SINAR tajam mata Sir Alfred beradu dengan pandangan ketakutan anak-anak buahnya. Buah keras di dalam genggamannya dikepal kemas lalu dilontarkan sekuat hati ke arah seorang lelaki berkot hitam.
“Tak boleh diharap!” jerkahnya.
“Maaf, Sir.” Pantas lelaki berkot hitam itu melutut di hadapan Sir Alfred.
“Aku suruh kau semua gagalkan wakil daripada Campbell bentangkan proposal mereka, tapi apa aku dapat?” Sir Alfed mendengus kasar.
“Kau gagal, aku pun gagal. Projek Hibiscus Tower tu dapat dekat mereka!” tempiknya pula. Kemarahannya menggila.
Terbayang di matanya figura anak muda yang tersenyum lebar ketika keputusan pembidaan tadi diumumkan. Lelaki berusia awal 30-an yang dikenali sebagai Tuan Rayyan Razien dalam dunia perniagaan itu kelihatan sedang bersalaman penuh yakin dengan wakil-wakil syarikat lain dengan ekspresi puas hati.
Sakitnya hati dia!
Figura sepuluh orang anak buahnya yang masing-masing kelihatan menekur lantai dipandangnya pula dengan hati menggelegak. Api kemarahannya menjulang tinggi. Dia gagal mendapatkan projek yang dikehendaki oleh The Great Father. Ini bermakna, dia bakal menjadi “lauk” lelaki kejam itu!
“Math, aku nak kau bertanggungjawab dengan semua ni. Kau buatlah macam mana pun, aku nak budak tu tersungkur di kaki aku,” arahnya kepada lelaki berkot hitam tadi.
“Baik, Sir,” akur Math.
Rayyan Razien! Math mengerti jejaka itulah yang dimaksudkan oleh Sir Alfred. Sepanjang bekerja di bawah orang tua itu, dia sudah cukup kenal pesaing bisnes mana yang betul-betul dibenci oleh ketuanya.
Jika sebelum ini Dato’ Campbell Abdullah yang menjadi target utama, kini anak muda itu pula bakal menjadi mangsa kerakusan orang tua itu. Ini semua terjadi kerana tindakan berani pemuda itu menyelamatkan keadaan. Cis!
“Pergi dari sini!” halau Sir Alfred.
Lantas, dia memusingkan kerusinya menghadap cermin. Tali lehernya ditarik-tarik lalu sepuntung curut di dalam bekas diambil lalu dicucuh dengan pemetik api. Fikirannya berserabut hebat.
*****
“RAYYAN.” Air muka Dato’ Campbell keruh sekeruhnya.
Figura pengarah termuda syarikatnya dipandang dengan perasaan bercampur baur. Rasa marah, kecewa, sakit hati, dan pelbagai lagi rasa negatif berterusan menerpa lubuk hatinya sejak tadi.
“Saya minta maaf, Dato’.” Rayyan menunduk ke lantai.
Dia bersedia untuk dihukum oleh bosnya atas kesalahan yang dilakukannya. Lagipun, dia sedia maklum akan segala risiko sebaik sahaja dia mengambil tindakan sendiri tadi.
“Saya bimbangkan keselamatan kamu, Rayyan,” kata Dato’ Campbell.
Itu yang membuatkannya sakit hati, marah, sedih dan kecewa atas tindakan anak muda yang sedang berdiri tegak di hadapannya sekarang. Rayyan tidak perlu merisikokan keselamatan diri sendiri semata-mata projek Hibiscus Tower.
Sungguh Dato’ Campbell runsing. Dengan menangnya projek itu kepada syarikat mereka tadi tapi bukan melalui kejayaannya ataupun Eve, automatik syarikat pesaing akan membuka mata terhadap talent tersembunyi: Rayyan Razien.
Identiti Rayyan sebagai side kick syarikat mereka selama ini telah terdedah!
“Insya-Allah, semuanya akan okey,” jawab Rayyan tenang.
“Macam mana nak okey, Rayyan? Cuba kamu beritahu saya?” Jawapan Rayyan tidak mampu mengusir gundah di hati Dato’ Campbell.
Manakan tidak, pesaing terbesarnya sekarang ialah HR Holding. CEO syarikat itu pula adalah Sir Alfred Tyson. Sir Alfred merupakan seterunya dalam perniagaan sejak dulu hingga kini.
Tidak cukup perniagaannya sewaktu di England dahulu dikacaunya, di sini pun lelaki tua itu sentiasa mengintai peluang untuk menghancurkan legasi kejayaannya. Sungguh dia tidak sanggup melihat Rayyan diapa-apakan oleh lelaki haloba tersebut.
“Dato’ jangan risau. Saya ada pelan sendiri.” Rayyan menghadiahkan seulas senyuman menenangkan buat bosnya.
Dia faham sangat dengan isi hati pengerusi sekali gus pemilik syarikat itu. Dato’ Campbell menganggapnya sebagai anak kandung. Jadi, bapa penyayang mana yang tidak risau akan keselamatan anaknya sendiri?
“Hati-hati, Rayyan. Saya sangat risau ni,” pesan Dato’ Campbell.
“Baik, Dato’,” akur Rayyan.
Sekali lagi, senyuman diberikan kepada orang tua itu sebelum dia meminta diri untuk kembali ke pejabatnya di tingkat 13. Dia sudah penat dan mahu berehat. Maklumlah balik saja dari dewan tadi, terus dia kena bebel.
Ting!
Pintu lif terbuka. Setelah melangkah masuk dan menekan butang naik ke pejabatnya, dia menyandar di dinding lif. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. Matanya dipejam rapat. Akhirnya, keluhan berat yang dipendam sejak tadi terluah jua dari mulutnya.
Keletihan luar biasa kian dirasai. Letih fizikal dan mental serentak menyerang dirinya. Sesungguhnya dia hanyalah manusia biasa. Dia bukan superhuman yang kuat dan boleh segala-galanya sendiri tanpa rehat.
Ya Allah...
Ting!
Tiba-tiba, pintu lif terbuka sebelum sampai ke destinasi yang ditekan. Situasi itu membuatkan Rayyan mencelikkan sedikit matanya. Figura dua orang manusia yang baru masuk dipandang tanpa perasaan.
“Boss,” tegur Ren Hau.
“Boss.” Grace turut menegur sambil tersengih-sengih.
“Good job, guys,” ucap Rayyan. Senyuman diberikan kepada dua orang bawahannya.
Ren Hau dan Grace beraksi sangat baik tadi. Skil mereka dalam mengelirukan musuh sekali gus menyelamatkan Dato’ Campbell tidak dapat dipertikaikan lagi. Tanpa usaha mereka berdua, agak susah untuk dia mencantas permainan kotor HR Holding tadi.
“Kau okey, Boss?” tanya Ren Hau. Dia tahu yang bosnya baru sahaja turun dari pejabat Dato’ Campbell.
Matanya kemudian melirik ke arah Rayyan. Jauh di sudut hati, dia kagum dengan tindakan pantas bosnya. Bukan calang-calang orang manusia bernama Rayyan Razien ini. Peribadinya juga sehebat maksud namanya.
Walaupun ada kalanya kudratnya sedikit terbatas kerana sakit yang kadang-kadang menyerang, tetap saja jejaka itu mampu menanganinya dengan baik. Segala masalah dapat diselesaikan dengan sangat baik. Tabik!
“Okey aje. Oh, ya. Eve macam mana?” Hampir Rayyan terlupa dengan kondisi Eve.
“Okey. Tapi, malam ni bermalam di hospitallah jawabnya,” beritahu Grace.
Rayyan mengangguk faham dengan jawapan Grace. Dia sudah agak. Eve Campbell memang ada masalah dengan perut. Sekali sakit kuat, memang doktor akan pegang tak bagi keluar wad selagi belum betul-betul sihat. Kena pula kena racun, lagilah budak itu tidak boleh keluar hospital awal.
“Hana?” tanyanya pula.
“Aiii, buah hati juga ditanyanya,” gelak Grace.
“Kau ni May.” Ren Hau menjegilkan matanya kepada Grace.
“Yalah, yalah. Hana? Erm, dia pun okey aje. Dia dah balik tadi masa kami sampai kat wad Cik Eve,” beritahu Grace. Sempat dia menjelirkan lidahnya kepada Ren Hau. Balas balik, okey?
“Okey,” komen Rayyan sepatah.
Hatinya lega mendengar perkhabaran kedua-dua orang gadis itu daripada Ren Hau dan Grace. Walaupun dia pelik macam mana Hana boleh ada di situ tadi, tapi dia abaikan sahaja dulu. Nantilah dia tanya.
Ting!
Pintu lif tingkat 13 terbuka. Mereka bertiga segera keluar lalu pintu pejabat dituju. Namun, belum pun sempat Ren Hau memulas tombol pintu, daun pintu terbuka sendiri seolah-olah menyambut kedatangan mereka bertiga.
“Boss,” tegur dua suara. Lelaki dan perempuan.
“Boss, Tuan Aariz dan Puan Khayra dah sampai,” kata Syafiq sambil tersengih.
Ujaran daripada Syafiq disambut dengan anggukan oleh Rayyan. Lantas, tanpa sepatah kata, dia mengisyaratkan agar semua yang ada di situ segera masuk ke bilik mesyuarat.
“Kita ringkaskan ajelah ya. Lagipun, aku belum solat zohor ni,” kata Rayyan sambil melihat jam tangan. Waktu sudah pun menunjukkan pukul 3 petang.
“First, selamat bertemu dan selamat bertugas kepada Tuan Aariz Iktizar dan Puan Amra Khayra. Saya harap kes ni dapat diselesaikan dengan segera,” kata Rayyan kepada Aariz dan Khayra.
Hari ini merupakan pertemuan pertama Aariz Iktizar dan Amra Khayra dengan mereka semua setelah ditugaskan di sini. Mereka berdua itu merupakan partner dari jabatan yang sama di agensi perisikan mereka.
“Dua orang lagi akan masuk sebagai geng kita pada esok pagi. Mereka juga sama seperti Aariz dan Khayra. Tapi, tugas mereka lebih ringan iaitu assist kamu berdua,” sambungnya lagi. Kali ini, fokus matanya ke arah Ren Hau dan Grace.
“Faham, Boss!” Serentak Ren dan Grace mengangguk faham.
Siapa saja yang masuk ke dalam geng mereka, mereka berdua akan terima dengan berlapang dada. Keyakinan mereka terhadap pilihan Rayyan tidak berbelah bahagi. Rayyan hanya memilih orang terbaik daripada yang terbaik.
“Aariz, Khayra, kenalkan dengan ahli bodyguard rasmi Campbell Corporation. Dari kiri, Ren Hau code name Ace, Grace Bai code name May, dan Syafiq Azzim code name Falcon. Falcon ialah pegawai keselamatan siber atau senang katanya white hat hacker kami.” Rayyan memperkenalkan satu per satu ahlinya.
Dia tidak memperkenalkan kod nama Aariz dan Khayra kepada Ren Hau, Grace dan Syafiq. Tak payah beritahu pun sebab mereka bertiga itu sudah awal-awal lagi tahu identiti geng baharu yang berempat itu. Tiada apa yang terlepas daripada pengetahuan mereka jika melibatkan hal keselamatan Campbell Corporation.
Aariz Iktizar code name Dark, dan Amra Khayra code name Princess Devil. Esok, dua orang lagi ejen perisikan dari agensi sama dengan Aariz dan Khayra akan sampai. Afiq Taqiuddin dan Cindy Chia, itu nama mereka. Dengar kata, Taqiuddin si code name Light dan Cindy si code name White Swan pun boleh tahan hebat juga beraksi di lapangan.
“Hai.”
Aariz bertukar salam dengan Ren Hau dan Syafiq, manakala Khayra pula hanya menunduk sopan kepada mereka. Hanya kepada Grace sahaja dia bersalaman. Mereka sangat faham dengan batas pergaulan lelaki dan perempuan.
“Untuk tugas, aku akan brief esok. Kita tunggu Light dan Cindy lapor diri dulu,” kata Rayyan lalu bangun dari kerusi.
Jam tangan Vivoactive HR di pergelangan tangan kirinya dikerling sekilas. Jam sudah pun menunjukkan pukul 3.15 petang. Dia sudah terlewat untuk menunaikan ibadah wajib.
“Bersurai.” Pantas Rayyan keluar dari bilik mesyuarat lalu bergegas ke bilik pejabatnya.
Kotnya disangkut ke batang penyangkut baju. Tali leher dilonggarkan lalu dibuang dan diletakkan di atas meja. Jam tangannya juga ditanggalkan dan telefon pintar di dalam poket seluar turut diletakkan di atas meja kerjanya.
Bilik air dituju lalu lengan baju kemejanya disingsing melepasi siku. Sama juga dengan seluar, dia menyinsingnya hingga ke paras betis. Lantas, setelah membaca basmalah, dia segera berwuduk dengan penuh tertib.
Usai mengaminkan doa selesai mengambil wuduk, dia berjalan ke ruang persendirian yang dikhaskan untuk beramal ibadah. Tanpa berlengah, dia mengangkat takbiratul ihram.
Allahu akbar.
Rayyan meneruskan aktiviti rohaninya dengan penuh khusyuk. Selepas bersolat zohor, sempat dia menunaikan solat sunat selepas zohor dua rakaat. Doa dipanjatkan kepada Yang Maha Esa supaya diampunkan dosa, dipanjangkan umur dan dipermudah urusan.
Tit... Tit...
Sebaik sahaja dia mengaminkan doa, tak semena-mena telefon pintar di atas mejanya bergetar minta perhatian. Sekali, dua kali. Rayyan mengabaikan sahaja telefonnya dek kantuk lebih menguasai diri.
Dia berhajat mahu melelapkan mata seminit dua untuk mengambil tenaga. Tapi, memandangkan pemanggil di talian tidak berputus asa memanggilnya, Rayyan menapak juga ke meja walaupun malas. Lantas, panggilan diangkat.
“Ya, ada apa, Hana?” Rayyan memejam mata. Ya Allah, mengantuk sungguh! Berpinar-pinar matanya.
“Free tak malam ni?” tanya Hana tanpa mukadimah.
“Malam? Tak free. Aku kena jumpa DSP Haireen,” jawab Rayyan.
“DSP Haireen? Ah, good. Jumpa kau malam ni. Bye!” Hana memutuskan panggilan.
Tut... Tut...
Rayyan memandang kosong skrin telefonnya tanpa berkelip. Pelik dia dengan ulah Hana, tapi dia malas ambil pusing. Hana kata nak jumpa malam ni, jadi malam inilah fikir.
Sekarang, dia nak tidur sekejap sebelum pukul 5 petang nanti, dia kena pergi ke hospital untuk jumpa Kak Julia. Hailah, tembus lagi kulitnya nanti dek kena dera dengan misi itu. Seram!