Home Novel Seram/Misteri QARIN
QARIN
Illya Abdullah
3/1/2015 15:47:47
51,889
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
PROLOG

BUDAK lelaki itu teresak-esak menangis. Tubuhnya penuh dengan kesan cucuhan rokok. Bucu bibirnya mengalir sedikit darah. Pedih. Kesan lebam di pipinya juga sudah jelas kelihatan. Dia duduk memeluk kedua-dua belah lututnya.

Dia mengenangkan nasib diri. Hidupnya tiada lagi kasih dan sayang. Hidupnya sunyi tanpa rakan-rakan. Dirinya sudah puas diejek. Tubuhnya pula seperti sebatang pokok yang boleh ditetak sana-sini. Tiada sesiapa yang memahami akan perasaan yang ditanggung. Hatinya mula dicemari rasa dendam dan benci.

“Kau menangis lagi?” Ada suara kedengaran di corong telinganya.

Air matanya berhenti mengalir.

“Siapa?”

“Heheheheee.”

“Siapa?” Bola matanya liar memerhati keadaan sekelilingi. Tiada sesiapa di situ kecuali dia sendirian. Dia mula menggigil ketakutan.

“Kau tak perlu takut dengan aku.”

“Kau hantu ke?”

“Heheheheeee… aku akan menjadi kawan kau. Kau takkan kesunyian lagi.”

“Kau kawan aku?” Dahinya berkerut.

“Ya, aku kawan kau. Aku akan membantu kau.”

“Tapi… aku tak nampak rupa kau pun?” Masakan kawannya itu halimunan.

“Heheheheeeee…. aku ada di belakang kau.”

Dia segera menoleh. Matanya terbuntang luas melihat ‘benda’ yang mengakui kawannya itu.


16 tahun kemudian…

LELAKI tua itu berlari dengan sekuat-kuat hatinya. Dia menyorok di sebalik tiang-tiang batu bangunan itu. Nafasnya turun-naik. Wajahnya sudah pucat lesu. Dia tidak mahu mati lagi.Dia masih belum puas menikmati hidup. Dia perlu menyelamatkan diri. Nyawanya akan terselamat jika diaberjaya menyusup masuk ke dalam keretanya itu.

Dia hampir menjerit melihat perempuan simpanannya yang sudah terbujur kaku berdekatan dengan kereta miliknya. Dia tiada pilihan lain. Dia segera berlari ke arah kereta dan bertindak mengalihkan mayat perempuan itu.

“Datuk Ahmad Fuad…” Bahunya disentuh dari belakang. Bilah parang sudah berada dipangkal lehernya.

Dia tidak berani untuk menoleh.

“To… to... tolongggg lepaskan aku!” Suaranya menggeletar.

“Heheheheeee… apa kau cakap tadi?”

“To… to… tolonggg lepaskan aku.” Lelaki tua yang dipanggil Datuk Ahmad Fuad itu mengulangi kata-katanya.

“Heheheheheeee…” Lembaga itu ketawa lalu menekup telapak tangannya ke muka. Rayuan lelaki tua itu kelakar baginya. Tahu pula lelaki tua tidak sedar diri takut. Fikirnya lelaki tua itu hebat sangat.

Dia hanya tersengih melihat kelangkang lelaki tua itu yang sudah lencun. Tawanya berdekah-dekah. Matanya bersindar-kemerah-merahan.

“Aku… sanggup berikan separuh harta aku pada kau!” Lelaki tua itu masih merayu.

“Aku tak perlu harta kau. Yang aku mahukan nyawa kau.”

Lelaki tua itu berpaling dan menyusun sepuluh jari.

“Jaa… jangan ambil nyawa aku.”

“Heheheheeee….” Dia semakin seronok melihat lelaki tua itu merayu-rayu lagi padanya. Parangnya diangkat tinggi.

Bola mata lelaki tua itu hanya melihat ke arah parang yang mula dihayunkan ke arahnya. Darah merah memercik. Tubuh lelaki tua itu menyimbah ke lantai.

Darah yang mengalir pada bilah parang itu dijilat-jilat dengan rakus. Kemudian dia mula mengheret tubuh lelaki tua itu.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.