Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 20 Mengulit Kenangan

Hutan Simpan Eurasia

5.00 Petang, 1 April 2013

“Makmal Asstrold Pharmacy?” gumam Harish yang masih lagi belum dapat menerima kejutan yang dilontarkan kepadanya. Yusoff sedang mendahului mereka. Kelihatan lelaki itu menyalakan sebatang rokok.

“Berapa besar makmal itu?” tanya Aulia yang sedang berjalan seiringan dengan Yusoff.

“Ermm... agak besar. Kamu boleh sesat di dalamnya,” kata Yusoff, pendek.

“Err... awak dah kenal lama ke dengan Harish?” tanya Aulia lagi. Yusoff menoleh ke belakang. Dia memandang Harish yang sedang berjalan sambil meletak kedua-dua tangannya di dalam poket seluar.

“Lama... tiga tahun rasanya,” kata Yusoff sambil melontarkan pandangan ke arah Harish. Harish sekadar tersenyum.

“Masa di Akademi Perisikan Malaysia, APM, kami ini ini sangat rapat. Macam belangkas. Dia kawan baik aku, terbaik yang pernah aku miliki,” kata Yusoff sambil melingkarkan tangannya di leher Harish.

“APM? Tak pernah dengar pun...” kata Aulia.

“Rahsia kerajaan. Tapi tak apa, awak dah berdepan dengan banyak bahaya semata-mata mahu menyelamatkan Shila, saya rasa awak layak mengetahuinya,” balas Yusoff. “Kembali kepada topik, masa di akademi dulu, aku ni sangat cuai...”

“Hari ni pun sama...” usik Harish. Yusoff ketawa.

“Ya. Sebab tu Farah asyik mengamuk dengan aku aje,” luah Yusoff jujur.

“Masa ujian fizikal, ujian teori, ujian penyamaran, ujian... apa-apa ujian. Kalau tak ada Harish, jujur aku kata yang aku akan gagal sebagai perisik. Aku sering dibuli, tapi Harish selalu selamatkan aku. Dia.. my best bro!” puji Yusoff.

“Kau ni...” Harish hilang kata-kata apabila pujian demi pujian dilontarkan oleh Harish.

“Aulia... macam mana boleh kenal dengan Harish?” tanya Yusoff tiba-tiba, menukar topik dalam masa yang tersangat pantas.

“Err,” tutur Aulia sambil jarinya spontan menyentuh bibirnya. Pandangan mata Aulia ditalakan ke arah Harish yang sekadar berjalan sambil tersenyum di belakangnya. “Macam yang awak cerita, Harish... dia ialah penyelamat saya. Awak kata dia ialah the best bro yang awak ada, bagi saya, he is my dream prince.

Pengakuan jujur daripada Aulia membuatkan darah tiba-tiba menyerbu ke seluruh wajah Harish. Yusoff pula merenung curiga Aulia dan Harish silih berganti dan tidak segan langsung untuk mempamerkan rasa syak wasangkanya.

“Korang ni...” gumam Yusoff.

“Aulia...” panggil Harish, tiba-tiba. “Betul ke saya ni putera idaman awak?”

Aulia pula yang tersenyum.

“Tiga kali awak selamatkan saya. Sesiapa sahaja, akan panggil awak sebagai putera mereka. Malah, mungkin lebih lagi,” balas Aulia pula.

“Harish, nanti jangan lupa jemput aku makan nasi minyak ya?” kata Yusoff tiba-tiba. Sindiran yang keluar dari mulutnya itu terkena pada mangsanya. Harish dan Aulia yang seperti tidak menyedari kehadiran Yusoff tadi lantas memalingkan wajah, memandang pada arah yang berlawanan.

“Kita kena teruskan perjalanan. Setiap saat yang dibazirkan bagai meletakkan nyawa Shila di hujung tanduk,” kata Harish.

“Tukar topik?” perli Yusoff lagi.

***

Mereka berhenti rehat di sebatang sungai yang sangat lebar dan deras. Airnya jernih sehingga dasarnya boleh dilihat oleh mereka bertiga. Kelihatan Aulia sedang membasuh wajahnya dengan air sungai itu manakala Harish dan Yusoff sedang berdiri tidak jauh daripada Aulia.

“Harish...” panggil Yusoff sambil menyalakan sebatang lagi rokok untuk dihisapnya.

“Ya kawan?” gumam Harish sambil kusyuk memandang Aulia yang sedang memerhatikan arus sungai.

“Wajah Aulia... mengingatkan kau pada dia bukan?” tanya Yusoff.

Soalan yang dilontarkan oleh lelaki kacukan melayu-cina disambut oleh kebisuan daripada Harish. Harish pantas tertunduk. Tidak semena-mena, air mata tumpah dari kelopak mata Harish. Namun, itu tidak sedikit pun mengundang kejutan pada Yusoff. Dia kenal siapa yang mampu membikin hati lelaki sehebat Harish gundah-gulana. Wanita itu juga hebat...

“Kate...” tutur Harish.

Singapura

2008

Harish dan Kate menerima tugas baru daripada kerajaan Malaysia. Pasangan yang sedang dilamun cinta itu diakui sebagai gandingan hebat yang dimiliki oleh Malaysia dalam menjalankan sebarang misi sulit.

“Aku mahu kamu berdua, masuk ke dalam pangkalan tentera Singapura yang terletak di Bukit Batuk. Terdapat senjata rahsia negara seberang yang dikhuatiri bakal menggugat keselamatan negara kita,” tutur Datuk Hidayat di dalam pejabatnya. “Kalau sesuatu terjadi pada kamu dan kamu ditangkap, Malaysia tidak akan bertanggungjawab dan tidak akan sesekali mengaku bahawa kamu ialah warganegara kami.”

Harish dan Kate sedang kusyuk memerhatikan sebuah presentation daripada Datuk Hidayat, menteri keselamatan negara itu di hadapan sebuah skrin layar. Sebuah peta rahsia bakal dibekalkan kepada mereka manakala sebuah senjata iaitu pistol M1911 bakal menjadi bekalan mereka.

Namun, Harish tidak memasang tumpuan ke arah penerangan yang diberikan oleh Datuk Hidayat sebaliknya menatap kusyuk wajah Kate yang merupakan gadis kacukan melayu-inggeris. Dia benar-benar jatuh cinta kali ini... wajah Kate yang putih itu, senyumannya yang berlesung pipit dan renungan matanya yang mencairkan.

“Faham?” tanya Datuk Hidayat lagi.

Hanya Kate seorang sahaja yang menjawab soalan itu manakala Harish masih berada di dalam dunia angannya. Cubitan yang hinggap di lengan Harish daripada Kate menarik Harish kembali ke dunia realiti.

“Maaf Datuk, saya faham,” tutur Harish sambil tersengih. Tingkah Harish itu mengundang gelengan daripada Datuk Hidayat.

***

Kate dan Harish diturunkan berdekatan dengan perairan Singapura. Kemudian, daripada situ mereka harus berenang ke sebuah pulau yang tidak tercatat di dalam peta. Dipercayai di situ terletaknya pangkalan tentera rahsia Singapura yang dipercayai menyimpan senjata rahsia yang memberi ancaman kepada sistem pertahanan Malaysia.

“Kita berehat di sini,” kata Kate memberi arahan. Harish sekadar mengangkat bahunya lalu melabuhkan punggung di bawah pokok yang paling rending di dalam hutan hujan tropika itu.

Kelihatan Kate sedang mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Sebuah alat yang menyerupai GPS.

“Kita hanya beberapa kilometer sahaja daripada pangkalan tentera mereka. Nanti bila dah sampai sana, saya dan awak akan pengsankan dua orang tentera mereka yang berjaga. Kemudian, kita akan menyamar sebagai tentera singapura?” kata Kate mengingatkan Harish mengenai perancangan misi mereka.

“Ya..ya, saya tahu. Awak ni asyik membebel aje,” rungut Harish. Masuk kali ini, dah empat kali Kate mengulangi benda yang sama.

“Mari pergi,” kata Kate sambil menyimpan kembali alat itu ke dalam beg yang diikat pada lutut seluarnya. Sepucuk pistol jenis M1911 dikeluarkan oleh Kate. Dia mendahului Harish bergerak di dalam hutan yang sangat sunyi pada waktu malam itu.

Harish menguap. Dia bangkit.

***

Terdapat dua orang tentera Singapura yang sedang berjaga di hadapan pintu gerbang ke pangkalan tentera yang kelihatan canggih di tengah-tengah belantara itu. Pangkalan tentera itu dikelilingi oleh pagar besi yang berdawai. Kononnya pagar itu juga terdapat arus eletrik yang hanya diaktifkan pada waktu malam.

“Macam mana sekarang?” tanya Harish.

“Nampak tu?” bisik Kate.

Harish mengangguk. Kate sedang mengamati laluan di bawah pagar berdawai yang mempunyai arus eletrik itu. Terdapat seekor ular baru sahaja masuk ke dalam pangkalan tentera itu ketika mengejar mangsanya, seekor tupai.

“Awak nak kita bergolek di bawah itu?”

“Pembetulan,” jawab Kate. “Saya seorang aje sebab tubuh awak yang berketul-ketul ini...” Kate menumbuk lembut lengan Harish. “...tak muat di bawah sana.”

“Tapi...”

“Shyy...” Jari Kate telunjuk yang dibalut sarung tangan itu menyentuh bibir Harish. “Jangan cakap lagi. Kita dah tak banyak masa. Apa-apa pun saya sayangkan awak...” gumam Kate yang membuatkan Harish tergamam.

Kate meniarap lalu bergerak di bawah pagar tersebut. Alhamdulilah, Kate lepas. Kemudian, Kate bergerak dengan sangat pantas tetapi senyap ke belakang dua orang tentera Singapura itu. Sekelip mata, mereka berdua dibunuh oleh pisau Rambo milik Kate. Kate sempat memberi isyarat kepada Harish untuk menghampirinya. Sementara itu, Harish pula membunuh dua orang lagi tentera Singapura yang berkawal di luar pangkalan tentera itu.

“Ini Ialah masanya, saya akan bawa mayat ni ke dalam semak sana. Saya akan tukar baju di sana... dan jangan mengintai!” Kate memberi amaran keras.

Harish hampir sahaja tergelak.

“Baik-baik Cik Kate ya?” kata Harish sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya di udara, seolah-olah Kate sedang mengacukan sepucuk pistol ke arahnya.

***

“Awak nampak cantik dalam baju tentera,” puji Harish spontan ketika melihat Kate sedang melangkah ke arahnya.

“Sudah-sudahlah dengan ayat manis awak tu,” kata Kate yang sedang melutut di sebelahnya, memerika senjata M16 milik tentera Singapura yang baru sahaja tumbang di tangan gadis itu.

“Ayat manis saya untuk orang yang manis aje,” balas Harish sambil mengambil senjata M16 yang diserahkan oleh Kate kepadanya.

“Harish, dengar sini. Semakin saya kenal awak, saya rasa awak ni tak sesuai jadi perisik macam James Bond ni. Awak sesuai jadi...”

“Casanova!” pintas Harish sambil tersenyum. “Saya dah dengar benda itu daripada awak beratus kali dah.”

Kate mencebikkan wajahnya. Dia bangkit sambil membersihkan seluarnya yang terkena pasir hutan. Dia mendahului Harish melangkah masuk ke dalam pangkalan tentera Singapura tersebut.

“Sekarang, kita akan masuk ke dalam bilik sekuriti. Itu ialah objektif misi kita yang seterusnya,” kata Kate sambil memeriksa android yang dibekalkan oleh Datuk Hidayat kepadanya. Misi itu, Kate ialah ketuanya.

“Tahu kat mana?” tanya Harish.

“Tengok ni, di tingkap sana,” kata Kate. “Bilik di balik tingkap itu ialah bilik yang mengawal semua CCTV di dalam banggunan yang merupakan pangkalan rahsia tentera Singapura.”

***

Harish membuka tingkap itu dari luar. Tidak berkunci. Perlahan dan senyap sehingga tidak disedari oleh tentera yang sedang menikmati Nasi Lemak sebagai makan malam mereka. Bila-bila masa sahaja, ajal mereka bakal ditamatkan oleh Harish dan Kate. Rakannya yang seorang lagi pula sedang tidur.

“Mereka tak sedar kehadiran kita,” gumam Harish perlahan. M1911 dikeluarkan oleh Harish. Kemudian, jejaka itu memasang silencer pada mata pistol tersebut. Sasaran Harish ialah tentera yang bertugas di bilik sekuriti itu.

“Seorang dah mati,” tutur Harish apabila otak bersepai daripada kepala lelaki yang sedang memakan nasi lemak itu. Tiada langsung kedengaran bunyi tembakan memandangkan silencersudah dipasangkan.

Kate memanjat masuk bilik sekuriti itu lalu mengeluarkan pisau Rambo. Leher lelaki yang sedang tidur itu merembes darah merah. Kemudian, Harish menyusul dari belakang. Selepas membaringkan dua mayat tentera Singapura tersebut, Kate mengambil tempat duduk mereka.

“Itu...” tutur Harish tidak percaya.

“Makmal rahsia mereka,” kata Kate sambil menumpukan perhatian ke arah skrin yang memaparkan saintis-saintis Singapura sedang mengusahakan sesuatu di sebuah makmal yang serba putih.

“Seseorang harus pergi ke sana,” tutur Kate lagi.

“Siapa?” tanya Harish.

“Saya. Awak tunggu di sini. Hubungi saya kalau ada bahaya yang sedang menghampiri,” tutur Kate lagi sambil membetulkan fon telinga yang agak berbelit itu.

“Tapi... saya yang nak...”

“Awak masih baru lagi. Saya ialah mentor awak bukan? Awak kena belajar daripada saya. Kalau sesuatu terjadi pada saya, saya nak awak tahu sesuatu, saya cintakan awak.”

Harish tergamam. Ucapan itu sebenarnya yang ditunggunya. Perlahan-lahan, Kate meninggalkan Harish keseorangan di dalam bilik yang asing bagi Harish itu. Tanpa diketahui oleh Harish, itulah detik terakhir Harish bertemu dengan Kate.

Kate telah ditembak di lengan ketika cuba melarikan diri selepas meletakkan bom jangka di makmal senjata Singapura. Dia sempat sampai ke bilik yang menempatkan Harish, tetapi dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Pada malam itu, Harish setia mengendong jasad Kate yang tidak lagi bernyawa, melarikan diri daripada situ. Makmal itu berjaya diletupkan.

Hutan Simpan Eurasia

5.05 Petang, 1 April 2013

Pang! Aulia rebah ke dalam arus sungai. Belakang tubuh Aulia dimamah peluru yang ditembak oleh seseorang. Harish yang menyaksikan perkara itu tergamam. Yusoff pula spontan meniarap di atas tanah. Tetapi tidak Harish. Satu lagi tembakan membuatkan Aulia rebah.

“Aulia!” teriak Harish seperti orang yang kena histeria.

Aulia hanya mampu tersenyum. Air matanya mengalir. Wajah Harish cuba dibelai oleh Aulia, namun tangan gadis itu agak lemah. Tembakan bergema lagi. Kali ini tersasar dan tiada yang terkena tembakan.

“Sakit...” tutur Aulia sambil tersedak. Darah merah membuak keluar daripada mulut Aulia.

“Harish! Tunduk! Ada sniperdi sini,” bisik Yusoff yang masih lagi meniarap. Namun, Harish mengendahkan amaran Yusoff.

Tembakan berdendang di udara. Pelurunya membaham kaki kiri Harish ketika lelaki itu cuba untuk berdiri sambil mendukung Aulia. Yusoff hanya menggelengkan kepalanya memerhatikan situasi itu. Dia hanya mampu melihat Harish rebah ke tanah bersama Aulia.

“Kaki aku Yusoff,” bisik Harish ketika terbaring terletang dalam rumput yang tinggi memanjang.

“Ada penembak tepat yang sedang memerhatikan kita,” gumam Yusoff pula.

Namun, kesakitan itu bukanlah alasan buat Harish untuk melupakan Aulia. Lelaki itu merangkak menghampiri Aulia. Mata gadis itu sudah tertutup. Harish meraung menjerit nama Aulia. “Aulia!!!”

Air mata membasahi wajah Harish. Tanah di bawahnya pula menjadi mangsa Harish yang sedang dirasuk oleh emosi. Matanya merah. Jelas kemarahan sedang menguasai diri Harish.

The Sniper!Aku akan balas dendam!” teriak Harish ketika meniarap. “Yusoff, siap sedia, kita akan bertempur.”

Yusoff tidak percaya mendengarkan kata-kata Harish. Mahu bertarung dengan seorang penembak tepat di dalam hutan tebal sebegini? Terdapat banyak gaung di sekeliling mereka dan penembak tepat itu boleh berada di mana-mana sahaja.

“Ingat balik ilmu yang kita belajar di akademi. Bagaimana mahu berdepan dengan penembak tepat macam dia,” kedengaran suara Harish menggumam lagi.

Sementara itu, agak jauh daripada tempat Harish dan Yusoff berselindung, kelihatan seorang lelaki yang sedang meniarap sambil setia mendakap setia sebuah senjata Barret M82A1.

“Mejar Adam Harish dan Leftenan Muda Yusoff Ong. Hutan ini ialah kubur kamu berdua. Jangan cari pasal dengan Asstrold Pharmacy. Aku, Kapten David Humbolt, legenda Perang Vietnam dahulu akan kembali bernyawa,” gumam David Humbolt sambil menarik picu senapangnya.

David Humbolt, tidak pernah tewas dalam pertarungan sniper.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.