Home Novel Seram/Misteri QARIN
QARIN
Illya Abdullah
3/1/2015 15:47:47
33,898
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1

MATANYA dibuka perlahan-lahan. Suasana dalam bilik itu gelap. Terlalu gelap hingga dia meraba-raba disekelilingnya. Tangannya menyentuh sesuatu. Apa yang disentuhnya itu? ‘Benda’ hidup atau ‘benda’ mati. Bendalir warna merah melekat-lekat pada jari-jemarinya. Bau yang hanyir.

Cahaya mula menerangi bilik yang tadinya gelap. Bola matanya membulat besar. Dia menoleh pada ‘benda’ yang disentuhnya tadi. Sekujur tubuh manusia yang berlumuran darah. Suaranya menjerit lantang.

Faris terjaga dari mimpinya dengan nafas tercungap-cungap. Baju tidurnya turut dibasahi dengan peluh. Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya. Helaan nafas lega dihembuskan. Kebelakangan ini, dia makin kerap di datangi mimpi-mimpi ngeri yang menyebabkan tidurnya tidak cukup. Zaman universitinya, mimpi ngeri yang dialaminya tidaklah sekerap ini. Faris gelisah. Mimpi-mimpi ngeri itu mengundang misteri dalam hidupnya.

“SAYA rasa tiada apa-apa masalah pada awak. Mungkin awak terlalu kuat berhalusinasi sendiri. Awak wujudkan perkara yang tidak wujud sebenarnya.” Itu yang dijelaskan oleh pakar psikiatrinya, Doktor Rabiatul sepanjang sesi temujanji yang dihadirinya.

Faris hanya membatu diri. Dia seperti tidak boleh menerima penjelasan dari Doktor Rabiatul itu. Dia yakin yang dia tidak berhalusinasi. Tapi dia tidak punya bukti apa yang dilihatnya itu adalah sahih dan realiti.

Dengan langkah longlai, Faris melangkah keluar dari bilik tersebut. Kenapa tiada orang yang mempercayai kata-katanya itu?

“Sayang…” Nadia, teman wanita Faris menghampiri. “Macam mana?” Nadia memaut lengan Faris. Kepalanya dilentokkan pada bahu Faris.

“Doktor cakap I berhalusinasi.” Faris menghela nafas panjang.

“Kan I dah beritahu you. You tak mahu dengar. Semua tu halusinasi you aje.” Nadia mencuit hidung Faris. Bibirnya mengukir senyuman.

“Tapi I…”

Faris tidak meneruskan kata-katanya. Faris tidak pecaya yang dia berhalusinasi. Mimpinya itu seperti benar-benar berlaku.

“You tu kerja kuat sangat. Apa kata kita pergi bercuti? you kena rehat-rehatkan otak dan badan you juga. Jangan asyik fikir soal kerja you yang tak pernah habis tu.” Nadia memberikan cadangan. Dia mahu juga Faris menghabiskan masa bersamanya sekali-sekala.

“Dengan you?” Faris mengerling kekasihnya itu.

“Habis dengan siapa lagi? Dengan I lah. Takkan you nak bercuti dengan budak nerdmata empat tu?” desis Nadia. Bibir Nadia mencebik.

“I tak mahulah.” Faris menolak.

“Bukan pergi berdua tapi pergi dengan rakan-rakan I. Bilik asing-asing. You ingat I nak kongsi bilik dengan you? I ni nampak aja ala kebaratan tapi masih tahu juga buruk-baik.” Nadia memuncungkan bibirnya.

Faris hanya tersenyum. Perempuan seksi tak semuanya nakal dan jahat.

AKU nampak lagi. Aku nampak lagi pada bayang-bayang lelaki itu. Bayang-bayang yang menakutkan. Dia bangun dan memeluk erat buku-bukunya. Dia ingin berlalu tetapi bahunya berlaga dengan lelaki itu. Buku-buku yang dipeluknya jatuh bertaburan atas lantai. Dia membongkokkan tubuhnya mengutip buku-buku itu semula.

Sorry As,” Faris memohon maaf.

Dia hanya mengorak senyuman kecil. Dia tidak menyalahkan lelaki itu. Dia yang lalai.

Dia yang kelam-kabut hingga langkahnya tidak tentu arah. Matanya hilangnya tumpuan.

Faris membantu memungut buku-buku tersebut lalu diserahkan semula kepada Asmida. Asmida gadis yang agak pendiam, tetapi Faris menyenangi tingkah gadis itu. Gadis itu tidak banyak songeh dan merendah diri.

“Takpe.”

“Kelam-kabut semacam. Awak nak ke mana?”

“Er... saya ada hal sikit.”

“Hal kecemasan ke? mak awak sakit lagi?”

Asmida menggeleng laju.

“Saa… saya…”

“Faris!” Nadia muncul di antara mereka. Wajah Nadia berubah melihat Asmida bersama Faris. Dia cukup tidak berkenan jika Faris berbual-bual dengan Asmida. Dia tidak suka Faris rapat dengan perempuan lain. Hatinya akan diasak rasa cemburu.

Asmida mengambil peluang mengorak langkah panjang. Jalannya menunduk. Gelagat Asmida menjengkelkan hati Nadia.

“Apa hal cari I?” soal Faris.

“I nak ajak you join sekali dalam discussion percutian kita tu.” Nadia sudah memaut lengan Faris.

Dia sudah tidak sabar mahu bercuti dengan lelaki itu.

“Tak perlulah.” Faris masih tidak bersetuju. Dia bukannya tidak mahu pergi bercuti bersama Nadia tetapi dia tiada mood untuk bercuti.

“Faris…. you kena release tensionyou tu. Kalau you melepak di library ni pun you akan stress. Or you selalu ke sini sebab budak nerdtu.”

Nadia suka menuduh melulu. Entah berapa kali Faris perlu menjelaskan kepada Nadia

yang perhubungan antara dia dengan Asmida hanya berlandaskan ikatan persahabatan, tidak lebih dari itu.

“Apa you merepek ni? As tu kawan biasa I je. Kami kenal pun di library. Coversikit cemburu buta you itu.”

“Manalah tahu hati you berubah pada dia.” Muncung Nadia semakin panjang.

Faris menggeleng perlahan. Nadia tidak habis-habis dengan sikap prejudis pada Asmida.

“Teman I makan. I lapar.” Faris mengubah topik perbualan. Dia tidak mahu Nadia terus-

terus berbicara tentang Asmida. Kesian gadis itu. Gadis itu tidak pernah menimbulkan onar. Asmida seorang gadis yang baik. Gadis yang hanya disenangi sebagai seorang sahabat. Nadia menyalahtafsirkan perhubungan antara dia dengan Asmida.

“I tak nak makan di restoran mamak.” Nadia merengek. Tekaknya tidak boleh menelan masakkan mamak. Loya.

Faris sudah masak dengan selera Nadia. Nadia memang cerewet. Dia hanya ikutkan saja. Nasib badan dapat kekasih high maintenance seperti Nadia.

Sebaik Faris berlalu bersama Nadia, Asmida keluar dari persembunyiannya. Wajah seram

pada bayangan Faris itu menggusarkan hatinya. Jika dia memberitahu pada Faris, nescaya lelaki itu menganggap dia berkhalyal.

“Hoi!” Ada suara yang menyergah Asmida dari belakang. Asmida menjerit kecil.

Lelaki berambut panjang paras bahu itu tersengih. Asmida mengetap bibir geram. Dia boleh lemah jantung disergah begitu.

“Kau ni tak abis-abis stalker si Faris tu. Aku tahulah kawan baru kau tu hensemtapi dia dah ada makwe kan? tak baik kacau hak orang lain. Cukuplah aku ada dengan kau.” Johendry kurang senang Asmida rapat dengan Faris.

“Aku bukan stalker.” Asmida menolak bingkai cermin matanya naik semula ke batang hidungnya itu.

“Habis tu?” terjongket kening Johendry.

“Kalau aku citerpun kau takkan percaya.”

Ceciter pada aku.” Johendry teruja.

Asmida menghela nafas kecil. Dia pakukan mata pada wajah Johendry. Serba salah. Dia takut Johendry akan mentertawakan dia.

“Aku nampak muka yang menakutkan pada bayang-bayang Faris.” Mimik muka Asmida begitu serius ketika mengeluarkan kata-katanya.

Johendry diam seketika mendengar kata-kata Asmida itu. Kemudian tawanya meletus. Asmida mesti banyak menonton cerita-cerita seramlah ni. Bukan dia tidak tahu yang Asmida memang kaki filem seram.

“Kau ni mengarutlah As.”

“Aku dah cakap, kau takkan percaya!”

Asmida berkecil hati. Dia kembali mengaturkan langkah meninggalkan Johendry. Johendry tergesa-gesa mengejarnya dari belakang.

“As!”

Asmida tidak mengendahkan panggilan Johendry. Dia terus laju melangkah.


TIDAK berkelip mata Asmida menonton berita yang tersiar di kaca televisyen. Polis menemui mayat seorang wanita di sebuah rumah kosong. Penemuan mayat tersebut telah membongkarkan misteri kehilangan wanita itu. Asmida seram sejuk. Zaman sekarang penjenayah ada di mana-mana sahaja. Keluar rumah berdua pun sudah tidak selamat.

Wajah mangsa dipaparkan di kaca televisyen. Anak mata Asmida seakan tidak mahu berkalih dari menatap wajah tersebut. Perlahan-lahan wajah wanita itu berubah menjadi wajah yang cukup menyeramkan. Punggung Asmida seperti sudah melekat pada sofa. Dia tidak mampu untuk bergerak. Wanita yang berwajah menyeramkan itu seakan sedang merangkak keluar dari kaca televisyen. Asmida menjerit nyaring sambil menutup matanya.

Asmida membuka matanya. Dia bingkas bangun dari sofa. Nafasnya termengah-mengah. Peluh dingin memenuhi segenap ruang dahi Asmida. Asmida mengalihkan pandangan pada televisyen yang masih terpasang di ruang tamu itu. Filem seram The Ring masih berputar dimainkan oleh DVD playernya. Dia meraup-raup wajah. Dia bermimpi rupanya.

Asmida bangkit menuju ke arah dapur kecilnya di ruang apartmen sewanya itu. Dia membuka pintu peti ais. Sekotak susu soya jenama Marigold dipegang lalu dia menuang ke dalam gelas. Asmida tinggal sendirian menyewa di apartmen tujuh belas tingkat ini. Dia lebih selesa berseorangan dari duduk dengan orang lain. Lagi pun dia bukannya ada ramai kawan rapat selain Johendry. Orang tuanya juga bising dengan sikap dia yang seperti ‘kera sumbang itu’. Biarlah dia seperti kera sumbang asalkan tidka menyusahkan orang lain.

Asmida bermenung seketika sambil memusing-musingkan gelas di tangan. Kebelakangan ini dia sering bermimpi ngeri. Dia tidak sedap hati. Mimpi-mimpi itu seolah-olah bagaikan satu petanda.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.