibir ibuku. Aku tidak memahami semuanya, adakah kata-kata berbaur luka? Marah? Atau sekadar menyelongkar sebuah cerita lama sahaja. Dan aku memutuskan untuk bertanya.

“Ibu marah Ril ke?”

“Marah?Taklah. Kenapa pulak nak marah.Ibu juga pelik, angan-angan dan impian Ril hilang setelah dewasa.Ril begitu suka sangat pantai. Air laut macam taman permainan bagi Ril. Mungkin sejak ibu pindah jauh dari pulau…”

“Mungkin semua tu akan datang balik? Siapa tahu.” Cepat-cepat memotong perkataan ibu. Kudengar ibu hanya ketawa sebelum menyambung.“Mudahan. Tak ada yang salah pun dengan hobi Ril sebelum ini.”

“Ya lah ibu.” Aku mengerutkan dahiku. Tidak dapat meletakkan diriku yang sukakan pantai dan laut seperti yang dinyatakan ibuku. Seingatkan aku, aku memang ‘alah’ dengan pantai! Pantai dan laut bakal menghitamkan kulitku yang sudah hampir separuh perang.

“Nak ibu beritahu Mak Cik Salma yang Ril sudah ada di sana?”

“Tak pa lah ibu. Ril di hotel sekarang ni. Biar Ril rehat dulu malam ni, pagi esok Ril telefonlah auntie Sal. Malas Ril nak tidur rumah kawan ibu malam ni. Tidur hotel senang sikit, nak tidur awal ke, lambat ke.”

“Ialah. Ikut Ril sajalah. Jumpa ibu esok. Ibu nak kena hantar adik ke tuisyen ni.”

“Ialah ibu. Salam untuk adik ya.”

Ibu menyudahkan panggilan kami dengan ucapan salam. Dan tugasku menyambut salam yang diberi ibu.

“Waalaikummussalam.” Panggilan ditamatkan. Berbaring sebentar dan terbayang akan pekan kecil yang aku tinggalkan dahulu. ‘Pekan cowboy’ yang aku pernah menjadi ‘pekan kecil hidupku’ yang sangat menarik. Dan entahlah, sejak berpindah keluar, aku tidak pernah kembali lagi ke sini. Mungkinkan tempat ini akan menjadi titik tolak perubahan kehidupanku? Tiada siapa yang akan tahu.

Dan sebenarnya aku tiada mempunyai halangan dan rintangan untuk menikmati kehidupan manisku yang baru sahaja bermula. Dan sedikit pembetulan; akan manis jika tidak bermula di tempat ini! Aku benci sekali pulau ini. Aku bencikan laut! Bencikan pantai! Bencikan feri yang menjadi peghubung utama. Entah berapa lama aku akan betah berada di sini! Berada dengan jiwa dan hati yang tenteram.

Mencuba mengubat hati, segera menyegarkan diri dan keluar berjalan kaki menuju ke pekan kecil pulau yang aku benci ini! Dan mengikut pegawai seranta hotel tadi, Bandar kecil ini tidak begitu jauh, hanya berjarak 1 km lebih sahaja. Aku singgah ke pusat penerangan pulau yang hanya berjarak kira-kira 500 meter daripada Hotel Baron.

Sigadis manis di kaunter bagai sedia menunggu soalan. Gadis yang berwajah bujur sireh, dengan rambut lurus yang dilepaskan ke bahunya. Uniform berbaju batik dan berseluar panjang menyerlahkan gaya yang bersahaja. Dan wajahnya mengingatkan aku dengan Ameliaku. “Ya encik, apa yang boleh kami bantu?”Soalannya menjadikan aku menyedari, aku agak lama merenung wajahnya.

“Saya cuma perlukan peta.”Cepat-cepat aku mengubah pandanganku. Agaknya dia sudah terbiasa dengan pandangan nakal sang lelaki!

Dia menghulurkan peta dan mengasak pertanyaan lagi, “Encik mencari sesuatu tempat atau barangan khusus?”

“Tak ada. Terima kasih.” Aku menyambut peta yang dihulurkan. ‘Tangannya tentunya lembut jika disentuh.’ Fikiran nakal seorang lelaki. Aku berlalu. Rasanya jika aku mencuba dialog seperti ini, “Saya Dr. Adli Shahril,” sifar peramahnya akan bertambah. Dalam hati membuai rasa bangga, sendiri.

Dia hanya mengangguk mendengar jawapanku. ‘Aku akan lama di sini sayangku. Lama. Entah berapa abad terperangkap di sini.’ Menjawab sendiri, bagaikan melodi hati yang hambar. Semua ini berlaku dengan kesalahan uncle. Suami ibu yang tidak pernah aku senangi. Hanya aku perlukan lakonan untuk menyenangi hati ibu. Menghormati ibu sebagai seorang lelaki yang melindungi kami selama ini.

Melintasi Hotel Putera, dan deretan kedai perabut bagaikan mengembalikan nostalgia lama. Melihat bangunan yang didirikan di kiri bahagian jalan raya membuatkan aku separuh terkejut. Dalam mengingati memoriku yang masih lagi berhingusan hijau semasa meninggalkan pulau ini, aku rasakan bandar kecil ini sebenarnya amat berubah! Dulunya bangunan-bangunan ini hanya dihiasi dengan selaut laut dan pantai. Dan laut itu sudah bertukar menjadi sebuah bandar yang agak sederhana besarnya.

Jalanraya pula seakan sibuk dengan deretan kereta yang melintasi jalan utama di pulau ini. Bangunan lama yang aku lewati bagaikan menggamit nostalgia lama. Bangunan yang sudah usang dan hampir runtuh menyembah bumi. Bangunannya sudah lama, sudah berkulapuk rupanya, berwarna hitam. Sebahagian dindingnya sudah dipenuhi dengan tumbuhan yang menjalar. Aku pasti, andai adik berada di sini, dia pasti akan berkata,

“Berhantu bangunan ni bang!” aku pasti. Tergelak sendiri. Manalah ada hantu dalam dunia ni. Aku tergelak lagi. Puas aku menyeberangi lautan Pasifik dan Lautan Atlantik, namun belum pernah terserempak hantu lautan, mahupun hantu tempatan.

Pokok sena di sebelahnya yang tumbuh besar dan merimbun bagaikan menggamit nostalgia. Aku melintas jalan menuju ke pokok sena itu, entah apa yang membawa kau ke sana.

Lorong berjalan tanah merah mengingatkan aku dengan sesuatu. Aku pernah memalui jalan-jalan ini barangkali. Dan gambaran seseorang, seorang gadis yang lebih dewasa kepadaku yang berjalan bersama melintasi lorong ini. Dalam ingatanku, terbayang akan wajahnya yang ceria, leka memegang tanganku melintasi lorong ini. Di belakang lorong ini, adalah sebuah tokong Cina. Dan kalau tidak salah, berdekatan tokong inilah rumah Mak Cik Salma. Andai tidak salah ingatanku yang sudah lama ‘berkarat’ dengan memori lama. Dan aku sudah terlupa namanya. Puas aku memikirkan.

Melintasi lorong jalanraya yang agak sunyi dengan kenderaan. Terdapat deretan kereta yang dipakir di tepian jalan. Gerai-gerai mulai didirikan. ‘Agaknya akan didirikan ‘pasar malam’ malam ini.’Hati berdesir sendiri. Kalau begini, aku mengambil keputusan bersiar-siar dahulu. Perlu kenal pasti di mana bank, barangkali di mana kedai gajet elektronik dan sebagainya. Dan esok apabila keretaku tiba, akan tiba masanya untuk aku menyelongkar segenap inci bumi pulau yang kubenci ini.

Bauan air masin sekali lagi mencelah mencium hidung kemekku. Air laut yang mengalir di antara dua tanah, dipisahlan bagaikan sebuah sungai kecil. Air yang surut hanya memperlihatkan selut yang hitam warnanya. Di tengah-tengah sungai ini terdapat sebuah jambatan berwarna kuning yang dikhaskan untuk kenderaan. Lorong pejalan kaki juga disediakan di kedua-dua belah jalan ini. Aku mengikut kakiki berjalan melintasi jambatan. Angin petang bertiup lembut, menampar manja tubuh kurusku. Pun begitu, hati dihambat kerisauan. Pertanyaan demi pertanyaan. Soalan demi persoalan. Soalan seperti berapa lama aku di sini? Bagaimana dengan hubungan aku dengan Amelia? Hubungan jarak jauh bukanlah halangan kepada hubungan kami sebelum ini, seperti yang biasa disebutkan PJJ, (ringkasan untuk Pengajian Jarak Jauh) atau jika disesuaikan dengan kami, lebih sinonim dengan Percintaan Jarak Jauh.Aku pernah berada di England sementara dia berada di New York. Kami pernah beratus purnama, jauh berselang benua. Dan pada masa itu, kami masih dapat menjalinkan hubungan tanpa masaalah!

Menyusuri kedai menjual elektronik membawa aku ke kedai yang menjual peralatan kamera.

“Ya, encik mahu cari apa?”Penjual yang peramah ini segera menyapa. Seorang anak muda yang masih muda, barangkali masih seusia denganku atau lebih muda.

“Nak tengok kamera yang boleh masuk ke dalam air!”Cepat-cepat perkataan itu yang terkeluar daripada bibirku, entah apa motifnya. Aku belum pernah menyelam a.k.a scuba, mahupun berenang di laut, yang tidaklah menjadi tarikan utama hobiku di masa lapang. Sepanjang hidupku, kami jauh daripada laut, masakan aku mahu menambah hobiku kepada berenang di laut!

“Ini ada beberapa jenis abang. Ada kamera memang untuk terus dibawa masuk ke dalam air. Ada juga sarung kamera. Abang tentu sudah ada kamerakan?”

Aku mengangguk. “Ada. Kamera biasa je.”

“Abang boleh bawa kamera tu ke sini. Mungkin abang boleh beli sarungnya sahaja. Abang kerap ke menyelam?”

Aku tergelak. “Tak.” Sebenarnya dia belum tahu yang aku belum pernah menyelampun.

“Tak apalah. Saya tengok-tengok dulu.Nanti saya bawa kamera saya, tengok, boleh ke gunakan sarung yang ada ni.”

Pemuda itu terus mengasak soalan, “Kamera abang jenis apa?”

“Tak apalah, nanti saya datang lagi.Taklah nak beli sekarang pun.”

Dia tersenyum. Setelah mengucapkan terima kasih, aku mengarahkan kakiku menuju ke deretan kedai-kedai elektronik. Aku akan memerlukan sebuah televisyen, sebuah peti sejuk yang bersaiz kecil, barangkali juga sebuah mikrowave. Peralatan yang lain, sebuah penghawa dingin, tentunya panas berada di pulau yang dikelilingi laut! Semua peralatan yang menjadi asas kepada sebuah rumah biasa. Persoalannya, aku cuma agak pokai. Akan perlu bergantung kepada ibu untuk bantuan. Mungkin aku akan terpaksa memilih peralatan yang paling penting sekali.Dan yang paling penting, televisyen, peti sejuk dan microwave dan penghawa dingin.

Berjalan dalam kedai yang mempunyai sebuah peralatan tersebut seolah membunuh diriku.Bayangkan jika aku hanya terpaksa memilih hanya dua buah peralatan sahaja, aduh! Pasti pening kepala dibuatnya.

“Peti sejuk, mesti ada. Televisyen kalau bosan.Tak ada tak pe, ada notebook, ada lap top, but still bored without television.” Mula bercakap sendiri.

“Mikrowave okay lah kalau tak de dulu. Nanti-nanti boleh beli.” Terasa menyesal juga tidak membawa microwave yang ditawarkan ibu semalam. Ibu menawarkan microwave baru yang dimenangi oleh uncledalam satu kejohanan golfnya, tetapi aku menolak. Menolak kerana sikap sombongku, kononnya tidak mahu mengambil apa-apa barangan uncle.

Mencongak akan harga semua barangan, mahu juga mencecah ribuan ringgit. Aku tersengih sendiri. Tengoklah bagaimanan ibu boleh membantu. Mungkin ibu setuju jika aku boleh menjelaskan bayaran secara ansuran kepada ibu.

Aku kembali ke jalan pertama itu semula, berjalan sendirian di pasar malam, dihimpit ratusan manusia di sana. Selepas membeli sekeping ayam panggang, dua keping apam yang bertulis, ‘Apam Pulau’, sepuluh cucuk satay daging dan sebungkus air milo ais, aku segera beredar balik ke bilikku di Hotel Baron. Perjalanan malam terasa agak lama. Angin malam seolah membuai rasa. Jalanraya yang kelihatan sibuk dengan kenderaan yang bersimpang siur pun menjadikan hatiku terjerat dengan rasa sunyi-bangi. Sepi.

Aku dapat merasakan kehidupanku di pulau ini akan menjadikan kehidupan malamku ini akan merasa sepi. Dan aku merasakan keputusanku memilih tempat ini sebagai memulakan kerjaya adalah salah! Tetapi ah! Siapa tahu, seperti Tun Mahathir Mohamad, idolaku, Tun juga telah memulakan kerjayanya di sini, siapa tahu, tempat ini bisa mengubah kehidupanku! Aku tidak akan sepi lagi! Aku tidak akan sunyi lagi! Dan malam yang tidak berbintang, bulan yang juga menghilang di mana-mana pelusuk dunia yang lain, aku berjalan menuju ke bilikku, disambut sengan senyuman malam seorang receptionis shif malam yang sudah kelihatan sedikit mengantuk.

Aku menghabiskan makan malamku sendiri, sambil menonton televisyen, entah program yang mana. Kulayani perasaan sendiri, entah mangapa, aku bertanya lagi, mengapa tempat ini yang kupilih? Aku boleh hanya bertahan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL), mengapa aku betah berjauhan di sini? Mengapa? Kenapa? Aku sendiri tiada jawapan! Mungkin masa akan memberi jawapan kepada soalan hatiku? Mungkin tempat ini akan mengembalikan diriku yang sudah hilang ditelan arus masa? Mungkin tempat ini akan mengembirakan aku yang sudah dilanda keresahan yang tidak berkesudahan. Banyaknya amarah yang menjalar dalam diriku. Amarah terhadap ibu! Uncle! Dan entah, terhadap siapa-siapa lagi!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail