Home Novel Thriller/Aksi APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
kenhendri
13/6/2021 07:57:50
15,381
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

1 Januari 2025,
Balai Polis Bukit Aman.

Heboh. Kejadian dua hari lepas telah heboh ke seluruh Malaysia. Media sosial sudah kecoh dengan kemunculan semula 'Raiqal Kris' yang ditakuti semua orang. Manakan tidak, seorang penjenayah kelas dunia itu yang telah memusnahkan Kuala Lumpur pada setahun yang lepas dikatakan hidup semula. Semua orang menyaksikan bahawa lelaki itu telahpun dijatuhkan hukuman mati. Perdana Menteri Malaysia mengeluarkan statement bahawa pengumuman yang dibuat di televisyen besar di Bukit Bintang itu adalah palsu. Rakyat tidak perlu takut dan bimbang. Namun, pasukan khas telah dikerah untuk mencari dalang di sebalik pengumuman palsu itu. Namun, sehingga sekarang, tidak ada suspek yang ditemui.

Ketua Polis Malaysia iaitu Inspektor Khairi tidak berdiam diri. Lelaki pertengahan umur itu dan beberapa anak buahnya mengadakan mesyuarat untuk berbincang tentang kes tersebut. Rakaman kamera tertutup di jalan Bukit Bintang ditayangkan pada skrin putih oleh LCD untuk mencari individu yang terlihat curiga. Tetapi, setelah lama memerhati tidak ada suspek yang ditemui.

Tiba-tiba, perbincangan mereka diganggu. Pintu bilik mesyuarat dibuka oleh dua orang lelaki. Seorang kelihatan berumur sekitar 20-an manakala seorang lagi lebih tua daripadanya. Inspektor Khairi mengenali lelaki yang muda itu. Dia agak terkejut dengan kedatangannya kerana sudah lama tidak menatap mata.

"Maaf mengganggu mesyuarat kamu semua. Aku dengar, Raiqal Kris sudah hidup balik."

"Fareq? Pyro? Sejak bila kamu berdua balik ke Malaysia?" tanya Inspektor Khairi. Anak buahnya masih terpinga-pinga. Tidak mengenali dua lelaki yang berada di pintu masuk.

Fareq merupakan anggota polis Malaysia yang paling dihormati dan disegani dalam mahupun di luar negara kerana ketangkasan dan kehebatannya dalam menembak. Dia juga dikenali dengan julukan 'Mata Helang' kerana ketepatannya dalam menembak. Tidak pernah tersasar mahupun sedikit.

Pyro pula merupakan seorang yang sangat hebat dalam bertarung satu lawan satu. Dia tidak kurang hebat juga dalam menembak. Mereka berdua merupakan wakil daripada Malaysia setelah membuat perjanjian dengan kerajaan Jepun untuk menangani kes Karnivor yang sedang parah di sana semasa kes di Malaysia masih terkawal.

"Inspektor kenal mereka?" tanya Sarjan Husein yang masih bingung.

Fareq dan Pyro berjalan ke arah kerusi yang masih kosong. Dengan santai, mereka duduk. Tanpa menghiraukan yang lain, Fareq menyilangkan kakinya sebelum diangkat di atas meja. Kelakuannya membuatkan anggota polis yang lain berasa geram. Namun, Inspektor sudah mengenali adab lelaki itu. Pyro pula berbeza. Dia seorang yang sopan jika dibandingkan dengan Fareq.

"Kontrak berkhidmat dua tahun kami di Jepun sudah tamat. Pihak di sana mahu kami sambung kontrak untuk membantu menghapuskan Karnivor tapi kami memilih untuk pulang ke Malaysia selepas mendapat berita yang Raiqal Kris telah hidup balik. Jadi, apa yang sedang berlaku sebenarnya?" tanya Pyro.

Inspektor Khairi menceritakan segala-galanya kepada Fareq dan Pyro tentang pengumuman palsu tersebut. Sarjan Husein dan yang lain hanya menganggap bahawa itu hanyalah kes biasa yang ingin mencetuskan ketakutan terhadap orang awam. Namun, lain pula yang difikirkan oleh Fareq. Lelaki itu sentiasa mengambil serius terhadap semua kes.

"Pelik kan? Siapa yang berani membuat pengumuman palsu dan mengaku diri dia sebagai Raiqal Kris. Dia juga telah mencabar kerajaan. Bukan ke itu pelik? Dalam dua tahun lepas berlaku huru-hara dan perang dengan Karnivor. Kuala Lumpur sendiri yang jadi medan perang. Mata rakyat sendiri termasuk kami yang menjadi saksi perang itu. Tidak mungkin rakyat sanggup menggugat kembali keamanan yang Raiqal Kris bina. Tidak logik. Mesti ada sesuatu yang tidak kena."

"Keamanan yang Raiqal Kris bina? Apa maksud kau, Fareq?" soal Sarjan Husein. Dia seperti tidak puas hati dengan perkataan yang diguna oleh lelaki itu. Ianya seperti mengagung-agungkan penjenayah dan perbuatannya.

"Sebelum aku jawab pertanyaan kau, aku nak minta maaf sebab kami tak dapat nak tolong anggota keselamatan semasa perang dengan Karnivor setahun yang lepas. Kami tidak boleh mungkir janji dengan kerajaan di sana. Untuk menjawab soalan kau pula, cuba kah lihat keadaan negara sekarang dari sebelum sehingga selepas perang. Bukan ke selepas perang lebih aman?"

"Ianya disebabkan kami sudah berjaya menangkap dan menghukum Raiqal Kris."

"Betul apa yang kau cakap tu sarjan. Tapi, ada salahnya." Sarjan Husein bingung dengan jawapan Fareq. Apa yang dia salah?

Fareq mengingatkan semula tentang pandemik CoViD-19 yang melanda dunia. Menurutnya, sebelum pandemik itu muncul lagi kerajaan sudah saling bertikam lidah dan menfitnah antara satu sama lain. Bahkan, semasa pandemik juga parti-parti kerajaan sibuk merebut kuasa politik. Mereka langsung tidak mempedulikan rakyat yang sedang meraung sakit. Pihak pembangkang pula tidak habis-habis gila pangkat. Selepas pandemik itu berakhir, muncul pula virus baharu sehingga sekarang. Ianya menjangkiti binatang pemakan daging. Inilah yang dipanggil sebagai Karnivor.

Sudah beribu-ribu orang mati. Kerajaan pula sudah buntu ditambah pula tekanan daripada pembangkang yang tamak akan kuasa dan rusuhan daripada rakyat mereka sendiri. Malah, rusuhan itu semakin teruk dan ganas selepas Kein muncul sebagai K-User. Dengan kebolehan dia, kerajaan telah menggunakannya untuk menghapuskan Karnivor di seluruh negeri sehinggalah pembangkang menghasut dan menyebarkan berita-berita palsu tentang K-User yang menyebabkan rusuhan semakin ganas. Disebabkan keadaan Malaysia sudah tidak terkawal, Raiqal Kris muncul sebagai 'musuh' negara. Disebabkan huru-hara yang dicetuskannya, kerajaan, pemberontak dan pembangkang saling bekerjasama untuk menangkapnya. Jadi, Fareq  mengatakan, keamanan negara tidak akan wujud tanpa Raiqal Kris.

Semua anggota polis terdiam seribu kata. Mereka tidak ada ruang untuk mencelah bahkan selepas soalan Sarjan Husein dijawab, mereka hanya diam. Terfikir bahawa benar juga apa yang dikatakan oleh Fareq. Namun, Raiqal Kris tetap penjenayah yang telah membunuh beratus-ratus orang.

"Jadi, masih tidak ada suspek?" soal Pyro dengan tiba-tiba.

"Tidak. Kami sudah memerhati rakaman CCTV, bertanya kepada orang awam dan telah membuat sekatan jalan raya sebaik sahaja pengumuman palsu itu ditayangkan tetapi tidak ada yang mencurigakan," balas Inspektor Khairi.

"Apa yang aku pelik tentang pengumuman palsu itu, dia sebut tentang K-Subject. Dia juga kata yang kerajaan menyorokkan K-Subject. Jadi, apa sebenarnya K-Subject?" soal Sarjan Husein.

"K-Subject? Ianya ada kaitan dengan K-User ke? Apa yang aku tahu hanya K-User. Aku sudah jumpa beberapa orang K-User di Jepun. Mereka dilatih dalam perang untuk melawan Karnivor. Disebabkan jangka hayat mereka hanya tiga tahun, tidak ramai yang sukarela ingin menjadi bahan uji kaji kerajaan," Fareq mendedahkan aktiviti ketika masih berkhidmat bersama tentera Jepun.

"Kalau K-Subject ialah sesuatu yang ada kaitan dengan Karnivor atau K-User, bermakna orang yang membuat pengumuman palsu itu bukanlah calang-calang orang dan aku dapat rasakan pengumuman itu benar cuma nama Raiqal Kris sahaja diguna untuk menakut-nakutkan rakyat dan mencabar kerajaan," balas Pyro dengan bijak.

"Jadi, kerajaan kita merahsiakan sesuatu daripada pengetahuan kita semua? Menarik..." simpul Fareq pula sambil tersenyum sinis. Situasi yang sedang berlaku membuatkannya rasa bersemangat.

"Di mana Kein sekarang? K-User yang pernah bersubahat dengan Raiqal Kris?" tanya Pyro.

"Kami tidak menemuinya. Lagipun, pihak atasan membuat keputusan untuk supaya pihak polis tidak mencarinya lagi. Menurut salah seorang kawan Raiqal Kris, dia telah menyuntik vaksin ke dalam tubuh Kein dan seorang lagi K-User iaitu Shen. Jadi, sekarang... sudah tidak ada lagi K-User di Malaysia. Mungkin disebabkan itulah pihak atasan membuat keputusan untuk tidak lagi mencari Kein," jawab Inspektor Khairi.

"Sayangnya, negara kita sudah ketandusan orang yang luar biasa macam mereka. Di luar negara, sudah banyak uji kaji dijalankan untuk melahirkan ramai K-User. Nampaknya, perang bakal tiba nanti," jangka Fareq.

Semua orang terdiam. Mengenang semula nasib yang bakal menimpa negara dan dunia. Mereka tahu bahawa dunia sudah tenak. Melihat kepada keadaan dunia yang masih berperang dengan Karnivor, kemajuan, pembangunan dan ekonomi dunia seperti sudah ditangguhkan. Namun, ada negara-negara yang mengambil kesempatan untuk menakluk negara-negara lain seperti yang dibahas dalam persidangan PBB sebelum ini.

*****


1 Januari 2025,
Tapak Pembinaan Kuala Lumpur.


Menara KLCC dibina semula. Kawasan di sekeliling menara ditutup sehinggalah menara itu siap kembali untuk mengelak seberang kemalangan. Namun, senja menjelang. Tidak ada pekerja. Tempat itu menjadi markas rahsia sementara K-Rebellion untuk merancang plan jahat mereka. Keputusan bijak yang dibuat oleh Darith untuk sentiasa berpindah tempat telah mengaburi mata pihak berkuasa. Kini, mereka berada di atas menara di sebuah tingkat yang masih dalam proses pembinaan.


Beberapa beg yang dimuat senjata dan bom digalas di belakang badan. Darith dan Fritz sedang merancang sesuatu sementara Andalus dan Arora memeriksa senjata mereka, bersiap sedia untuk bertindak mengikut plan yang dirancang oleh ketua. Karl yang jauh dari mereka pula sedang bersandar pada tiang besi, menulis ceritanya.


"Sudah dua hari tapi balasan kerajaan hanya mengatakan yang ianya pengumuman palsu. Jadi, apa tindakan kau?" tanya Fritz.


"Aku hanya menunggu masa Karnivor menceroboh sempadan negara. Ketika itu, aku akan sebarkan maklumat-maklumat palsu kepada orang awam supaya mereka takut dan membuat rusuhan. Selepas itu, kita akan bom seluruh tempat di Kuala Lumpur. Aku akan kawal Karnivor untuk menyerang negara ini. Sesiapa yang halang kita, akan mati."


"Tapi, bagaimana kau nak menakut-nakutkan orang awam?" soal Andalus sambil memasukkan sebutir demi sebutir peluru ke dalam kelongsong.


"Melalui media sosial. Manusia mudah mempercayai sesuatu berita tanpa soal selidik. Jadi, kita guna kesempatan ini untuk memyebarkan berita-berita tentang kerajaan yang merahsiakan K-Subject. Semakin ramai yang menyebarkannya, semakin mudah orang awam mempercayainya."


"Aku setuju dengan apa yang kau cakap tu. Manusia mudah mempercayai berita palsu," sokong Arora pula.


"Kalau semua sudah bersetuju, baguslah. Aku akan uruskan tentang berita palsu tu," balas Fritz.


Perhatian Darith beralih ke arah Karl. Dia langsung tidak peduli dengan perbincangan mereka. Hati lelaki itu mula bergelora. Kemarahannya naik membuak-buak. Dia terus berdiri dan berjalan ke arah Karl. Buku yang dipegang, diambil. Lelaki itu cuba merampas semula tetapi wajahnya disepak. Darith mula membaca apa yang ditulis oleh Karl.


"Jadi, selama ni kau tulis cerita? Menjengkelkan. Kenapa kau selalu jauh dari kami? Kalau tak ada kerjasama macam mana kita nak rampas K-Subject?" Darith mengoyakkan buku Karl. Sehelai demi sehelai kertas dikoyakkan sehingga menjadi kecil.


Karl tergamam. Dia cuba merampas semula bukunya tetapi disepak sehingga terlantar di atas lantai. Bibirnya pecah. Darah mengalir, menitis dari dagu. Satu-satunya kebahagian yang dia ada sudah hancur. Kisah yang ditulis dalam buku sudah dikoyak. Selama ini dia menghabiskan masa untuk menulis cerita itu tetapi hanya beberapa saat ianya lenyap. Karl menggetap gigi. Dia menjeling ke arah Darith.


"Kau dah kenapa pandang aku macam tu? Kurang ajar!"


Karl disepak di bahagian wajah. Dia cuba melawan. Kaki kanan Darith dipegang tetapi kaki kiri pula menyepaknya dengan kuat. Wajahnya berlumuran dengan darah. Air matanya mengalir. Sudah tidak tahan disepak. Sakit. Itulah yang dirasainya. Fritz, Andalus dan Arora hanya melihat.


Mata Karl sekilas memandang buku yang dikoyakkan di atas lantai, dipijak oleh Darith. Dia menggetap gigi. Marah. Sudah tidak tahan. Dia perlu lawan. Lawan untuk mempertahankan diri. Sampai bila dia mahu hidup begini? Dia perlu lawan!


Kaki Darith dipegang. Sebelah lagi kaki Darith yang cuba menyepak juga dipegang. Mata lelaki itu tajam memandang seperti seekor harimau yang cuba membaham mangsa. Gigi diketap. Darah yang keluar dari luka, terhenti. Luka Karl pulih sepenuhnya dalam masa yang singkat. Darith terkejut.


Karl pantas bangun dan cuba menumbuk wajah Darith tetapi mudah dielak. Tangan kanan Karl dipegang, dipatahkan mudah seperti kayu. Lelaki itu menjerit kesakitan. Tangan Karl bengkok. Dia meronta-ronta di atas lantai. Cuba membetulkan semula tangannya. Ketika itu juga, Darith menyepak wajah Karl sengan kuat buat kali terakhir.


"Nampaknya, penyembuhan kau akan menjadi cepat kalau tekanan darah kau tinggi. Sebelum ni, aku tak pernah tengok. Aku perlu maklumkan kepada Komander tentang ni. Fritz, Andalus, Arora! Mari pergi dari tempat ni. Karl, aku nak jumpa kau di bawah nanti. Kalau kau tak turun, tahulah nasib kau."


Darith berjalan meninggalkan Karl yang masih menahan sakit. Fritz, Andalus dan Arora hanya mengikut arahan. Senjata disimpan di dalam beg galas. Mereka meninggalkan Karl sendirian. Lelaki itu menangis, menahan sakit. Tangannya yang bengkok, cuba dibetulkan.


Matanya kembali melihat buku yang dikoyakkan oleh Darith. Penulisannya selama ini hanya sia-sia. Waktu yang dihabiskan lenyap begitu sahaja. Satu-satunya kebahagian yang dia ada telah hilang. Satu-satunya dunia bahagia yang mampu diciptanya melalui penulisan, telah dihancurkan.


Karl tidak dapat membetulkan tangannya. Walaupun luka pada wajahnya sudah sembuh tetapi tangannya tidak dapat dibetulkan. Setiap kali dia cuba, sakit yang dia rasa. Dia bangun dan duduk bersandar pada tiang. Tangannya dipegang, matanya dipejam rapat. Sekali lagi cuba membetulkan tangan tetapi dia tidak tahan. Ianya terlalu sakit. Tidak ada apa yang mampu dia lakukan selain menangis.


Tiba-tiba, Karl dikejutkan dengan bunyi tapak kaki. Dia yakin ianya bukanlah tapak kaki rakan sepasukan. Matanya memerhati susuk tubuh seorang lelaki berpakaian serba hitam itu datang dari dalam gelap, berjalan ke arahnya. Dia mula gentar. Namun, matanya terbeliak tatkala melihat rupa lelaki itu. Dia terpaku. Lidahnya kelu.


"Aku terkejut sebab kau juga K-User. Lihat dari wajah, kau bukan orang sini. Aku juga terkejut sebab luka pada wajah kau sembuh dengan cepat. Kau tidak ubah seperti aku. Seorang K-User dan K-Subject. Nak aku betulkan tangan kau?"


"K-Kau... Raiqal... Kris."

















Ingin membaca cerita lengkap, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Previous: Bab 4
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.