Home Novel Thriller/Aksi APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
kenhendri
13/6/2021 07:57:50
15,417
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

29 Disember 2024,
Aurora Pavilion Bukit Jalil.

Ruangan kosong pada buku itu ditulis dengan pen dakwat hitam. Sebaris demi sebaris diisi dengan perkataan. Lelaki berambut hitam, bermata biru dan berkulit cerah itu sedang asyik melakar cerita pada sebuah buku lama yang kertasnya juga sudah usang. Karl menyendiri di dalam bilik, tidak mahu bergaul dengan ahli pasukan. Tiga plaster luka melekat pada dahi, hidung dan bibir. Luka akibat ditendang Darith sudah pun sembuh tetapi dia masih tidak membuka plaster tersebut. Bukan untuk meraih simpati daripada rakan sepasukan tetapi, dia perlu memanfaatkan masa yang ada untuk menulis. Entah apa yang ditulisnya. Namun, itu sahaja kegembiraan yang dia ada sekarang.

Andalus dan Arora berada di ruang tamu, menonton televisyen di atas sofa. Gadis berambut lurus, berwarna perang itu menekan-nekan butang, menukar siaran. Tidak ada rancangan yang menarik perhatiannya. Arora mengendahkannya. Dia sedang asyik bermain-main dengan rambutnya yang ikal mayang sambil melihat siaran televisyen yang asyik bertukar-tukar. Ingin sahaja menegur Andalus tetapi berasa malas kerana dia juga tidak tahu apa yang ingin dilakukan sekarang.

Tiba-tiba, pintu masuk bilik dibuka. Darith dan Fritz melangkah masuk. Mereka menjadi perhatian dua gadis yang berada di ruang tamu. Pintu dikunci oleh Fritz. Kasut mereka ditanggalkan sebelum melangkah ke arah Andalus dan Arora. Beberapa helai kertas yang dipegang, dicampak ke atas meja di hadapan sofa. Fritz hanya melihat kelakuan Darith.

"Macam mana dengan pencarian kalian? Jumpa apa-apa maklumat? Seharian kamu berdua tak balik. Takkan tak dapat apa-apa maklumat." Andalus bertanya sambil menutup televisyen. Alat kawalan diletakkan di atas sofa. Matanya mula menatap helaian kertas yang dicampak tadi.

"Penat aku cari dari pagi sampai malam tapi tak jumpa apa-apa," balas Darith.

"Apa pula kertas yang di atas meja tu?" tanya Arora pula.

"Ini ialah rancangan aku. Tapi, sebelum itu aku nak Fritz cari kamera tersembunyi di dalam bilik ni. Selalunya, setiap hotel ada kamera tersembunyi."

Fritz hanya mengikut hanya arahan. Dia menggunakan penglihatan Karnivor untuk mengesan titik panas di setiap dinding sehingga menemui beberapa kamera tersembunyi. Ada satu di sebalik hook hanger di halaman pintu keluar-masuk bilik, satu disebalik almari kecil di sebelah sofa dan satu di penjuru menghadap katil di sebelah ruang tamu. Setiap kamera itu diambil dan dipijak sehingga hancur oleh Darith, Andalus dan Arora.

"Menjengkelkan. Semua hotel sama saja. Entah apa yang mereka mahu tangkap," luah Fritz.

Dengan selamba sambil menyilangkan tangan ke dada, Andalus membalas, "mungkin, nak rakam kelakuan manusia dalam hotel ni. Dah macam tak bertamadun pula aku rasa."

"Jadi, apa rancangan kau?" tanya Arora pula.

Darith duduk bersandar di atas kerusi. Kedua-dua kaki diletakkan di atas meja. Tangan didepakan, dijatuhkan pada penyandar. Dia diperhatikan oleh Fritz, Andalus dan Arora yang berada di hadapan.

"Aku dan Fritz buntu untuk cari maklumat jadi kami ke Lodge Freemasonry, Bukit Jalil. Tapi, kami dihalang pula. Aku hanya cuba mencari maklumat-maklumat rahsia kerajaan. Memang betul, agak susah bagi orang luar untuk masuk ke sana. Tapi, aku yakin mereka tahu tentang K-User, Karnivor dan Raiqal Kris. Niat aku, untuk menceroboh masuk ke sana esok tapi aku rasa pengawal akan syak aku dan Fritz nanti sebab muka kami sudah ditangkap CCTV. Cuma aku hairan, bagaimana bangunan besar itu boleh dibina di hadapan sekolah? Budak-budak sekolah, cikgu dan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tidak tahu apa-apa ke tentang Lodge Freemasonry?"

"Setahu aku, orang di Malaysia suka ambil remeh tentang isu semasa. Bahkan, mereka menjadikan perkara yang berkaitan dengan Freemason dan Illuminati ini sebagai hiburan. Aku ada baca komen-komen bangsa Malaysia di Facebook apabila seseorang cuba mendedahkan rahsia atau agenda Illuminati, mereka mengatakan itu perkara sesat dan terlalu obses dengan teori konspirasi. Malah, menghina dan membuat lawak. Memang orang Malaysia tidak kisah kalau musuh dalam selimut sedang merancang sesuatu yang mereka tidak tahu," balas Andalus dengan pintar.

"Itu aku suka. Kalau makin ramai yang pejam mata tentang perkara-perkara remeh, makin mudah orang macam kita untuk mengambil K-Subject. Lagipun, negara ni bakal hancur dan musnah nanti. Menyesal orang-orang yang memandang remeh tentang semua perkara itu," sokong Arora pula.

"Tutup tajuk tu. Aku ada rancangan. Mungkin, kita boleh gunakan rancangan yang sama dengan Kris dahulu ketika dia cuma menyerang Kuala Lumpur."

Idea Darith itu membuatkan Andalus dan Arora tertanya-tanya. Mereka tidak pernah tahu apa-apa pun tentang Raiqal Kris selain identitinya sebagai K-User dan K-Subject. Tetapi, ketua mereka sudah mengkaji satu demi satu perkara tentang K-Subject yang cuba diambil itu. Bahkan, sejarah kelahiran dan tempat dibesarkan Kris juga sudah diketahui oleh Darith.

"Apa maksud kau?" tanya Andalus dengan penuh hairan.

"Semuanya sudah ditulis dalam kertas di atas meja. Ada juga skrip. Kamu berdua boleh baca. Kita tak boleh dedahkan identiti sebenar sebaliknya, hanya menyamar sehingga Malaysia menjadi huru-hara seperti dahulu."

Darith bersetuju dengan jawapan Fritz kerana itulah yang difikirkan oleh mereka pada petang tadi. Ketua K-Rebellion itu sudah merancang dengan teliti untuk membuatkan semua rakyat Malaysia kelam-kabut. Bahkan, rancangan Kris untuk menyerang Menara Berkembar Petronas sebelum ini, ditiru dan ditokok tambah. Matlamat utama rancangan itu ialah untuk menggertak kerajaan supaya bercakap tentang K-Subject.

Setelah berbincang tentang rancangan tanpa Karl, semua ahli pasukan telah terlelap. Fritz dan Darith tidur di ruang tamu manakala Andalus dan Arora tidur di atas katil. Karl yang sudah terlelap lebih awal sedang nyenyak di dalam biliknya.


Namun, tidurnya yang nyenyak diserang igauan. Dia termimpikan perkara-perkara yang pernah terjadi. Imbasan demi imbasan. Ditendang Darith, dibuli Andalus, diketawakan Arora, diendahkan oleh Fritz. Semua detik-detik tragik itu datang serentak sehingga terpapar satu mimpi di mana dia diikat di atas katil pesakit, dikelilingi oleh doktor-doktor bedah. Pisau bedah yang dipegang oleh mereka membelah perut, paha, dan lengan Karl tanpa disuntik bius.


Lelaki menjerit kesakitan sebelum tersedar dari mimpi. Nafasnya naik turun. Kelam-kabut, dia melihat lengannya. Bangun dari perbaringan, meraba-raba badannya. Bajunya diselak, kelihatan berpuluh-puluh parut akibat dibedah sebelum ini. Lukanya hilang dengan cepat tetapi parut pula meninggalkan kesan.


"That's just a dream. But, it was real."


Karl menenangkan diri. Buku di atas meja di hadapan, diperhatikan sebelum dia turun dari katil. Kerusi ditarik, dia duduk lalu mengambil sebatang pen. Lampu meja dipasang. Muka surat dibuka. Cerita yang ditulisnya sebelum ini, disambung. Bibirnya turut membaca apa yang ditulis:


"Dia membuka mata setelah termimpi akan suatu cerita. Cerita itu tidak pernah diperkata, walaupun sudah puas dia mengalirkan air mata. Sakit, pedih. Itulah yang dirasainya. Mengapa dunia begitu kejam saat memilih mangsa untuk dimamah? Dalam jutaan manusia, apa yang dia inginkan hanya bahagia. Tetapi, kenapa dia menjadi mangsa?"


Air mata Karl mengalir saat menulis cerita tersebut. Tidak ada yang mendengar kerana tangisan itu tangisan senyap. Air mata mengalir dari pipi, jatuh di atas helaian kertas. Tidak ada yang mendengar kerana tangisan itu tangisan luahan. Tangannya sambung menulis, menulis sebuah cerita hidupnya.


*****


29 Disember 2024,
Sempadan Thailand Dan Malaysia, Sungai Golok.

Gelap. Senyap. Tiada bunyi melainkan tapak kaki Raven yang sedang mundar-mandir di tebing sungai. Kelakuannya dari tadi diperhatikan oleh Marisa. Lelaki itu sepertinya sudah tidak mengenal lelah. Dari atas kerusi di sebelah khemah tentera, Marisa yang berambut perang pendek mencecah baju itu memerhatikan Raven. Ingin sahaja gadis yang berpakaian tentera itu menyuruhnya berehat tetapi timbul pula kata tidak dalam hatinya.


"Nampaknya, Narathiwat nampak aman hari ni. Tak macam semalam. Tiba-tiba sahaja kena serang waktu macam ni. Tak pasal-pasal kita kena hulur tangan dari jauh," kata Shen sambil menggigit sekeping biskut yang diambil dari dalam khemah tentera. Dia yang berjalan ke arah Marisa, memerhati khemah tentera Thailand yang dapat dilihat dari seberang sungai.


"Hanya Narathiwat yang dah nampak macam nak terkawal sebab bersempadan dengan Malaysia. Ni semua disebabkan usaha Kris dulu. Dia dah kawal Karnivor dari seberang untuk ke Kuala Lumpur. Sekarang, hanya muncul satu, dua ekor sahaja," balas Marisa pula.


"Perkara dah lepas. Aku pun tak sangka, benda yang dia suntik dalam tubuh aku tu ialah vaksin. Kalau tidak, aku dah tak ada bulan Januari nanti." Shen duduk di atas kerusi di sebelah Marisa sambil minum sebotol air.


"Bercakap tentang tu kan, mana perginya Kein? Dia dah terkeluar dari senarai buruan polis. Aku tertanya-tanya, dia masih K-User ataupun tak."


"Aku rasa, dia bukan lagi K-User, Marisa. Kris dah suntik vaksin ke dalam badan dia. Itu yang aku dengar dari Violet."


"Berhenti pun kau. Tak penat ke berdiri berjam-jam? Dari tadi sampai pukul dua pagi kau mundar-mandir," balas gadis itu.


"Aku tak boleh kalau tak berdiri lama. Dah biasa macam tu." Raven berjalan ke arah Shen dan Marisa. Lelaki bertubuh tegap, berambut pendek itu menegang erat senjatanya.  Dia duduk di atas kerusi, di hadapan Shen dan Marisa.


"Minggu depan, kita cuti. Bukan ke kau nak pinang Violet ke?" tanya Shen dengan berani.


"Kalau dia terima aku. Lagipun, aku tak nak paksa dia."


"Kadang-kadang, kau kena paksa untuk buat sesuatu. Perkara yang melibatkan perasaan ni, aku tak bijak sangat. Tapi, itu je yang aku boleh cakap," balas Shen dengan selamba.


Keadaan menjadi senyap seketika sebelum Kapten Raizol datang dari khemah tentera, menyertai perbualan mereka. Kapten Raizol merupakan ketua bagi Unit Satu iaitu ketua kepada Raven, Shen, Marisa dan juga Yana yang berada di dalam khemah tentera, sedang menulis laporan.


"Seronok berbual. Pasal kahwin ke? Bila korang nak kahwin ni?" tanya Kapten Raizol sambil menghirup secawan kopi panas yang dibuatnya.


"Bercakap tentang kahwin, semua orang nak kahwin. Tapi, masalahnya, tak ada duit. Bukan itu saja, keadaan tak mengizinkan," balas Raven pula.


"Kenapa? Pasangan kamu tak bersedia ke?"


"Bukan tak bersedia, kapten. Tapi, tak terima lagi," jawab Marisa dengan niat untuk mengenakan Raven.


Shen dan Kapten Raizol hanya tertawa kecil. Ketua kepada Unit Satu itu menepuk-nepuk bahu Raven sebelum mendekatkan mulutnya pada telinga. Dia membisikkan bahawa dia akan menolong Raven dari segi kewangan kalau pihak wanita menerima lamaran Raven. Bisikan itu juga didengari oleh Shen dan Marisa.


Tetapi, Raven hanya membalas, ianya mustahil bagi pihak wanita untuk menerimanya. Violet masih lagi memikirkan akan Kris yang sudah lama meninggal dunia. Bahkan, gadis itu hanya menganggap Raven sebagai abangnya dan tidak lebih daripada itu. Disebabkan itulah, permintaan Raven sebelum ini ditolak.


"Jangan risaulah. Kapten boleh pujuk dia. Bagi ayat penenang biar dia lembut hati."


"Tapi, kapten dah umur tiga puluh. Tak kahwin pun lagi," bidas Marisa dengan kasar.


Mereka tertawa tetapi ketawa mereka tidak lama. Bunyi seperti ikan menggelupur dari sungai telah mengejutkan mereka. Tetapi, bunyi itu lebih kuat dari ikan. Seperti, ianya binatang yang sangat besar. Permukaan air kelihatan bergerak mendekat daratan. Ada sesuatu sedang mendekati. Dengan pantas, mereka berdiri, mengangkat senjata. Bersedia untuk sebarang kemungkinan.


Tiba-tiba, air sungai yang digerakkan itu hilang. Keadaan menjadi sepi. Mata-mata mereka masih memerhati permukaan air sungai. Bagaikan tidak bernafas, kerana takut diserang makhluk pemangsa seperti yang berlaku di seberang sungai, semalam. Tetapi, kali ini ianya datang dari air. Bukannya, hutan. Adakah ianya buaya? Tetapi, bunyi tapi seakan-akan telah menggegarkan malam.


"Bunyi apa tadi..." tidak sempat Marisa menghabiskan kata-katanya, muncul seekor makhluk gergasi dari sungai dengan mengejut. Makhluk itu bergigi tajam. Badannya dipenuhi tulang. Hanya kelihatan usus-usus perut dan sedikit kulit serta otot. Tengkorak pula pecah menampakkan otak di kepala.


Makhluk itu cuba menerkam Marisa tetapi Kapten Raizol pantas menembak tepat di atas kepala. Makhluk bersaiz tiga kali ganda lebih besar daripada manusia itu terbaring, mati. Kepalanya hancur, otaknya terburai ditembak.


Marisa menarik nafas lega. Dia cuba menenangkan diri. Kemungkinan, ada lebih banyak makhluk seperti itu yang akan muncul. Dia harus bersedia. Tetapi, Raven dan Shen memandang hairan. Makhluk apakah yang muncul dari air itu? Kenapa rupanya seperti seekor Karnivor? Persoalan itu terjawab apabila dia mendekati binatang tersebut. Mereka terkejut besar. Terbeliak mata.


"Ini... Ini buaya kan?" soal Shen.


Raven masih tercengang kehairanan. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Adakah matanya sedang menipu? Tetapi, makhluk yang cuba menyerang Marisa tadi datang dari air dan ianya makhluk yang ditanya oleh Shen tadi.


"Tapi... tak pernah ada lagi Karnivor dari air sebelum ni. Tak mungkin... virus CWD-Rabies boleh merebak dalam air..."
















Untuk membaca kesemua Trilogi Distopia boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.